Bab
17
Segalanya aku ceritakan kepada Azrai. Biar dia tahu dan faham akan
keadaanku. Bukan aku suka-suka mahu memberikan keizinan. Bukan aku saja-saja
mahu terus berduka lara. Bergerak-gerak tulang pipi Azrai mendengar ceritaku.
Lama juga dia menggeleng bagaikan tidak mempercayainya. Kalau mahu diikutkan,
aku juga mungkin tidak akan mempercayainya andai aku tidak melaluinya sendiri. Sebelum
ini aku hanya mendengar luahan perasaan orang. Membaca kisah kemelut rumah tangga
orang lain. Bila aku melaluinya sendiri, barulah aku tahu beban dan tekanan yang mereka tanggung selama ini. Mereka yang
senasib denganku bila suami berlaku curang dengan perempuan lain.
“Lepas tu, Acu pulangkan juga beg perempuan tu atau Acu
balik saja ke rumah?” Tanya Azrai.
Dalam pada rasa tidak puas hati
itu, mahu juga dia mengetahui keseluruhan ceritaku.
“Kalau ikutkan hati, memang Acu rasa nak terus balik.
Tapi dalam waktu yang sama Acu mahu Uncle
Ikmal tahu yang tembelangnya sudah pecah. Jadinya, dengan langkah yang
cukup berat Acu melangkah juga masuk ke dalam kedai makan tu. Heret Zarif dan
Zaril yang sudah bulat matanya bila nampak Cikgu Sufi mereka. Waktu itu, Acu
rasa macam nak campak saja beg perempuan itu ke mukanya. Terasa macam nak
siramkan air minuman yang di atas meja ke muka mereka berdua. Tapi Acu tak
terbuat semua itu. Acu tak mahu Zarif dan Zaril malu dengan kelakuan Acu. Acu
tak nak aibkan mereka di hadapan orang. Acu tak sampai hati nak buat semua itu.
Acu juga tak mahu malukan diri sendiri dengan tindakan yang bodoh macam tu.”
Ceritaku.
Reaksi anak-anak turut aku
selitkan untuk mengambarkan keadaan aku kepada Azrai ketika itu di saat
anak-anak juga nampak tidak berpihak kepadaku.
Sekali lagi Azrai menggeleng.
“Bagusnya Acu Azrai ni. Masih boleh terus tenang dalam
keadaan yang macam tu.”
Pujian dari Azrai tidak
berbekas langsung di hatiku. Sambil mencebik aku sekadar tersenyum pahit dan
meneruskan cerita.
“Sudahnya, Acu letakkan beg
Sufi di hadapan mereka dengan penuh sopan dan cakap elok-elok yang beg tu
tertinggal di rumah. Lepas tu Acu terus berlalu dengan susah payah sebab nak
heret Zarif dan Zaril yang waktu itu dah merajuk sebab permintaan mereka untuk
menyertai Uncle Ikmal dan cikgu kesayangan
mereka itu Acu tolak.” Nadaku yang bergetar sudah menceritakan kepayahanku
melalui saat itu.
Aku tersenyum tawar mengingati
kisah itu. Tidak tahu dari mana datangnya kekuatan untuk aku menang melawan
kehendak rasa amarahku.
“Perempuan yang bijak tidak akan mengikut nafsunya
membabi buta. Tapi bertindak mengikut akalnya. Azrai puji tindakan yang Acu
ambil tu. Azrai kagum.” Puji Azrai lagi.
“Azrai kagum?” Soalku kepada Azrai dengan nada yang
sedikit sinis.
Azrai mengangguk.
“Tapi Uncle Ikmal langsung tak kagum. Mungkin tak perasan pun mengenai semua
tu. Sedangkan Acu memang mahu dia rasa kagum dan rasa bersalah pada Acu sebab
tak melenting dan tunjuk perangai di hadapan orang.” Aduku.
“Uncle Ikmal
tu kan besar egonya. Dah buta hati pulak tu. Sebab itulah dia tak perasan semua
tu. Kalau dia perasan sekali pun, mana mungkin dia nak tunjukkan rasa kagum
tu.” Bidas Azrai.
Tentu saja kata-kata itu
terlahir dari rasa hatinya yang sarat dengan kebencian. Maka agak kasar
kata-kata yang keluar dari mulutnya.
“Cinta itukan buta Azrai. Sehingga yang baik dan yang
buruk tak terlihat di mata.” Sahutku. Masih mahu mempertahankan Ikmal
lagi.
“Memang cinta itu buta. Sebab itulah juga Acu masih boleh
terus setia bila Uncle Ikmal dah
berlaku curang. Senang-senang pulak nak bagi orang lain ambil hak Acu. Tentunya
perkara itu Acu lakukan kerana cinta yang buta juga.” Sindir Azrai penuh sinis.
Sindirannya terkena tepat di
batang hidungku.
“Betullah tu Azrai. Sebab cinta, Acu masih lagi bertahan.
Sebab cinta juga Acu mengizinkan. Lagipun Uncle
Ikmal tu bijak. Egonya selalu memastikan dia dapat apa yang dia mahu. Dia
tahu sangat apa kekurangan Acu. Jadinya, tidak susah untuk dia mendapatkan
keizinan dari Acu.” Akuiku.
BILA
kecurangan Ikmal
terbongkar, buat seketika waktu Ikmal menjadi dirinya yang sebenar. Sikap mesra
dan penyayang yang ditonjolkan memang berlebihan dari biasa. Aku dilayan dengan layanan yang cukup baik.
Tuturnya lebih lembut. Sikapnya lebih terbuka. Caranya lebih membahagiakan.
Kederatnya juga semakin ringan. Perlakuan-perlakuan itu membuatkan aku berusaha
untuk melupakan kecurangannya. Namun bila aku sudah mula melupakan
kecurangannya, Ikmal mula menjalankan misinya. Bila hubungan kami sudah kembali
seperti asalnya, Ikmal pula berterus terang tentang niatnya yang mahu
meneruskan hubungannya dengan Sufi. Sufi yang sudah aku haramkan untuknya
menjejakkan kaki ke rumahku untuk mengajar anak-anakku sebaik aku disedarkan
tentang hubungan yang berlaku di antara dia dan Ikmal di belakangku.
“Siapa yang boleh terima kalau pasangannya
membanding-bandingkan dirinya dengan orang lain. Acu tahu Acu ini banyak sangat
kurangnya. Acu jenis yang pentingkan kesempurnaan. Semunya nak selalu teratur. Acu
tak suka sepah-sepah. Bila rumah bersepah Acu tak boleh tengok. Kalau penat
sekali pun, Acu mesti nak mengemas juga. Bila dan mengemas tu, badan tentulah
rasa penat. Bila dah penat mulalah mulut Acu ni bising. Lebih-lebih lagi bila
dia sikit pun takde rasa nak menolong.” Luahku.
Kekurangan yang terlihat di
mata Ikmal aku maklumkan pada Azrai.
“Lepas tu mulalah nak membebel dan bersungut.” Sampuk
Azrai.
Aku mengangguk. Benar dan tepat sekali. Aku akan
membebel. Azrai faham sangat dengan sikapku yang satu itu.
“Lelaki manalah yang suka dengan bebelan dan rungutan.
Kata Uncel Ikmal, dia selalu tak tenang bila di rumah sebab Acu ini kuat sangat
membebel. Tak sudah-sudah nak merungut dan selalu nak kisahkan perkara-perkara yang
tak penting. Tetapi bila dia bersama Sufi, hatinya selalu tenang sebab sifat Sufi
berlawanan dengan Acu dan begitu mendamaikan baginya. Katanya, bila bersama Sufi
dia selalu berasa aman dan tenteram,” sambungku lagi meminjam luahan hati Ikmal.
Memang satu persatu aku hafal
ayat-ayatnya. Kekurangan lain tentang
diriku dan rumah tangga kami yang Ikmal turut ungkitkan tidak terluah pula
untuk aku ceritakan. Terasa bagaikan membuka pekung di dada pula bila
kekurangan diri yang terlihat di mata Ikmal mahu aku ceritakan kesemuanya.
Tidak sampai hati mahu terus menjatuhkan diriku sendiri di hadapan orang lain. Sambil
berpandangan, aku dan Azrai sama-sama menghela nafas panjang.
“Acu boleh berubah kalau itu sebabnya kan? Kekurangan itu
bukan ke boleh diperbaiki. Kenapa Acu tak minta Uncle Ikmal berikan peluang untuk Acu berubah?” Soal Azrai.
“Memang Acu dah minta peluang itu. Tapi katanya, dah
banyak sangat peluang yang dia beri untuk Acu sebelum ini. Dia kata Acu memang
dah tak boleh berubah.” Balasku.
Sekali lagi aku meminjam
kata-kata Ikmal yang sehingga saat ini susah benar untuk aku melupakannya.
“Langsung tak nak bagi peluang?” Soal Ikmal meminta
kepastian.
Aku menggeleng kerana itulah hakikatnya. Memang aku jadi
sedih dan terasa sangat bila Ikmal
menolak permintaanku untuk diberikan peluang untuk aku memperbaiki diri dengan
alasan yang sebegitu.
“Bila dia tidak mahu memberi peluang, Acu pula
membalasnya dengan terus mengeraskan hati untuk tidak memberikan keizinan. Tapi
Uncle Ikmal bijak. Kekerasan hati Acu
dibalas pula dengan sikapnya yang mendera perasaan Acu setiap hari. Siapa boleh
tahan Azrai, kalau dilayan dengan kebisuan setiap hari. His silent treament is killing me. Kalau sehari dua mungkin Acu
boleh bertahan. Ini sampai berbulan juga dia sanggup berdiam. Tak mahu dia bercakap
dengan Acu. Ada takde pun sepatah dua sebagai syarat. Bagaimana kami boleh
berkomunikasi kalau sudah begitu caranya. Dengan anak-anak dan orang lain boleh
aje dia berbual macam biasa.” Keluhku.
Azrai membalas kata-kataku dengan mimik muka tidak puas
hatinya. Kebisuan Ikmal memang begitu mendera hati dan perasaanku. Diamnya
membuatkan aku jadi hilang punca. Diamnya
yang berbulan-bulan itu juga yang membuatkan aku mengalah akhirnya.
“Bila sudah begitu, apalah kekuatan Acu untuk menolak
permintaannya. Dalam tak mahu, terpaksa juga Acu bersetuju.”
Azrai terus terdiam tanpa komen. Pastinya dia tahu, sudah
habis usahaku untuk menghalang Ikmal. Wajah simpati terpamer di wajahnya.
“Azrai doakan, Acu mendapat ganjaran yang sebaiknya untuk
pengorbanan ini.” Doanya.
Memang semua orang bersimpati padaku. Aku dilihat
bagaikan seorang wanita yang cukup kuat. Aku dilihat bagaikan seorang wira yang
pastinya akan menerima ganjaran yang besar di atas kebaikanku. Namun aku
sendiri tidak pasti. Adakah aku ini cukup layak untuk menerima ganjaran
tersebut? Kata orang, wanita yang mengizinkan suaminya berkahwin lagi
dijanjikan dengan payung emas. Itu
kata-kata orang yang aku pernah dengar. Kebenarannya tidak aku ketahui. Menurut
penjelasan ustaz yang aku dengar di rancangan agama di televisyen, payung emas
itu sebenarnya sebagai simbolik saja. Simbolik bagi wanita yang dengan ikhlas
memberi keizinan akan diberikan ganjaran yang baik nanti.
Tapi ganjaran yang baik itu tentulah buat wanita yang
benar-benar ikhlas memberikan keizinan. Dalam kes aku, keikhlasan memang
terlihat di mata orang lain. Namun untuk diriku sendiri, keikhlasan dalam
memberi keizinan untuk Ikmal itu sebenarnya tidak pernah wujud. Ini kerana
dalam memberi keizinan, aku tetap mengharapkan sesuatu. Aku cukup berharap agar
Ikmal akan rasa bersalah dan menyesal suatu hari nanti kerana melukaiku. Aku
juga amat mengharapkan agar tiada kebahagiaan buat mereka kerana mereka membina
kebahagiaan di atas kelukaan hatiku. Ikhlaskah keizinanku andai di dalam hatiku
ada doa-doa yang tidak baik untuk suamiku sendiri? Layakkah aku untuk menerima
ganjaran yang baik andai hatiku sendiri tidak bersih sebenarnya?