Bab
16
Bila jiwa sedang kacau dan hati pula diselimuti sengsara,
mood juga boleh berubah-ubah tak kira masa. Begitulah dengan diriku saat ini.
Keceriaan yang dapat aku pamerkan hanya seketika cuma. Bila kesedihan bertamu,
pastinya aku akan kembali melayani rajukku dengan seluruh perasaan. Kemuraman
tak tersorok. Kesedihan juga tak terbendung. Azrai yang prihatin pastinya dapat
mengesan perubahanku lantas menegur. Dia menggeleng perlahan. Pandangan tidak
senangnya dilemparkan padaku. Nafasnya dihela panjang.
“Again. Ingatkan
tadi Acu akan terus okey.” Rungut Azrai.
Waktu itu kami dalam perjalanan pulang dari Fremantle ke bandar
Perth pada lewat petang. Kesuraman petang yang gerimis menguasai emosiku saat
itu. Aku menoleh, memandangnya dengan pandangan yang kosong. Namun tidak kuasa
mahu bersuara. Untuk mengukir senyuman juga aku tidak mampu. Rungutan Azrai bagaikan
tidak terkesan di hati.
“Azrai rasa tak seronoklah bila
tengok Acu asyik bermuram macam ni. Acu tak nampak macam Acu Azrai yang dulu. Yang selalu ceria
dan gembira. Azrai peliklah, Acu nampak teruk sangat sekarang ni. Nampak macam
tak boleh terima nak bagi perempuan tu kongsi Uncle Ikmal dengan Acu. Tapi kenapa Acu tetap izinkan jugak?” Azrai
meluahkan apa yang dirasa.
Persoalan yang mungkin memenuhi
kepalanya waktu itu diajukan padaku. Aku mengeluh panjang. Tidak pasti
sama ada mahu bercerita perihal yang sebenar pada Azrai atau tidak. Kalau
boleh, aku memang mahu mengelak dari bercerita penyebab keizinanku untuk Ikmal
bersama dengan Sufi. Sebolehnya aku tidak mahu ceritaku nanti menjadikan Azrai
lebih membenci suamiku. Ini kerana aku sendiri merasa cukup meluat dengan cara Ikmal
yang licik sehingga akhirnya keizinanku menjadi miliknya. Namun untuk
berselindung kisah sebenar dari pengetahuan Azrai terasa tiada gunanya juga. Pastinya
nanti keadaan itu akan membuatkan Azrai langsung tidak akan dapat memahamiku. Tentunya
dia tidak akan tahu mengapa aku terus-terusan berduka. Bagaimana Azrai boleh
memahamiku andai cerita sebenar terus aku sorokkan darinya? Makanya, setelah
berfikir panjang, aku ceritakan juga segalanya kepada Azrai.
“Acu terpaksa Azrai. Terpaksa..” Luahku.
MASIH segar dalam ingatan bagaimana
aku yang pada malam itu begitu prihatin bila beg Sufi tertinggal di rumah kami
selepas Ikmal menghantarkan guru tuisyen anak-anakku itu pulang selepas sesi
mengajar anak-anak kami selesai. Ubat-ubatan yang terkandung di dalam beg itu
membuatkan aku rasa terpanggil untuk menghantarkannya kepada Sufi malam itu
juga. Ini kerana bagiku, pastinya ubat-ubatan itu sangat perlu buat Sufi yang
pernah diceritakan oleh Ikmal mempunyai penyakit. Tidak tahu mengapa Sufi tidak
pernah bercerita tentang penyakitnya padaku. Pada fikiranku, mungkin kakak Sufi
yang bercerita. Maka dari situlah Ikmal mengetahuinya. Bukan Sufi sendiri yang
membuka cerita pada Ikmal.
“Mengantuklah mummy.” Gerutu Zarif dan Zaril.
Anak-anak yang sudak mengantuk
aku heret sama ke dalam kereta setelah talian Ikmal yang cuba aku hubungi tidak
berjawab. Tiada yang menyusahkan untukku kerana jarak rumah Sufi dengan rumah
kami tidaklah sejauh mana. Hanya kawasan perumahan yang bersebelahan saja. Tambahan
pula aku memang tahu di mana tempat tinggalnya kerana aku pernah juga mengambil
dan menghantar Sufi di rumahnya pada waktu Ikmal terpaksa bekerja di luar
daerah.
Ketika kereta melintasi kawasan
kedai-kedai makan di kawasan perumahan kami, Zaril yang tadinya nampak begitu
mengantuk memaklumkan padaku yang dia ternampak kereta Ikmal ada di situ. Bersungguh
dia menunjuk. Dalam pada mamai-mamai itu masih peka lagi penglihatannya. Kalau
diikutkan masa Ikmal keluar dari rumah tadi, memang mustahil untuk Ikmal berpatah
balik dari kawasan rumah Sufi ke kawasan kedai itu. Pastinya Ikmal terus ke
situ tanpa menghantarkan Sufi pulang terlebih dahulu. Tanda tanya mula berlegar di kepalaku. Tanda tanya itu juga cuba aku menjawabnya
sendiri dengan pemikiran yang baik-baik saja. Tiada yang negatif. Berbagai
kemungkinan yang baik muncul di fikiran. Mungkin Sufi lapar, lalu diminta Ikmal
berhenti sebentar untuk membelikan makanan untuknya. Mungkin ada kiriman dari
kakak Sufi sehingga Sufi terpaksa meminta Ikmal singgah di kedai makan itu
terlebih dahulu. Mungkin itu, mungkin ini, dan berbagai kemungkinan yang aku
fikirkan. Namun memang yang baik-baik saja yang berada di fikiranku ketika itu.
Tiada langsung yang buruk. Ini kerana aku tidak pernah mencurigai suamiku.
Apatah lagi mencurigai perempuan sebaik Sufi yang nampak cukup berhemah perwatakannya
di mataku.
Selepas berpatah balik ke
kawasan depan kedai, aku memarkir kereta selang 3 buah kereta dari kereta Ikmal.
Anak-anak yang sudah nampak layu aku bawa keluar sama dari kereta. Panjang
muncung keduanya. Malam-malam begitu, meninggalkan anak-anak sendirian di dalam
kereta memang tidak menjadi pilihanku. Bahaya ada di mana-mana. Aku perlu
beringat.
“Lepas mummy hantarkan beg Cikgu Sufi ni kita balik rumah dan tidur ya.”
Pujukku pada anak-anak yang nampak liat untuk ikut turun.
Beg Sufi yang tertinggal tadi
aku jinjing keluar bersama. Langkah kaki aku atur ke kereta Ikmal. Ini kerana dalam
fikiranku, tentunya Ikmal sedang menunggu di dalam kereta pada waktu Sufi
membuat apa juga urusannya. Namun kelibat Ikmal tiada di tempat duduk pemandu.
Pada waktu itu dadaku sudah terasa padat. Fikiran yang baik-baik tadi mula menghilang.
Buat seketika aku kembali bersoal jawab sendiri. Muncul pula fikiran yang tidak
enak untuk aku fikirkan. Timbul juga persoalan yang tidak menyenangkan di dalam
hati. Apakah? Kenapakah? Buat apakah? Sudahnya aku terus keliru sendiri dengan
pelbagai pertanyaan yang memenuhi ruang kepala. Untuk melepaskan lelah di dada,
aku duduk di tembok yang berhampiran dengan kereta Ikmal. Loya dan mual datang
tiba-tiba. Datang terus lintasan dalam
fikiranku yang ada kalanya memang Ikmal akan mengambil masa yang lama
setelah keluar untuk menghantarkan Sufi pulang. Tapi selama ini perkara itu
tidak pernah menjadi persoalan untuk diriku.
“Mummy,
itu daddy dengan Cikgu Sufi.”
Pada saat aku sedang keliru,
Zaril memberikan jawapannya padaku. Segar matanya memandang guru yang kini
termasuk dalam senarai insan kesayangannya. Tundingan jari yang terhala pada Ikmal
dan Sufi di kedai makan itu membuatkan aku seakan mahu pitam di tempat aku
berdiri. Manakan tidak, mereka nampak begitu mesra. Sedangkan di hadapanku
mereka kelihatan bagaikan langsung tidak serasi untuk berbual. Yang selalu
terpamer di mataku ialah riak ketidakselesaan mereka. Rupa-rupanya
ketidakselesaan itu hanyalah di hadapan mataku sahaja. Di belakangku,
ketidakselesaan itu bertukar mesra. Saat ini mereka kelihatannya cukup serasi
bersama.
“Kita nak makan sekali dengan daddy dan Cikgu Sufi ya mummy?” Tanya Zaril penuh teruja.
Pertanyaan
itu tidak langsung
mendapat perhatianku. Perhatianku lebih tertumpu
pada Ikmal dan Sufi. Nampak beria-ia
kedua-duanya berbual. Sempat lagi aku lihat Sufi tertawa manja. Ikmal pula
membalasnya dengan pandangan penuh mesra. Tak beralih tumpuan Ikmal kepada
Sufi. Pandanganku sedikit terhalang bila pelayan menghantarkan makanan. Namun
terlihat juga di mataku tingkah Sufi yang nampak penuh sopan santun. Dengan
cermat Sufi mengambil pinggan yang ingin diletakkan oleh pelayan kedai di
hadapan Ikmal untuk diletakkannya sendiri. Begitu juga dengan air minuman Ikmal.
Semuanya mahu diletakkan sendiri. Menyirap darahku. Cukup bagus layanan Sufi
kepada suamiku. Lebih menyirap bila aku lihat Sufi dengan selamba menyedut
minuman Ikmal terlebih dahulu sebelum dia menyedut air minumannya sendiri.
Tidakkah perlakuan itu menunjukkan betapa intim dan mesranya perhubungan mereka?
Aku beristighfar berkali-kali dan mengucap di dalam hati. Aku boleh jadi gila
dengan apa yang aku lihat ini. Tetapi aku tidak mahu menjadi orang gila. Orang
yang tidak waras dan lupa diri hanya kerana ujian ini. Maruah dan air mukaku
boleh aku tolak tepi andai aku mahu menunjukkan ‘kegilaanku’ di situ. Namun
maruah anak-anak yang masih kecil itu cukup perlu untuk aku jaga. Agar anak-anak
tidak menyesali perlakuan yang aku tonjolkan di hadapan mereka saat ini
sepanjang hidup mereka. Tentunya bukan kenangan yang indah buat mereka bila aku
mempamerkan ‘kegilaanku’ di hadapan mereka.
“Astaghfirullahalazim.. Astaghfirullahalazim.”
Ucapku berkali-kali.
Demi anak-anak, aku rela
mengalah. Alhamdulillah, istighfar yang aku ulang-ulang sebut sejak tadi cukup
berkesan untuk meredakan kepanasan hati. Walaupun perasaannya masih membara,
namun ianya tidak terus marak. Cukup berhasil untuk buatkan aku terus mempertahankan
kesabaranku saat ini. Saat aku ditikam dari belakang oleh orang yang
benar-benar rapat denganku.
Aku tidak pernah ditikam oleh
senjata tajam. Apatah lagi ditikam dari arah belakang. Jadinya, aku tidak tahu
bagaimana rasanya sakit bila ditikam. Namun saat ini, aku sudah dapat merasakan
kesakitan itu. Aku dapat rasakan bagai organ-organ dalamanku terkoyak. Terasa darah
membuak-buak keluar sehingga alirannya dapat aku rasakan sehingga ke seluruh tubuhku. Peritnya terasa sungguh
menyiksa. Sungguh tajam tikaman dari senjata yang tidak kelihatan ini. Senjata
yang tidak aku ketahui tahap ketajamannya.
Juga bagaimana bentuk rupanya. Yang aku tahu ianya menyakitkan. Pedih, sakit
dan ngilu. Ianya melukakanku dengan kelukaan yang cukup parah.