Home Novel Cinta DIA SAYANG AKU
DIA SAYANG AKU
Hanis Azla
5/12/2012 18:21:56
128,628
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 13

Bab 13

Sekejap tadi Fir yang datang menghampiriku. Duduk seketika, berbual dan melayani aku meluahkan rasa hati. Kali ini giliran Azrai pula. Nampaknya, takut benar mereka berdua andainya aku bersendirian melayani kesedihanku. Sehinggakan tiada ruang untuk aku berlama-lama mengenang kisah duka. Sudahnya, bagaikan menjadi tugas mereka pula untuk sentiasa bergilir menemani. Aku memang tidak mengharapkan mereka menjadi peneman yang sentiasa ada untukku. Namun bila mereka menunjukkan kesudian menemani wanita yang berhati walang ini, pastinya aku begitu menghargai perhatian yang diberikan.

Best tak naik keretapi tadi?” Soal Azrai ceria.

Azrai yang sangat arif tentang diriku tentulah maklum yang aku tidak pernah menaiki keretapi sebelum ini. Penuh mesra gaya dia mengajukan soalan itu. Aku mengangguk dan tersenyum kecil bagi menjawab soalannya.

“Azrai tahu, Acu tak pernah naik keretapi. Kalau kat KL memang kita akan naik kereta ke mana-mana. Langsung tak berpeluang nak naik keretapi. Sebab itulah Azrai minta Uncle Fir temankan Acu untuk datang ke sini naik keretapi tadi.” Jelas Azrai.

Bagus betul anak saudaraku ini. Cukup peka tentang diriku. Patutlah Fir tidak terkejut bila aku khabarkan padanya tentang pengalaman pertamaku tadi. Dia sudah dapat makluman lebih awal rupanya.

“Acu datang jauh-jauh nak bercuti di sini. Kata nak lapang-lapangkan fikiran. Nak senangkan hati dan nak lupakan masalah dengan Uncle Ikmal untuk seketika. Tapi Acu masih suka nak bawa diri jugak.” Ungkit Azrai.

Begitulah sikap Azrai. Dia memang suka berterus terang. Sinis kedengarannya kata-kata itu walaupun nadanya cukup berhemah. Namun menyedari yang Azrai tentunya tiada niat untuk menyindirku membuatkan aku tolak ke tepi perasaan terasa hati itu. Hanya senyuman tawar yang mampu aku berikan padanya bagi membalas kata-kata berupa ungkitan itu. Jika tadi Fir mengambil tempat di bangku panjang yang bersetentang, Azrai pula memilih untuk berkongsi bangku denganku. Aku berganjak sedikit ke tepi. Memberi ruang untuk Azrai mengambil tempat di sebelahku.

“Acu tak suka ya bila Azrai minta Uncle Fir jemput Acu semalam dan temankan Acu ke Fremantle hari ini? Acu tak selesa dengan Uncle Fir ke?” Duga Azrai padaku.

Dari soalannya dapat aku rumuskan yang Azrai begitu prihatin dengan keselesaanku. Bagaikan dia bertanggungjawab sepenuhnya untuk menjaga kebajikanku di sini. Mungkin Azrai merasakan soal itu menjadi penyebab kepada sikapku yang lebih banyak mengasingkan diri. Cepat-cepat aku menggeleng menidakkan sangkaannya.

“Eh, takdelah Azrai. Acu takde masalah dengan Fir. Dia sangat okey. Nice and friendly. Acu pun selesa dengan dia.” Balasku. Jujur dan ikhlas melahirkan apa yang aku rasa.

“Azrai minta maaf sebab hari ini pun Azrai tak dapat nak temankan Acu. Masih terpaksa minta tolong dari Uncle Fir untuk temankan Acu lagi.” Luah Azrai.

“Serius, Acu takde masalah tentang soal tu. Azrai jangan risaulah.” Tekanku.

Memang aku mahu Azrai tahu yang perkara itu tidak menjadi hal untukku.

“Cumanya… Acu takut Fir yang rasa tak selesa sebab kita terpaksa ‘libatkan’ dirinya juga.” Sambungku lagi, meluahkan kegusaran andainya aku pula yang telah menyusahkan Fir.

“Soal itu Acu jangan risau. Waktu Uncle Fir sampai sehari sebelum Acu sampai, Azrai ada maklumkan yang Acu juga nak datang ke sini. Waktu Azrai cerita pasal jadual Azrai yang padat sekarang ini, Uncle Fir yang beria-ia kata dia tak kisah kalau Azrai nak minta tolong apa-apa darinya. Katanya dia pun tiba-tiba saja terfikir nak datang ke sini dan takde apa-apa rancangan sendiri.  Lagipun Uncle Fir memang pernah datang ke sini sebelum ini. Cumanya baru ini Azrai dapat berjumpa dengannya.” Tambah Azrai lagi. Menceritakan kisah di sebalik kesudian Fir.

Kesudian Fir menemaniku di saat Azrai sibuk waktu ini adalah cukup bagus untukku. Sedangkan boleh saja andai dia tidak mengambil kisah tentang diriku. Dia juga memang tidak memerlukan Azrai untuk menemaninya di sini. Maka, sudah pastilah aku amat berbesar hati dengan kebaikannya. Yang bukan saja sudi menemani malah dia juga nampak begitu mengambil berat soal diriku.

“Kalau Azrai tak sibuk tentu Azrai dapat temankan Acu sepanjang masa di sini tanpa perlu nak minta tolong dari orang lain untuk temankan Acu.” Penuh kesal Azrai meluahkan rasa ralatnya.

“Eh takpelah Azrai. Acu faham keadaan Azrai sekarang. Final year kan? Mestilah sibuk dengan macam-macam tugasan. Tentu ada banyak hal. Acu faham sangat. Acu pun pernah melaluinya dulu. Acu yang silap masa datang ke sini waktu Azrai tengah sibuk-sibuk ni. Menyibuk aje Acu ni.” Balasku.

“Bukan Acu yang silap masa datang ke sini. Tapi Uncle Ikmal yang bodoh tu yang silap masa nak buat perangai. Patutnya tak payah buat perangai langsung.” Sanggah Azrai. Penuh kebencian bila nama Ikmal disebut.

“Azrai…” Selaku panjang.

Azrai hanya menghela nafas panjang dan mengangkat bahunya bagi membalas reaksiku yang nampaknya beria mempertahankan Ikmal. Lambat-lambat kata maaf dipohon.

“Azrai minta maaf. Tapi itulah apa yang Azrai rasa.” Ujarnya perlahan.

Sekali lagi Azrai berterus terang bagi meluahkan rasa yang dia tidak kesal dengan kata-katanya tadi. Aku mengangguk tanda aku faham dan akur dengan reaksi yang diberi. Tentulah Azrai turut rasa sakit hati bila ibu saudara kesayangannya ini diduakan oleh lelaki itu. Aku masih beruntung sebenarnya. Ini kerana masih ramai lagi yang menyayangi dan mengambil berat tentangku di saat kasih sayang Ikmal sudah sedikit luntur buat diriku.

“Hari ni Azrai ajak kawan ramai-ramai biar suasana jadi riuh dan ceria. Biar Acu tak fikirkan sangat hal yang sedih-sedih tu. Tapi Acu tak suka rupanya.” Luah Azrai.

Kata-katanya membuatkan aku rasa bersalah kerana lebih banyak mengasingkan diri ketika ada ramai orang yang berada di sekelilingku. Tentulah cara aku itu menimbulkan tanda tanya dan riak tidak senang di hati Azrai. Mungkin teman-temannya yang lain juga merasakan perkara yang sama.

“Eh, mana ada Acu tak suka. Acu seronok bila dia orang ada sekali dengan kita. Seronok bila riuh dan kecoh macam ni,” sanggahku.

Kata maaf juga aku pohon agar Azrai tidak tersalah tafsir. Juga sebagai tanda yang aku bersalah kerana nampak seperti tidak menghargai rancangan sebenar Azrai untukku. Aku cuba menceriakan wajah dan melemparkan pandanganku pada keriuhan teman-teman Azrai yang baru disertai oleh Fir. Nampak gayanya seperti begitu menarik topik bicara mereka. Sehinggakan riuh benar bunyinya. Kedengaran sedikit pelik bila Fir membahasakan dirinya ‘Abang Fir’ ketika berbual dengan mereka. Sedangkan bila denganku, hanya ‘abang’ saja yang digunakan sebagai ganti nama dirinya. Bagaikan gelaran nama ‘abang’ itu khusus buat diriku seorang. Terasa aku begitu istimewa pula. Mungkin kerana aku sedang menghadapi masalah membuatkan layanannya untukku menjadi sedikit istimewa berbanding yang lain.

Aku memberikan senyumanku kepada Fir dan teman-teman Azrai yang pada waktu yang sama berpaling membalas pandangan yang aku lemparkan kepada mereka. Kepelikan yang aku rasakan tentang cara Fir membahasakan dirinya segera hilang dari pemikiranku bila aku memberikan tumpuan sepenuhnya pada perbualanku yang seterusnya bersama Azrai.

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.