Good Earth Hotel. Itulah nama
tempat penginapanku di Perth. Hotelnya menghadap sungai besar yang kelihatannya
seperti laut yang dikenali dengan nama Swan River. Kebetulan pula Fir yang baru semalam sampai di sini juga menginap
di hotel yang sama. Setelah menemani aku dengan urusan di kaunter dan menolong
membawakan beg pakaianku sehingga ke hadapan pintu bilik, kami berpamitan.
“Zaira ada nak keluar minum atau makan ke? Kalau nak abang
boleh temankan dulu.” Pelawa Fir sebelum berlalu.
Aku menggeleng tanda tidak mahu. Saat ini, aku memerlukan
rehat lebih dari mahukan makan dan minum. Mendengar jawapanku Fir langsung ke
biliknya yang aku tidak tahu di belah mana dan di tingkat berapa. Terasa tidak
perlu untuk aku ambil tahu tentang semua itu membuatkan aku langsung tidak
bertanya.
Suhu 18 darjah celcius dengan cuaca yang cerah dan
berangin mungkin bagi sesetengah orang adalah biasa. Namun bagi diriku, suhu
seperti itu sudah cukup untuk membuatkan aku mengigil dengan hanya sehelai
kemeja yang tidak setebal mana. Setelah mandi dengan kadar yang lebih cepat
dari biasa aku bersolat sebelum berselubung di bawah selimut. Niat di hati
ingin tidur buat seketika. Namun tidak terlelap mata ini sedangkan badan dan
mataku terasa letih benar. Banyak benar perkara yang berlegar di dalam kepala
sehingga membuatkan aku rasa resah gelisah tidak menentu. Namanya saja aku di
sini. Namun otak dan pemikiranku masih lagi tertinggal di Malaysia. Tempat di
mana aku meninggalkan anak-anak kesayanganku dan suami yang dikasihi. Juga
wanita yang saat ini mungkin sudah menjadi maduku!
Mengenang semua itu membuatkan
hatiku kembali rawan. Rasa sedih mula bertandang. Air mata kekecewaan turun
mencurah-curah. Bagaikan tidak cukup-cukup lagi untuk aku menangisi nasib diri
sebelum ini. Bukan pintaku untuk dimadukan. Bukan mahuku mengizinkan suamiku
menambah cawangan. Tapi itulah suratan dan kenyataan yang perlu aku hadapi kini
dan hari-hari seterusnya. Mahu tidak mahu, terpaksa juga aku menerima orang baru
yang amat tidak aku perlukan tetapi begitu didambakan oleh si suami.
Anak-anak juga turut merestui lantaran ibu baru mereka itu adalah guru mereka
sendiri. Guru kesukaan dan kesayangan mereka. Makanya, tiada alasan langsung
untuk anak-anak yang masih mentah dalam soal kehidupan menolak wanita itu dalam
hidup mereka. Wanita yang menjadi kesukaan dan kesayangan bapa mereka juga kini. Rasa mual untuk memikirkan tentang
perkara itu. Tapi, perkara itu masih terlekat kuat di kepala untuk aku terus
memikirkannya. Ah.. bencinya.
“Saya perlukan dia sebagaimana
saya perlukan awak.” Ungkapan itulah yang Ikmal sering ulang-ulang sebut
sehinggakan keizinanku menjadi miliknya.
Bukanlah aku terus diketepikan
lantaran itu aku membawa diri ke sini. Aku sendiri yang tidak tegar untuk
berada di sana, disaat insan paling istimewa dalam hidupku dimiliki oleh wanita
lain. Anak-anak pula bukan sengaja aku tinggalkan. Aku meninggalkan permata
hatiku untuk seketika juga kerana terpaksa. Aku terpaksa akur dengan permintaan
Ikmal yang mahukan anak-anaknya berada disampingnya bagi meraikan saat bahagia
kali kedua untuk dirinya. Seterusnya mahu anak-anak ada bersamanya untuk
menyambut kedatangan ahli baru dalam hidup mereka. Dengan keakuranku itu
jugalah maka aku mendapat keizinan darinya untuk bercuti ke sini. Penerbanganku
ke sini juga atas ehsan dari Ikmal. Aku tidak pernah meminta tapi dia sendiri
yang menawarkan tiket untuk aku ke sini. Mungkin juga sebagai cenderahati buatku yang sudi
memberi keizinan untuk dia memakna impiannya bersama pilihan hatinya yang baru.
Di sebalik kesibukannya mahu
mengejar masa sebelum majlis untuknya sekali lagi mengengam tangan tok kadi,
pemergianku ke lapangan terbang pagi
tadi masih dihantar olehnya. Anak-anak turut dibawa sama untuk memberikan
lambaian buat ibu kandung mereka. Mungkin keterujaan mahu menyambut ibu baru
membuatkan anak-anak tidak sedikit pun berkeinginan mahu mengikut aku ke sini. Dalam sedih, aku pasrah. Untuk merajuk, terasa
tiada keperluan kerana aku tahu anak-anak masih mentah. Tentunya tidak memahami
kelukaan yang aku rasai dengan penerimaan mereka terhadap keadaan ini.
“Hati-hati dan jaga diri di
tempat orang. Jangan pernah lupa yang saya tak pernah mahu kehilangan awak.”
Pesan Ikmal.
Lirih hatiku mendengar
kata-katanya. Saat perpisahan tadi, seperti lazimnya, tubuhku masih dipeluk
erat. Dahiku masih dikucup hangat. Perbuatan itu masih tidak lupa dilakukan
untukku. Sebelum malam nanti akan ada tubuh dan dahi wanita lain yang akan
menerima perbuatan yang sama darinya. Wanita
yang akan berkongsi dirinya denganku selepas ini. Wanita yang cukup aku kenali.
Teringat lagi bagaimana aku begitu gembira ketika mengenali wanita itu untuk
pertama kali. Insan yang tidak pernah terlintas di benakku akan merampas
kebahagiaanku bersama Ikmal. Juga insan yang tidak pernah ada secalit pun rasa
curigaku padanya yang dia akan mengisi hati suamiku yang sudah terisi dengan
cinta, kasih dan sayangku. Kalau pernah ada pun rasa curiga andai diriku
diduakan, memang wanita itu tidak pernah tersenarai dalam nama-nama orang yang
aku fikirkan akan diduakan oleh Ikmal. Kejamnya Ikmal kerana tergamak
menduakan. Kejamnya wanita itu kerana sanggup diduakan. Sampainya hati mereka.