Home Novel Cinta YUMEJIMA
Bab 39

 

*

 

Imbas kembali kisah Genjirou.

 

Namaku Genjirou. Hanya Genjirou.

 

Aku lupa nama asal keluargaku. Ah, kami hanya petani. Nama keluarga tidak penting. Lainlah jika engkau samurai.

 

Sejak kecil aku bekerja bersama ibu kepada seorang tuan tanah atau samurai kelas rendah. Kami bertugas mengusahakan sawah padinya. Namun aku tidak berminat dengan sawah. Aku meminati seni berpedang.

 

Satu hari aku curi-curi belajar berpedang dengan melihat anak samurai itu berlatih. Aku tiru gerakannya dan hafal. Di malam hari aku keluar dari pondok tempat aku dan ibu berteduh, dan melatih diriku dengan kayu kendo.

 

Ibu bekerja keras di sawah. Satu hari, aku melihat ibu diikat pada tiang. Ibu dituduh mencuri barang berharga samurai. Ibu berkali-kali menafikannya.

 

Ibu diseksa dan aku hanya mampu menangis dan melihat. Ibu tidak mencuri. Ibu mengajarku agar tidak mencuri walau semiskin mana kami. Ibu mati selepas berhari-hari diseksa. Aku sugul dan menangis berhari-hari. Namun menangis berpanjangan tiada gunanya. Selepas kering air mata, yang hadir adalah api dendam.

 

Malam itu aku menyelinap masuk ke bilik samurai itu dan pantas menikam lehernya. Aku kemudian mengulang pada isterinya. Anaknya memerhati segala onar yang kulakukan. Aku melarikan diri. Mereka mengejarku.

 

Namun mereka tidak berjaya menjejakiku. Aku berkelana sehingga sejauh-jauh pekan, menumpang pedagang menaiki kereta kuda, dan menumpang kapal. Aku yakin aku sudah berada di pulau lain tatkala berkelana di tengah-tengah samudera. Pabila papan tanda di jalan-jalan menunjukkan pulau itu Kyushu, aku tergamam. Rupanya aku sudah jauh meninggalkan Nara tempat aku berdiam sekian lama.

 

Aku bertemu seseorang dan rupanya dia ketua sebuah dojo. Aku diambil dan dilatih. Aku menjadi petarung handalan dan mendapat upah menyertai satu kumpulan pedagang sebagai pelindung mereka. Salah seorang ahli kumpulan itu ialah Yoshihisa.

 

Jauh di sudut hatiku, aku masih merindui ibu. Aku tidak percaya ibu yang melakukannya. Ibu tidak sejijik itu. Namun apa yang jelas di mataku, ibu dibunuh mereka. Aku membunuh mereka sebagai balasan. Dendamku sudah terbalas. Tentang sama ada ibu yang mencuri barang mereka seperti dakwaan mereka, aku biarkan menjadi teka-teki. Jika ibu melakukannya sekalipun, ibu tidak seharusnya diseksa begitu. Hanya kerana mereka samurai, mereka tidak sewajarnya meletakkan undang-undang di tangan mereka sendiri. Aku yakin bahkan undang-undang Ritsuryou juga tidak memperkenan perbuatan mereka.

 

Tragedi hitam itu membuatkan aku percaya aku punya tuah. Aku dan ibu tidak mempercayai Shinto. Kami satu-satu keluarga yang bekerja untuk samurai itu yang tidak mempercayai Shinto, namun kami tahu membaca dan ada senyap-senyap membeli dan membaca buku-buku yang dijual paderi Jesuit. Aku fikir, Tuhan dalam agama Jesuit itu mengurniakan aku tuah. Kerana aku sentiasa bernasib baik sewaktu kelana meninggalkan Nara, aku percaya Tuhan bersamaku. Aku fikir Tuhan menyebelahiku tatkala aku berjaya membunuh mereka. Tuhan memberikanku kekuatan dan peluang melakukannya kerana aku membela ibu yang tidak bersalah. Aku melarikan diri tanpa dijejaki, juga kerana Dia mengurniakan tuah. Aku menjadi petarung handalan di Kyushu dan diupah para pedagang melindungi mereka, juga kerana Dia yang tidak putus menganugerah nasib yang baik. Nasib baikku tidak putus-putus dan berangkai-rangkai.

 

Bahkan, aku berjaya membunuh rakan sekapalku di pulau ini juga kerana Dia memberikanku kekuatan ini, nasib yang baik. Namun sejak itu aku mula berfikir lanjut. Ia bukan lagi nasib yang baik sebenarnya. Jika dahulu aku boleh katakan nasib yang baik kerana aku terselamat dari semua musibah, dan aku juga menambahbaik kemahiran bertarung, namun kali ini bukan lagi.

 

Mengapa, jika kalian bertanya? Mereka hilang dari pandanganku. Aku terperangkap di pulau ini. Aku yakin, di sepanjang hidupku, inilah kali pertama aku merasakan bahawa nasibku bukan lagi nasib yang baik. Aku fikir, Dia sudah mula membenciku. Tidak, jika Dia membenciku, mengapa aku masih mendapat emas? Mengapa aku masih mampu bertarung? Mengapa aku masih hidup?

 

Aku tidak pasti. Apakah Dia sedang mengujiku, atau sedang menghukumku?

 

Suatu hari, aku berbaring di atas hamparan memutih pasir pantai sedang mata menengadah langit.

 

Langit cerah biru, kosong tanpa awan. Angin laut bertiup membawa bau masin garam dan hanyir ikan ke reseptor hidu. Merangsangnya, menarik dan menyedarkanku bahawa aku masih di sini, ditinggalkan mereka yang terbang ke alam kekal. Atau lebih tepat, mereka telah aku hapuskan seorang demi seorang. Kecuali si pengecut Yoshihisa itu yang lari seperti tikus.

 

Aku hidup. Aku telah memenangi persaingan ini. Tuhan, aku kaya, aku kaya! Seluruh lombong itu dan pulau ini kini menjadi milikku seorang!

 

Tatkala itu aku sedar tiada suara menyahut ‘kejayaan’ ini – jika ia masih layak digelar ‘kejayaan’. Tuhan yang dicanang paderi Jesuit itu mungkin sedang mengeji onar yang telah aku lakukan, di balik langit biru itu. Kerana ketamakan, aku mengkhianati mereka, rakan-rakan sekapalku.

 

Namun mengapa Dia masih tidak menghukumku? Mengapa aku masih belum disambar petir? Apakah mungkin Dia memaksudkan bahawa Dia memperkenan perbuatanku itu, dalam diam, melalui isyarat-isyarat alam? Apakah dengan aku tidak dihalang-Nya dari mengambil emas itu kini, maka aku telah diizinkan-Nya dan diredhai-Nya? Atau Dia sedang menunggu saat sesuai menjatuhkan hukuman ke atasku?

 

Aku bingkas bangkit seraya melangkah ke lombong emas. Kesan tapak kaki rakan-rakanku yang telah kubunuh itu masih kelihatan membentuk becak pada tanah perang di lantai denai yang ditebas semaknya menghala ke lombong. Hingar dari sungai di tepi lombong menenggelamkan bunyi deru ombak dan bunyi gemersik daun-daun pokok-pokok dan belukar di sekitar meliuk melaga tatkala ditiup angin. Sekali-sekala aku waspada melihat-lihat belakang kiri dan kanan. Oh ya, hampir aku lupa, tiada sesiapapun di sini. Aku berseorangan di pulau ini, aku pasti. Semua anak kapal yang telah kubunuh itu telah aku pusarakan di dalam hutan yang gelap itu.

 

Aku meraba-raba permukaan bongkah emas berkilauan, menatapnya. Sukar untuk kuterima, semua emas-emas ini menjadi milikku seorang. Aku hanya memerlukan beberapa ketul sahaja untuk bertahan sehingga umur tua. Namun dengan emas sebanyak ini, aku boleh membeli apa sahaja yang aku mahu, memenuhi segenap kehendak yang tiada had. Aku boleh membeli sebuah istana, atau sebuah pulau, aku boleh membeli dan merasa sebanyak mana gundik yang kumahu.

 

Semua emas-emas yang berbongkah-bongkah ini kini menjadi milikku! Milik aku seorang!

 

Namun untuk memanfaatkan emas-emas ini, aku harus keluar dari pulau ini dahulu. Bagaimana, dengan Yoshihisa bangsat itu mengambil rakit? Bagaimana mungkin aku membina rakit yang sama? Aku tidak tahu bertukang. Aku takut berlayar seorang di tengah samudera yang ganas itu. Andai...andai ada mana-mana kapal yang tersangkut di sini yang boleh kutumpang pulang.

 

Dengan fikiran dan hati yang kosong sekosong langit yang kutengadah itu, aku melangkah longlai meninggalkan lombong emas. Aku berdiri di atas tebing tinggi melihat lautan. Aku menunggu, termenung, dan menunggu kapan mungkin barang sebuah kapal sampai atau sekurangnya terdampar ke sini dipukul badai.

 

Beberapa bulan sudah berlalu...

 

Selepas berbulan-bulan aku termenung di pantai itu, aku menyerah kalah.

 

Kini aku lebih memahami tiada nilainya emas berbongkah-bongkah berbanding harga sebuah kebebasan. Tidak, langsung tidak sebanding ia dengan harga kehidupan dikelilingi manusia dan menikmati tamadun. Dengan emas berbongkah-bongkah itu namun terperangkap di sini, aku masih tidak akan dapat membeli kimono tercantik di Hidagawa, memakan makanan paling mahal dan enak, atau melanggan pelacur paling menggiurkan di rumah-rumah geisha di Kyoto seperti dulu. Apakah ini hukuman Tuhan ke atasku?

 

Tak guna engkau Yoshihisa! Andai aku tahu engkau menipuku, akan aku bunuh engkau sekali dan rampas rakitmu!

 

Aku menggetap bibir dan menggenggam penumbuk, aku lepaskan penumbuk ke batang pokok kelapa berulang-kali sehingga berdarah-darah celah jariku.

Previous: Bab 38
Next: Bab 40

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov