Home Novel Cinta DIA SAYANG AKU
DIA SAYANG AKU
Hanis Azla
5/12/2012 18:21:56
128,650
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

Bab 7

“Awak nak bercuti ke mana?” Soal Ikmal.

Aku terdiam. Memang tadi, lancar benar mulutku meminta keizinannya untuk pergi bercuti. Bercuti yang membawa maksud mahu mengubati lara yang sedang mencengkam hati dan perasaan. Bercuti yang tujuannya mahu memuhasabah diri yang serba kekurangan. Bercuti yang matlamat sebenarnya mahu lari seketika dari saat sang suami mahu dikongsi oleh wanita lain.

“Errr..” Untuk seketika aku berjeda. Memang tidak terfikir di fikiranku destinasinya. Yang aku tahu, aku mahu bercuti.

“Awak tak tahu nak ke mana lagi ke?” Soalnya terus lembut.

Sejak mendapat keizinan dariku, memang tuturnya lebih lembut dari kebiasaannya. Tanpa disedari, kelembutannya bukannya menyenangkan hatiku. Tapi hatiku jadi mual dengan kelembutan yang dipamerkan. Namun rasa mual itu tidak pernah aku pamerkan di hadapannya. Rasa mual itu selalu aku telan kembali. Sehingga pahit, masam dan busuknya itu hanya aku yang rasai sendiri.

“Errr..” Sekali lagi aku berjeda sebelum akhirnya menggeleng.

Aku masih tidak dapat memikirkan tempat yang sesuai untuk aku pergi bercuti. Maklumlah, kalau perancangannya menjadi, maka inilah percutian pertama buatku seorang diri. Tentu saja aku mahukan tempat yang aku selesa bila bersendirian tanpa ditemani rasa takut. Namun tiada pilihan tempat yang terbaik untuk aku pilih saat ini.

“Zaira tak tahu nak ke mana, tapi kalau boleh, Zaira nak pergi tempat yang Zaira tak pernah pergi.” Begitu pula jawapan yang keluar dari mulutku.

Jawapan yang tiba-tiba saja terpacul di fikiranku saat pilihan destinasi yang sesuai tiada satu pun yang menjelma di kepala.

“Kalau awak takde pilihan lagi, apa kata kalau saya cadangkan awak bercuti ke Perth. Sekurang-kurangnya di sana ada Azrai. Nanti, takdelah awak bersendirian di tempat yang awak tak pernah pergi.” Cadang Ikmal.

Jauh benar destinasi yang dicadangkan. Tentulah dia mahu aku pergi jauh darinya buat sementara waktu disaat dia mahu memulakan episod baru dengan wanita lain. Walaupun hatiku berduka dengan cadangannya, namun mendengar nama destinasi yang dicadangkan membuatkan hatiku jadi berbunga juga. Memang tempat yang disebut itu tempat yang aku teringin benar mahu pergi. Bukan kerana keindahan tempatnya. Bukan juga kerana teruja untuk melihat apa-apa yang menarik di situ. Ini kerana, sejujurnya aku tidak tahu apa-apa tentang tempat itu. Aku teringin benar mahu ke sana hanya kerana ada insan yang aku rindui berada di sana. Azrai.

“Kalau Ikmal izinkan Zaira untuk ke sana, Zaira ikut saja cadangan dari Ikmal tu.” Sahutku.

Bagusnya bila dapat pergi menemui Azrai nanti. Sebelum ini hanya melalui telefon aku dapat bercerita tentang konflik yang sedang aku lalui saat ini. Itupun sudah memberikan aku sedikit kekuatan. Andainya dapat bertemu muka dan bercerita dengannya lagi, tentu saja kekuatan yang amat aku perlukan saat ini jadi berganda.

“ACU nak datang sini? Betul ke? Wah bagus tu.” Begitu teruja Azrai menerima berita dariku.

Azrai merupakan anak sulung kepada abangku, along. Sebagaimana aku rapat dengan along dan isterinya Kak Mar, begitu jugalah rapatnya Azrai denganku. Adiknya Faqirah, juga begitu. Selepas arwah abah meninggal dunia, aku lebih banyak menghabiskan masaku di rumah along. Tambah-tambah lagi bila aku dan mama selalu tidak sebulu. Walaupun aku dan along berlainan ibu, tapi kami tetap rapat kerana along dan adiknya Kak Mila tinggal sekali bersama kami selepas kematian ibu mereka. Ketika along dan isterinya Kak Mar terpaksa bekerja di luar daerah, akulah orang kepercayaan along untuk menemani anak-anak mereka. Kalau anak-anak mereka mahu keluar dengan teman sebaya, akulah orangnya yang dipertanggungjawabkan untuk berada bersama-sama anak-anak itu sebagai peneman. Anak-anak along juga sangat selesa denganku kerana kami boleh berkongsi banyak perkara.

“Nanti Azrai tunggu Acu di airport ya. Lepas tu Azrai temankan Acu jalan-jalan di sini.” Janji Azrai.

Aku dan anak-anak along bagaikan kawan baik. Walaupun jarak usia kami agak jauh, tapi kami masih sekepala. Manakan tidak, sejak kecil mereka rapat denganku. Aku boleh masuk dengan aktiviti mereka. Mereka pula boleh masuk dengan apa saja programku. Anak-anak aku pula bagaikan adik-adik mereka sendiri. Itu yang membuatkan hubungan kami jadi tambah mesra dan rapat. Sejak Azrai melanjutkan pelajaran ke Australia, memang sudah lama aku tidak berjumpa dengan anak saudara kesayanganku itu. Jadinya, bila keluar cadangan dari mulut Ikmal, memang aku tidak teragak-agak untuk menerimanya. Dengan apa yang perlu aku lalui selepas ini, sememangnya aku perlukan kata-kata perangsang dari orang yang mengenali aku dengan sebenar-benarnya.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.