Home Novel Cinta YUMEJIMA
Bab 45

 

Hisamiko memandang sekeliling. Segala keindahan yang dikecapi sekian lama di sini, air sungai panas, kolam onsen, pokok berbuah merah kuning yang manis masam buahnya, bukit hitam magnet, lembah bunga liar tempat dia pernah bermain dengan Hisamine, kubur Hisamine, dan kubur abangnya, bakal ditenggelamkan letusan gunung berapi.

 

Kenangan manis bersama Hisamine-ku bakal berkubur. Tidak, aku tidak akan meninggalkan pulau ini. Jasad onii-san dan Mine-chan masih di sini. Walau bercerai berkecai tubuhku, aku akan tetap di sini.

 

“Shiro, aku mahu kekal di sini. Walau bukit itu meletus sekalipun.”

 

“Engkau pasti?”

 

“Ya.”

 

“Jika begitu aku tidak kisah. Aku mahu berada ke mana sahaja engkau berada. Asalkan engkau gembira Hisamiko.” Tulis Shiro.

 

Stim tiba-tiba memancut dari tanah berhampiran. Hisamiko melompat terkejut. Dia teringat Hisamine yang pernah memasak ikan menggunakannya.

 

“Shiro, tolong tangkap ikan beberapa ekor.”

 

Shiro mengangguk seraya terjun ke dalam sungai.

 

Hisamiko menghimpun batu-batu demi mengumpul stim tersebut. Dia meletakkan batu leper di atas sebagai dapur, sepertimana yang diajar Hisamine. Dia membakar ikan-ikan yang ditangkap Shiro di atas batu leper berwarna hitam itu.

 

Selesai membakar dia menghampar daun pisang dan meletakkan ikan-ikan itu di atasnya. Ketika melahap ikan dia teringat abangnya. Rasa ikan yang sudah sedia tawar menjadi semakin tawar. Kemudian Hisamine datang mengganggu memori. Suara dan tawanya kini hanya berbunyi sendu di gegendang telinga. Suaranya telah lama mengisi kesunyian yang ditanggung di lembah ini namun kali ini ia terlalu jauh. Andai Shiro mampu berbicara seperti itu sudah cukup meredakannya. Hisamiko tidak dapat meneruskan makan lantas meletakkan ikan itu di atas daun pisang dan meluru ke pintu terowong.

 

Shiro terkejut seraya mengekori.

 

“Engkau tunggu di sini Shiro. Aku mahu keluar.”

 

Shiro menggeleng-geleng kepala cuba menegah.

 

Hisamiko kembali ke daun pisang dan menggunakannya untuk membungkus beberapa ekor ikan bakar. Selesai membungkus, dia berpatah balik ke muka terowong.

 

Dia membisik ke telinga Shiro yang dia hanya mahu menghantar ikan itu ke kubur Hisamine dan Ryouji. Shiro mengangguk meski keberatan terukir pada wajahnya. Ia mengekori Hisamiko menuju ke lantai hutan gelap dan meredah hutan itu sehingga ke kuburan.

 

Hisamiko melabuhkan punggung berhampiran kuburan seraya bertafakur.

 

Onii-san, Mine-chan, usah kalian bimbang, aku tidak akan meninggalkan pulau ini lagi. Walau tubuhku berkecai dimamah lahar itu aku tidak akan pergi.” Hisamiko menyemat ikan bakar di atas kubur Ryouji dan Hisamine.

 

Tiba-tiba tebing tinggi yang menempatkan kubur mereka bergegar. Mulanya gegaran itu hanya menggoncang kaki mereka. Namun semakin lama gegaran semakin kuat dirasakan sehingga runtuh sedikit hujung tebing itu. Gegaran berterusan, gua di belakang mereka mulai retak-retak dan ada batu runtuh menutup sebahagian pintu masuk gua. Laut berolak bergulungan di pesisir.

 

Ia gempa. Pertama kali pulau ini dilanda gempa selepas hampir dua tahun Hisamiko tinggal di sini.

 

**

 

Tahun lepas, 1877, selepas Hisamiko baru sahaja ditinggalkan di Yumejima dan Ryouji baru sahaja mati.

 

Sebaik mengambilalih Syarikat Perlombongan Kyushu, Yoshihisa merancang menemui dan memaklumkan perancangannya menakluk pulau Yumejima kepada Maharaja. Dia merancang, di sebalik membangunkan syarikatnya itu dengan berkecimpung dalam projek-projek lain yang ditawarkan Maharaja secara tender, dia mahu menyusunatur segala sumber dan melobi Maharaja selama setahun sebelum menggerakkannya menakluk Yumejima.

 

“Ampunkan aku Heika.”

 

“Ya Yoshihisa-san duduklah.” Maharaja mempersilakan orang tua berpakaian ala bangsawan Prussia itu duduk. Dua pengiringnya diarah Yoshihisa keluar dari bilik agam itu.

 

Sebelumnya, Maharaja telah menerima surat demi surat daripada Yoshihisa. Berkali-kali juga Yoshihisa menghantar wakilnya meminta bertemu muka dengan baginda secara langsung. Yoshihisa menegaskan bahawa dia membawa rahsia besar. Selepas melalui rintangan birokrasi demi birokrasi, Yoshihisa berjaya akhirnya mendapatkan ruang masa baginda. Yoshihisa selaku pedagang sepatutnya tidak dibenarkan langsung bertemu Maharaja. Bahkan kasta pedagang adalah yang terendah, di bawah kasta petani dan penternak mengikut kerangka Buddha Zen yang dipegang sebahagian besar masyarakat Jepun. Namun Yoshihisa bijak memainkan peranannya memutar alam. Demi perniagaan, demi dendam terhadap musuh-musuh perniagaannya dahulu.

 

Mereka berdua berada di dalam sebuah bilik mesyuarat besar dengan meja bulat dikelilingi kerusi besar kayu mewah berukir dan berbaldu. Lantai dilapisi permaidani berwarna merah yang diimport dari Samarkhand. Ada potret ayahanda dan datuk kepada Maharaja bergantungan pada dinding dan satu set jam datuk berdiri dengan bandul berayun ke kiri kanan tampak jelas dari luaran.

 

“Apa hajat engkau ke sini, Yoshihisa-san?”

 

“Patik ingin mencadangkan penaklukan sebuah pulau yang diberi nama Yumejima kepada Tuanku.”

 

“Yumejima ka. Hmm. Beta ada mendengar tentang kejayaan kalian melombong emas sebanyak satu juta yen dari lombong emas di situ baru-baru ini.”

 

Pantas, getus Yoshihisa. Pasti ada orang-orangnya dalam syarikatku. Bahkan baginda mungkin telah mengetahui akulah yang membunuh bekas bos syarikatku itu!

 

Apapun, aku harus tenang sahaja. Pertemuan ini lebih bermakna demi membina reputasiku. Juga sogokan yang akan aku berikan kepada baginda mungkin berbaloi menutup mulutnya. Ia pertemuan yang akan menjamin periuk nasiku untuk tahun-tahun mendatang. Tender-tender itu. Tender-tender membina jaringan landasan keretapi. Ia memerlukan bekalan besi yang banyak. Aku harus memanfaatkan jaringanku dengan pelombong besi yang ramai di Shimagane dan Kyushu. Aku harus memenangi tender-tender baginda.

 

Oh, ampunkan aku Heika, boleh kutahu dari mana engkau mengetahuinya sebelum aku memberitahumu? Ingin sekali aku bertanya begitu, namun bukankah itu berbunyi biadap? Maharaja berhak mengetahui setiap perkara di dalam lingkungan empayarnya. Yumejima masih di dalam lingkungan empayar meskipun belum rasmi. Laut yang menempatkannya ialah laut kami.

 

“Ya. Kami bercadang menyerahkan kepada Tuanku sebanyak dua ratus ribu yen.”

 

“Sungguh kalian dermawan. Arigatou na.” Dari pengintipku, aku tahu engkau telah membunuh bos syarikatmu itu. Namun kufikir aku tidak mencampuri urusannya, getus baginda. Bos Syarikat Perlombongan Kyushu itu lembab. Sehingga sekarang aku masih belum mendapat berita bilakah akan dimulakan projek landasan keretapi yang aku cadangkan. Aku mungkin boleh mengharapkan lelaki tua ini. Nampak tua, namun aku fikir dia amat berkebolehan dari cara dia mempengaruhi orang-orang yang mengkhianati syarikat itu di pulau itu. Dan dia bersungguh-sungguh, melihatkan kesungguhan dia mendapatkan masaku.

 

“Namun berkenaan penaklukan yang engkau cadangkan, apa manfaatnya kepada negara kita?” Soal baginda.

 

“Dengan penaklukan, kita dapat mengawal emas di sana dari dibolot Amerika dan Rusia. Kita akan meletakkan bala tentera moden di sana. Dan secara geografinya pulau itu lebih dekat dengan pesisir kita di Sendai. Ia masih di bawah lingkungan empayar kita. Emasnya dapat memperkaya khazanah emas negara dan boleh digunakan untuk pembangunan infrastruktur kita dan pertahanan kita. Bukankah ia bertepatan dengan slogan fukoku kyohei kita Tuanku?”

 

Baginda mengusap dagu dan janggut yang tidak lebat, cuba mencari kewajaran di balik cadangan Yoshihisa.

 

“Yoshihisa, beta mendengar engkau pernah ke sana di zaman mudamu bukan?”

 

Maka baginda sudah mengetahuinya! Getus Yoshihisa menahan geram. Siapa yang membocorkannya? Hideki? Pasti Hideki! Dia pastinya berada di Kyushu mengintai pergerakanku. Tidak. Boleh jadi orang-orang dalam kapal Belanda itu. Nampaknya aku telah diekori sejak saat itu lagi! Oh tidak, barangkali Sarumichi, salah seorang pelombong dalam rombongan keduaku. Aku sempat menahannya dari dibunuh Yato kerana aku mencurigainya. Mungkin dia yang melapor kepada baginda. Aku pernah lihat dia mencuri dengar perbualanku dengan Ryouji dan Hisamiko di atas kapal itu.

 

“Ya Tuanku. Namun pada ketika itu pulau tersebut bukanlah destinasi kami. Kami terdampar di sana sewaktu pulang dari berdagang. Kapal kami telah dipukul taufan.”

 

“Apa terjadi dengan rombonganmu?”

 

“Hanya patik seorang yang terselamat Tuanku.” Yoshihisa berkata tanpa gentar. Seolah-olah itulah kebenaran.

 

Sou... desuka. Apa yang sebenarnya telah berlaku di sana, Yoshihisa?” Baginda merenung Yoshihisa tajam, cuba mendesak.

 

“Oh, pertelingkahan berdarah. Seorang dari kami jatuh gila dan mahu membolot emas-emas di situ.” Jawab Yoshihisa tenang, seolah-olah jawapan itu sudah ditulis dan dihafal dahulu. Tidak nampak keterpaksaan dalam nadanya, seolah dia sudah lama bersedia mendedahkannya dan hanya menanti Maharaja menyoal sahaja.

 

“Dan bagaimana engkau mampu melepaskan diri?” Duga Maharaja.

 

“Patik membina rakit dan senyap-senyap keluar di waktu malam. Kapal Belanda nampak patik di tengah samudera dan membawa patik pulang melalui Kyushu.” Yoshihisa menjawab tanpa rasa kekok. Dia tahu Maharaja sedang mengujinya dan mengamati riak wajahnya.

 

“Engkau memang bernasib baik, Yoshihisa-san.”

 

“Begitulah Heika. Sungguh aku bersyukur dipanjangkan umur oleh Tuhan sehingga mampu bertemumu saat ini.”

 

“Tentang rakanmu itu, apakah dia cukup berbahaya?”

 

“Ya Heika. Dia sangat arif bertarung.”

 

“Apakah dia punya senjata api?”

 

“Tidak Heika. Dia hanya tahu bertarung tanpa atau dengan senjata tajam dan tubuhnya kuat berbanding ahli rombongan kami yang lain. Kami sering meminta bantuannya mengangkat barang-barang yang kami tidak terdaya angkat. Dia tidak pandai bertukang, hatta membina rakit sekalipun dan memimpin pasukan. Dia amat pendiam namun bijak. Pemerhatiannya tajam. Dia memahami motif setiap dari kami dan menggunakannya demi memerangkap kami.”

 

“Hmm. Apakah engkau bertemunya lagi sewaktu rombongan keduamu?”

 

“Tiada Heika. Kami tidak langsung bertemunya kembali, mungkin sudah mati. Namun izinkan aku melaporkan, bahawa kami telah menemui seekor binatang yang amat ganas yang memakan manusia.”

 

Sou desuka...” Wajah baginda seriau tiba-tiba, sambil tangan menggosok dagu.

 

“Patik fikir kita harus berhati-hati. Patik fikir untuk memasang perangkap menahan binatang itu. Setahu patik hanya ada seekor sahaja di pulau itu. Ia tahu terbang dan bergerak amat pantas.”

 

Baginda mendengar penuh perhatian.

 

Arigatou Yoshihisa atas maklumatmu. Beta akan memanggilmu kembali dalam masa dua hari dari sekarang dan memberikan keputusan beta. Dan oh ya, bila engkau jangkakan mahu mula menggerakkan perancanganmu?”

 

“Setahun dari sekarang Tuanku.”

 

“Mengapa tidak secepat mungkin?”

 

“Patik ingin melakukan sedikit pembaharuan dalam syarikat patik. Dan erm, ampun Tuanku. Patik mendengar projek landasan keretapi yang Tuanku cadangkan itu masih belum dimulakan.”

 

Maharaja senyum dalam hati. Engkau sungguh bermuka tebal, orang tua!

 

“Patik kenal pembekal-pembekal besi di Shimagane dan Kyushu yang mungkin boleh membantu Tuanku meneruskan projek landasan keretapi itu dalam masa setahun ini sebelum patik berlayar kembali ke sana, jika Heika memperkenan penaklukan ini.”

 

Baginda diam sejenak merenung Yoshihisa. Kemudian baginda bersuara.

 

“Beta akan pertimbangkan cadanganmu.”

 

Yoshihisa bersorak girang dalam hati. Lebar senyumnya lebar seolah mampu mengelilingi seluruh bumi, bertembung barat dan timur setiap bucu bibir.

 

Arigatou gozaimashita Heika.” Yoshihisa tunduk hormat seraya berundur setapak dua sebelum membuka pintu bilik, keluar dan menutupnya kembali sedang tubuhnya masih mengadap Maharaja. Adat menggariskan pantang membelakangi Maharaja atau akan dihukum biadap.

 

Maharaja memanggil setiausaha sulitnya. Setiausaha sulitnya masuk dari pintu berlainan bilik itu yang tersorok dalam dinding dan dirahsiakan dengan menyepadu corak pada pintu dengan dinding sekitarnya. Biasanya baginda akan mengarahkan setiausaha sulitnya bersembunyi di dalam bilik rahsia itu dan mencuri dengar perbualannya dan mencatit semua butir perbincangan mereka.

 

“Engkau mencatit semuanya, Seiji?”

 

“Ya Tuanku.”

 

“Apa pendapatmu?”

 

“Dari mata-mata kita di Kyushu, patik mendengar jumlah yang diberitahu Yoshihisa itu benar. Sememangnya dua juta yen. Juga rombongan dari Syarikat Perlombongan Kyushu telah bersiap ke sini dalam masa dua hari untuk mempersembahkan bayaran dua ratus ribu yen kepada Tuanku.”

 

Maharaja mengangguk kecil. Seiji menyambung dengan soalan.

 

“Erm. Bagaimana dengan misi kita di Joseon, Tuanku?”

 

“Beta fikir untuk menangguhkan dulu. Sarwa pandang rakyat terhadap keboleharapan kepada pemerintahan beta semakin merosot selepas kita mematahkan pemberontakan Saisho di Satsuma dan pakatan Yoshinobu-Ayame di Hidagawa. Banyak wang cukai dilaburkan. Juga banyak nyawa terkorban.”

 

Seiji mengangguk perlahan.

 

“Seiji, bagaimana dengan beradik Okuhida itu?”

 

“Dari mata-mata kita yang bernama Sarumichi, salah seorang pelombong itu, mereka ke pulau yang dikatakan Yoshihisa itu, bahkan Yoshihisa ada bersama dan rapat dengan mereka. Ia benar rombongan kedua Yoshihisa ke sana. Dia turut mengetahui mereka dikejar tentera Tuanku. Patik dengar abang kepada gadis itu mati dibunuh salah seorang ahli rombongan itu yang bernama Yato.”

Previous: Bab 44
Next: Bab 46

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov