Home Novel Cinta YUMEJIMA
Bab 43

 

Hisamiko mula terpengaruh dengan kata-kata Tomokazu.

 

“Bagaimana dengan Shiro? Shiro masih memerlukan engkau. Bertarung Hisamiko. Kaisenjyo sedang –”

 

“DIAM!” Bentak Kaisenjyo. Tomokazu di alam nyata terdorong ke belakang sehingga tubuhnya menghentam pokok buah seperti momo. Buah-buah di atasnya gugur. Shiro dan Kuro memerhati kebingungan.

 

Di dalam mimpi Hisamiko, buah bernama Shiro itu hampir gugur dan hanya digantung tangkai yang hampir patah.

 

“Hisamiko, jika buah ini gugur sepenuhnya, tiada cahaya lagi di sini. Apakah engkau mahu tinggal di sini dalam kegelapan? Fikir Hisamiko. Tiada harapan lagi di dunia luar. Engkau tidak dibenarkan meninggalkan pulau itu oleh angin dan gelora. Engkau akan berseorangan. Shiro, ia hanya binatang. Engkau akan mati jua berseorangan. Di sini engkau akan ditemaniku. Engkau akan berbicara denganku. Aku akan memberikanmu lebih banyak cahaya di sini. Aku akan menerangkan sekitar pulau tanah ini untukmu. Seperti ini.”

 

Kaisenjyo menerangkan kawasan luar pulau tanah. Kelihatan sebuah taman yang indah dengan cahaya terang benderang. Di sepanjang laluan taman itu ada keramaian berjalan-jalan sambil memerhati barangan yang dijaja di bahunya. Hingar dari taman itu menerobos semakin kuat. Ia seperti keramaian di Inotani yang pernah dikunjungi bersama abangnya. Di dalam keramaian itu Hisamiko perasan kelibat abangnya sedang memilih makanan.

 

Tatkala Hisamiko membulat mata memandangnya Kaisenjyo menggelapkan dan menyembunyikan kembali pemandangan itu. Hingar menghilang dan suasana kembali sunyi dalam kawalan Kaisenjyo.

 

Dou, Hisamiko? Bukankah itu abangmu? Yang sedang memilih makanan itu.”

 

“Aku mahu pulang. Shiro tiada di sini.” Tidak, tidak mungkin onii-san hidup di sini! Onii-san sudah lama pergi dan aku telah ‘menghantarnya’ pada malam itu! Aku telah melepaskannya.

 

“Mengapa? Shiro hanya seekor anjing.”

 

“Aku mahu pulang! Dan Shiro bukan seekor anjing!”

 

“Bukan anjing? Aku telah menyumpahnya.” Kaisenjyo tanpa menyedari terlepas bicara.

 

“Engkau telah menyumpahnya? Apa maksudmu? Apakah dia seorang manusia sebelumnya?”

 

“Engkau...engkau Hisamiko...engkau memang...”

 

“Maka benarlah dia seorang manusia. Tidak hairanlah dia faham bahasaku bahkan tahu menulis.”

 

Hisamiko memandang buah bertuliskan Shiro itu dan dia mengatup bahagian tangkai yang patah. Cahaya dari buah itu semakin terang tatkala bahagian tangkai pokok yang patah dicantum kembali. Hisamiko terperanjat. Dia hanya melakukannya spontan dan tidak menyangka ia berupaya mengembalikan cahaya.

 

Dari cahaya terang buah Shiro dia mendapati buah bertanda Ryouji dan Tsuneki juga ada kesan dipotong pada tangkainya. Dia tahu ia mungkin angkara Kaisenjyo. Dia mengikat buah itu dengan kain yukata yang dikoyak. Semakin banyak tangkai dia ikat kembali sehingga tanah pulau itu kembali terang-benderang seperti di awal mimpi.

 

“Kaisenjyo, aku mahu pulang. Dan nyah engkau dari duniaku.”

 

“Hisamiko, apakah engkau tidak mahu bersama abangmu? Dia di sana Hisamiko. Dia di sana dan aku boleh membawamu ke sana andai engkau akur dengan permintaanku. Abangmu di sana Hisamiko!”

 

Hisamiko tidak mengendahkan suara itu.

 

“Hisamiko!” Seru Kaisenjyo lagi.

 

Suara Tomokazu berkumandang kembali, “Hisamiko, masuk ke dalam lubang pokok itu.”

 

Batang pokok itu membelah sedikit melimpahkan cahaya yang amat benderang tertebar menenggelamkan cahaya merah jambu dari buah-buah yang berjuntaian. Hisamiko meluru ke arah lubang pokok dan sejurus selepas itu dia tersedar dari tidurnya. Masih terngiang-ngiang jeritan Kaisenjyo memanggil namanya tatkala dia meluru ke arah lubang pokok itu.

 

Kuro tiba-tiba menggerutu dan bangkit. Dia cuba menerkam Tomokazu namun ditahan Shiro. Mata Kuro memancar sinar aneh, seperti mata binatang yang biasa.

 

“Kuro, apa yang merasukmu? Kuro, sedarlah Kuro!” Shiro cuba mengembalikan kewarasan Kuro dengan menepuk kepalanya. Shiro perasan mata hitam Kuro membesar seperti seekor beruang.

 

Tomokazu sudah dapat mengagak punca Kuro berkelakuan begitu. Sihir Kaisenjyo sudah terhapus. Kuro tidak memakan Tomokazu lama dahulu kerana sihir Kaisenjyo. Namun kini sihir Kaisenjyo nyata sudah melenyap. Hisamiko telah memenangi pertarungannya dengan Kaisenjyo. Tomokazu sedar dia hanya membantu, kejayaan sebenar bertitik tolak dari usaha dan kebijaksanaan Hisamiko sendiri. Tomokazu tersenyum menyedari hakikat itu. Kini dia hanya mahu hidup dan keluar dari pulau ini. Selagimana Kaisenjyo di sini selagi itulah dia akan dihalang dan dipenjara di sini oleh angin dan gelora laut. Namun kini dia bebas seperti burung berterbangan di langit.

 

Tomokazu melarikan diri tatkala mendapati Kuro disekat Shiro. Namun Shiro terlepaskan Kuro jua tatkala terkejut mendapati Hisamiko bangkit. Menyedari kesempatan memihak kepadanya, Kuro melompat dan menerkam Tomokazu seraya membaham lehernya. Tomokazu mati serta-merta.

 

Dalam kesamaran Hisamiko bertanyakan Shiro, “Lelaki itu...dia Tomokazu bukan?”

 

Shiro hanya mendiamkan diri. Apa gunanya bercakap, kerana yang kedengaran dari tenggorok hanya gerutu dan ngauman. Shiro berundur dan membawa lari Hisamiko ke lembah rahsia mereka. Hisamiko lagi mendesak tatkala soalannya tidak berjawab.

 

“Itu Tomokazu bukan?”

 

Shiro mengangguk perlahan.

 

“Mengapa...mengapa engkau tidak menyelamatkannya?”

 

Shiro tidak menghiraukan soalan Hisamiko dan dia terus menghabiskan gelungsur sepanjang terowong sehingga bertemu muka terowong yang menghadap ke lembah rahsia.

 

Dalam hati Shiro berbisikan. Maafkan aku Tomokazu. Engkau sepatutnya sudah mati pada hari itu. Anggaplah aku telah membunuhmu pada saat ini, sebuah pembunuhan yang sepatutnya aku lakukan dahulu lagi, tertangguh sehingga ke saat ini. Aku tidak mahu sesiapapun lagi tinggal di pulau ini. Pulau ini hanya untukku dan Hisamiko.

 

Dan Kuro, aku akan pastikan engkau mati suatu hari nanti. Kuro, engkau telah menjadi binatang, engkau tidak lagi bertutur denganku seperti biasa, matamu telah menjadi mata binatang. Aku tidak mahu binatang sepertimu mengapa-apakan Hisamiko.

 

**

 

“Mengapa engkau tidak menyelamatkannya?!” Jerit Hisamiko selepas Shiro mengesahkan lelaki itu Tomokazu.

 

Shiro mendiamkan diri. Dia terus menulis di atas tanah.

 

“Kuro lebih pantas. Aku tidak sempat. Maafkan aku.” Shiro cuba beralasan.

 

Hisamiko tunduk dibayangi rasa terkilan.

 

Bahkan aku mengenalnya Hisamiko. Dia ahli rombongan kapalku. Aku patut lebih terkilan darimu. Namun itu sudah berpuluh tahun berlalu. Aku mahu melupakannya dan aku mahu engkau turut melupakannya. Usah kerana dia menyelamatkanmu dari Kaisenjyo maka engkau terhutang budi dengannya. Lupakan dia Hisamiko dan hanya fikirkan aku dalam benakmu. Lupakan segalanya di sini dan kita hanya berdua hidup di sini. Aku akan sentiasa menyokong apa sahaja tindakanmu, asalkan kita tetap berdua di pulau ini.

 

“Kuro? Haiwan hitam itukah?”

 

“Benar.”

 

“Ia membaham Tomokazu...”

 

“Ia sudah hilang kemanusiaan. Aku baru bertemu dan sempat bercakap dengannya dalam bahasa kami, namun aku tidak tahu mengapa, tiba-tiba ia menerkam Tomokazu. Hisamiko, apa yang berlaku dalam mimpimu?” Shiro mengalih topik.

 

“Aku menolak Kaisenjyo bersekutu denganku. Dia telah melenyap dalam sinar cahaya yang amat terang. Tanpa Tomokazu, mungkin aku tidak akan dapat diselamatkan.”

 

**

 

Kuro mengambus tulang-temulang Tomokazu dalam lubang yang digali. Dia bingkas berbaring dalam gua dan tidur selama seminggu, seperti selalu tatkala dia kekenyangan.

 

Seminggu berlalu, dia kembali lapar. Hanya daging manusia yang menjadi pilihan kini. Dia terbau manusia, namun bau itu cukup jauh dan dikit. Tatkala angin bertiup, bau itu menguat. Dia menyusur arah angin, membawanya ke lubang di lantai hutan gelap.

 

Tiada gentar lagi yang menghantui dirinya. Menjadi binatang, maka hanya lapar dan dahaga mendorongnya, tiada lagi memori sebagai manusia memandu tulang empat kerat. Kuro menelusuri dan menggelungsur sepanjang terowong bawah tanah sehingga bertemu lembah rahsia.

 

**

Previous: Bab 42
Next: Bab 44

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov