Home Novel Cinta pilihan terakhir
Bab 27

Eijaz menahan langkah gadis itu. Afiyah mengeluh perlahan.

“Dah dua hari Eij tak jumpa Fiyah. Fiyah sihat?” tanya Eijaz agak bimbang melihat wajah pucat gadis itu. Afiyah membalas pandangan lelaki itu.

“Awak menang?” soalnya tanpa menjawab. Dia baru teringat yang lelaki itu ada memberitahunya yang dia akan ke Sabah untuk pertandingan bola keranjang bagi mewakili kolej mereka. Eijaz tersenyum mengangguk.

“Tapi naib johan aje. Fiyah sihat tak ini?” soalnya lagi.

“Saya okay,” balas Afiyah perlahan.

“Fiyah tak perlu fikirkan sangat apa yang Eij beritahu tempoh hari. Sekarang ini kita fokus dengan exam yang akan datang,” kata Eijaz dengan perasaan agak bersalah. Afiyah hanya tersenyum hambar. Dia melangkah perlahan berlalu meninggalkan lelaki itu. Eijaz hanya memandang langkah lemah Afiyah. Dia melepaskan keluhan berat.

*****

Datin Isnawiyah mengeluh perlahan. Datuk Ramli yang sedang menonton televisyen menoleh memandang isterinya itu.

“Wiyah rasa bersalah bang,” kata Datin Isnawiyah perlahan.

“Dah tak ada jodoh Wiyah. Nak buat macam mana. Daf dah dua kali ke sana. Tapi Fiyah dah tak nak terima Daf lagi,” balas Datuk Ramli dengan tenang. Dia perasan isterinya mula berubah sebulan yang lalu apabila tahu menantu tak jadinya si Ayumi ditangkap khalwat sewaktu bercuti. Dia bersyukur dengan perubahan isterinya itu.

“Semuanya salah saya bang,” kata Datin Isnawiyah dengan perasaan sebak. Menyesal tidak berguna. Masih teringat lagi wajah tidak bermaya anaknya saat tiba dari Johor.

“Yang lepas itu biar lah lepas. Nak menyesal pun dah tak ada gunanya. Masa tak dapat kita kembalikan lagi. Daf sekarang ini duduk kat tempat orang. Kita doakan aje supaya perjalanan Daf dipermudahkan,” balas Datuk Ramli sambil memandang ke arah kaca televisyen semula. Datin Isnawiyah hanya mengangguk perlahan. Tanpa sedar dia mengeluh lagi.

Maafkan mama Daf.

*****

Puan Sri Erma menghampiri Eijaz yang baru sahaja sampai.

“Ada jumpa Fiyah?” tanyanya sambil duduk di sisi anak lelakinya itu. Eijaz hanya tersenyum hambar.

“Ada ma,” jawabnya perlahan.

“Kenapa ini?” tanya Puan Sri Erma lagi apabila mendengar keluhan lelaki itu.

“Ma, Eij nak kahwin dengan Fiyah sebab Eij tak nak kehilangan Fiyah lagi,” katanya dengan perasaan sayu.

“Eij gaduh dengan Fiyah?” tanya Puan Sri Erma. Dia agak bimbang mendengar kata-kata anak lelakinya itu. Seperti ada makna tersirat yang ingin disampaikan oleh Eijaz.

“Tak ma. Eij cuma tak sangka. Eij ingatkan Eij dah tak mampu nak tunaikan janji itu. Tapi bila dah ada peluang. Eij pula rasa bersalah. Fiyah buat Eij rasa bersalah ma,” kata Eijaz agak sebak. Berkerut kening Puan Sri Erma.

“Mama tak faham Eij. Janji apa pula ini? Rasa bersalah sebab apa?” soalnya bertalu.

“Nanti Eij cerita. Eij penat lah,” balas Eijaz sambil berdiri dari sofa. Puan Sri Erma hanya memandang langkah lelaki itu berlalu.

Susahnya nak faham anak muda sekarang ini.

Bisiknya dalam hati sambil menggeleng perlahan.

*****

Afiyah menarik selimut sehingga menutupi dadanya. Dia menarik nafas dalam.

Janji nak kahwin dengan aku?

Afiyah mengeluh perlahan. Dia memang geram dengan Eijaz. Namun jauh di sudut hatinya dia agak terharu apabila lelaki itu masih mengingati janjinya. Walaupun pada masa itu mereka baru sahaja berumur 5 tahun. Afiyah mengeluh lagi. Dia menoleh memandang beg plastik yang berada di atas meja belajarnya. Beg plastik tersebut berisi ubat yang diberi oleh Suha. Katanya Eijaz yang kirim.

Ingat ubat itu boleh sembuhkan hati aku yang sakit ke?

Afiyah mendengus geram sambil menarik selimutnya dengan kasar sehingga menutup seluruh tubuhnya.

Aku kena fikirkan exam yang tak lama lagi. Lepas exam aku kena cari cara untuk larikan diri daripada Eijaz pula.

*****

Daffa merenung langit gelap yang dihiasi jutaan bintang. Dia menarik nafas dalam.

Ainun Afiyah. Susahnya saya nak belajar untuk lepaskan awak.

Daffa mendengus geram. Dia menendang besi penghadang di hadapannya.

“Kau memang bodoh Daffa,” katanya dengan nada keras.

“Memang patut pun Fiyah tak terima kau semula. Sebab kau itu tak layak untuk dia!” jeritnya kuat sambil meraup wajahnya.

“I’m really sorry. Maafkan Daf, sayang,” ucapnya dengan suara serak.

“I’m a loser. I’m really sorry,” katanya lagi sambil mula mengesat air matanya.

Kalau lah masa boleh dikembalikan semula. Aku janji tak akan ulangi kesilapan yang sama. Fiyah, ia sangat sakit!

*****

Datuk Hashim memandang Aliya yang baru sahaja menarik kerusi di sebelahnya.

“Liya, boleh papa tanya?” soalnya dengan suara lembut. Aliya menoleh memandang papanya.

“Ada apa pa?” soalnya pula tanpa menjawab.

“Liya dan…” Datuk Hashim tidak jadi meneruskan kata-katanya apabila Afiyah menarik kerusi di hadapan mereka.

“Morning,” ucap Afiyah dengan senyuman.

“Morning,” balas Datuk Hashim turut membalas senyuman gadis itu. Dia lega melihat wajah ceria Afiyah. Aliya berdehem perlahan.

“Papa nak tanya pasal Liya dan Eij ke? Kami dah putus pa,” beritahunya dengan tenang sambil mencapai roti di depannya. Datuk Hashim mengangguk tanpa berhasrat untuk bertanya dengan lebih lanjut lagi. Dia tidak ingin mengeruhkan lagi suasana apalagi Afiyah ada bersama. Afiyah hanya diam membisu mendengar kata-kata Aliya.

“Minggu depan Fiyah dan Liya exam. Papa doakan anak-anak papa dapat menjawab soalan dengan mudah dan tepat. Buat yang terbaik,” kata Datuk Hashim dengan penuh semangat. Aliya hanya mengangguk perlahan tanpa memandang wajah Datuk Hashim mahupun Afiyah. Afiyah sekadar tersenyum hambar.

Cepat lah masa berlalu.

*****

Aliya hanya memandang dari jauh Afiyah yang sedang leka dengan bukunya itu. Dia mengeluh perlahan.

Jauh sangat ke aku terpesong?

Tanpa sedar kakinya sudah bergerak melangkah menghampiri gadis itu. Afiyah hanya memandang gadis yang sedang menarik kerusi di hadapannya itu. Aliya membalas pandangan gadis itu tanpa berkata apa-apa. Afiyah menarik nafas dalam. Dia menutup bukunya sambil bersandar tenang pada kerusinya.

“Siapa sebenarnya yang mulakan semua ini?” soal Aliya tenang. Afiyah membisu tidak menjawab. Cuma pandangannya masih ke arah Aliya.

“Dulu masa papa beritahu yang dia akan bawa Fiyah tinggal bersama, jujur Liya rasa memang gembira. Walaupun Liya tahu Fiyah anak kepada isteri lain papa. Tapi Liya tetap rasa teruja nak jumpa Fiyah. Liya memang marah Fiyah dan mama Fiyah. Tapi rasa marah itu tak sekuat perasaan Liya perlukan Fiyah sebagai ahli keluarga Datuk Hashim. Nampaknya penerimaan Fiyah tidak seperti yang Liya jangkakan. Memang tak sangka. Rupanya benci dan dendam Fiyah lebih kuat daripada Liya. Kalau Fiyah terluka dengan apa yang berlaku dalam keluarga kita, begitu juga Liya. Tapi kita tak boleh salahkan papa sepenuhnya. Dah takdir papa ada dua orang isteri,” sambung Aliya panjang lebar. Afiyah menarik nafas dalam.

“Liya minta maaf. Maaf sebab dah buat Fiyah hampir gagal subjek Ms.Hazel. Maaf sebab dah kutuk dan maki Fiyah selama ini. Maaf juga sebab Liya tak hormat dengan arwah mama Fiyah. Maaf sebab dah…, dah buat Fiyah terperangkap dengan Eij,” kata Aliya dengan nada sebak. Dia tunduk mengenggam erat jemarinya.

“Kalau kau anggap aku adalah penyebab utama semua masalah ini berlaku, aku minta maaf. Papa tinggalkan aku dan mama tanpa sebarang berita. Papa gantung mama tak bertali. Hanya duit yang masuk ke akaun mama setiap bulan tanpa pernah melihat si pengirimnya. Hati aku sakit Liya. Sebab itu aku berdendam dengan keluarga ini. Papa muncul semula dan dengan mudahnya minta maaf. Seperti tidak ada apa-apa yang berlaku,” balas Afiyah perlahan tanpa memandang gadis itu.

“Aku bukan tak berusaha Liya. Sekarang ini pun aku sedang belajar untuk menerima semula papa yang aku dah anggap tak ada. Yes, aku tahu. Aku, kau, papa dan our mom memang terluka dengan apa yang berlaku. Aku tak sepatutnya pentingkan diri sendiri,” sambung Afiyah sambil tersenyum hambar memandang gadis itu. Aliya tunduk. Air mata yang sedari tadi ditahan akhirnya menitis perlahan.

“Mungkin kita perlu mulakan hidup baru,” kata Afiyah sambil mula menghulurkan tangannya perlahan. Aliya mengangkat wajahnya memandang gadis itu. Perasaannya berbaur. Namun dia tetap menyambut huluran Afiyah.

“Belum terlambat rasanya aku perkenalkan diri. Ainun Afiyah,” kata Afiyah sambil tergelak kecil. Aliya ikut tergelak sambil mengesat air matanya.

“Aira Aliya. Panggil Liya aje,” balasnya. Kedua-duanya tergelak lucu.

“Ehem,” tegur pustakawan yang sudah berdiri tidak jauh dari mereka.

“Sorry,” ucap Afiyah. Dia memandang Aliya.

“Kau boleh berambus tak? Aku nak study ini,” katanya sengaja mengusik gadis itu. Bulat mata Aliya mendengar usikan gadis itu.

“Jumpa kat rumah,” katanya dengan senyuman sebelum bangun untuk berlalu. Afiyah hanya tersenyum memandang langkah gadis itu. Dadanya terasa lapang.

Ya Allah, terima kasih.

*****

Suha tersenyum mendengar cerita Aliya. Dia mengucap syukur dalam hati.

“Aku rasa lega sangat. Aku tak sangka yang Fiyah boleh maafkan aku,” kata Aliya dengan senyuman. Walaupun lega namun jauh di sudut hatinya perasaan bersalah itu masih menebal menghantuinya.

“Tapi Rina masih tak puas hati. Banyak sangat yang Liya rahsiakan dari kami selama ini. Pasal Liya dan Eijaz. Kalau Rina tak sengaja dengar perbualan Liya dan Eij hari itu sampai bila-bila Rina tak tahu. Yang paling buat Rina sakit dada ialah cerita kau, Fiyah dan Eij. Dah macam cerita drama kat Tv3,” kata Rina separuh menyindir. Aliya tersenyum hambar mendengar sindiran sahabatnya itu. Suha hanya tergelak kecil.

“Maaf. Aku sebenarnya tak berniat nak rahsiahkan dengan korang. Tapi…” Aliya berhenti meneruskan kata-katanya. Suha menyentuh bahu gadis itu. Aliya menarik nafas dalam.

“Tak apa, itu hak kau. Tapi next time kau jangan pendam seorang. Kau ada aku dan Rina. Kita dah berkawan lama Liya. Susah senang kita lalui bersama selama ini,” katanya cuba menenangkan gadis itu. Rina menarik jemari gadis itu.

“Sorry kalau aku dah terlebih. Kami sayangkan kau Liya. Kami percayakan kau. Kami nak sangat kau pun boleh lakukan perkara yang sama. Tak ada maknanya kawan kalau susah senang tak mampu bersama,” katanya dengan senyuman. Aliya tersenyum dengan perasaan terharu.

Kenapa aku pentingkan diri sendiri aje selama ini…?

“Aku minta maaf. Kita ikut cakap Fiyah. Kita mulakan hidup baru,” katanya sambil menghulurkan kedua-dua tangannya. Rina dan Suha menyambut huluran tersebut.

“Okay. Tapi tahun baru lama lagi kan,” gurau Rina.

“Rina,” bulat mata Suha memandang gadis itu. Aliya tergelak kecil diikuti oleh Rina dan Suha.

*****

Afiyah menghampiri lelaki yang sedang berdiri membelakanginya itu. Dia berdehem perlahan. Dahin berpaling memandang gadis itu.

“Hai,” ucapnya.

“Yes. Kenapa sampai nak jumpa? Tak ada telefon?” tanya Afiyah separuh memerli. Dahin menarik nafas perlahan.

“Saya bukan nak masuk campur hal awak dan Daf. Saya cuma…”

“Wait. Daffa?” soal Afiyah dengan kening berkerut.

“Semalam Daf ada call saya. Dia tanya pasal awak,” beritahu Dahin tenang. Afiyah terdiam sejenak.

“Macam mana awak boleh berkawan dengan Daf?” soalnya dengan rasa tidak puas hati.

“Lagi satu, apa yang awak tahu pasal saya dan Daf? Daf mengadu dengan awak ke?” Belum sempat Dahin menjawab Afiyah sudah menyambung soalannya semula.

“Semuanya bermula sejak pertama kali Daf datang hari itu. Dia bukannya mengadu tapi mengeluh. Dia tak berhenti salahkan diri sebab tinggalkan Fiyah. Daf sangat sayangkan awak, Fiyah. Sebagai lelaki saya sendiri boleh lihat betapa cintanya dia pada awak,” jawab Dahin sambil memandang tepat wajah gadis itu. Dadanya terasa pedih tertusuk dengan kata-kata sendiri. Afiyah tersenyum sinis.

“So, selama ini awak tahu lah yang Daim Daffa itu siapa? Awak tahu yang dia akan datang semula hari itu?” soalnya dengan wajah berang.

“Fiyah…” Dahin hilang kata-kata untuk menjawab.

“Awak bantu dia untuk buat luka dalam hati saya ini berdarah semula Dahin. Rupanya dia lelaki yang awak maksudkan. Saya baru aje nak berkawan dengan awak. Tapi awak dah buat hal. Saya dan dia…, it’s over. Saya dah move on. Boleh tak beri saya peluang untuk bernafas dulu? Saya letih lah dengan semua ini,” balas Afiyah dengan perasaan geram bercampur sebak. Dia meraup wajahnya perlahan. Terbayang semula wajah sayu Daffa di matanya.

“Maaf. Dahin tak bermaksud nak…”

“Sudah lah Dahin. Saya tak nak cakap benda ini lagi. Kepala saya dah cukup pening dengan perangai Eij. Sekarang ini awak dan Daf pula buat hal!” potong Afiyah dengan nada keras sebelum melangkah masuk ke dalam rumah meninggalkan Dahin seorang diri di halaman rumah. Dahin menarik nafas dalam sebelum turut beredar. Aliya yang sedang berdiri di balkoni biliknya sedari tadi turut melepaskan keluhan. Dia mendengar dengan jelas perbualan kedua-duanya sebentar tadi. Aliya meraup wajahnya perlahan.

Maafkan aku Fiyah.

*****

Datuk Hashim memandang Aliya yang baru sahaja mengambil tempat di sebelahnya.

“Fiyah itu ada masalah ke?” soalnya pada Aliya. Dia agak bimbang melihat wajah tegang Afiyah selepas bertemu dengan Dahin sebentar tadi.

“Liya tak pasti pa. Nanti Liya tanya dia,” balas Aliya dengan senyuman hambar. Datuk Hashim mengangguk tersenyum.

“Papa,” panggil Aliya lembut sambil memandang Datuk Hashim.

“Liya nak minta maaf dengan papa. Liya dah banyak buat dosa kat papa,” ucapnya dengan perasaan bersalah. Terbayang semula sikapnya yang biadab dengan sengaja memaki hamun Afiyah di hadapan papanya seperti gadis itu bukan darah daging papanya. Datuk Hashim menyentuh bahu gadis itu.

“Liya, papa tak pernah ambil hati pun. Papa tahu anak-anak papa marahkan papa bersebab. Dan puncanya daripada papa sendiri. Papa memang bukan papa yang baik. Tapi papa sentiasa akan lakukan yang terbaik untuk anak-anak papa. Sepatutnya papa yang perlu minta maaf dengan Liya dan Fiyah. Maafkan papa,” balas Datuk Hashim dengan perasaan bersalah. Aliya pantas menggeleng.

“Bagi Liya, papa adalah papa yang terbaik. Tak ada orang yang boleh ganti tempat papa. Liya sentiasa berdoa supaya Allah panjangkan umur papa. Liya dan Fiyah perlukan papa sampai bila-bila,” katanya dengan perasaan sebak. Datuk Hashim tersenyum menyentuh lembut ubun kepala gadis itu.

Alhamdullilah. Syukur ya Allah.



Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.