Home Novel Cinta Aku Benci Kau!
Bab 15

“ Puan, Darius mengamuk-ngamuk lagi di dalam biliknya,” adu bibik Suhartisebaik sahaja wajah Puan Hendon muncul di hadapannya.

“ Kenapa dia mengamuk?” Tanya Puan Hendon tenang sekali. Tiada riak kerisauan terpancar di wajahnya.

Bibik Suharti mengeluh lemah. Dia sangat kasihan kepada Darius yang begitu kecewa itu.

“ Dia marahkan ibunya,” kata bibik Suharti lagi.

Puan Hendon tersenyum dengan bicara bibik Suharti itu. Sekali lagi hatinya berasa puas dengan satu lagi kejayaan dalam rancangannya. Sambil menguntumkan senyuman lebar, Puan Hendon berkata,

“ Biarkan dan buatkan dia terus membenci ibunya,” kata Puan Hendon tersenyum puas.

DARIUS membaling semua barang yang ada di dalam biliknya. Hatinya benar-benar kecewa dengan sikap ibunya itu. Bayangan duka itu sentiasa bermain di ruang ingatannya. Betapa luluh dan hancurnya hatinya tatkala itu.

Hingga saat ini dia masih tidak percaya bahawa ibunya sanggup melakukan perbuatan terkutuk itu. Kalau tidak kerana desakan Puan Hendon supaya dia melihat sendiri apa yang telah dibuat ibunya di dalam bilik hotel itu, sudah pasti hingga saat ini dia masih mengangung tinggi ibunya itu.

Dia benar-benar tidak menyangka ibunya sanggup menjual dirinya kepada lelaki berbangsa inggeris itu hanya kerana wang. Menurut cerita Puan Hendon, Suraya sudah lama menjalinkan hubungan istimewa bersama dengan lelaki inggeris itu dan lelaki inggeris itulah yang sering memberikan kemewahan kepada Suraya.

Darius juga perasan dengan renungan tajam lelaki inggeris itu kepada ibunya ketika dia dan ibunya sedang menikmati makanan yang disediakan. Bijak benar ibunya berpura-pura tidak mengenali lelaki itu di hadapannya.

“ Perempuan keji!” Jerit Darius sambil menangis tersedu-sedu. Hatinya semakin di himpit pilu. Kadang-kala dia mengharapkan peristiwa tragis itu hanyalah mimpi ngeri sahaja dan apabila dia membuka matanya semua peristiwa tragis itu akan berlalu pergi.

Dia benar-benar sayangkan Suraya. Bagi dirinya tiada siapa yang dapat mengantikan kasih sayang Suraya terhadapnya.

“Mama yakin kasih sayang antara kita berdua kukuh dan tiada siapa yang dapat pisahkan kasih sayang antara kita berdua,” kata-kata Suraya suatu masa dahulu tergiang-giang di telinganya.

Semakin lebat airmata Darius apabila mengenangkan bicara ibunya suatu masa dahulu.

“ Ya! Tiada siapa yang dapat pisahkan kasih sayang di antara kita berdua tetapi mama sendiri yang sengaja memisahkannya. Mama yang bersalah! Mama yang sebenarnya tidak sayangkan Darius!” Bisik Darius sendirian.

Wajah Suraya yang tersenyum sambil mencium pipinya dengan penuh kasih bermain-main di ruang ingatannya. Airmatanya mengalir laju. Betapa hancurnya hatinya apabila mengenangkan semua itu. Rindu kepada ibunya semakin memuncak. Kalau ibunya datang kepadanya dan meminta maaf dia akan menerimanya dengan hati yang terbuka. Asalkan dia dan Suraya akan kembali bersama semula. Sungguh dia tidak sanggup berpisah dengan ibunya.

Ketukan di pintu mengejutkannya daripada lamunan. Darius segera mengelap airmatanya. Dia menarik nafasnya sekali cuba mengembalikan semangatnya yang remuk-rendam.

“ Masuk!” Kata Darius dengan lemah.

Kalau boleh tatkala ini dia tidak mahu di ganggu. Kelihatan wajah Puan Hendon yang tersenyum mesra di sebalik pintu. Namun begitu Darius tidak mampu untuk membalas senyuman itu dek kerana hatinya yang sakit itu. Entah kenapa dia terlalu bencikan Puan Hendon kerana telah membongkarkan rahsia ibunya itu. Kalau tidak kerana pembongkaran itu pastinya dia tidak akan kehilangan ibunya lagi. Ah bodohnya Darius walaupun ibunya ternyata jahat tetapi Darius masih tetap mahu bersamanya. Kenapalah dia sebodoh itu?

“ Kenapa ni sayang? Monyok je?” Tanya Puan Hendon dengan senyuman lebar.

Mendengarkan pertanyaan Puan Hendon itu, Darius segera memeluk Puan Hendon dengan erat. Dia menangis di dalam dakapan Puan Hendon.

“ Sudahlah sayang, kenapa menangis lagi ni?” Tanya Puan Hendon sambil mengusap lembut rambut Darius yang hitam pekat itu. Kemudian Puan Hendon mencium ubun-ubun rambut Darius penuh kasih.

“ Darius rindukan mama,” kata Darius meluahkan apa yang dirasakan di dalam hatinya tatkala ini.

Walaupun dia begitu kecewa dengan Suraya namun dia masih menyimpan selaut perasaan kasih kepada wanita yang telah melahirkannya itu. Ya dia benar-benar sayangkan Suraya walau hatinya sakit dengan pembohongan yang Suraya lakukan kepadanya.

Puan Hendon mendenggus kasar mendengarkan bicara Darius itu. Dia benar-benar tidak percaya dengan apa yang sedang didengarinya itu . Rupa-rupanya Darius bukannya anak kecil yang mudah diperbodohkan. Puan Hendon benar-benar kecewa. Namun Puan Hendon tidak mudah berputus asa dengan rancangannya yang sudah 99% menampakkan hasilnya itu.

“ Buat apa Darius rindukan Suraya?” Tanya Puan Hendon agak tinggi sedikit suaranya.

Darius mengeleng-geleng dengan pertanyaan Puan Hendon itu. Dia benar-benar keliru antara kasih dan kecewa tetapi dia mengharapkan segala salah faham ini dapat di jelaskan dengan segera agar hubungan kasih ini tidak akan terputus di pertengahan jalan.

“ Entah tapi Darius terlalu sayangkan mama,” kata Darius dengan perasaan kecewa. Dia benar-benar kecewa kerana tidak dapat meneruskan lagi ikatan kasih yang terjalin ini.

Makin berombak kencang hati Puan Hendon mendengarkan pengakuan ikhlas Darius itu. Hatinya semakin benci kepada Suraya yang telah berjaya mengikat kukuh ikatan kasih yang terjalin itu. Rupa-rupanya Suraya sudah bersedia untuk sebarang kemungkinan yang berlaku.

Puan Hendon meleraikan dakapan antara mereka lalu dia terus memegang kedua-dua belah pipi Darius dan di dongakkan sedikit agar mata mereka saling bertentangan.

“ Setelah apa yang dia telah lakukan kepada papa dan Darius, Darius masih lagi sayangkan dia? Tolonglah Darius cuba berfikiran rasional sikit. Jangan terlalu mudah percaya dengan tipu helah perempuan sial itu!” Kata Puan Hendon.

Darius terasa hati dengan bicara Puan Hendon yang menggelar ibunya sebagai perempuan sial. Mahu sahaja dia membetulkan bicara Puan Hendon itu tetapi apabila menyedari bicara Puan Hendon benar belaka hatinya semakin pedih merintih.

Darius hanya mengeluh. Di usap airmata yang sedang laju mengalir. Betapa sukarnya untuk dia mengenyahkan perasaan kasih yang sedang bertaup ini.

Mendengarkan keluhan Darius itu, Puan Hendon semakin resah. Dia tidak boleh membiarkan Darius begini.

“ Dia bukannya perempuan yang baik, Darius! Dia tidak layak untuk menerima kasih Darius! Lupakan dia dan anggap dia sudah mati dalam hidup Darius!” Puan Hendon masih cuba meracuni fikiran Darius.

“ Tetapi dia adalah ibu Darius. Ibu yang telah melahirkan Darius, granny. Walaupun sejahat mana pun dia, Darius tidak boleh lupakan dia! Sungguh!” Akui Darius dan inilah apa yang dirasainya tatkala ini. Dia tidak boleh membuang ibunya walau sedaya upaya dia cuba membuangnya. Itulah kenyataannya.

“ Darius!!” Tengking Puan Hendon. Dia benar-benar tidak menyangka Darius akan berkata sedemikian. Hatinya mengelegak marah. Walauapa pun terjadi dia akan memaksa Darius melupakan perempuan sial itu.

“ Memang benar. Darius tidak boleh melupakan mama. Kalaulah mama datang semula dan meminta maaf kepada Darius dan menyesali apa yang telah dia lakukan, Darius akan terimanya dengan hati yang terbuka. Darius akan memaafkan mama seperti mana mama sentiasa memaafkan Darius,” kata Darius.

Airmatanya semakin laju mengalir apabila dia mengingati sikap ibunya yang pemaaf itu. Ah apa salahnya dia memaafkan ibunya kali ini sedangkan selama ini ibunya sentiasa bersabar dengan sikapnya yang sentiasa menguji kesabaran Suraya.

Makin terbakar hati Puan Hendon apabila mendengarkan bicara Darius itu. Dia semakin kalut mencari bicara yang akan membuatkan Darius terus membenci ibunya.

“ Darius nak maafkan perempuan sekeji itu? Darius tak kasihan ke kepada papa? Papa tu sudah lama menderita dan makan hati dengan sikap mama kamu itu! Granny tak tahulah kenapa Darius masih berlembut hati dengan perempuan sekeji itu!” Kata Puan Hendon. Dia berharap Darius akan percaya dengan bicaranya itu.

Darius mengeluh lemah. Papa? Kalau dia di suruh memilih antara papa dan mama, Darius akan memilih ibunya. Baginya Adam tidak pernah menjalankan tugas sebagai seorang bapa. Hakikatnya kasih seorang bapa sudah lama mati walaupun bapanya masih lagi bernyawa di hadapannya.

“ Papa kamu jadi begitu semuanya kerana ibu kamu. Dia terlalu tertekan dengan sikap ibu kamu yang sering menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain!” Puan Hendon meracuni fikiran Darius.

“ Sebab itu ke papa sering pukul mama?” Tanya Darius tiba-tiba. Kejadian perit yang menjadi tontonan suatu masa dahulu namun hingga kini dia masih mencari puncanya. Mungkin Puan Hendon dapat memberikan jawapannya.

Puan Hendon terkedu dengan pertanyaan yang tidak di duga itu. Dia tahu kali ini dia perlu memberikan jawapan yang terbaik demi untuk membersihkan nama anaknya sekaligus memberikan impak negatif kepada Suraya.

“ La baru kini kamu tahu ke? Sebenarnya papa Darius sudah lama tidak tahan dengan perangai mama kamu itu. Darius tahu tak pernah suatu hari itu mama membawa pulang lelaki inggeris itu ke rumah kamu. Masa itu, papa outstation dan mama pula menyuruh papa membawa kamu ke rumah nenek sebelum papa outstation. Nak dijadikan cerita papa tidak jadi outstation dan tanpa mensyaki apa-apa papa pulang ke rumah. Alangkah terkejutnya papa apabila mendapati mama membawa lelaki inggeris itu ke rumah. Hancurnya hati papa hanya Allah sahaja yang tahu. Tatkala itu tiada apa yang papa dapat lakukan melainkan memohon supaya mama bertaubat dan kembali kepada Allah. Malangnya mama tidak memperdulikan nasihat papa sebaliknya dia mencabar papa supaya menceraikannya. Luluh hati papa apabila mendengarkan permintaan talak yang sebenarnya dibenci oleh Islam tetapi tetap keluar dari mulut isterinya sendiri. Namun papa tetap berlembut dan memohon mama mempertimbangkan keputusannya demi Darius tetapi mama tetap berdegil. Katanya Darius langsung tidak bermakna dalam hidupnya dan kalau mereka bercerai sekali pun dia tidak mahu menjaga Darius. Malah dia mengatakan Darius itu menyusahkan hidupnya. Membebankannya. Sebab itulah papa kurang sabar dan terpaksa memukul Suraya. Dia melakukan semua itu bukannya untuk menyakiti Suraya tetapi hanya untuk mendidik. Lagi pun dalam Islam tidak salah untuk memukul isteri kalau tujuannya untuk mendidik,” terang Puan Hendon panjang lebar. Dia tidak menyangka dapat mengarang cerita sehebat itu dalam masa beberapa saat. Malah fakta tentang memukul isteri menurut pandangan Islam juga turut diserongkannya. Sedangkan tidak benar ajaran Islam menyuruh melakukan tidakan tidak beradab itu.

Tidak sedarkah Puan Hendon tentang hadis Rasullalah S.A.W yang bersabda ‘La tadhribu imaallah!’ yang bermakna ‘Jangan kalian pukul kaum perempuan!’ Dalam hadits yang lain pula, baginda menjelaskan bahawa sebaik-baik lelaki atau suami adalah yang berbuat baik pada isterinya. Dan memang, di dalam Al-Qur’an ada sebuah ayat yang membolehkan seorang suami memukul isterinya. Tapi harus diperhatikan dengan baik untuk isteri macam apa? Dalam situasi seperti apa? Tujuannya untuk apa? Dan cara memukulnya bagaimana? Dan tidaklah memukul seperti seekor binatang seperti mana yang Adam lakukan kepada isterinya itu.

Dada Darius sesak mendengarkan cerita daripada Puan Hendon itu. Hatinya begitu sakit sekali. Betapa dirinya sememangnya tidak diperlukan oleh ibunya itu. Betapa sabarnya bapanya menghadapi karenah ibunya yang keji itu.

“ Mama memang jahat!” Kata Darius dengan penuh rasa kecewa.

Namun kenapa rasa kasih ini begitu sukar untuk di nyahkan?

Previous: bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.