Hisamiko berdiri di atas tebing tinggi di tempat di mana Tomokazu selalu berdiam. Dia menemuinya tatkala cuba-cuba meneroka gua di hutan gelap. Sedang menelusuri gua itu, dia mendaki tangga-tangga yang dibentuk lantai berbatu di dalamnya sehingga membawanya keluar dan sampai di tebing tinggi ini. Panorama laut lebih luas dan lebih tinggi di sini tidak seperti tebing tinggi di mana kubur Ryouji dan Hisamine ditempatkan.
Dari jauh dapat dilihat asap berkepul-kepul. Setahunya tiada pulau lain di sini. Apakah ia asap dari kapal?
Hisamiko dapat mengesan kehadiran objek serupa besi dari arah laut, dari arah asap itu. Semakin lama isyarat itu semakin kuat. Dari jauh dapat dilihat semakin hampir imej sebuah kapal berwarna hitam dengan cerobong melepaskan asap hitam yang tebal. Pastinya kapal yang menggunakan arang batu sebagai bahan bakar. Kapal jenis ini biasanya dibeli dari pembuat kapal Amerika. Jepun masih belum berjaya mencipta kapal begini setahunya. Apakah rombongan ini dihantar oleh Maharaja? Ini kerana hanya tentera Maharaja yang mampu membelinya dari pembuat kapal Amerika. Dan dalam banyak-banyak penjual kapal, hanya pembuat kapal Amerika yang mengeluarkan kapal jenis ini, yang mengeluarkan asap dan...
Hisamiko melopong. Tatkala kapal itu semakin jelas di hadapan mata, ada meriam besar dalam lima buah begitu dengan setiap muncung meriam dihalakan ke arah pulau.
Kurofune da! (Ia kapal hitam!) Jerit Hisamiko dalam hati. Ia kapal hitam seperti yang pernah kulihat ilustrasinya dalam perpustakaan di shukuba di Nakasendo. Ia kapal dari Amerika semestinya. Ia kapal yang pernah dibawa dan dipamer ke Jepun oleh Laksamana Palgraves sebagai amaran agar Maharaja melonggarkan dasar tutup pintu atau sakoku, puluhan tahun lepas.
Apakah mereka mahu membedil pulau ini?
“Shiro, kita undur ke lembah dahulu.”
Apa yang kaunampak? Shiro bertanya dengan riak wajah, mengangkat keningnya yang berbulu putih lebat.
“Aku nampak kapal... Kapal hitam.”
Kapal hitam?
“Ayuh!” Hisamiko menarik sayap Shiro. Shiro teragak-agak dan terpinga-pinga namun dia turut sahaja Hisamiko masuk kembali ke pintu gua untuk turun ke hutan gelap.
Tidak lama kemudian kedengaran bunyi letupan menggegarkan segenap penjuru pulau. Bumbung gua yang mereka telusuri turut bergoncang, dan sedikit debu berguguran
Apakah gunung berapi itu sudah meletup? Getus Hisamiko. Atau mereka benar-benar telah membedil pulau ini?
**
Muncung meriam yang baru melepaskan tembakan ke udara itu masih bersisa asapnya.
Seorang lelaki berpakaian seragam ala tentera Prussia berwarna hitam, mengangkat tangannya rendah mengisyaratkan pencucuh meriam agar berhenti sebentar. Lelaki itu membetulkan topinya yang senget akibat gegaran meriam. Dia merenung pulau di hadapannya, memerhati kalau-kalau ada tanda pergerakan atau tanda serangan balas.
Usai dua minit dia mendiamkan diri. Tiada tanda. Pulau ini masih belum berpenghuni nampaknya.
Yoshihisa di belakangnya melopong melihat asap dari pulau. Seingatnya pada rombongan beberapa tahun lalu, asap dari pulau itu tidak setebal ini. Apakah ia bakal meletuskan lahar?
“Mikio-san, aku fikir kita harus lekas melangsaikan misi ini.”
“Mengapa Yoshihisa-san?”
“Aku fikir pulau itu bakal meletus dalam masa terdekat. Seingatku asap dari bukit itu dahulu tidak setebal ini.”
Tidak lama kemudian tatkala kapal mereka semakin hampir dengan jeti, kedengaran bunyi batu-batan yang melapisi sebahagian tebing tinggi pulau itu runtuh. Air laut di sekitar pesisir berkocak berolak.
“Jishin da (gempa bumi).” Gumam Mikio, lelaki berpakaian seragam ala Prussia dan ketua pembedil. Yoshihisa menelan liur, pahit rasanya. Gentar berfikir apakah ini misi bunuh diri? Aku mahu pulang. Aku belum puas menikmati hidupku. Wang-wang yang aku telah kumpulkan sewaktu misi pertama dahulu belum habis dijoli. Sebentar, mengapa aku begitu bodoh menyertai mereka ini? Bukankah aku sepatutnya menunggu di Jepun? Bukankah aku bos dan paling kurang pun hanya perlu menghantar orang-orangku? Dan aku di sini mengetuai mereka pula?
Tidak, usah aku lupa tujuanku ke sini. Aku mahu selamatkan Hisamiko bukan? Meskipun Maharaja memerintahkannya, namun aku tetap mahu menyelamatkannya. Baginda hanya mengingatkanku kembali kepadanya, gadis yang aku telah tinggalkan di sini, iya, aku tinggalkan dia di sini kerana mereka sendiri mahu tinggal di sini bukan? Namun masih aku rasa bersalah...
Tidak, bukan kerana bersalah. Aku kasihankan dia. Aku dengar abangnya telah mati akibat racun itu, dari Sarumichi. Mereka berdua amat baik terhadapku sewaktu di kapal, bahkan di malam itu ketika mereka menyelamatkanku dari ditangkap orang-orang Yato. Aku terpaksa meninggalkan mereka demi wang, namun mereka juga sememangnya mahu menetap di sini.
Hisamiko, engkau harus tinggalkan pulau itu sekarang. Tiada harapan lagi untuk engkau bertahan di situ. Ia akan meletus bila-bila masa. Apakah engkau masih hidup? Apakah engkau masih sihat? Atau... apakah engkau telah dibaham haiwan hitam itu?
**
Anak kapal turun seorang demi seorang menggunakan bot-bot kecil. Perairan yang cetek memaksa rombongan memberhentikan kapal jauh sedikit dari jeti. Sebaik sauh dilabuhkan, anak kapal berbondong-bondong turun ke bot masing-masing dan lengkap bersenjata api. Meriam di atas kapal dihalakan ke pulau sebagai langkah waspada sekiranya ada kedapatan lanun atau pasukan penakluk terdahulu yang cuba-cuba mahu menghalau mereka. Berwaspada itu perlu meski tiada serangan balas kedapatan dari pulau itu. Inisiatif penaklukan ini dilihat sebagai perang oleh tentera Maharaja maka meriam sudah disiapsiagakan awal-awal.
Yoshihisa turut bersama tentera di dalam salah sebuah bot.
“Yoshihisa-san, engkau tidak perlu mengikut kami. Engkau ketua kami.” Salah seorang tentera menasihati Yoshihisa.
“Aku fikir aku perlu. Budak itu hanya mengenaliku.”
Tentera itu diam sejenak, dan merenung Yoshihisa. Dia menyambung,
“Terpulanglah. Namun ingat, engkau pergi di atas risikomu.”
“Siapa di antara kita yang tidak mengambil risiko, Sakaki?” Tebak Yoshihisa kepada tentera itu.
“Ayuh. Kita tak punya banyak masa lagi.”
**