Home Novel Cinta Aku Benci Kau!
Bab 23

“ Siapa kawan kau tu Kayra?” Tanya Puan Munirah apabila melihat Danish Iskandar yang menghantar Adlene Kayra dengan menggunakan kereta perodua kancil model lama. Puan Munirah terlihat ketika dia melepak bersama teman-temannya di koridor tingkat tiga flat yang didiaminya.

Berubah wajah Puan Munirah apabila melihat teman Adlene Kayra yang berperwatakan lembut mengalahkan perempuan. Dia jadi malu dengan teman-temannya yang kebetulan turut melihat teman Adlene Kayra itu. Terus sahaja Puan Munirah masuk ke rumah dan menunggu sahaja Adlene Kayra naik ke rumah sebelum teman-temannya mengajukan soalan yang pasti menyakitkan hatinya.

“ Oh, tu teman baru Kayra. Kayra kenal dia time Kayra masuk kursus induksi dahulu. Tak sangka pula kami boleh jadi rapat,” kata Adlene Kayra tersenyum lebar. Sedikit pun dia tidak dapat menangkap kekeruhan di wajah ibunya itu.

“ Rapat? Rapat macamana?” Tanya Puan Munirah yang masih tidak berpuas hati dengan jawapan anaknya itu.

“ Rapatlah mak. Rapat macam kawan baik,” terang Adlene Kayra.

“ Tak lebih dari tu?”

Adlene Kayra tersenyum lebar mendengarkan bicara ibunya itu. Dia sudah dapat menangkap pada butir bicara ibunya yang bagaikan sedang menyiasat tentang hubungan Adlene Kayra dengan Danish Iskandar.

“ La mak ni, ke situ pula. Kayra kawan je lah. Mana ada apa-apa,” kata Adlene Kayra.

Puan Munirah pandang lama kepada Adlene Kayra. Dia masih tidak berpuas hati dengan bicara Adlene Kayra itu. Mana tahu Adlene Kayra masih tidak mahu mengaku di hadapannya.

“ Betul ke?” Tanya Puan Munirah.

Adlene Kayra mengeluh lemah.

“ Betullah mak. Kayra dengan Iskandar hanya kawan sahaja. Lagi pun Kayra kasihan pada Iskandar yang asyik kena buli sahaja. Al maklumlah dia tu lembut tetapi Kayra tak fahamlah dengan masyarakat kita ni yang suka sangat ambil kesempatan ke atas kelemahan orang lain,” kata Adlene Kayra.

“ Hah tahu pun lembut. Mak ingat kau tak sedar dia tu lembut macam sotong.”

“ Iskh mak ni, tak baik mak cakap macam tu!”

“ Kau ni tak de orang lainkah yang kau nak berkawan? Kenapalah kau pilih lelaki sotong macam tu! Iskh kalau kau kahwin nanti bukannya mak dan ayah sahaja yang keliru antara kau dan laki kau tapi entah-entah anak kau pun sama. Tak tahu nak panggil yang mana satu mak yang mana satu ayah!” Marah Puan Munirah.

Puan Munirah jadi malu kalau teman-temannya mengata tentang teman lelaki Adlene Kayra. Puan Munirah sendiri pelik dengan selera anak daranya yang satu itu. Macamana dia boleh ada hati dengan lelaki sotong begitu.

“ Mak….Kayra kawan je lah. Bukannya ada hubungan istemewa dengannya. Yang mak mengarut sampai anak menantu ni apasal?”

“ Tak kisahlah kawan ke apa. Yang penting mak tak nak tengok sotong tu bersama kau lagi! Malu kau tahu tak!”

“ Apa yang nak dimalukan? Kayra tak buat salah pun.”

“ Salahlah tu! Mana mak nak letak muka ni Kayra kalau orang tahu yang kau berkawan dengan sotong? Kita ni duduk flat, Kayra oiii. Semua orang jenis jaga tepi kain orang. Bukannya kita duduk banglo yang semua jiran tak ambil peduli tentang orang lain!”

“ Masyalaah mak ni. Berapa kali Kayra nak cakap Kayra berkawan sahaja dengan Iskandar bukan bercinta. Tak kan itu pun salah. Lagi pun Iskandar tu ada hak untuk berkawan dengan sesiapa. Walaupun dia lembut tetapi dia tidak pernah buat benda-benda yang menyalahi agama. Jadi kenapa kita perlu pulaukan dia pula?”

Adlene Kayra berasa tidak berpuas hati dengan bicara ibunya itu. Ibunya sama dengan masyarakat sekeliling yang selalu memandang hina kepada golongan lembut seperti Danish Iskandar itu.

“ Tak kiralah. Mula-mula kawan dulu lama-lama mulalah jatuh hati. Hah sebelum kau jatuh hati lebih baik kau jauhkan diri daripadanya,” marah Puan Munirah.

“ Mak ni ada-ada jelah. Malaslah Kayra nak layan mak. Kayra masuk bilik dulu,” kata Adlene Kayra yang sudah bosan melawan cakap ibunya itu. Kemudian Adlene Kayar segera berlalu ke dalam biliknya manakala Puan Munirah mendenggus geram di sofa.

“ Apa yang bising-bising ni?” Tanya Encik Bakri yang baru keluar dari bilik. Dia baru sahaja selesai menunaikan solat Asar.

“ Kayralah. Ada ke berkawan dengan lelaki lembut. Hishh geli saya. Ingatkan dapat menantu gagah perkasa sebaliknya dapat sotong. Eee…tak naklah saya,” kata Puan Munirah terus mencemuh teman baik Adlene Kayra.

Encik Bakri menggeleng. Dia faham sangat dengan sikap isterinya yang suka menjaga airmukanya di hadapan teman-temannya.

“ Betulkah? Abang dengar tadi Kayra kata dia berkawan sahaja. Tak salahkan berkawan dengan lelaki lembut. Dia juga ada hati dan perasaan seperti kita,” tegur Encik Bakri dengan lembut.

Puan Munirah menceber.

“ Suka sangatlah abang tu dapat menantu sotong? Abang jangan nak jatuhkan airmuka saya pula!”

“ Airmuka awak sahaja yang awak kira. Hati dan perasaan Kayra awak tak jaga pula. Munirah..Munirah…”

“ Semua yang saya buat ini untuk kebaikan Kayra abang oiii….Muni faham sangat dengan ragam orang bercinta. Semuanya bau wangi sahaja. Yang busuk dia tak nampak. Sebelum perkara buruk terjadi lebih baik Muni cantas dahulu awal-awal.”

“ Suka hati awaklah, Muni. Asalkan Muni dan Kayra bahagia abang pun tumpang bahagia. Jangan salah seorang yang makan hati sudahlah,” kata Encik Bakri dalam nada perlian.

“ Abang tu nak perli Munilah tu! Menyampah,” kata Puan Munirah dalam nada merajuk.

“ Siapa yang makan cili dialah yang rasa pedas!”

Puan Munirah mendenggus lemah. Asyik-asyik dia sahaja yang terkena dengan perlian suaminya itu. Hatinya bertambah geram.

“ Abang ingatkan nak buat kenduri kesyukuran sedikit,” kata Encik Bakri mengalih cerita. Puan Munirah yang tadi muncung mula bersemangat memandang suaminya.

“ Untuk apa?”

“ Anak kita dah balik ke Malaysia dan bakal bergelar doktor kelak. Itulah abang fikir nak buat sedikit kenduri kesyukuran,” cadang Encik Bakri.

“ Betul juga tu. Kita tak buat lagi apa-apa kenduri sejak Kayra balik. Abang, kita panggil Puan Hendon nak tak? Dah lama kita tak dengar cerita dia. Apa khabar dia sekarang?”

Encik Bakri menggeluh lemah.

“ Ntahlah. Sejak abang berhenti kerja, abang tak pernah mendengar khabar berita tentang Puan Hendon,” kata Encik Bakri dengan nada kesal.

“ Abang tak hubungi Puan Hendon ke?”

“ Ada juga tetapi semuanya tak berangkat. Abang hantar SMS pun tak balas. Tetapi apa yang berlaku kepada Kayra, seperti Kayra dapat sambung belajar ke Oxford University dulu abang ada SMS Puan Hendon juga walaupun tak berbalas. Abang faham Puan Hendon sibuk dan abang buat begitu bukannya apa. Abang tak nak orang kata kita lupa pada jasa Puan Hendon.”

“ Betul tu abang. Kalau boleh Muni tak naklah hubungan kita dengan mereka terputus begitu sahaja. Lagi pun Puan Hendon dah banyak berjasa dengan kita. Muni harap kenduri kesyukuran Kayra nanti Puan Hendon datanglah. Sekurang-kurangnya boleh bertanya khabar berita,” keluh Puan Munirah dengan penuh pengharapan.

“ Abang pun harap begitu.”

Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.