Home Novel Cinta YUMEJIMA
Bab 20

Suatu malam ketika mereka berbaring menunggu lena, Hisamiko cuba membuka perbualan untuk lebih mengenali rakan barunya itu.

 

“Nama keluargaku Goryuuin.” Jawab Hisamine ringkas sebaik ditanya.

 

“Goryuuin? Seperti samurai di utara itukah?”

 

“Ya. Aku memang dari keturunan itu. Hanya keturunan kami menggunakan nama itu.”

 

Hisamine...Goryuuin ... Aku hanya kenal seorang gadis Goryuuin bernama Goryuuin Tsushiko, antara petarung terhandal Kogen. Sebentar, bukankah Tsushiko nee-chan pernah memberitahuku dia kehilangan adiknya?

 

“Mine-chan, apakah engkau punya kakak?”

 

“Ah, ya. Mengapa tiba-tiba engkau bertanya?” Hisamine merah padam dipanggil Mine-chan. Umur mereka jauh bezanya.

 

“Aku pernah bertemu seorang kakak dengan nama Goryuuin. Dia kehilangan adiknya.”

 

“Namanya?”

 

“Tsushiko. Goryuuin Tsushiko.”

 

Tsushiko? Aku tidak pernah mendengar nama itu, bisik Hisamine.

 

“Mungkin tiada kaitan darah denganku. Nama kakakku Saaya.”

 

“Ohh...”

 

“Aku sudah lama kehilangan jejaknya. Sejak aku diangkut dari pasar itu.”

 

Selepas enggan mulanya, akhirnya Hisamine mengalah lalu berperi sejarahnya selepas dipujuk Hisamiko.  

 

“Apakah engkau ingat siapa yang mengangkutmu dari pasar?”

 

“Ketuanya memakai lilit di kepala. Dia dibantu dua rakannya. Selepas itu pandanganku kabur dan aku menurut arahan mereka tanpa rela.”

 

Barangkali lelaki itu Shizuo. Shizuo memakai lilit di kepala. Dia memang pernah menculik gadis di utara dan salah seorangnya adik perempuan Goryuuin Tsushiko. Aku maklum itu.  

 

“Mengapa engkau bertanya, Miko-chan?”

 

“Goryuuin Tsushiko berasal dari utara sepertimu. Hisamine, engkau punya loket itukah?”

 

“Loket?”

 

“Aku pernah melihat loket berukir lima naga berlingkar pada rantai Tsushiko nee-chan.”

 

Sou ka. Jika loket lima naga, aku pernah memilikinya. Namun aku tak pasti adakah ia sama dengan yang kausebutkan. Namun lelaki berlilit kepala itu telah mengambilnya dariku sebelum menjualku kepada seseorang. Dia memakai pada lilit kepalanya.”

 

Hisamine sugul dan menyambung, “Itu satu-satunya pemberian kakakku. Dan kala itu aku tiada apa-apa kenangan lagi yang tinggal.”

 

“Engkau gundik. Gundik adalah kepunyaan tuannya. Engkau tak perlukan barang kenangan seperti ini.” Tergiang-ngiang kata-kata lelaki berlilit kepala itu di telinga Hisamine tatkala dia mengambilnya. Hisamine menangis berhari-hari selepas itu sehingga dia berada di rumah tuan barunya.

 

“Maka benarlah Tsushiko kakakmu.”

 

“Maksudmu?”

 

“Aku melihat loket sama pada kakakmu pada lilit kepala Shizuo.”

 

“Shizuo?”

 

“Ya, Shizuo. Lelaki yang menculikmu itu, aku pernah bertemunya di Hidagawa. Dia memakai lilit kepala dan padanya ada loket lima naga itu. Dia menyerang aku dan abangku.”

 

“Miko...”

 

“Mujur kami dapat mengatasinya.”

 

“Apa yang dilakukan di Hidagawa?”

 

“Dia membeli gadis-gadis dan dalam perjalanan menjual mereka. Abangku dihantar menghalangnya oleh Kogen.”

 

Sou ka. Di mana Shizuo itu?”

 

“Dia sudah berubah. Kini dia berkhidmat kepada Kogen.”

 

“Hah?”

 

“Aku tidak pasti mengapa dia berubah tiba-tiba. Namun dari khabar angin ramai mengatakan kenalannya diculik dan diseksa. Seorang gadis dengan adiknya tak silapku.”

 

Shizuo, dosa-dosamu tidak akan terampun begitu sahaja. Begitu ramai yang telah menjadi mangsa pukau dan culikmu! Betapa ramai keluarga yang menderita kehilangan ahli keluarga mereka! Aku tahu, engkau telah menyerah diri kepada Kogen, namun aku masih ingat pertarungan denganmu di Saikawa sehingga aku disuntik aotsuyu. Aku fikir engkau telah menerima karmamu, meski gadis dengan adiknya itu korbannya. Engkau telah diinsafkan sebelum ajal menjemputmu.

 

Hisamine melongo sebaik mendengarnya. Sungguh karma tak memilih bulu. Engkau dibayar tunai atas onar yang kaulakukan.

 

“Jadi, engkau simpulkan Tsushiko nee-chan itu kakakku? Adakah dia tinggi seperti ini?”

 

“Ya. Dan aku fikir nama Tsushiko itu sendiri rekaannya. Entah apa alasannya tidak aku ketahui. Oh ya! Baru kuteringat. Dia bersama seorang lelaki yang kami panggil Sonzaemon, namun dia memanggilnya Hatakemaru. Sonzaemon itu mati di Kobe, ketika menyelamatkan kami dari musuh.”

 

“Hatakemaru...maka benarlah Tsushiko itu kakakku. Hisamiko, di mana dia sekarang?” Hisamine membulat mata, mulutnya melopong.

 

“Di mana Tsushiko itu Hisamiko? Di mana?” Hisamine mengulang tanya. Wajahnya penuh mengharap, tangannya kedua-dua belah memegang bahu Hisamiko, tubuhnya miring memandang rakannya itu.

 

“Sabar, sabar Mine. Tenangkan diri. Dia sudah meninggalkan Kogen.”

 

“Kogen? Pertubuhan yang kausebut tadi?”

 

“Ya, organisasi tempat dia dan aku bekerja dahulu. Aku mula bertemunya di sana. Dia meninggalkan Kogen dalam empat tahun lepas. Katanya dia mahu mencarimu di Semenanjung Joseon. Dia percaya engkau masih hidup. Mine, kakakmu mencarimu di serata pelusuk Honshu namun masih gagal menemuimu.”

 

Hisamine sebak, tangannya menutup mata, jelas tubuhnya bergoncang-goncang disinar cahaya rembulan yang menerobos dari celah-celah dinding bambu dan bumbung pelepah kelapa yang renggang. Rasa malu memikirkan dirinya lebih tua, telah dilempar jauh-jauh, esak tangis kedengaran. Ah, siapa lagi yang ada di sini selain mereka?

 

Hisamiko membelai ubun-ubun Mine seolah-olah ‘kakak’ itu adiknya. Dia tidak pernah ada adik. Dia tidak tahu memujuk. Namun perlakuan Ryouji telah mendidiknya sedikit sebanyak, juga perlakuan Chisato. Detik-detik persahabatan dan kasih sayang yang menyubur sekian lama kembali mewarnai benak Hisamiko. Dia sedar betapa banyak dia menimba kasih sayang mereka, dan sekarang dia harus belajar memberi pula.

 

Hisamine nampaknya telah menempuh dugaan yang maha berat, mungkin langsung tidak sebanding dengan apa yang telah dilaluinya. Dinoda ratusan lelaki hidung belang seperti barang mainan, dijual diperdagang seperti barangan komoditi dan dipisahkan dari kakaknya, bahkan diseksa lagi. Tangan kecil Hisamiko terus-menerus membelai Hisamine yang mulai dianggap seperti adiknya itu, meski umur mereka jauh beza. Meski Hisamine mengakui lebih tua, wajahnya tidak menggambarkan penuaan. Sekali pandang, dia seolah-olah remaja belasan tahun sahaja.

 

Esoknya, Hisamiko bangun dan mendapati Hisamine tiada di perbaringan.                                                                                                    

 

“Mine-chan! Mine-chan!”

 

“Mine-chan! Shiro, di mana Mine?”

 

Shiro yang sedang asyik menokak isi kelapa, mengangkat muka. Kemudian dia menghidu-hidu sekeliling. Dia menuju ke pintu terowong. Tangannya mengisyaratkan Hisamiko agar mengekorinya. Hisamiko bingkas mengambil pedangnya.

 

Hisamine sedang merayau-rayau di hutan gelap, tangannya memegang pisau yang dicabut dari kakinya yang dilempar Kazumasa tempoh hari sebagai senjata. Dia berjalan terjengket-jengket sehingga tiba di tebing tinggi menghadap laut lepas.

 

“Mine-chan!” Kedengaran suara Hisamiko. Hisamine menoleh. Hisamiko berlari mendekatinya.

 

“Apa kaubuat di sini? Engkau belum benar-benar sembuh!”

 

“Aku mahu pulang. Aku mahu bertemu nee-chan!”

 

“Tunggulah sehingga kau sembuh dahulu.”

 

“Miko... dia masih hidup bukan? Dia pasti masih hidup bukan?”

 

“Pasti. Dia tahu bertarung. Dia pasti masih hidup.”

 

“Miko.”

 

Hisamiko memeluk Hisamine. “Dia pasti masih hidup.” Hisamiko memegang bahu Hisamine, merenungnya.

 

Mereka pulang diekori Shiro. Shiro sempat mengumpulkan kelapa-kelapa muda dan menariknya menggunakan jaring yang selalu digunakan untuk menarik kayu-kayu.

 

Di balik pohon-pohon hutan gelap, ada mata sedang mengintai mereka.

 

“Tak guna! Binatang apakah itu? Seperti anjing besar dan...apakah dua lebihan daging di belakang badannya?” Suara seorang lelaki bermonolog.

 

“Hisamine... aku akan pastikan engkau kembali ke rombongan kami.” Lelaki itu menyorot kelibat gadis berdua dan makhluk berbulu itu sehingga mereka memasuki lubang di lantai hutan, menuruni ke lembah. Dia menggenggam pisau di tangan, seraya bernekad, “Dan budak perempuan itu yang berani memotong jariku! Aku akan ajar engkau kemudian!”

 

Tiba-tiba belakang tengkuknya pedih seperti dihiris. Dia menekup, mendapati darah mengalir semakin deras.

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov