Dahin mencekak leher baju lelaki itu. Beberapa orang pelajar mula memerhati. Eijaz tersenyum sinis membalas pandangan lelaki itu.
“Kau atau aku yang tak waras sekarang ini?” soalnya sambil menolak tubuh lelaki itu dengan kasar sehingga pegangan tangan Dahin terlerai dari bajunya.
“Apa maksud kau hah?!” balas Dahin dengan nada keras.
“Dulu kau rampas Liya daripada aku. Sekarang kau nak Fiyah pula? Kau lebih keji daripada aku, Dahin!” balas Eijaz juga dengan nada keras. Dahin terkedu.
Aku rampas Liya?
“Bila masa pula aku rampas Liya? Kau jangan cuba cari kesalahan aku pula. Kau dengar sini Eijaz. Kalau kau berani nak teruskan rancangan bodoh kau itu, aku akan pastikan yang Fiyah akan jadi milik aku dulu,” balas Dahin dalam nada tegas. Eijaz merenung tajam lelaki di hadapannya itu sambil menggenggam penumbuknya.
“Dahin!” panggil satu suara. Kedua-duanya serentak berpaling menoleh. Berkerut kening Aliya memandang kedua-dua lelaki itu. Eijaz tersenyum sinis.
“Kau tak percaya? Cuba tanya Liya kenapa dia tak pilih kau untuk tarik perhatian Fiyah sedangkan kalau difikir logik, sepatutnya dia minta tolong dengan kau sebagai sahabatnya dan bukan dengan aku yang dulu kekasihnya,” katanya dengan nada agak kuat dengan harapan Aliya mendengarnya. Dahin terkedu sekali lagi. Eijaz berlalu meninggalkan kedua-duanya apabila melihat kelibat Suha yang berdiri tidak jauh memerhatikan mereka. Dahin menoleh memandang Aliya. Berkerut kening Aliya membalas pandangan lelaki itu. Dia turut hilang kata-kata untuk membalas.
*****
Afiyah mengeluh perlahan melihat nama yang tertera pada skrin telefon bimbitnya. Dia menarik nafas dalam sebelum menekan punat hijau.
“Fiyah,” panggil Daffa separuh berbisik. Afiyah terdiam sejenak. Dia kenal Daffa sudah lama. Dari suara lelaki itu saja dia dapat merasakan ada sesuatu yang berlaku dengan lelaki itu.
“Daf minta maaf. Kali ini,…” Daffa berhenti sejenak. Afiyah agak berdebar menanti ayat seterusnya daripada lelaki itu.
“Daf lepaskan Fiyah. Lepas ini, Daf janji tak akan ganggu hidup Fiyah lagi. Daf janji,” sambung Daffa dengan suara yang sangat perlahan. Dia menekan punat merah tanpa memberi peluang kepada gadis itu untuk membalas. Afiyah terkedu. Dia merenung telefon bimbitnya dengan perasaan berbaur.
“Fiyah,” tegur Datuk Hashim sambil menarik kerusi di hadapan gadis itu. Afiyah hanya tersenyum hambar membalas pandangan papanya itu.
“Fiyah okay?” soal Datuk Hashim apabila melihat wajah gadis itu yang kelihatan agak pucat.
“Okay pa. Why pa?” soal Afiyah pula sambil meletakkan telefon bimbitnya di atas meja.
“Aunty Erma call tadi. Esok mereka nak datang. Nak merisik Fiyah,” beritahu Datuk Hashim dengan perasaan agak berdebar. Dia risau reaksi yang akan ditunjukkan oleh gadis itu. Afiyah menarik nafas dalam dan melepaskannya perlahan.
“Papa tak kisah apa keputusan Fiyah. Itu hak Fiyah,” kata Datuk Hashim lagi.
“I’m sorry pa. Keputusan Fiyah tetap sama. Fiyah tolak lamaran Eij,” balas Afiyah dengan nada tegas.
“Kalau Eij berkeras nak datang, malam ini juga Fiyah balik Melaka,” sambung Afiyah dengan kening yang berkerut.
“Fiyah nak balik?” soal Datuk Hashim agak terkejut.
“Nak lawat mama,” jawab Afiyah ringkas tanpa memandang wajah orang tua itu. Datuk Hashim mengangguk perlahan.
“Lama ke Fiyah kat sana?” soalnya agak berat hati untuk melepaskan gadis itu.
“Tak tahu lagi. Memang cadang nak duduk lama. Papa tak payah risau. Fiyah dah cukup besar nak jaga diri sendiri,” jawab Afiyah dengan senyuman. Datuk Hashim menarik nafas dalam.
“Papa tak kisah kalau Fiyah nak balik. Cuma papa tak nak Fiyah terus tinggal kat sana. Sekarang ini Fiyah dah jadi tanggungjawab papa. Lagipun papa dah janji dengan arwah mama nak jaga Fiyah,” katanya dengan perasaan sebak. Afiyah diam membisu mendengar kata-kata papanya itu.
“Pasal lamaran Eij, papa akan bincang dengan keluarga Eij tentang perkara ini. Fiyah tak payah risau. Memang papa tahu sebelum ini tentang hubungan Eijaz dan Liya. Papa dah tanya perkara ini dengan Liya. Liya kata mereka dah lama putus. Papa tak sokong sesiapa Fiyah. Tidak Liya, Fiyah ataupun Eijaz yang papa dah anggap macam anak sendiri. Kamu semua dah cukup dewasa untuk buat keputusan sendiri,” nasihat Datuk Hashim dengan panjang lebar. Afiyah hanya tersenyum hambar membalas pandangan papanya itu.
“Pa, Fiyah nak minta tolong papa,” katanya dengan perasaan agak serba salah.
“Boleh Fiyah. Nak papa tolong apa?” soal Datuk Hashim agak berdebar. Afiyah menarik nafas dalam.
*****
Eijaz berjalan menghampiri mama dan papanya yang berada di ruang tamu. Dia agak berdebar melihat wajah serius kedua-duanya.
“Kenapa ma?” soalnya sambil mengambil tempat di hadapan kedua ibu bapanya itu. Puan Sri Erma mengeluh perlahan. Dia menoleh memandang suaminya yang masih membisu.
“Eij dah bersedia nak jadi suami orang?” soal Tan Sri Fakrul dengan wajah seriusnya. Eijaz tersenyum.
“Yes pa. Eij janji akan jadi suami yang terbaik untuk Fiyah,” balasnya dengan penuh yakin.
“Liya,” celah Puan Sri Erma. Senyuman Eijaz perlahan menghilang.
“Maksud mama?” keningnya berkerut membalas pandangan wanita itu.
“Uncle Shim hanya akan terima lamaran untuk Liya. Bukan Fiyah,” beritahu Puan Sri Erma dengan nada agak perlahan. Eijaz terkedu.
“Papa malu dengan uncle Shim. Kali ini Eij suka tak suka papa tetap akan merisik bagi pihak Eij. Tapi bukan dengan Fiyah tapi Liya. Keputusan papa muktamad!” celah Tan sri Fakrul dengan nada keras sebelum bangun dari sofa dan terus berlalu keluar dari rumah. Eijaz tersandar lemah di atas sofa. Puan Sri Erma mengeluh lagi.
“Maafkan mama Eij. Kali ini mama tak dapat bantu Eij. Uncle Shim kata sekarang ini dia cuma terima lamaran untuk Liya. Papa pula dah setuju nak pinang Liya untuk Eij,” beritahunya perlahan simpati melihat wajah kecewa anak lelakinya itu.
“Ma…” balas Eijaz dengan suara serak.
“I’m sorry,” ucap Puan Sri Erma dengan perasaan bersalah. Eijaz meraup wajahnya.
“Eij nak jumpa uncle Shim,” katanya sebelum bangun dari sofa.
“Tapi Eij…” Puan Sri Erma tidak sempat menghabiskan ayatnya apabila Eijaz lebih pantas berlalu. Dia melepaskan keluhan berat.
*****
“Kau tahu tak yang Eij nak pinang Fiyah?” soal Dahin dengan nada tegas saat panggilannya bersambung dengan lelaki itu. Daffa menarik nafas dalam.
“Kau dengar tak?” soal Dahin lagi.
“Eijaz?” soal Daffa semula dengan nada agak sayu. Dahin menggeleng perlahan.
“Yes Eijaz. Fiyah akan dipinang orang tapi kau langsung tak nak buat apa-apa?” soal Dahin lagi agak tidak berpuas hati dengan reaksi lelaki itu.
“Terima kasih sebab beritahu aku. Tapi aku dah tak ada apa-apa dengan Fiyah,” balas Daffa dengan nada perlahan. Berkerut kening Dahin mendengar kata-kata lelaki itu.
“Kau yakin ke?” soalnya masih ragu-ragu dengan kenyataan Daffa.
“Perlu ke aku jawab soalan itu?” tanya Daffa semula kini dengan nada agak keras. Giliran Dahin pula yang terdiam.
“Aku tak kenal siapa Eijaz itu. Tapi aku harap dia boleh sayang Fiyah lebih baik daripada aku. Fiyah sangat istimewa Dahin. Aku memang tak nak kehilangan dia. Tapi kalau memang dah tak ada jodoh antara aku dan dia, aku kena redha,” sambung Daffa dengan perasaan kecewa. Sakit hatinya hanya Allah yang tahu. Dahin menarik nafas dalam mendengar kata-kata lelaki itu.
“Sorry,” ucapnya perlahan. Dia tidak tahu kenapa perlu dia minta maaf dengan Daffa. Namun hatinya degil ingin mengucapkan kata maaf itu. Daffa tersenyum hambar.
“Aku nak minta tolong lagi Dahin. Tolong sampaikan salam dan ucapan tahniah aku buat Fiyah. Tolong beritahu Fiyah juga yang aku tumpang gembira dengan kebahagiaannya,” pesan Daffa dengan perasaan sebak. Kini dia memang sudah tidak ada pilihan lain selain melepaskan gadis itu dari hatinya. Bukan sesuatu yang mudah baginya untuk melupakan Ainun Afiyah.
“Aku akan sampaikan,” balas Dahin perlahan dengan perasaan serba salah.
“Thank’s bro,” ucap Daffa sebelum menekan punat merah. Dia melepaskan keluhan berat.
Fiyah, selamat tinggal sayang. Daf doakan Fiyah bahagia dengan dia.
Bisik hatinya yang pilu.
*****
Datuk Hashim menarik nafas berat membalas pandangan Eijaz. Dia mengerling jam pada tangannya yang sudah menunjukkan tepat jam sepuluh malam.
“Maaf kalau Eij datang ini ganggu uncle,” ucap Eijaz perlahan.
“Tak apa. Betul Eij tak nak masuk?” soal Datuk Hashim separuh mengajak. Eijaz menggeleng dengan senyuman hambar.
“Eij datang ini sebab Liya atau Fiyah?” soal Datuk Hashim tanpa bertapis lagi. Eijaz agak terkedu mendengar soalan orang tua itu. Dia memang rapat dengan Datuk Hashim sejak kecil. Namun selepas pemergiannya ke luar negara, hubungan mereka menjadi renggang. Walaupun dia telah kembali semula, namun dia sudah agak jarang bertemu dan berbual dengan lelaki yang telah dianggapnya seperti ayahnya sendiri.
“Uncle minta maaf Eij. Uncle sayang anak-anak uncle lebih daripada nyawa uncle sendiri. Uncle pun tak nak ada orang yang kecewakan anak-anak uncle. Apatah lagi orang itu adalah kamu. Kamu tahu kan yang uncle baru saja bertemu dengan Fiyah. Keluarga uncle baru saja kembali bersatu dan uncle tak nak hubungan itu kembali retak macam dulu,” sambung Datuk Hashim panjang lebar dalam nada yang agak tegas. Eijaz menarik nafas dalam.
“Eij tahu uncle. Eij pun tak nak perkara itu berlaku. Eij minta maaf kalau Eij dah lukakan Liya dan Fiyah. Eij juga minta maaf dengan uncle sebab dah hilangkan kepercayaan uncle. Eij…” Eijaz berhenti sejenak. Dadanya terasa sebak. Datuk Hashim diam menunggu ayat seterusnya keluar dari mulut pemuda itu. Walaupun dia kecewa dengan sikap lelaki itu namun dia yakin mesti ada sebab mengapa Eijaz bertindak sedemikian. Dia sudah lama mengenali Eijaz Elman. Lelaki itu tidak akan bertindak tanpa sebab yang kukuh.
“Eij batalkan rancangan Eij nak pinang Fiyah. Jika ini yang terbaik untuk semua orang, maka ia adalah keputusan yang tepat. Eij minta maaf sekali lagi uncle. Eij tak bermaksud nak sakitkan hati sesiapa pun. Maafkan Eij sebab pentingkan diri sendiri,” sambung Eijaz sambil tunduk menggenggam erat jari jemarinya. Datuk Hashim melepaskan keluhan berat.
Fiyah, papa dah tunaikan permintaan Fiyah. Jangkaan papa tepat. Eij sentiasa akan mengalah pada orang yang disayanginya.
Bisik hati kecilnya. Dia agak simpati melihat wajah sedih lelaki itu.
*****
Suha menghampiri Afiyah yang sedang termenung di balkoni biliknya. Gadis itu memutuskan untuk bermalam dirumahnya pada malam itu.
“Jadi ke Fiyah nak balik?” soalnya perlahan. Dia memandang lama wajah kosong gadis itu. Afiyah hanya mengangguk perlahan tanpa membalas pandangan gadis itu. Suha menarik nafas perlahan.
“Eij macam mana?” soalnya agak berdebar. Takut andai soalannya boleh mengguris perasaan gadis itu. Afiyah menarik nafas dalam.
“Sorry,” ucap Suha pantas. Afiyah menggeleng dengan senyuman hambar. Dia membalas pandangan gadis itu.
“Saya tak boleh terima dia Suha. Saya minta kat papa supaya terima pinangan untuk Liya aje. Saya tahu Eij akan batalkan rancangannya sebab dia rapat dengan papa,” beritahunya dengan senyuman.
“Liya macam mana?” soal Suha dengan kening berkerut. Afiyah mengangkat bahu tanda tidak tahu.
“Maknanya Liya tak tahu lagi permintaan Fiyah itu?” soal Suha tidak berpuas hati. Afiyah mengangguk tersenyum. Suha menggeleng perlahan.
“Fiyah tak menyesal?” tanya Suha lagi mahu melihat reaksi gadis itu. Senyuman Afiyah menghilang.
“Maksud?” soalnya pula.
“Tak menyesal tolak pinangan Eij?” tanya Suha kini lebih jelas.
“Nak buat apa menyesal. Saya bukannya ada apa-apa dengan mamat itu,” balas Afiyah dengan kening berkerut.
“Sikit pun tak ada?” soal suha dengan senyuman nakal. Afiyah menggigit bibir geram.
“Tak ada!” jawabnya dengan nada tegas. Suha tergelak besar. Afiyah menepuk kuat bahu rakannya itu.
“Jahat!” katanya dengan kening berkerut.
“So, kalau bukan Eij, Dahin?” soal Suha masih mahu menyakat gadis itu.
“Suha!” bulat mata Afiyah memandang gadis itu. Suha tergelak lagi.
*****
Dahin bersandar tenang pada kepala katilnya. Fikirannya menerawang jauh mengingat semula kata-kata Eijaz.
“Dulu kau rampas Liya daripada aku. Sekarang kau nak Fiyah pula? Kau lebih keji daripada aku Dahin!”
Dahin menarik nafas berat.
Aku tak pernah rampas Liya daripada kau!
Bentak hatinya dengan perasaan geram. Dahin meraup wajahnya. Dia menoleh memandang telefon bimbit yang terletak di atas meja bersebelahan dengan katilnya. Dahin mengeluh perlahan sebelum mengambil keputusan untuk mencapai telefon tersebut. Dia mendail nombor Aliya. Agak lama dia menunggu sebelum panggilannya bersambut.
“Ya Dahin?” soal Aliya di talian sebelah.
“Liya…, kenapa Liya tak minta tolong dengan Dahin hari itu? Kenapa mesti Eij?” soalnya bertalu dengan perasaan tidak puas hati. Aliya terdiam mendengar soalan lelaki itu.
“Dahin tak pernah rampas Liya daripada Eijaz,” sambung Dahin dalam nada tegas.
“Hari itu Dahin ada tak tanya Liya pasal ini? Ada offer diri nak ganti Eij?” soal Aliya tanpa menjawab. Dahin terdiam mendengar soalan gadis itu.
“Tapi Liya beritahu Dahin bila Eij dah mulakan semuanya. Itu salah Dahin ke?” soalnya dengan perasaan berbaur. Aliya menarik nafas dalam.
“I’m sorry. Semua yang berlaku memang salah Liya. Salah faham antara kita juga berpunca daripada Liya. Sorry Dahin,” ucapnya dengan perasaan sebak. Dahin menarik nafas berat.
“No, it’s okay,” balasnya dengan nada perlahan sebelum menekan punat merah. Aliya mengeluh perlahan masih memandang telefon bimbitnya. Dia tidak menyangka hubungan rapatnya dengan lelaki itu turut disalah ertikan oleh Eijaz. Aliya meraup wajahnya. Sebentar tadi Eijaz datang dan berbual panjang dengan papanya. Dia tidak dapat meneka apa yang dibualkan oleh kedua-dua lelaki itu. Namun dia pasti tentu ada kaitan dengan pinangan Eijaz. Aliya mengeluh lagi. Walaupun jauh di sudut hatinya masih tersimpan rasa tidak mahu kehilangan lelaki itu, namun kini dia nampaknya perlu membuang sisa-sisa perasaan itu untuk mulakan hidup baru. Dia kena terima hakikat yang Eijaz Elman bukan miliknya lagi.