Bab
20
“Jom Zaira,”
ajak Fir.
“Kita nak ke mana?” Soalku.
Setelah puas berjalan sejak
tadi, aku terasa tidak mahu ke mana-mana lagi. Waktu ini kami sedang berada di
kawasan yang cukup strategik bagiku. Kedudukannya sudah sangat selesa. Pemandangannya
sangat indah. Aku lebih seronok untuk menghabiskan
masa dengan duduk melepak di sini. Walaupun berjalan-jalan juga seronok, namun
kepenatan mula terasa. Jadinya berjalan ke tempat lain tidak lagi menjadi
pilihanku.
“Kita nak baliklah. Takkan Zaira nak tidur kat sini pulak
kut.” Sambut Fir lembut.
“Kalau boleh, Zaira nak aje. Seronok sangat duduk kat sini. Rasa macam tak nak balik.” Luahku.
“Seronok sebab abang ada dengan Zaira kan?” Duga Fir cuba
mengusik.
Aku menyengih menyambut usikannya. Walaupun bukan itu
sebab sebenarnya, namun faktor itu memang turut menyumbang kepada keseronokanku
di sini.
“Entah, iya ke?” Sengaja aku menimbulkan
tanda tanya pula.
“Iya… abang tahu.” Sambut Fir
penuh yakin.
“Kalau Fir dah kata macam tu, agaknya iyalah kut.” Balasku lembut.
Menjaga hati orang lain adalah
sangat perlu. Lebih-lebih lagi hati orang yang baik budi dan cukup mengambil berat tentang
kita. Makanya aku memilih untuk menjaga hatinya dengan mengiyakan saja. Lagi pun
tiada kerugian langsung di pihakku andai aku mengakuinya. Aku memandangnya
sambil tersenyum. Fir juga ikut tersenyum senang menerima kata-kataku.
“Kalau macam tu, jom kita balik
dulu. Esok abang boleh temankan Zaira ke sini lagi kalau Zaira takde hajat nak
pergi ke tempat lain.” Ajak Fir sambil berjanji.
Ceria wajahku menerimanya. Rasa
sungguh teruja dengan kesudian dan pelawaannya untuk menemaniku esok. Untuk
mengelakkan keterujaan itu begitu menyerlah, aku sengaja mengusiknya kembali.
“Ohhh… Fir nak ajak Zaira keluar
date esok eh,” usik aku.
Fir tersenyum lebar menerima
usikanku. Sengaja ditonjolkan mimik wajah malu-malu.
“Eh, mana Zaira tahu ni?” Fir
terus melayan usikanku.
“Eeii.. mana boleh date dengan isteri orang.” Kutukku berpura-pura
tidak berkenan.
Berubah seketika wajah Fir.
Namun seketika kemudian wajahnya kembali cerah.
“Eh, taklah, abang bukan nak dating dengan isteri orang. Tapi abang
nak dating dengan adik abang.”
Balasnya bersahaja.
Cuba memperbetulkan
kenyataanku. Pendiriannya yang tetap dan masih tidak berubah menganggap
hubungan ini seperti abang dan adik membuatkan aku terus rasa selesa.
“Malam ni pun abang ingat nak
ajak ‘adinda’ abang…” Matanya memandangku ketika perkatan adinda itu disebut
sebelum menyempurnakan ayatnya yang seterusnya.
“A.k.a adik abang ni makan malam.” Sambung Fir menghabiskan kata.
“Amboi! siap ada a.k.a lagi.”
Perkataan also known as yang digunakan menarik minatku untuk mengusiknya.
“Iyelah, adinda kan biasanya membawa
maksud kekasih. Juga membawa maksud adik. Jadinya abang kenalah buat penerangan
yang betul agar maksud ayat tu tidak disalah erti. Sebab kalau tersalah erti
takut Zaira menolak pulak. Kalau tersilap panggil dengan maksud yang berbeza takut-takut
boleh lebam biji mata juga.” Terang Fir sambil menyengih di hujung kata.
Aku juga ikut menyengih.
“Hmm.. kalau kat sini tak lebam
biji mata kut, sebab Ikmal jauh. Tapi kalau kat Malaysia, agaknya memang mahu
seminggu Fir makan nasi bubur kalau panggil Zaira macam tu dengan maksud yang
lain tu.” Balasku beria-ia.
Penuh yakin aku berkata-kata. Sedangkan, entah ada lagikah perasaan cemburu Ikmal untukku. Segala urusanku di sini memang aku maklumkan
semuanya pada Ikmal di sana. Fir yang tidak pernah dia kenali juga aku kenalkan
melalui ceritaku kepadanya. Mahu juga aku dengar luahan rasa cemburunya. Kata
orang cemburu itu tandanya sayang. Namun, entah dia menyembunyikannya atau memang
langsung tiada rasa cemburu sehinggakan dia nampak tidak kisah bila aku meminta
izin untuk ditemani Fir di sini. Sudah
tidak sayang ke Ikmal padaku lagi? Tidak bertangguh rasa sedih mula terasa.
“Baguslah ada orang yang boleh
temankan awak di sana. Takdelah saya risau sangat.”
Begitulah reaksi yang aku
terima dari Ikmal. Bunyinya macam tidak kisah saja. Masih adakah kerisauan di hatinya bila hatinya sedang diisi
dengan kebahagiaan yang baru? Hmm… entahlah.
“So, kita nak makan kat mana malam ni?” Soalku.
Cuba mengalih perhatian diri
sendiri dari terus memikir perkara yang tidak menyenangkan hati. Memesongkan
fikiran dari terus menjawab persoalan yang jawapannya tidak aku ketahui.
“Eh, abang baru ajak-ajak ayam,
Zaira dah setuju pulak.” Giat Fir sambil mengangkat keningnya.
Aku membuat muka geram membalas
kata-katanya itu. Nampak macam aku pula yang terhegeh-hegeh mahu keluar
dengannya. Ada sedikit rasa malu menerima kata-katanya walaupun aku tahu Fir hanya
mahu mengusik.
“Zaira menangis lagi karang baru
tahu.” Ugutku bagi menutup rasa malu.
Fir tergelak perlahan. Kemudian
dia tersenyum panjang. Lelaki ini terlalu murah dengan senyuman. Senyumannya
pula manis sekali. Nampak penuh dengan keikhlasan.
“Eh, takdelah. Dah cakap nak
ajak, tentulah betul-betul ajak. Takkanlah nak ajak main-main. Tapi bila Zaira
terus bersetuju abang rasa macam ‘terkesima’ pulak. Sebelum ni abang ingat
tentunya Zaira akan menolak. Zaira jangan nangis ya.” Kalut Fir memujukku dan
memberikan penjelasan.
Aku mencebik mendengar
penjelasannya. Bukannya benar-benar terasa hati pun. Cuma tersentap sikit
dengan kenyataannya tadi. Oleh sebab itu, sengaja aku buat-buat tidak berminat dengan
pujukannya.
“Tak naklah kawan dengan Fir.” Rajukku spontan.
Sesudah itu aku tergelak
sendiri kerana tersedar yang aku sudah bereaksi kebudak-budakan. Juga mempamerkan
sikap mengada-ngada yang tidak kena tempat. Aku sendiri berasa geli sebenarnya. Ish..
ish.. nak merajuk konon. Nak minta orang pujuklah tu. Tak malu betul aku ni.
“Eh, janganlah tak nak kawan
dengan abang. Abang suka kawan dengan Zaira. Okey, malam ni abang masakkan
untuk Zaira ya. Kita makan ramai-ramai kat rumah Azrai. Boleh ajak kawan-kawan dia sekali.” Pujuk Fir.
Fir juga turut memaklumkan yang memang dia dan
Azrai sudah merancangnya sejak semalam.
“Alahai, ingatkan Fir nak ajak Zaira makan
malam berdua aje.” Usik aku.
Sebenarnya aku sendiri dalam kelegaan. Lebih
eloklah makan beramai-ramai daripada keluar makan berdua. Jadinya tidaklah aku
merasa kekok. Tentunya aku akan merasa lebih selesa.
“Kalau makan malam dengan adinda kekasih bolehlah makan berdua aje.
Sebab tak romantiklah kalau ada orang lain. Tapi sebab nak makan dengan adinda
adik, kenalah ajak orang lain sama. Takdelah nanti kita ada rasa yang lain. Mesti
banyak cerita yang boleh dikongsi dengan Azrai dan kawan-kawan dia. Macam tu
lagi seronok dan lebih baik kan. Takdelah menimbulkan fitnah nanti.” Balasnya
tenang.
Aku mengangguk-angguk tanda
bersetuju dengan kata-katanya. Dalam pada itu aku terus menyukai caranya yang
begitu berjaga-jaga. Dalam pada mahu rapat, dia tetap menjaga batasan
sepatutnya. Dalam pada mahu mesra, dia bagaikan sudah tetapkan hadnya. Jadinya
dia melayanku pada kadar yang sepatutnya. Tiada yang berlebih-lebihan melainkan
seadanya. Serba sederhana yang lebih banyak yang kurang dari terlebih. Memang
itulah yang sepatutnya. Sama-sama menjaga.
“Err.., terkesima tadi tu apa
ya?” Soalku menguji.
Teringat pula perkataan yang
digunakan tadi.
“Hmm.. entah ya. Abang pernah
terbaca perkataan tu. Rasanya ayat abang tadi macam sesuai untuk masukkan
perkataan tu. Nampak cool kan?” Balas
Fir sambil tergelak-gelak.
Siap boleh bangga lagi kerana dapat
menggunakan perkataan ‘terkesima’ tu.
“Banyaklah dia punya terkesima.
Tak cool mana pun.” Ejekku.
“Tak cool eh? Alamak, beria aje abang gunakan perkataan tu tadi.” Balasnya sambil tergelak-gelak.
Aku juga ikut tergelak dengan telatahnya yang
menghiburkan. Sangat bijak dia menceriakan suasana.
FIR menghulurkan telefon bimbitnya
kepadaku ketika kami dalam perjalanan pulang ke hotel. Dalam terpinga-pinga aku
menyambutnya. Kedengaran suara Azrai menyapaku
di talian. Sambil menyapa Azrai di talian, aku mengagau telefon bimbit
di poket beg. Telefon bimbitku sudah kehabisan bateri rupanya. Patutlah tidak
berbunyi. Aku tadahkan saja telingaku dengan bebelan Azrai yang meluahkan
kerisauannya kerana aku lambat pulang. Juga kerana tidak dapat dihubungi.
Kerana kerisauan, Azrai menghubungi Fir. Waktu itu barulah dia tahu yang Fir
sudah menemaniku sejak tadi.
“Acu dah on the way
baliklah ni.” Maklumku dengan lembut sambil memintanya menungguku di hotel saja.
Sesudah selesai berbicara dengan Azrai, dengan selamba
aku memasukkan telefon milik Fir terus ke dalam begku. Langsung aku terlupa
yang telefon bimbit itu bukan milikku. Aku hanya mengangkat kening bila Fir
memandangku semacam.
“Apa?” Soalku bila dia terus memandang.
“Telefon abang.” Jelasnya memberi klu.
“Oh..,” Balasku mula sedar apa yang tidak kena.
Sambil
menepuk dahi aku meminta maaf. Aku mengeluarkan telefon dari dalam beg dan
menghulurkan kepadanya. Dia terus memandangku semacam seperti tadi.
“Apa?” Rasa tidak puas hati dengan pandangannya, aku
menyoalnya sama seperti tadi.
“Telefon abang.” Tekannya lagi.
“Itu, Zaira dah pulangkan.” Balasku sambil menunding jari
pada telefon bimbit yang didalam gengamannya.
Ketika itu barulah aku terperasan
yang telefon bimbit di tangannya itu
adalah telefon bimbit milikku. Aduhai. Tak perasan betul tadi. Macam manalah
aku boleh terambil telefonku sendiri. Fir hanya menyengih sambil menggeleng-gelengkan
kepalanya dengan aksi mengejek.
“Kut iya pun suka dengan phone abang tu, tak payahlah nak ambil
terus. Suka-suka hati aje nak tukar dengan phone
dia.” Usiknya.
Sambil membuat muka geram, cepat-cepat
aku keluarkan telefon bimbit miliknya dari dalam beg dan memulangkan semula
kepadanya. Fir mengambilnya lalu terus
dimasukkan ke dalam poket seluarnya. Sekali dengan telefon bimbit miliku juga.
Kali ini giliran aku pula memandangnya semacam.
“Apa?” Soalnya.
“Kut iya pun nak jaga Zaira,
tak payahlah handphone Zaira pun Fir
nak jaga jugak. Suka-suka hati aje nak jaga phone
orang.” Usik aku memulangkan paku buah keras.
Fir tersengih panjang sebelum
memulangkan semula telefon bimbitku dengan wajah selamba.
PANJANG muka Azrai
menyambut aku dan Fir di lobi hotel. Namun melihat wajah ceriaku, terus hilang
wajah kerisauannya. Telefon bimbitku yang sudah kehabisan bateri aku suakan
kepada Azrai dengan wajah kesian. Sengaja buat muka sepuluh sen untuk mencari
simpati. Juga supaya Azrai lebih memahami mengapa aku tidak boleh dihubungi
tadi.
“Acu tak boleh nak cas telefon sebab soket plaknya lain.
Wayar charger yang Acu bawa tak boleh
nak cucuk pada plak kat hotel
ni. Tak boleh masuk. Macam mana Acu nak cas
bateri telefon Acu?” Aduku.
Azrai dan Fir saling
berpandangan menerima aduanku.
“Memanglah lain Acu. Soket plak di sini tak sama dengan soket plak kita di sana. Jadinya
memang kena guna plak yang berbeza. Acu boleh minta pinjam daripada pihak hotel
untuk soket tambahan yang ada pin plak seperti yang biasa kita gunakan.” Beritahu Azrai panjang lebar.
“Plak dan soket
elektrik berbeza di setiap
negara mengikut bentuk, saiz serta jenis penyambungnya, Zaira. Jenis yang
digunakan di setiap negara ditetapkan oleh badan penguatkuasa piawaian
kebangsaan masing-masing, misalnya SIRIM di
Malaysia.” Tambah Fir pula.
Penerangan Azrai dan Fir menambahkan
pengetahuanku tentang perkara itu. Maklumlah, inilah kali pertama aku
menjejakkan kaki ke luar negara. Sangkaku, di mana-mana tempat pun kita menggunakan
plak dan soket yang serupa. Rupa-rupanya
tidak. Berbeza soket dan plaknya di sini. Aku memang tidak tahu menahu
langsung. Di sini lubang soketnya bulat-bulat. Manalah boleh hendak dimasukkan dengan
pin plak kita yang berbentuk empat segi. Bila tidak tahu mengenainya, jadinya tidaklah
aku terfikir yang tentunya pihak hotel ada menyediakan plak tambahan yang boleh
digunakan oleh pelanggannya. Tapi okeylah juga. Dapat juga aku tahu seseuatu
yang baru sebagai ilmu.
“Abang ada plak tambahan tu.
Nanti abang bagi Zaira pinjam.” Usul Fir.
Azrai mempelawa untuk tolong
caskan bateri telefon bimbitku di bilik Fir saja. Setelah mendapat keizinanku, Azrai
mengikut Fir ke biliknya. Aku pula terus ke bilikku untuk mandi dan bersiap
sebelum mengikut Azrai ke tempat tinggalnya untuk jamuan makan malam yang telah
dirancang di luar pengetahuanku malam nanti.