Bab
12
Di stesen Fremantle, kami
disambut mesra oleh Azrai dan 4 orang rakannya. Semuanya pelajar dari Malaysia.
Azimuddin, Elisa, Maira dan Shanaz. Cukup peramah dan berbudi bahasa
kesemuanya. Aku begitu seronok dapat berkenalan dengan mereka.
“Alamak! tadi I bayangkan, auntie dengan uncle yang you cakap nak datang tu dah berumur. Rupanya
masih muda lagi orangnya. Kalau tengok dari rupa nampak macam student macam kita. Muka muda macam baya-baya kita aje.” Ujar Elisa.
Sambil ketawa Elisa berkata-kata
sebaik kami bersalaman dan berkenalan. Aku dan Fir sama-sama mengangkat kening
bila mendengar kata-kata yang berupa pujian itu. Tentulah seronok bila
perbezaan jarak umur yang hampir 10 tahun itu tidak kelihatan di mata mereka.
“Jadinya, you all semua kena panggil Kak Zaira dengan Abang Fir ya. I seorang saja yang boleh panggil Acu
dengan Uncle.” Sahut Azrai.
Kesemua teman-teman Azrai
mencebik mendengarnya sambil menyelitkan kutukan buat Azrai yang nampak kedekut
kerana tidak mahu berkongsi mak cik dan pak ciknya dengan orang lain. Azrai
hanya menyeringai menerima cebikan dan kutukan itu.
“Ke sini untuk honeymoon eh, Kak Zaira dengan Abang Fir
ni?” Soal Maira mesra dengan nada mengusik.
Aku dan Fir sama-sama
mengangkat kening bila pandangan kami bertemu. Sebelum sempat aku mahupun Fir
menjawab, Azrai sudah terlebih dahulu berdeham beberapa kali mencuri tumpuan
semua.
“Eh, Acu dengan Uncle Fir I ni bukan suami isterilah. You
all jangan salah faham pulak.” Jelas Azrai. Cepat-cepat dia menidakkan apa
yang disangka oleh rakannya.
“Oh, jadinya adik beradiklah
ya. Patutlah tak nampak pun jalan pimpin-pimpin tangan tadi.” Sambut Maira.
Tersengih-sengih pula dia menghabiskan
kata. Memang Maira yang nampak paling
ingin tahu tentang hubungan kami. Sekali lagi, lebih dulu Azrai memberikan maklum
balasnya.
“Hmm, dah betullah tu. Abang
dengan adik.” Balas Azrai sambil mengerling nakal kepada kami berdua.
“Kan?” Sambung Azrai lagi.
Matanya memandang pada aku dan Fir.
“Kan??” Ulangnya lagi bila
nampak tiada reaksi dari kami berdua.
Bagaikan memaksa, Azrai meminta
kepastian kami berdua sambil mengangguk-anggukkan kepalanya. Seperti berjanji,
kami berdua ikut mengangguk. Sesudah itu aku dan Fir saling berpandangan dan
menyengih dengan kenyataan Azrai tanpa sedikit pun mahu menafikan apatah lagi
menjelaskan perkara yang sebenar.
“Ohhhhhh.. “ Sambut semuanya panjang
bagaikan serentak.
Aku, Azrai dan Fir sama-sama
tersenyum selepas mendengar reaksi mereka yang tidak sedikit pun menunjukkan
rasa ragu dengan perhubungan yang direka itu. Abang dan adik. Aku suka begitu. Ianya
membuatkan aku terus rasa selesa untuk berada disamping Fir. Pastinya Azrai dan
Fir juga mahu aku rasa begitu sepanjang percutian ini.
“Zaira okey ke dengan kaitan abang
dan adik tu?” Soal Fir ketika kami mengekor Azrai dan rakan-rakannya keluar
dari Stesen Keretapi yang waktu itu sedang padat di pintu keluarnya.
Aku mengangguk sambil tersenyum
senang tanda aku tiada masalah dengan kaitan yang direka oleh Azrai itu. Fir nampak
senang dengan reaksiku.
“Kalau adik, kena panggil abangnya
‘abang’ tau.” Tutur Fir perlahan dengan gaya mengiat.
Aku menggeleng perlahan sambil tersengih
dengan kata-katanya. Walaupun berupa usikan, namun aku dapat rasakan yang
dia memang benar-benar memaksudkannya.
“Tak semestinya kena panggil
macam tu. Lagipun Zaira tak selesa. Zaira nak panggil Fir saja.” Aku memberitahunya
secara berterus terang.
Tanpa jawapan, Fir sekadar
mengangkat kening dan bahunya tanda tidak mahu menggesa atau memaksa. Namun entah
mengapa ada riak lain di wajahnya. Reaksinya bagaikan panggilan abang itu
terlalu bermakna untuknya.
“Tapi walau tak panggil abang
pun, si abang tetap kena jaga adiknya baik-baik juga kan? Lebih-lebih lagi sebab
adiknya ini isteri dan ibu orang yang seorang diri saja kat tempat orang ni.” Kataku
dengan nada mengusik.
Dalam pada mengusik itu aku
cuba menanamkan peringatan agar dia sentiasa ingat dan sedar tentang status
yang aku pegang. Juga batasan yang perlu ada di antara kami berdua. Fir
mengangguk-angguk tanda faham.
“Itu sudah semestinya. You can count on me, Zaira.” Balas Fir.
Begitu yakin pula dia memberikan
jawapannya. Sambil itu dia memberikan laluan untuk aku berjalan mendahuluinya
mengekori yang lain agar aku tidak terus ketinggalan di belakang. Ketika aku
mengerlingnya, aku dapat lihat air mukanya masih tidak seceria sebelum ini.
Oleh kerana dia bukanlah sesiapa yang istimewa untukku, maka perubahan air
mukanya itu tidak lama berada dalam pemikiranku. Juga tidak menjadi perkara
yang memberatkan kepalaku.
“ZAIRA sedang berangan atau sedang merindu ni?” Tegur Fir. Meleret
suaranya.
Pastinya dia perasan yang aku
lebih banyak meminggirkan diri dari menyertai kemeriahan Azrai dan
teman-temannya. Juga lebih suka menjauhkan diri dari berada dekat dengannya. Aku
yang tersentak dengan tegurannya menghela nafas panjang sebelum dengan susah
payah mengukir senyuman tawar. Terbang melayang ingatanku pada Zaril, Zarif dan
Ikmal ketika itu.
“Zaira tak pernah berpisah
dengan mereka lama-lama macam ni. Dah tentulah Zaira sedang merindu. I missed them so much.”
Aku menjawab persoalannya secara jujur. Air mata yang bergenang
di tubir mata cepat-cepat aku kuis dengan hujung jari agar ianya tidak terus
meleleh ke pipi. Memang aku sedang merindu. Terlalu rindu sebenarnya walaupun baru
dua hari aku berjauhan dari mereka. Sehingga jadi sebak dadaku mengingati
mereka yang jauh di mata. Fir yang menyedarinya memandangku tenang. Senyuman
tawar tersungging di bibirnya.
“Mereka yang dirindui tu,
anak-anak saja atau…?” Soal Fir setelah seketika berlalu.
Aku tahu Fir sengaja membiarkan
soalannya tergantung begitu. Dari riak wajahnya yang sedang mengajukan soalan,
aku tahu dia sedang mendugaku dengan soalannya. Tentunya dia mahu cuba menceriakan
suasana yang kelihatan suram di matanya. Aku tersenyum mendengar pertanyaannya
itu. Lebih manis senyumanku bila wajah-wajah kesayangan kembali terbayang di
depan mata. Nafas yang tadinya bagaikan tersekat-sekat aku hela panjang.
“Sudah tentulah kesemuanya
sekali. Zarif, Zaril dan Ikmal.” Nama-nama insan kesayangan itu aku sebut satu
per satu bagi memperkenalkan mereka kepada Fir.
“Zarif, Zaril, Ikmal.” Ulang Fir
perlahan.
Gayanya seolah-olah cuba menghafal.
Reaksinya bagaikan mahu nama-nama itu melekat di fikirannya.
“Tak perlu nak hafal. Mereka bukannya
orang penting pun untuk Fir. Lainlah untuk Zaira.” Selaku.
Fir sekadar mengetap bibir
sambil mengangkat keningnya. Langsung tiada komen darinya mengenai perkara itu.
“Walaupun Ikmal dah ada orang lain, tapi dia
tetap orang yang Zaira rindui bila berjauhan begini. Terus terang Zaira cakap,
dia lelaki pertama yang buatkan Zaira mengenal erti rindu. Walaupun sudah ada orang
lain selain Zaira di hatinya tapi dia masih satu-satunya lelaki yang paling
istimewa di hati Zaira. Sudah tentulah dia tetap menjadi insan yang akan Zaira
selalu rindui.” Luahku.
Memang itulah kenyataannya.
Sampai saat ini, Ikmal masih lagi lelaki yang satu di hatiku. Amat sukar untuk
aku meminggirkan dia dari hatiku bila cintanya sudah aku paterikan di dalam
hatiku sejak kami mula bercinta dulu. Terlalu istimewa diri Ikmal untukku. Atas
sebab itulah aku masih kuat mempertahankan mahligai cinta dan kasih sayang kami
walaupun gelombang besar yang menganas sedang merempuh ikatan kebahagiaan itu. Masih
utuh pautan cintaku padanya sedangkan mungkin pautannya padaku sudah tidak
sekukuh dulu. Alang-alang Fir sudah mengetahui tentang kisah aku dan Ikmal
malam tadi secara kebetulan, maka terasa tiada perlunya aku berselindung
menyembunyikan perasaanku. Juga apa yang sedang aku rasa saat ini. Kebelakangan
ini, bercerita masalah dengan orang lain sedikit sebanyak memberikan aku kelegaan.
Dapat juga meringankan fikiranku buat seketika waktu. Sebelum ianya kembali
memberat bila masalah itu menerjah ke
fikiranku lagi tanpa diundang.
“Jika kita sayangkan seseorang,
memanglah dia sentiasa ada di dalam hati kita. Kerana di situlah tempat
istimewa dia dalam diri kita.” Ujar Fir.
Aku mengangguk tanda mengiakan
kata-katanya. Buat seketika matanya merenungku.
“He is so lucky to have you, Zaira.” Ulas Fir.
Matanya sudah merenung jauh
ketika dia mengucapkan kata-kata itu. Tidak lagi tertumpah padaku seperti tadi.
Aku menarik nafas panjang mendengar kata-katanya.
“Itu kata Fir. Tapi tidak pada Ikmal.
Sebab itulah ada insan bertuah lain di hatinya,” balasku.
Terselit rajuk dalam ayat itu. Kata-kataku
membuatkan Fir berpaling. Mungkin cuba mempamerkan wajah yang dia bersimpati
padaku. Wajah Ikmal dan insan bertuah itu tergambar di mata. Dengan kadar segera
aku menutup mataku rapat-rapat. Berharap agar gambaran itu segera menghilang
dari terus terlayar di ingatan.
“Betullah kan, Zaira. Orang
yang memiliki sesuatu yang bernilai itu tidak merasakan diri mereka bertuah. Orang yang tidak mendapatnya yang
melihat mereka itu bertuah. Sebab itu mereka tidak menghargai apa yang mereka
miliki yang di mata orang lain sangat berharga. Sebab itu jugalah mereka selalu
melepaskan sesuatu yang berharga itu kerana mereka tidak sedar yang tuah itu
sudah dimiliki oleh mereka. Kalaulah tuah itu dimiliki oleh orang yang sepatutnya,
alangkah bagusnya.” Ujar Fir.
Buat seketika, aku agak
terpegun mendengar kata-katanya yang bagaikan meluahkan rasa hati. Bagaikan dia
juga turut mengalami perkara yang sama. Bunyinya bagaikan dia sedang berjauh
hati. Mungkin dirinya juga terdiri dari golongan insan-insan yang tidak dapat
memiliki sesuatu yang bertuah itu. Kami senasib agaknya. Tidak sebertuah orang
lain. Mungkin sebab itulah dia masih lagi bersendirian.
“Nilai sesuatu perkara itu
tidak sama bagi setiap orang Fir. Nilai itu juga ada turun naiknya mengikut
waktu dan keadaan. Begitu juga dengan nilai Zaira pada Ikmal sekarang. Dulu
mungkin Zaira amat berharga dan adalah segalanya buat Ikmal. Tapi sekarang, pastinya
sudah tidak begitu lagi.” Balasku perlahan.
Fir sekadar menghela nafas
panjang mendengarnya. Seketika dia memandangku dan terangguk-angguk perlahan. Tentunya
sebagai tanda memahami keadaanku sekarang. Tiada lagi komen yang keluar dari
mulutnya selepas itu.
Sehingga kini, aku masih terasa bagaikan gurauan bila Ikmal
mengakui yang ada wanita lain yang sedang mengisi hatinya. Setiap hari aku
berharap agar gurauan itu akan segera berakhir. Namun gurauan yang tidak
kelakar dan tidak mampu membuatkan aku tertawa riang itu tetap mengisi hidupku.
Gurauan itu tidak langsung dapat menceriakan hatiku. Sebaliknya hanya mengundah
gulanakan hati dan perasaanku saja sehingga kini.