Eijaz menutup buku yang berada di depannya. Dia melepaskan keluhan berat. Ada dua hari lagi maka peperiksaan di kolejnya akan berakhir.
Cepatnya masa berlalu.
Eijaz merungut perlahan. Terbayang wajah Afiyah. Sejak dia memberitahu gadis itu yang dia akan masuk meminang, Afiyah sentiasa mengelak untuk bertemu dengannya. Malah panggilannya juga tidak bersambut. Eijaz mengeluh lagi.
Apa dah jadi dengan aku ini? Betul ke cakap Fiyah yang aku sengaja gunakan dia untuk sakitkan hati Liya?
Eijaz mendengus perlahan.
Memang orang lain akan anggap macam itu. Apatah lagi Fiyah. Tapi…,
Eijaz meraup wajahnya.
I’m not turning back. Fiyah is mine!
Eijaz mengangguk perlahan. Mungkin Afiyah akan membencinya. Namun dia nekad untuk memiliki gadis itu. Walauapapun yang akan berlaku, Afiyah tetap akan jadi miliknya.
*****
Suha menoleh memandang Afiyah yang hanya membisu sedari tadi.
“Fiyah,” tegurnya lembut. Afiyah menoleh memandang gadis itu.
“Are you okay?” tanya Suha prihatin. Afiyah mengangguk sambil tersenyum hambar. Suha mengeluh perlahan.
“Hubungan Fiyah dan Liya dah baik. Sekarang ini Suha lihat cuma Eij yang buat fikiran Fiyah tak tenang. Betul tak? Atau pasal Daf lagi?” soalnya bertalu. Afiyah melepaskan keluhan perlahan.
“Daffa itu cuma masa lalu saya. Sekarang ini saya ada masalah dengan Eij. Dia nak masuk meminang lepas exam ini nanti,” beritahunya sambil bersandar pada kerusinya. Fikirannya melayang mengingat semula kata-kata Eijaz.
“Eij nak pinang Fiyah?” soal Suha dengan wajah terkejutnya. Afiyah mengangguk perlahan. Suha terkedu.
“Saya memang tak terima lamaran itu. Tapi masalah sekarang ini, Eij itu degil. Kata nak tunaikan janjinya. Tapi itu janji masa kecil kot. Lagipun saya pasti sangat dia nak pinang saya sebab sengaja nak sakitkan hati Liya,” kata Afiyah sambil menggeleng perlahan.
“Janji? Janji apa? Siapa yang berjanji?” soal Suha semula semakin kebingungan.
“Saya dan Eij rapat masa kecil. Dulu Eij tinggal kat Melaka dengan keluarganya. Tapi semasa umur 5 tahun, keluarga Eij pindah kat sini. Entah lah Suha. Saya tak tahu nak cakap macam mana. Masa berpisah itu Eij janji nak datang ambil saya semula bila dia dah besar. Dia janji nak kahwin dengan saya. Pelik, saya dah tak ingat pun memori itu. Kalau pun saya ingat, mustahil kot saya nak pegang janji budak lelaki yang baru aje berumur 5 tahun,” jawab Afiyah dengan kening berkerut. Suha terdiam mendengar cerita gadis itu.
“Maknanya sebelum ini korang memang pernah berjumpa? Fiyah memang tak ingat Eij ke? Masa mula-mula nampak Eij hari itu, Fiyah tak kenal?” soalnya dengan perasaan tidak puas hati.
“Memang lah pernah jumpa tapi kecil lagi kot masa itu. Mana lah saya ingat lagi rupa Eij,” balas Afiyah dengan kening berkerut.
“Yang Suha ini macam nak salahkan saya sebab tak kenal Eij dah kenapa?” soalnya pula agak terasa dengan sikap gadis itu. Suha tergelak besar mendengar soalan gadis itu.
“Sorry. Saya cuma rasa tak percaya aje. Tak sangka. Rupanya Eij dan Fiyah pernah jumpa sebelum ini. Malah rapat masa kecil. Nak tanya lagi boleh tak? Eij macam mana? Dia pun sama dengan Fiyah ke? Maksud Suha, masa mula-mula jumpa itu Eij kenal tak dengan Fiyah?” soal Suha lagi. Dia sangat tertarik dengan cerita sahabatnya itu. Sebenarnya dia masih tidak percaya dengan apa yang diceritakan oleh rakan baiknya itu. Kisah Afiyah, Aliya dan Eijaz benar-benar menarik perhatiannya.
“Entah. Tak kot. Tapi pasal janji itu boleh pula mamat itu ingat. Memang sengaja nak kenakan saya agaknya,” balas Afiyah separuh merungut. Suha tergelak semula. Afiyah hanya menjeling tajam memandang sahabatnya itu.
Entah apa yang lucu sangat.
*****
“Liya,” panggil Datuk Hashim apabila melihat Aliya yang baru sahaja turun dari tingkat atas.
“Ya pa?” tanya Aliya sambil berjalan menghampiri. Dia duduk berhadapan dengan Datuk Hashim.
“Boleh papa tanya kenapa Liya dan Eij…?” soal Datuk Hashim yang sengaja tidak menghabiskan ayatnya dengan harapan gadis itu faham akan maksudnya. Aliya terkedu dengan pertanyaan papanya itu. Sebelum ini memang papanya ada bertanya mengenai hubungannya dengan Eijaz. Namun dia masih tidak sempat menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku sehingga dia dan Eijaz boleh berpisah. Aliya mengeluh perlahan.
“Eij nak masuk meminang,” beritahu Datuk Hashim perlahan agak serba salah.
“Liya tahu. Eij dah beritahu Liya,” balas Aliya dengan senyuman hambar.
“Apa sebenarnya yang berlaku? Setahu papa Eij itu sangat sayangkan Liya. Macam itu juga Liya. Tapi kenapa…”
“Liya tak pernah hargai Eij selama ini pa. Sebab itu Eij kecewa dengan Liya,” pintas Aliya dengan nada perlahan. Datuk Hashim melepaskan keluhan berat.
“Kami dah lama putus. Papa jangan risau. Liya tak akan buat hal. Elok lah Eij pinang Fiyah dan bukannya Liya. Anak papa ini memang tak layak untuk lelaki sebaik Eij,” sambung Aliya dengan perasaan sebak.
“Tak baik Liya cakap macam itu,” balas Datuk Hashim dengan kening berkerut. Aliya tersenyum hambar.
Memang Liya tak layak untuk Eij pa.
*****
“Macam mana soalan tadi? Susah tak?” soal Kamal sambil mengemas bukunya.
“Okay,” balas Eijaz ringkas. Kamal menoleh memandang wajah rakan baiknya itu.
“Kenapa ini? Pasal Fiyah atau Liya?” soalnya ingin tahu. Eijaz hanya diam membisu mendengar pertanyaan lelaki itu. Memang sekarang ini dia risau tapi bukan sebab Aliya.
“Kau ini susah sangat nak kongsi dengan aku,” sambung Kamal apabila melihat Eijaz yang hanya mendiamkan diri.
“Minggu depan aku nak hantar family aku masuk meminang Fiyah,” beritahu Eijaz tanpa memandang wajah Kamal.
“Wou! Kau nak kahwin?” soal Kamal kurang percaya. Eijaz mengangguk kini mula membalas pandangan rakannya itu.
“Biar aku teka. Dengan Fiyah kan?” soalnya agak teruja. Eijaz mengangguk sekali lagi.
“Bagus lah. Kalau tak, sia-sia aku jadi posmen tak berbayar hari itu. Tapi kenapa kau buat muka macam itu? Kau ini biar betul nak kahwin?” soal Kamal lagi yang agak tidak berpuas hati melihat riak wajah lelaki itu. Eijaz mengeluh lagi.
“Aku risau Mal. Aku takut Fiyah tolak lamaran aku,” balasnya dengan nada perlahan. Giliran Kamal pula yang terdiam. Dia memang sudah maklum apa yang berlaku antara Eijaz, Afiyah dan Aliya. Namun untuk membantu dia juga buntu.
“Aku akan bantu apa yang aku mampu aje. Selebihnya kau kena usaha dan tawakal,” nasihat Kamal sambil menepuk lembut bahu sahabatnya itu. Eijaz tersenyum hambar sambil mengangguk perlahan.
“Thank you Mal,” ucapnya ikhlas. Kamal mengangguk tersenyum.
Good luck Eij.
*****
“Mama cakap apa ini?” soal Daffa dengan kening yang mula berkerut. Datin Isnawiyah mengeluh perlahan.
“Mama kenal sangat dengan keluarga Datuk Hashim itu Daf. Ibu Aliya itu keluarga mama,” beritahunya dengan perasaan bersalah. Selama ini dia menentang hubungan Daffa dan Afiyah bukan semata-mata sebab dia berkenan sangat dengan Ayumi. Oleh sebab Afiyah itu anak Datuk Hashim maka dia tidak mampu untuk menerima gadis itu menjadi sebahagian daripada keluarganya.
“Keluarga? Maksud mama? Daf tak faham,” balas Daffa sambil melangkah ke beranda biliknya. Dia agak berdebar mendengar cerita wanita itu. Apatah lagi nama Datuk Hashim disebut sama.
“Sofea ibu Aliya itu adik tiri mama,” beritahu Datin Isnawiyah dengan nada perlahan. Daffa terkedu.
“Mama minta maaf sebab tak pernah beritahu Daf selama ini. Sejak tahu yang Fiyah itu anak Datuk Hashim, mama memang dah nekad nak pisahkan Daf dan Fiyah. Mama sedih dan kecewa Daf. Aunty Sofea kamu menderita disebabkan Datuk Hashim yang kahwin lain,” sambung Datin Isnawiyah dengan perasaan sebak. Daffa menggenggam erat telefon bimbitnya.
“I’m really sorry son,” ucap Datin Isnawiyah lagi.
“Kenapa mama rahsiakan perkara ini daripada Daf?” soal Daffa dengan perasaan kecewa.
“Fiyah dan ibunya pun menderita sama seperti yang dilalui aunty Sofea dan Liya ma. Mama sepatutnya beritahu Daf sejak dari awal lagi. Kenapa ma? Kalau lah Daf tahu, mungkin Daf akan batalkan niat untuk kejar Fiyah hari itu. Kalau mama beritahu Daf sejak dari awal, mungkin Daf tak terlanjur sayangkan Fiyah. Dah terlambat ma. Dah tak ada guna mama beritahu Daf sekarang. Fiyah dah tak nak Daf lagi. Itu yang mama nak kan? Daf kecewa dengan mama,” sambung Daffa sebelum menekan punat merah. Dia meraup wajahnya. Tanpa sedar air matanya menitis perlahan. Datin Isnawiyah mengeluh berat sambil memandang telefonnya yang telah diputuskan talian.
Maafkan mama Daf.
*****
Eijaz tersenyum memandang gadis yang sedang menarik kerusi di hadapannya itu. Afiyah bersandar tenang sambil membalas pandangan Eijaz.
“Fiyah sihat?” tanya Eijaz dengan senyuman. Afiyah membisu.
“Okay tak jawab last paper tadi?” tanya Eijaz lagi. Afiyah menarik nafas berat.
“Minggu depan Fiyah akan balik ke Melaka,” beritahunya dengan wajah serius tanpa menjawab pertanyaan lelaki itu. Senyuman Eijaz mula menghilang.
“I’m sorry Eij. Fiyah dan Liya memang pentingkan diri sendiri sehingga Eij boleh jadi mangsa,” ucap Afiyah dengan perasaan bersalah.
“Fiyah nak larikan diri?” soal Eijaz mula serius.
“Eij…”
“Fiyah, beri Eij peluang. Eij dah maafkan Fiyah. Cuma Eij nak minta satu aje. Tolong beri Eij peluang,” pintas Eijaz dengan penuh harapan. Afiyah menggeleng.
“Kenapa Eij nak sangat tunaikan janji itu? Eij ingat Fiyah ini bodoh?!” balasnya mula naik angin.
“Janji itu cuma alasan Fiyah. Eij nak Fiyah sebab Eij sayang Fiyah,” kata Eijaz sambil menatap wajah berang Afiyah.
“Cepatnya Eij lupakan Liya?” sindir Afiyah sambil mengangkat keningnya membalas pandangan lelaki itu.
“Fiyah pula macam mana? Fiyah dah lupakan Daf?” soal Eijaz sengaja ingin melihat reaksi gadis itu. Afiyah terkedu.
“How did…” dia tidak meneruskan kata-katanya kerana masih terkejut. Seingatnya dia tidak pernah menyentuh hal Daffa di hadapan lelaki itu.
“Mesti lah Eij tahu. Semua tentang Fiyah dan orang-orang yang pernah hadir dalam hidup Fiyah. Eij kena tahu semua itu sebab Eij dah nekad nak Fiyah jadi sebahagian dalam hidup Eij,” balas Eijaz dengan nada tegas. Afiyah menarik nafas dalam cuba menenangkan dirinya.
“Eij minta maaf kalau Fiyah tak selesa,” ucap Eijaz apabila melihat kening Afiyah yang berkerut seribu memandangnya. Afiyah mendengus perlahan.
“Awak memang dah melampau Eij. Saya tak akan terima pinangan awak. Kalau awak tak tahu malu, awak datang lah ke rumah!” balasnya dengan nada keras sebelum bangun dari kerusinya. Eijaz hanya memandang langkah laju Afiyah yang berlalu tanpa berniat untuk menahan. Dia melepaskan keluhan berat.
Awak masih tak mampu lupakan dia, Fiyah.
*****
Tidak berkedip Dahin memandang Aliya yang sedang memandang langit malam.
“Eij nak masuk meminang minggu depan?” soalnya lagi seakan tidak percaya dengan apa yang baru sahaja diberitahu oleh gadis itu. Aliya hanya mengangguk perlahan.
“Fiyah terima? Liya macam mana?” soal Dahin bertalu. Kepalanya yang baru sahaja terasa ringan kerana peperiksaan telah berlalu kini kembali berat apabila mendengar cerita gadis itu.
“Liya pun tak tahu apa keputusan Fiyah. Liya dan Eij dah tak ada apa-apa. Tak ada jodoh. Liya redha,” jawab Aliya dengan nada sayu. Dahin pantas bangun dari kerusinya dan berjalan mundar-mandir di hadapan Aliya.
“Kenapa?” soal Aliya dengan kening berkerut. Dahin berhenti melangkah.
“Tak boleh. Eij tak boleh buat macam itu. Bercinta dengan Liya tapi nak kahwin dengan Fiyah. Dia ingat Liya dan Fiyah ini tak ada perasaan?” balas Dahin dengan nada keras. Aliya hanya membisu mendengar kata-kata lelaki itu.
“Saya akan jumpa Eij esok,” putus Dahin akhirnya.
“I’m sorry Dahin. Kalau Liya tak buat masalah, tentu tak susah untuk Dahin miliki hati Fiyah,” kata Aliya dengan suara perlahan. Dahin mengeluh perlahan. Dia duduk semula.
“Kalau pun masalah ini tak timbulDahin masih tak yakin Liya. Dalam hati Fiyah itu masih ada seseorang,” balasnya dengan perasaan kecewa. Aliya hanya memandang sahabatnya itu sebelum turut mengeluh.
Awak memang istimewa Fiyah. Sebab itu ramai orang yang sayang awak.
*****
“Maafkan papa sebab turut rahsiakan perkara ini dari Daf,” ucap Datuk Ramli dengan perasaan bersalah. Daffa hanya memandang Datuk Hashim tanpa berkata apa-apa. Papanya itu sanggup terbang menemuinya sendiri untuk menjelaskan apa yang dirahsiakan selama ini dari pengetahuannya. Melihat wajah lelah papanya membuat Daffa tidak sampai hati untuk menunjukkan rasa tidak puas hatinya.
“Arwah aunty Sofea kamu itu berkahwin secara rahsia dengan Datuk Hashim. Bukan saja mama kamu yang tak tahu tapi arwah atuk kamu sendiri pun tak tahu pasal itu. Apabila arwah aunty Sofea mengandungkan Aliya, baru lah arwah bertemu dengan ibu kamu secara sembunyi kerana masa itu Datuk Hashim memang tak tahu lagi yang arwah aunty Sofea itu masih ada keluarga,” cerita Datuk Ramli sebelum berhenti sejenak.
“Kenapa arwah perlu berahsia?” soal Daffa dengan nada mendatar.
“Arwah atuk kamu itu papa tiri arwah Sofea. Bila arwah atuk kamu nak nikahkan dia dengan pilihannya, arwah Sofea larikan diri dari rumah. Sebab itu dia rahsiakan semuanya daripada mama dan arwah atuk. Papa tak pasti kalau Datuk Hashim dah tahu ke tak pasal ini. Hari itu masa Daf kat Johor, ada tak Datuk Hashim sentuh pasal ini?” sambung Datuk Ramli separuh menyoal. Daffa menggeleng perlahan. Dia melepaskan keluhan berat.
“Mama kamu tak dapat terima bila tahu yang Datuk Hashim kahwin lain setelah apa yang arwah Sofea korbankan. Bila tahu yang Fiyah adalah pilihan kamu, mama sebenarnya dalam dilema. Dia sayangkan kamu. Tapi dalam masa yang sama dia juga tak mampu terima Fiyah. Papa harap Daf tak salahkan mama sangat dalam hal ini. Mama ada sebab buat macam itu,” kata Datuk Ramli lagi. Dia simpati melihat wajah keruh lelaki itu.
“Beri Daf masa pa. Daf masih terkejut dengan berita ini. Terima kasih sebab datang sini jenguk Daf. Kirim salam mama,” balas Daffa perlahan sebelum bangun dari kerusinya.
“Jaga diri Daf,” pesan Datuk Ramli sambil memandang langkah lelaki itu berlalu. Kali ini anak lelakinya itu langsung tidak menghulurkan tangan untuk bersalaman dengannya. Mungkin Daffa masih terasa hati dengannya. Dia memang tidak salahkan lelaki itu. Daffa berhak untuk marah. Datuk Ramli melepaskan keluhan berat.