Home Novel Cinta Aku Benci Kau!
Bab 3

“ Masyaalah….apa yang berlaku kepada kau Su?” Tanya Hakimah teman rapat Suraya. Kunjungannya di rumah teman baiknya pada pagi ini benar-benar mengejutkan dirinya. Dahi Suraya yang berbalut menimbulkan tanda tanya di dalam dirinya.

Suraya hanya mampu mendenggus. Luka yang dalam ini cukup menyayat hatinya. Bebanan yang dipikul sudah tidak tertanggung untuk dirinya menggalasnya lagi. Apatah lagi apabila mengenangkan sikap Adam yang terus membiarkan dirinya kesakitan tanpa rawatan. Hanya minyak gamat yang di sapu di kepalanya untuk menyembuhkan lukanya itu. Seminggu Suraya terlantar sakit keseorangan manakala Adam terus menghilang diri tanpa berita. Entah di mana lelaki itu bermalam Suraya sendiri kurang pasti.

Perkenalan Suraya dengan Adam bermula sebagai majikan dan orang gaji. Tidak di duga hubungan yang serius itu membibitkan perasaan cinta di hati Adam membuatkan Adam nekad menyunting Suraya sebagai isterinya walau di halang keras oleh ibunya. Suraya yang pada mulanya tidak yakin dengan Adam disebabkan sikap Adam yang suka berfoya-foya akhirnya menerima Adam apabila melihatkan kesungguhan yang dipamerkan oleh Adam.

Walaupun sudah lapan tahun mereka mendirikan rumah tangga dan dikurniakan seorang anak namun ibu Adam masih tidak menerima Suraya sebagai menantunya. Dia di halang untuk menjejakkan kaki ke banglo milik keluarga Adam. Namun begitu keluarga Adam menerima Darius sebagai cucu mereka. Apatah lagi Darius adalah satu-satunya cucu dalam keluarga mereka.

Suraya sangkakan panas hingga ke petang sebaliknya hujan di tengahari. Belum setahun usia rumah tangga mereka, Adam sudah kembali ke perangai asalnya. Segala janji yang di tabur hanya tinggal janji semata-mata. Adam pantang di tegur pastinya sepak terajangnya akan menjadi santapan Suraya. Hati Suraya terus merintih namun tiada siapa yang mahu mendengar rintihan hatinya.

“ Suami kau pukul kau lagi?” Tanya Hakimah setelah dia melihat begitu lama Suraya termenung. Pasti ada sesuatu yang terjadi.

Suraya adalah teman rapatnya sejak mereka sama-sama membesar di rumah anak yatim. Dia kenal benar dengan setiap riak yang terpancar di wajah teman baiknya itu.

“ Tak delah, Kimah. Aku terjatuh bilik air,” bohong Suraya.

Tidak pernah sekali pun dia membuka keaiban suaminya kepada sesiapa. Lagi pun dia takut dengan ugutan suaminya itu. Dia terlalu rindukan Darius. Namun dia tidak boleh berbuat apa-apa jika Adam tidak membawa Darius pulang. Kehadirannya di rumah mertuanya akan membangkitkan kemarahan mertuanya.

“ Kau jangan tipu akulah. Aku bukannya bodoh. Tak kan jatuh bilik air sampai kepala berbalut begitu. Suami kau pukul kau, betul tak?”

“ Tak Kimah. Aku rasa kau patut pulang. Lagi pun suami aku tak suka kalau dia nampak kau di sini. Dia tak suka aku bergaul dengan orang luar.”

“ Bagus juga kalau dia balik. Boleh aku tanya dia sendiri kenapa tergamak dia pukul bini dia sampai begini? Dia ingat kau ni binatang ke? Ah binatang pun orang tak sanggup buat begini,” renggus Hakimah yang begitu benci dengan Adam.

“ Kan aku dah cakap, aku jatuh bilik air. Adam tak pernah pukul aku.”

“ Sampai bila kau nak sembunyikan kejahatan Adam? Sampai bila kau nak biarkan diri kau di aniaya begini Su? Kau juga ada hak untuk mempertahankan diri kau!” Nasihat Hakimah penuh sesal.

Walaupun Suraya tidak pernah berterus terang dengannya namun dia dapat meneka apa yang sedang dihadapi oleh temannya itu. Apatah lagi Hakimah kenal benar dengan sikap Adam yang panas baran dan kaki perempuan itu.

Suraya hanya tersenyum tawar. Cuba menyembunyikan apa yang sedang bergolak di dadanya.Kini bagi Suraya, Adam dan Suraya menjadi suami isteri hanya di atas sekeping kertas. Ruang untuk Adam sudah tiada tetapi Suraya bertahan demi Darius. Tentang jodoh Suraya dan Adam, Suraya hanya berserah kepada takdir.

“ Kau ni suka sangat berparasangka buruk terhadap suami aku sebab itulah suami aku tidak suka kau datang ke sini. Sudahlah Kimah, lebih baik kau balik sebelum suami aku mengamuk melihat kedatangan kau di sini,” kata Suraya lembut sekali.

Bukan niatnya untuk menghalau teman baiknya itu. Namun kedatangan Hakimah ke rumahnya akan mengundang kemarahan suaminya. Lagi pun dia bimbang dengan ugutan Adam tempoh hari.

Hakimah mendenggus geram. Sikap Suraya yang sering berahsia itu membuatkan Hakimah semakin tertekan. Dia tidak mahu membiarkan Suraya terus-terusan hidup terseksa begini. Apatah lagi Suraya sebatang kara. Simpatinya semakin menggunung.

“ Su, sampai bila kau nak sembunyikan sikap jahat suami kau itu? Kau nak tunggu sampai dia bunuh kau ke? Jangan biarkan nasi menjadi bubur Su. Kalau kau tak nak fikirkan tentang keselamatan kau, fikirkanlah tentang keselamatan Darius,” nasihat Hakimah panjang lebar.

Suraya semakin sebak. Sedaya upaya dia cuba menyembunyikan gejolak hatinya. Kalau diikutkan hatinya mahu sahaja dia menjerit dan meraung di hadapan Hakimah. Sebenarnya apa yang terkepung di dada sudah tidak tertanggung lagi untuk batinnya menanggung. Dia perlukan seseorang untuk dia meluahkan semuanya tetapi apakan daya disebabkan ugutan Adam dahulu dia terpaksa merahsiakan semuanya. Ya Allah, kau berikanlah ketabahan dalam diriku untuk menempuhi dugaan ini.

“ Tolonglah Kimah, kau pulang sekarang. Aku tak nak Adam tahu kau datang ke sini,” kata Suraya sambil menarik tangan Hakimah untuk bangun daripada menikmati keempukan sofa buatan Itali itu.

Hakimah yang terkejut dengan sikap Suraya itu hanya menurut. Suraya menarik tangan Hakimah hingga ke muka pintu.

“ Lebih baik kau balik. Terima kasih Hakimah kerana sudi melawat aku,” kata Suraya yang telah membuka pintu.

Kemudian dia menolak tubuh Hakimah ke luar pintu. Hakimah hanya terkebil-kebil. Dia mahu berkata lagi tetapi apabila secara tiba-tiba Suraya menutup pintu rumahnya membuatkan Hakimah mengeluh lemah.

Tidak lama kemudian dia mendengar raungan Suraya di sebalik pintu. Hatinya di himpit sayu.

“ Su, bagaimana aku boleh membantumu?” Kata Hakimah sendirian.

Tanpa di pinta airmata kesedihan bertakung di kolam matanya.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.