Ketua syarikat itu menggosok-gosok dagunya.
“Itu sahaja?”
“Ada lagi. Aku mahu engkau beri pampasan kepada keluarga pelombong yang mati.”
Tidaklah jelas apa yang dimahukan Yoshihisa dengan permintaan ini. Apakah dia masih punya rasa sesal kerana membunuh rakannya dan mahu menebus dengan pampasan? Atau sekadar mahu mencipta konflik bagi mewajarkan pertengkaran dengan ketua syarikat atas dendam dan marah kerana sikap bersenang-lenang di atas kematian para pelombong sepertinya dan memandang murah nyawa? Dia sendiri keliru.
“Maaf Yoshihisa. Engkau pun maklum bukan akan syarat kami? Kami tidak akan bertanggungjawab terhadap kematian pelombong. Semua pelombong pergi di atas risiko sendiri, engkau tidak ingat?”
“Ya. Aku mengambil risiko, tidak, kami mengambil risiko. Sedang engkau duduk di sini bersenang-lenang menuai hasil. Kamilah yang patut menguruskan hasil lombong. Yoshimura, Katamori!”
Dua orang kanan Yato yang belot itu muncul, “Ya, Yoshihisa-sama!”
Yoshihisa memberi isyarat dengan tangannya, seperti isyarat memotong.
Katamori berhadap-hadapan dengan ketua syarikat yang sedang duduk di atas kerusi, gesit, memegang hulu pedangnya dan menarik pantas. Sejurus itu kepala ketua syarikat lesap dari lehernya.
Yoshihisa menutup mata. Sebaik terdengar bunyi kepala bergolek di atas lantai, dia mengeluarkan sapu tangan dan menyapu percikan darah di mukanya. Menyedari itu, Katamori memohon maaf.
“Tidak mengapa, Katamori.” Kata Yoshihisa seraya bangun dan berjalan menuju ke sebelah kerusi ketua syarikat itu.
Yoshihisa menendang tubuh tanpa kepala itu dari kerusi, kemudian dia duduk bersahaja mengambil tempat mayat itu seolah-olah tiada apa yang berlaku. Dia mengeluarkan curut. Yoshimura menghulurkan pemetik api buatan Amerika, dan menyalakannya.
“Bersihkan mayatnya. Mulai hari ini aku adalah ketua syarikat lombong ini. Kalian berdua adalah ketua pegawai operasi.”
Katamori dan Yoshimura memandang satu sama lain. Kemudian mereka senyum. Hampir serentak mereka bertanya, “Bagaimana dengan Yato?”
“Oh, kalian bunuh sahaja dia. Humbankan jauh-jauh dariku.” Ada getar di balik arahan itu. Peringatan Yato sebelum dia dibawa pergi ke kurungan menaikkan bulu roma. Dia menyedut asap curut sedalam-dalamnya, seolah-olah cuba memadam jelingan dan renungan Yato itu dengan kabut asap curut.
“Bawa kepalanya ke sini sebagai bukti. Selepas itu aku akan menggandakan upah kalian.”
“Ryoukai, Yoshihisa-sama!”
Yoshihisa mengisyaratkan dengan tangannya seperti isyarat menghalau, agar dua orang itu segera beredar melaksanakan tugas mereka.
Meski cara yang digunakan Yoshihisa untuk merampas syarikat itu amatlah kotornya, dia tahu mengemudinya seperti kapal. Sebagaimana dia mengemudi kapal mereka pulang tanpa pelan kemudi dan hanya berbekalkan gerak hati dan pengalaman, begitu jugalah dia mengemudi syarikat itu. Dia pernah gagal dan ditipu ketika mengusahakan syarikat lama sebelum berlayar ke Yumejima, bahkan dia jatuh murung. Dia bertekad tidak akan ditipu di dalam dunia perniagaan ini. Untuk itu, dia fikir dia perlu menggunakan cara hitam demi bertahan dalam dunia anjing makan anjing ini. Dia tidak mahu kemurungan seperti dahulu. Dia tidak mahu dibuli ahli perniagaan dan pedagang lain seperti dulu.
Dia adalah pembuli. Selepas ini tiada sesiapa lagi yang akan membulinya lagi.
Syarikat itu berkembang maju di bawah pimpinan Yoshihisa dan Maharaja Jepun menganugerahkan berbagai penghargaan dan memberikan pelbagai projek kepada Yoshihisa, sehinggalah kepada projek terakhir iaitu perlombongan kesemua emas di Yumejima.
Yoshihisa akan kembali ke Yumejima kelak, bukan sebagai orang tua miskin dan muflis, namun sebagai ahli perniagaan berjaya.
**
“ONII-SANNNNNNNNN!!!!!!!!” raungan Hisamiko bergema di luar gua kecil itu, mengejutkan kelawar-kelawar yang sedang tidur, gesit mereka berterbangan keluar. Dia sedang duduk sambil memangku mayat Ryouji.
Dia menangis dan terus menangis. Lama sedu-sedan dan esakan itu bergema memecah hening pulau. Jarinya mengesat darah yang mengering di dada Ryouji. Mata abangnya sudah membiru. Kulitnya sudah mula memutih. Sejuk. Dingin angin samudera sama menambah mempercepat pendinginannya.
Berjam-jam dia mendakap tubuh Ryouji yang sudah kaku. Setelah hari hampir gelap, dia keletihan dan tertidur, masih mendakap tubuh Ryouji. Dia bermimpi.
“Hisamiko, maafkan abang. Engkau mesti teruskan hidup. Berkawanlah dengan binatang itu. Engkau pasti selamat di pulau ini.” Ryouji berpesan di dalam mimpi itu.
Hisamiko terjaga. Dia terkejut mendapati mayat Ryouji sudah tiada di pangkuannya.
Binatang? Binatang apa? Di mana jasad onii-san?
Dia berjalan mencari-cari jasad abangnya di sekitar kawasan gua itu. Lubang masuk gua itu bersaiz sedikit besar berbanding gua di tepi Sungai Miya tempat dia pernah bersembunyi dahulu. Ia terletak di atas sebuah tebing tinggi menghadap lautan lepas. Di sekelilingnya hanyalah timbunan batu-batu besar, ada yang bersih dan ada yang berlumut, serta kawasan-kawasan berumput jarang. Jauh di belakang sana adalah hutan gelap tempat mereka bersembunyi tempoh hari dan juga tempat makhluk aneh keluar menyerang musuh mereka.
Ketika berjalan-jalan mencari jasad Ryouji, Hisamiko terkejut mendapati seekor binatang yang sangat besar, lebih kurang tiga kali ketinggiannya, bertubuh lebat berbulu berwarna putih, sedang duduk seperti seekor anjing. Dia perlahan-lahan berjalan menjauhi makhluk itu, bimbang ia menyedari kehadirannya.
Sambil berjalan, Hisamiko dapat mendengar bunyi pernafasan haiwan itu, seperti bunyi dengkuran yang amat dalam dan berkelangsingan rendah. Sekali-sekala angin yang kuat dari arah laut bertiup dan menghalangnya dari meneliti bunyi itu. Ketika angin mula bertiup perlahan, binatang aneh itu menggerakkan hidungnya seperti sedang mengesan bau sesuatu.
Ia menoleh, memandang tepat Hisamiko. Hisamiko berjarak hanya kira-kira lima puluh langkah darinya. Dia kaget, tercatuk langsung di tempat di mana dia berdiri. Mati aku!
Wajah binatang itu seperti seekor anjing, namun matanya bulat kemerahan. Giginya seperti gigi serigala, beberapa taring dapat dilihat keluar sekiranya ia menutup mulut. Telinganya panjang dan menjulur ke udara, seperti telinga kucing. Bulu-bulu putih, panjang dan lebat memenuhi kening, misai dan pipinya. Rambutnya juga putih dan keseluruhan badannya dipenuhi bulu-bulu putih. Bahagian bawah badannya seperti bahagian bawah badan seekor kucing. Lilitan pinggangnya lebih kurang empat kali pemeluk Hisamiko. Dengan saiz begitu, makhluk ini bolehlah disimpulkan sebagai seekor gergasi anjing berbulu putih dengan gigi serigala.
Hisamiko seram sejuk menatap wajah makhluk aneh itu. Dengan wajah serigala dan saiznya besar luar biasa, siapapun akan gerun. Kemudian dia perasan sesuatu. Terdapat timbunan tanah di hadapan makhluk itu, seperti baru sahaja digali. Dari timbunan tanah itu, terjulur keluar obi Ryouji. Hisamiko tersentak. Ketakutannya hilang serta-merta. Dia menjerit “Onii-san, onii-san!” seraya berlari ke arah timbunan tanah itu.
Dia menggalinya tanpa mempedulikan binatang itu. Binatang itu pula, hanya duduk diam memerhati Hisamiko, tidak pula menyerangnya. Ia nampaknya langsung tidak mengerti perlakuan Hisamiko.
Hisamiko menggali dan menemui tubuh Ryouji berada dalam keadaan sempurna di balik timbunan tanah itu. Dia menarik tubuh Ryouji keluar dan memeluknya sambil menangis.
“Onii-san, doko itta no (Ryouji ke mana engkau pergi)? Onii-san ikanaide ... (Ryouji jangan pergi) Miko kowai ne hontou kowai ne hontou kowai ne hontou kowai ne.... (aku sangat takut)” Hisamiko menampar-nampar tubuh Ryouji yang bersememeh dengan tanah itu. Jasadnya sudah mulai dirayap ulat dan kian menghitam. Bibir dan kelopak mata sudah membiru.
Hisamiko mengomel seorang diri, “Miko hitori dai kirai (aku amat benci berseorangan)...hitori dai kirai ne...hitori dai kirai dai kirai dai kirai ne (aku benci berseorangan)...Onii-san...”
Esakannya semakin kuat, kadangkala angin laut yang berpuput menenggelamkannya.