Home Novel Cinta YUMEJIMA
Bab 44

 

Shiro dan Hisamiko sedang duduk-duduk menikmati udara musim bunga yang berpuput merentas lembah rendah itu, membawa bersama bau hanyir laut dan wasap gunung berapi. Di keliling mereka bunga-bunga sumire yang berwarna ungu dan bunga tulip warna merah tumbuh jarang-jarang. Ada bunga lain warna kuning dan biru entah apa. Bagaimana pulau yang terasing ini boleh ditumbuhi bunga dari benua lain tidaklah diketahui. Hendak dikatakan ia pecahan dari benua tidak pula, kerana ia terhasil dari letusan gunung berapi. Barangkali benih-benih bunga ini dibawa burung atau diterbangkan angin, atau mungkin juga, dibawa hujan.

 

Hisamiko berbaring dihampar bunga-bunga. Matanya dipejam menghindar silau mentari, hidungnya menyedut bau-bauan yang mewangikan yukatanya itu, yang tidak pernah disembur pewangi pun. Dahulu dia pernah berhias, namun hanya sekali itu sajalah. Dia berhias setelah dipelawa Hotaru-nee chan di Inotani. Abangnya menegah dia bercantik-cantik, katanya bakal menarik mata-mata nakal lelaki meratah tubuhnya. Namun apa dia peduli, dia sudah dewasa. Onii-san sudah pun tiada. Aku kini bebas menentukan hala tuju hidupku.

 

Shiro turut terpengaruh dengan Hisamiko, hidungnya berdenyut-denyut cuba menikmati bau-bau bunga itu. Dia mencuba kerana dia tidak pernah berminat, namun melihatkan Hisamiko yang leka membau maka dia terpengaruh. Namun dalam haruman bermacam bunga yang berkincahan bersama hanyir laut dan wasap maung belerang gunung berapi, Shiro terbau sesuatu yang aneh. Seperti bau dirinya namun lain sedikit. Ada bau Tomokazu juga. Dia menoleh. Kuro menerkamnya tiba-tiba, namun ia sempat menepisnya.

 

“Kuro, keluar dari sini atau aku akan membunuhmu. Engkau telah menceroboh!” Shiro memberi amaran, sambil merenung mata Kuro. Seperti di hari Tomokazu diserang, mata Kuro tidak berubah. Mata hitamnya membesar dan legap seperti mata beruang. Kuro tidak lagi berbicara dengannya. Ia hanya menggerutu dan mengaum. Kuro jelas tidak faham.

 

Lantas Kuro tidak ambil pusing amaran Shiro. Dua makhluk serupa anjing berlainan warna itu bertarung. Cakar sana libas sini, libas sana cakar sini. Berpusing sana terbang sini, terbang sana berpusing sini. Pantas mereka pantas sepantas kaminari. Hisamiko hanya memerhati dua ekor anjing-serigala yang bersayap itu berkelahi. Ribut taufan yang dua gergasi itu hasilkan menerbang mengerbangkan rambut panjang hitamnya yang tidak berikat ke sisi.

 

Kuro nampaknya masih bersemangat dan berkekuatan. Shiro sudah tercarik bulu tercabut kuku cakar. Luka-luka tubuhnya. Kuro ada sedikit cedera. Shiro lebih mencungap seperti anjing. Kuro hanya mencungap sedikit-sedikit.

 

Kuro sekali-sekala menjeling Hisamiko. Shiro tahu, Kuro menyasar Hisamiko. Dia mahu memakan Hisamiko. Hanya Hisamiko manusia yang masih hidup di sini.

 

“Kuro, dengari aku.” Shiro cuba memujuk Kuro. Entah berkesan entah tidak usahanya, namun dia harus jua mencuba.

 

“Kuro, engkau telah menjadi binatang. Selaku binatang, engkau ancaman kepada kami. Beredar dari lembah ini segera, atau aku akan bunuh engkau!” Shiro berbicara dalam bahasanya, dia nampak amat kurang bermaya setelah dibantai Kuro bersilih-ganti.

 

Kuro tidak menjawab, hanya menggerutu dan mendengus. Matanya merah. Sekali-sekala dia memandang Hisamiko dan mencari ruang dan peluang mencapainya, dan kala itu jugalah kelibat Shiro yang longlai menghalangnya.

 

Shiro akhirnya rebah dan tidak mampu bangkit lagi selepas bertubi-tubi diserang Kuro. Hisamiko menyirap darah tatkala Kuro sudah semakin hampir ke tempatnya. Pergerakan pantas makhluk ini dibantu oleh sayap mereka yang mampu meringankan tubuh.

 

Hisamiko mengeluarkan pedangnya.

 

“Jangan kaudekati aku binatang hodoh.”

 

Kuro tidak menyahut. Cakarnya mendahului, dan Hisamiko melibas pedang. Terputus satu jari.

 

Shiro terbelalak mata dalam berbaring, melihatkan kebolehan Hisamiko mendaratkan serangan berkesan. Kuro makin agresif melihatkan jarinya putus dan darah menitik dari tangan membasahi bumi.

 

Hisamiko sedikit gentar kerana seumur hidupnya belum pernah dia bertarung dengan haiwan sebuas ini. Ia lebih besar dari beruang yang dikatakan mendiami hutan utara itu. Dia tidak pernah berpeluang bertemu beruang itu, namun Hisamine pernah menceritakan beruang itu tinggi sedikit dari orang dewasa. Hisamine mengatakan Shiro dua kali lebih besar daripada beruang. Saiz Shiro pula sama dengan Kuro.

 

Namun demi Shiro yang masih lemah, dia harus menguatkan semangat. Pertarungan berlangsung berterusan di antara Hisamiko dengan Kuro.

 

Namun ternyata Hisamiko tidak mampu menandinginya. Dia rebah selepas tangan Kuro berjaya menampar tubuhnya menyebabkan dia terpelanting ke tanah.

 

Shiro geram tidak terkata. Dia cuba bangkit namun tubuhnya seolah diikat pada tanah dan dihempap batu yang besar.

 

“Nozomi...” Shiro menyebut nama itu dalam bahasa binatangnya. “NOZOMI.” Dia mengulangnya lebih kuat.

 

“NOZOMI, detekoi (keluarlah)!”

 

Hisamiko pula hanya mendengar kuapan atau laungan seakan serigala. Sepatah haram tidak difahaminya.

 

Ia percubaan rawak Shiro demi melindungi mereka berdua. Berjaya atau gagal harus difikirkan kemudian. Hanya nama itu yang mungkin berupaya menyedarkan Kuro. Pertemuan dan perbualan singkat mereka memberi peluang Shiro mengenalinya, kisah latar Kuro lima abad lampau. Kekasihnya Nozomi. Barangkali cinta itu bakal mengembalikan kewarasannya. Mungkinkah cinta itu penawar paling ampuh sebuah sumpahan? Mungkinkah dirinya bakal dileraikan sumpahan ini dengan cinta? Dia tidak tahu, namun dia perlu mempercayainya.

 

Shiro tahu, Kuro semakin hilang kemanusiaannya. Dia pernah menjadi manusia, dia pernah memahami bicaranya. Mungkin dengan melaung nama itu dapat mengembalikannya barang secebis cuma. Mungkin. Shiro tahu jika dia menghadapi perkara sama dan Hisamiko tidak tiba di sini, barangkali mungkin dia akan menjadi seperti Kuro juga.

 

Namun siapa tahu, di saat itu Kuro memahami laungan Shiro. Ia nama yang semakin hampir dilupakan. Cinta lebih lima abad yang sekian lama cuba dihidupkan baranya semakin terkubur tatkala dia mengebumikan mayat sebenar Nozomi tempoh hari. Nozomi yang sudah busuk berulat itu pernah dahulu segar dan membakar jiwanya, tenggelam dalam gelora cinta sehingga matanya buta oleh risiko dihumban di tengah samudera.

 

Kuro bergerak perlahan mendekati Shiro seolah dipukau. Shiro terus-menerus melaung nama itu, sehingga pabila Kuro cukup rapat dengannya, dia menusuk cakarnya ke leher Kuro. Serentak dengan itu, Hisamiko melibas pedangnya ke tengkuk Kuro, menamatkan riwayatnya serta-merta.

 

Kuro rebah ke bumi. Bulu-bulu di tubuhnya mengewap menghilang termasuk ekor dan sayapnya dan perlahan-lahan jasad seorang lelaki beryukata era Ashikawa terdedah. Matanya sudah terpejam dan telinga capang dan wajah putihnya jelas di mata.

 

“Dia Yoshimaru.” Tulis Shiro di atas tanah. “Lelaki yang terdampar di pulau ini bersama Okuhida Nozomi.”

 

“Okuhida Nozomi itu moyangku.” Ujar Hisamiko memberitahu Shiro. Hisamiko terhenti seketika tatkala dia membaca nama Yoshimaru dan terimbas nama yang pernah disebut Kaisenjyo. Kaisenjyo pernah menempati jasad moyangnya Nozomi. Memori Nozomi pernah dikongsikan Kaisenjyo kepadanya.

 

Yoshimaru ialah kekasih Nozomi. Yang sanggup menyertai Nozomi dibuang ke laut dan terdampar di pulau ini. Ia seperti Tsuneki. Namun Tsuneki mendapat jawapannya. Mati Tsuneki tidak sia-sia. Dia membawa cintaku pergi ke dasar bumi ke alam sana.

 

Sedang Yoshimaru tidak mendapat jawapan dari Nozomi sehingga ke akhirnya. Namun kesetiaan Yoshimaru membawanya ‘hidup’ sehingga ke saat ini. Meskipun ‘hidupnya’ itu hanyalah sebuah rasukan, sekujur zombie atau boneka.

 

Hisamiko membelai rambut hitam Yoshimaru, memandang sayu wajah kaku itu dan mengebumikan mayatnya kemudian.

 

Shiro memandang Hisamiko dan fikirannya menerawang. Apakah aku boleh meleraikan sumpahan ini sepertimana Yoshimaru, fikirnya.

 

**

 

Suatu hari, Hisamiko duduk mengadap sungai air panas yang mengalir tenang merentas lembah itu menuju ke teluk kecil. Memorinya bersama Hisamine menangkap ikan bermain di benak. Sungai itu lebih panas dari biasa sekarang. Mungkin kerana lahar sudah melarat ke bawah kaki. Atau mungkin, kerana musim bunga ini lebih hangat. Ikan-ikan mula menghindar dari mendekati hulu sungai yang lebih panas. Hisamiko terpaksa memancing jauh sedikit dari tempat selalu dia menangkap ikan, atau meminta tolong Shiro sahaja melakukannya.

 

Dia memandang hulu sungai itu, sehingga ke puncak di mana ia mengalir. Ada mata air panas di puncak itu, mengalir melimpah-limpah ke dalam takungan di sekelilingnya, membentuk sebuah kolam air panas sebelum turun ke bawah sebagai sungai. Pandangan Hisamiko melarat ke puncak di sebelah tasik yang sering mengeluarkan asap, iaitu puncak berkawah. Dia mendapati asap dari puncak bukit itu yang merupakan salah satu dari puncak-puncak bukit yang mengelilingi lembah itu kian tebal hari demi hari.

 

“Shiro, apa kaufikir bukit itu akan meletuskah?”

 

“Aku fikir ia akan meletus. Aku telah di sini berpuluh tahun namun ini kali pertama asapnya setebal ini.” Tulisnya dengan kayu terbakar pada batu sungai yang besar.

 

“Jika pulau ini musnah, ke mana kita akan melarikan diri?”

 

“Aku tak tahu.”

 

“Shiro. Kaisenjyo telah mati. Aku fikir mungkin engkau telah dibenarkan meninggalkan pulau ini.”

 

“Bagaimana pula engkau boleh fikir begitu?”

 

“Angin dan gelora laut itu sihirnya. Kini ia tiada lagi.”

 

Betul juga, getus Shiro. Tidak salah aku menguji telahan Hisamiko.

 

Shiro mengisyaratkan Hisamiko agar menunggangnya di belakang. Sebaik Hisamiko mengemas duduk, Shiro mengembangkan sayapnya, berlari dan menujah ke udara sambil mengibasnya. Semakin lama mereka semakin tinggi dan pulau itu mengecil. Shiro terbang sejauhnya sehingga dia merasakan pulau itu lebih kecil dari saiznya ketika dia dihalang angin aneh.

 

Shiro hanya mendengus kecil, mengiyakan telahan Hisamiko ketika terbang.

 

Dia terbang semakin jauh sehingga pulau itu benar-benar hilang dari pandangan. Dia turut mengitari laut sekeliling dan mendapati tiada pulau lain di sekitar pulau tempat mereka berdiam.

 

Sebaik mereka kembali, Shiro berbincang dengan Hisamiko.

 

“Bagaimana Hisamiko? Tiada pulau lain di sekitar ini. Meskipun sumpahan Kaisenjyo telah berakhir, tiada pulau lain di sini.”

 

Hisamiko tunduk kesal. Dia tidak tahu apa harus dicadangkan lagi. Dia mahu meninggalkan pulau ini namun bukan ke Jepun. Tidak Jepun. Itu amanat abangnya.

 

Namun begitu, pulau ini semakin berbahaya untuk didiami. Dia harus mencari pulau lain demi meneruskan hidupnya bersama Shiro.

Previous: Bab 43
Next: Bab 45

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov