Home Novel Cinta YUMEJIMA
Bab 7

Yato dan dua pengiringnya ketawa.

 

“Gila, gila! Aku tak pernah mendengar alasan segila engkau Ryouji!” Lagi kuat mereka ketawa.

 

Souka Ryouji (Benarkah begitu, Ryouji)? Engkau mahu tinggal di sini dan tidak mahu emas-emas itu?”

 

“Ya, aku mahu menetap di sini. Jika kalian mahu pulang dan membawa emas itu sekali keluar, silakan. Aku tidak mahu masuk campur.”

 

Yato ketawa lagi, diikuti rakannya. “Maka engkau pun sama seperti kami. Menipu syarikat itu.”

 

“Biar aku jujur denganmu. Ya, aku memang menipu mereka, aku tiada pilihan. Aku menyertainya kerana mahu melarikan diri. Dan aku tidak akan kembali lagi ke Jepun. Namun satu yang mahu kupinta. Jangan kalian menumpahkan darah di sini. Berdamailah sesama kalian. Bahagi hasil sama rata.”

 

“Wah wah wah. Siapa engkau untuk menasihati kami? Bahagianku sudah tentulah yang paling besar kerana aku ketua, mengapa perlu bahagi sama rata? Dan Ryouji, bagaimana jika aku mahu engkau pulang mengikut kami? Aku menaruh minat dengan adik perempuanmu itu. Hisamiko namanya bukan?”

 

Ryouji terdiam. Maka benarlah lelaki ini memang menaruh hati pada Hisamiko. Segala pandang-pandang jeling-menjeling ekor-mengekor mencurigakan itu rupanya ada akar alasan, ada udang di balik batu. Hisamiko satu-satu ahli rombongan wanita, tambah pula dia cantik jelita, siapa tidak menaruh hati padanya.

 

“Aku tidak akan benarkan.” Ryouji membuka pencak, bersedia melarikan diri.

 

Ketiga-tiga ahli pasukan pelombong berjaya ditewaskan, namun untuk menewaskan Yato memerlukan sedikit masa kerana dia juga mahir bertarung. Namun siapa yang mampu menewaskan kaminari?

 

Yato berjaya ditewaskan dan Ryouji bingkas menuju ke tempat Hisamiko.

 

“Tak guna! Inikah kaminari yang digembar-gemburkan itu?” Yato menepuk yukata dan dibantu rakannya bangkit.

 

“Yoshimura, engkau tidak tercicirkan ia bukan?” Soal Yato kepada rakannya. Yoshimura cuba berjalan namun terjengket sakit.

 

Itai... ya, Yato. Ia ada bersamaku.”

 

Di lain kali aku bertarung denganmu Ryouji, aku akan gunakan racun itu. Bersedialah engkau.

 

Hisamiko ketika itu sedang nyenyak tidur.

 

“Miko, Miko, bangun!” Ryouji menggoncang-goncang tubuh Hisamiko.

 

Onii-san... ada apa? Nemui ne...(mengantuklah)” Hisamiko menggosok-gosok matanya.

 

“Miko, dengar sini. Yato yang menyertai pasukan pelindung telah berpakat dengan pasukan pelombong. Mereka akan membunuh kita bertiga!” Ryouji menggesa Hisamiko agar segera bangun melarikan diri.

 

Onii-san, apa yang engkau cuba perkatakan?”

 

“Aku tidak bergurau Hisamiko. Aku hampir dibunuh mereka tadi!” Tambah Ryouji.

 

Onii-san, engkau mengingkari arahan syarikat dengan keluar malam begini.”

 

“Aku terpaksa. Aku mengesyaki mereka sejak siang tadi. Ayuh, kita tidak punya banyak masa lagi!”

 

“Sebentar, bagaimana dengan orang tua itu?” Hisamiko mengunjuk kepada Yoshihisa yang sedang enak dibuai mimpi tidak jauh dari mereka.

 

“Aku fikir kita harus membawanya bersama. Dia satu-satunya rakan kita di sini.”

 

“Lagipun orang tua itu pernah ke sini sewaktu zaman mudanya. Ada eloknya dia bersama kita.”

 

“Sungguh? Mana kau tahu Miko?”

 

“Dia tidak sengaja terbongkarkan rahsianya itu kepadaku. Aku fikir kita memerlukan dia, sekurang-kurangnya sekarang.”

 

“Aku akan mengejutkannya sekarang.”

 

Ryouji pantas ke katil Yoshihisa dan mengejutkannya. Hisamiko mengemas yukatanya, membawa bersama pedang Saishi-tou dengan menyisipnya ke pinggang.

 

“Yoshihisa, bangun, bangun!”

 

“Ada apa Ryouji?” Soal Yoshihisa sambil menenyeh-nenyeh mata yang sedikit terbuka. Cahaya pelita terasa menikam-nikam. Mengejutkan Yoshihisa tidak sesusah Hisamiko, kerana orang tua sepertinya jarang sekali tidur nyenyak.

 

Ryouji menerangkan seperti mana dia menerangkan kepada Hisamiko.

 

“Engkau ikut sahaja kami.” Saran Ryouji.

 

Yoshihisa merenung wajah Ryouji.

 

“Aku fikir aku tiada pilihan.” Yoshihisa memutus menyertai mereka, memikirkan yang dia sudah tua dan tidak tahu bertarung pula.

 

Mereka perlahan-lahan keluar dari penginapan itu. Ketiga-tiga mereka berlari berhati-hati menelusuri denai menuju ke jeti, meredah gelap yang hanya diterangi cahaya bulan dan jamung, sambil memerhati sekeliling kalau-kalau mereka diekori.

 

Langkah mereka terhenti seketika ketika terserempak dengan mayat pengurus projek melombong atau ejen yang memberi taklimat pagi tadi, kelihatan seperti baru dibunuh dengan kesan tikaman di dadanya. Maka tahulah mereka bahawa keadaan telah menjadi semakin parah dan di luar kawalan syarikat. Mereka harus cepat melarikan diri.

 

Ketika semakin menghampiri jeti, mereka tersentak apabila mendapati ramai pelombong sedang bersiap di sana menanti kedatangan mereka. Sebahagian dari pelombong sedang berbaris panjang dari jeti sehingga ke dalam kawasan lombong. Mereka sedang mengangkut emas-emas yang baru dipahat dari lombong untuk dimasukkan ke dalam sampan-sampan dan dibawa ke kapal yang sedang disauh di luar muara.

 

“Aku fikir kita tidak akan dapat melepaskan diri dari mereka. Kapal itu satu-satunya jalan keluar dari sini.” Yoshihisa menyuarakan pandangan.

 

“Nampaknya semua mereka telah belot.” Sambungnya. “Kita harus bersembunyi dahulu.”

 

“Kita tidak akan dapat pulang.” Keluh Yoshihisa, “kecuali jika kita menghalau mereka dari kapal itu, atau bersembunyi di dalamnya. Apakah kalian mampu menewaskan mereka semua?”

 

Ryouji dan Hisamiko hanya mendiamkan diri. Mereka sememangnya tidak akan pulang ke Jepun. Jika tidak, mereka akan ditangkap orang-orang Maharaja yang berada di mana-mana. Hatta lukisan wajah mereka pun sudah tersebar di serata Honshu dan sekarang, mungkin sudah tersebar di Kyushu juga.

 

Yoshihisa memandang tingkah laku dua beradik itu. Wajahnya tenang, dia tahu apa yang bersarang di hati mereka berdua. Dia faham dua beradik itu pernah menceritakan bahawa mereka melarikan diri dari tentera Maharaja, maka apa guna memaksa mereka kembali ke Jepun?

 

Yoshihisa merancang dalam kepala akan tawaran yang boleh dilakukan kepada dua beradik yang juga rakannya itu. Sesuatu yang boleh ditawarkan dari pengalaman berpuluh tahun lalu tatkala dia terperangkap di sini dan diburu Genjirou.

 

Genjirou, di mana engkau? Apakah engkau masih hidup? Apakah engkau masih memburuku?

 

“Aku fikir pasti akan ada kapal lain tiba di sini. Kita akan menumpangnya dan keluar dari pulau ini, tanpa perlu menaiki kapal para pelombong itu.” Ryouji cuba menyedapkan hati Yoshihisa.

 

“Aku fikir kalian patut mengekoriku.” Yoshihisa menyuguh seolah-olah tidak mendengar pendapat mereka.

 

“Ke mana?”

 

“Mari, aku tahu di mana kita boleh bersembunyi. Dan tentang kapal itu usah kau risau. Aku akan terangkan mengapa.”

 

Yoshihisa memimpin mereka mengundur menelusuri sebuah denai.

 

“Yoshihisa, engkau pernah ke sini, bukan? Hisamiko memberitahuku.” Soal Ryouji cuba mengesahkan. Bukan kerana tidak mempercayai Hisamiko, tetapi demi mendapatkan gambaran lebih jelas dan menilai wajahnya.

 

“Ya.” Langsung Yoshihisa mengiyakan. Tiada guna berselindung lagi.

 

“Bagaimana engkau boleh sampai ke sini?”

 

“Pulau ini bukan tujuan utama kami. Geliung kami terdampar dipukul badai lautan.”

 

“Bagaimana engkau melarikan diri?” Ryouji sedikit kurang sabar bertanya.

 

“Aku naik rakit. Aku bernasib baik tidak dipukul ribut. Kapal Belanda menemuiku di tengah-tengah samudera dan membawaku pulang ke Jepun.”

 

Maka fahamlah Hisamiko jawapan alternatif Yoshihisa yang dijanjikannya tadi: rakit. Ya, guna rakit untuk keluar dari sini. Dengan kata lain, engkau berjudi dengan ketahanan rakit meredah samudera bergelora yang mengelilingi pulau ini. Atau berjudi dengan ‘kemahiran’ Yoshihisa si tua ini membina rakit yang tahan, jika dia benar memilikinya. Namun itu semua tiada maknanya. Dia dan abangnya sudah nekad mahu tinggal di sini.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov