Home Novel Cinta pilihan terakhir
Bab 32

3 Tahun kemudian

Puan Sri Erma memandang sahaja anak lelakinya yang sedang menarik kerusi di hadapannya. Eijaz menghadiahkan senyuman manis kepada wanita itu.

“Papa mana ma?” soalnya sambil mencapai cawan.

“Keluar dengan uncle Shim,” beritahu Puan Sri Erma. Eijaz hanya mengangguk tidak bertanya lagi. Puan Sri Erma mengeluh dalam diam. Sejak anak lelakinya itu kembali seminggu yang lalu, Eijaz langsung tidak bertanya apa-apa mengenai Aliya mahupun Afiyah.

Anak aku ini dah ada calon lain ke?

Bisik hati Puan Sri Erma agak risau.

“Esok Eij dah start masuk office. Mama itu tak payah lagi masuk office. Duduk aje kat rumah,” beritahu Eijaz separuh mengarah.

“Tak nak rehat dulu? Eij kan baru aje balik. Tak keluar jumpa kawan-kawan? Jumpa Liya ke,” balas Puan Sri Erma sengaja menekan kuat nama Aliya agar lelaki itu mendengarnya. Eijaz tersenyum menggeleng.

“No ma. Banyak benda lagi yang Eij nak kena belajar daripada papa. Eij tak nak buang masa,” jawabnya sebelum bangun dari kerusinya.

“Dah kenyang?” soal Puan Sri Erma dengan kening berkerut.

“Nak mandi. Tak selesa dengan badan melekit,” balas Eijaz dengan senyuman sebelum beredar. Puan Sri Erma menggeleng perlahan.

Nak larikan diri lah itu.

*****

Daffa terkaku di tempatnya saat melihat gadis tinggi lampai yang sangat dikenalinya itu sedang berjalan menarik bagasinya. Langkah Afiyah turut terhenti. Dia terkedu. Kedua-duanya saling berpandangan tanpa bicara. Tanpa sedar Daffa melangkah perlahan menghampiri. Kini wajah gadis itu benar-benar di hadapannya. Afiyah tersenyum hambar.

“Daf, tak sangka jumpa awak kat sini,” katanya agak berdebar kerana sudah lama tidak bertemu dengan lelaki itu. Daffa tersenyum mengangguk.

“Fiyah apa khabar?” soalnya dengan senyuman. Benar lah kata orang. Cinta pertama itu adalah cinta yang sukar untuk dilupakan.

“I’m fine. Oh ya, tahniah untuk awak. Saya tak terlambat lagikan?” ucap Afiyah dengan senyuman.

“Thank you,” balas Daffa turut membalas senyuman gadis itu.

“Fiyah,” tegur satu suara. Afiyah dan Daffa serentak menoleh. Brenda tersenyum berjalan menghampiri sambil mendepangkan tangannya ke arah Afiyah.

“Mom!” balas Afiyah separuh menjerit. Dia memeluk erat wanita itu dengan perasaan sebak. Brenda tersenyum sambil mengucup pipi gadis itu.

“Sihat?” tanyanya sambil membelek wajah gadis itu. Afiyah tergelak kecil sambil mengangguk.

“Alhamdullillah. Jom, mom dah masak makanan kegemaran Fiyah kat rumah. Papa dan Liya pun dah lama sampai dari Johor,” beritahu Brenda sambil menarik lengan gadis itu. Tingkahnya terhenti apabila terpandang Daffa yang masih berdiri memerhatikan mereka.

“Apa khabar?” tanya Daffa dengan senyuman. Dia kenal dengan wanita itu. Wanita yang sentiasa ada ketika susah dan senang Afiyah dan arwah ibunya.

“Aunty sihat. Maaf tak dapat datang majlis Daf hari itu. Datang lah rumah. Bawa ibu kamu sekali,” ajak Brenda dengan senyuman.

“Insya Allah aunty,” balas Daffa sambil mengerling Afiyah yang hanya tersenyum memandangnya.

“Kami balik dulu,” kata Afiyah sebelum mula melangkah untuk berlalu. Daffa hanya tersenyum mengangguk dengan perasaan berbaur.

*****

Aliya menolak pintu bilik Afiyah yang tidak berkunci.

“Boleh I masuk?” tanyanya separuh mengusik. Afiyah yang sedang menyusun alatan soleknya berpaling menoleh. Dia mencebik apabila melihat wajah tersengih Aliya.

“Masuk lah kalau tak malu,” jawabnya turut mengusik. Aliya tergelak besar sambil melangkah masuk.

“So?” soalnya sambil menarik kerusi yang berhampiran dengan gadis itu. Berkerut kening Afiyah membalas pandangan Aliya.

“So? What?” soalnya pula tidak faham akan maksud gadis itu. Aliya tergelak kecil.

“Jumpa ke mat salleh idaman masa kat sana?” soalnya agak teruja.

“Ada, tapi tak nak ikut balik. So, Fiyah tinggalkan kat sana,” jawab Afiyah selamba. Aliya sudah tergelak besar.

“Gelak pula dia. Liya itu pula macam mana? Dah ada calon ke?” soalnya separuh menyindir.

“Tak ada orang nak,” balas Aliya sengaja merendahkan nada suaranya.

“Liya itu yang memilih,” kata Afiyah sambil turut menarik kerusi berdepan dengan gadis itu.

“Bukan Fiyah ke yang memilih?” soal Aliya separuh mengusik. Afiyah tergelak kecil.

“Mesti lah. Kalau tak, merana nanti tak berguna,” jawabnya dengan nada tegas.

“Takutnya,” balas Aliya sambil menunjukkan reaksi ketakutan. Afiyah menepuk lembut paha gadis itu yang terdedah.

“Nakal,” katanya sebelum tergelak diikuti oleh Aliya. Datuk Hashim yang kebetulan ingin turun ke tingkat bawah tersenyum lebar mendengar gelak tawa kedua-dua gadis itu.

Syukur, ya Allah. Alhamdullillah.

*****

“Shim call tadi beritahu yang Fiyah dah sampai,” beritahu Puan Sri Erma sambil memandang Eijaz yang sedang leka menjamu selera.

“Alhamdulillah. Abang ingat nak ke rumah Shim selepas mereka balik nanti,” balas Tan Sri Fakrul.

“Saya setuju bang. Lagipun dah lama sangat tak jumpa Fiyah. Mesti Fiyah dah semakin cantik sekarang ini. Saya dengar Fiyah akan ganti Shim? Betul ke?” soal Puan Sri Erma ingin tahu.

“Abang pun dengar macam itu. Lagipun Liya itu dah buka cawangan baru untuk kedai bunganya. So, tak ada masa nak tolong Shim,” jawab Tan Sri Fakrul.

“Nampaknya Eij kena bersiap sedia. Papa dengar masa kat Aus, Fiyah berjaya buka satu cawangan baru syarikat nendanya. Papa memang bangga dengan Fiyah. Tak semua orang berjaya dalam usia yang sangat muda dan tanpa pengalaman pula itu. Tapi kalau memang orang itu suka belajar dan berani mengambil risiko memang dia akan naik dulu,” puji Tan Sri Fakrul sambil memandang Eijaz yang hanya tersenyum mendengar kata-katanya tanpa membalas. Puan Sri Erma menggeleng perlahan melihat telatah anak lelakinya itu.

*****

Datin Isnawiyah menghampiri Daffa yang sedang duduk termenung di halaman rumah. Sejak sampai lelaki itu kelihatan lebih banyak mendiamkan diri.

“Daf,” sapanya lembut. Daffa menoleh tersenyum memandang wanita itu.

“Kenapa ini? Gaduh dengan Dayana?” soal Datin Isnawiyah sambil menarik kerusi di hadapan lelaki itu.

“Tak lah. Kami okay,” balas Daffa. Fikirannya menerawang mengingatkan tunangnya yang kini berada di Itali kerana kerjayanya sebagai pramugari.

“Dah call Yana beritahu yang Daf dah sampai?” tanya Datin Isnawiyah lagi.

“Tak sempat,” balas Daffa dalam nada perlahan. Datin Isnawiyah terdiam mendengar jawapan lelaki itu.

“Mama dengar Fiyah dah balik. Daf ada terserempak Fiyah kat airport?” soalnya agak serba salah. Daffa menggeleng tanpa berkata apa-apa. Datin Isnawiyah menarik nafas dalam.

“Boleh mama tanya?” Daffa membalas pandangan wanita itu menunggu ayat seterusnya.

“Daf masih sayangkan Fiyah?” soal Datin Isnawiyah seiring dengan debaran di dada. Daffa agak terkedu mendengar soalan wanita itu. Lidahnya kelu.

“Maafkan mama Daf,” ucap Datin Isnawiyah dengan perasaan bersalah. Hampir setahun dia tidak bertemu dengan Daffa disebabkan lelaki itu merajuk dengannya setelah tahu mengenai cerita sebenar. Apabila lelaki itu kembali, dia membawa Dayana sekali dan memberitahu mereka yang dia mahu mengikat tali pertunangan dengan Dayana. Selepas bertunang, lelaki itu kembali semula ke London. Setelah dua tahun berlalu, baru lah lelaki itu kembali semula. Dia tahu lelaki itu masih merajuk dengannya. Jika tidak tentu dua tahun yang lalu Daffa sudah mengambil keputusan untuk menetap di Malaysia dan tinggal bersama mereka.

“Cerita lama, Daf dah tak nak ungkit. Daf dah lama maafkan mama,” balas Daffa dengan senyuman hambar. Tiga tahun yang lalu adalah saat di mana dia berusaha sedaya upaya merawat hatinya. Sehingga saat ini, walaupun dia berjaya merawat hatinya namun seraut wajah gadis itu tidak pernah hilang dalam memorinya. Biar lah ia jadi kenangan yang paling terindah dalam hidupnya. Pernah memiliki gadis itu suatu ketika dulu adalah saat bahagia buat dirinya. Datin Isnawiyah mengangguk perlahan. Walaupun dia masih kurang yakin namun dia percaya Daffa seorang yang pemaaf.

*****

Dahin berdiri tenang memandang pemandangan kota melalui dinding kaca pejabatnya. Aliya ada menghubunginya memberitahu yang Afiyah sudah kembali. Dahin menarik nafas berat. Ingatkah lagi gadis itu kepadanya?. Walaupun dia tidak pernah menghubungi Afiyah namun segala aktiviti gadis itu diketahuinya melalui Aliya dan Suha. Dia agak berdebar menunggu kepulangan Afiyah. Menurut Aliya, mereka akan kembali ke Johor pada minggu hadapan.

“Dahin, jom lunch dengan papa,” tegur Datuk Jamal yang sedang berdiri di muka pintu biliknya. Dahin berpaling sambil tersenyum membalas pandangan papanya itu.

“Muka itu papa tengok berseri semacam aje. Ada apa-apa ke?” tanya Datuk Jamal separuh mengusik. Dahin tergelak kecil sambil berjalan menghampiri Datuk Jamal.

“Tak lah papa. Jom,” balasnya sambil menepuk lembut bahu papanya.

“Papa nak dapat menantu agaknya,” usik Datuk Jamal sambil mula melangkah. Dahin hanya tersenyum penuh makna mendengar kata-kata papanya itu.

Doakan Dahin pa.

*****

“Papa dah sediakan Fiyah setiausaha yang sangat sempurna. Cik Ishika dah lama kerja dengan papa. Dia akan bantu Fiyah nanti,” kata Datuk Hashim sambil memandang tepat ke arah Afiyah yang sedang membelek telefonnya.

“So, abang stay kat rumah aje lepas ini?” soal Brenda yang duduk di sebelah Afiyah.

“Mesti lah. Abang dah ada orang harapan. Lega sikit rasanya,” balas Datuk Hashim sambil tergelak kecil.

“Sukanya papa. Nanti boleh lah jenguk kedai Liya lepas ini,” celah Aliya yang duduk tidak jauh dari Afiyah.

“Papa dah tua Liya. Papa dah tak larat dah,” jawab Datuk Hashim dengan senyuman.

“Tak bosan ke nanti duduk kat rumah itu. Lain lah kalau abang itu ada isteri,” tanya Brenda separuh mengusik.

“Ishh, tak adalah. Abang okay duduk kat rumah seorang. Nanti awak datang lah selalu teman kami kat sana,” balas Datuk Hashim separuh mengajak.

“Liya setuju. Mama selalu lah datang jenguk kami kat sana. Nanti Liya nak makan sedap-sedap tak ada siapa yang nak masak,” sokong Aliya sambil berdiri lalu duduk di sisi Brenda.

“Kasihannya,” balas Brenda sambil mengusap ubun kepala gadis yang sedang memeluk lengannya itu. Apabila Afiyah memutuskan untuk memanggilnya dengan panggilan mama dua tahun yang lalu, kini Aliya turut mengikut jejak gadis itu memanggilnya dengan panggilan tersebut. Dia sebenarnya langsung tidak kisah. Sejak dari dulu dia memang sudah menganggap Afiyah seperti anaknya sendiri. Kini kehadiran Aliya turut disyukurinya. Dia terima dengan hati yang terbuka apa yang Allah telah tetapkan untuk dirinya.

“Tak lama lagi nak kahwin. Masak pun tak reti?” sindir Afiyah sambil memandang tepat ke arah Aliya.

“Kahwin? Oh please! Tak ada calon macam mana nak kahwin?” balas Aliya dengan keningnya yang berkerut.

“Kejap. Ini nak mengata Liya, Fiyah itu dah ada calon ke?” giliran Aliya menyindir gadis itu. Brenda dan Datuk Hashim hanya tersenyum melihat telatah kedua-dua gadis itu.

“Aku memang tak nak kahwin. Buat apa nak kalut sangat,” balas Afiyah selamba sambil memandang telefonnya semula. Aliya tergelak besar mendengar jawapan gadis itu.

“Aku tengok nanti,” katanya separuh mengusik.

“Tiba-tiba cakap pasal kahwin ini, anak-anak papa ini dah tak sabar nak kahwin ke?” celah Datuk Hashim dengan senyuman.

“No!” balas Aliya pantas. Afiyah hanya tersenyum sinis.

Tak sabar nak kahwin? Please!

*****

“Kau ada masalah ke?” soal Kamal apabila melihat sahabatnya yang leka termenung sedari tadi. Eijaz mengajaknya keluar untuk makan tengah hari namun apa yang dilihatnya lelaki itu lebih banyak mendiamkan diri.

“Tak ada,” jawab Eijaz dengan senyuman hambar. Kamal tersenyum sinis.

“Kau ingat kita ini baru aje kenal semalam?” soalnya separuh menyindir. Eijaz membalas pandangan rakannya itu. Dia menarik nafas berat.

“Aku dah tak mampu nak pandang Fiyah lagi Mal. Nanti aku sendiri yang sakit,” katanya dengan nada yang perlahan. Kamal terdiam mendengar kata-kata lelaki itu. Eijaz ada memberitahunya mengenai Afiyah yang akan banyak berurusan dengannya tentang kerja. Dia juga tahu apa yang berlaku antara Afiyah dan sahabatnya itu tiga tahun yang lalu.

“Aku nak tanya kau sesuatu. Kau masih sayangkan dia?” soalnya dengan wajah serius memandang sahabatnya itu. Eijaz mengeluh perlahan.

“Aku tak ada jawapan untuk soalan itu Mal,” balasnya dengan nada tegas. Kamal tersenyum sinis.

Nak mengelak lah itu.

“Kalau kau yakin dah tak ada perasaan itu, aku rasa kau tak ada masalah untuk berkerjasama dengan Fiyah. Melainkan kau masih sayangkan dia,” kata Kamal dengan senyuman. Eijaz tersenyum hambar mendengar kata-kata lelaki itu.

“Kau sengaja nak kenakan aku kan?” katanya sambil mencapai sudu.

“Aku kenal kau Eij,” balas Kamal sambil tergelak kecil.

“Tiga tahun Mal. Aku dah lupakan dia,” kata Eijaz dengan nada yang sangat perlahan. Kamal bersandar pada kerusinya sambil memandang lelaki itu.

Jangan pula lepas ini kau mengadu nak ke luar negara lagi.

Bisiknya dalam hati sambil menggeleng perlahan.



Previous: Bab 31
Next: Bab 33

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.