Jasad Hisamine dikebumikan Hisamiko di sebelah kubur Ryouji, diperhatikan Shiro.
Batu-batu besar yang pernah diletakkan melindungi kubur Ryouji sudah lama dialihkan Shiro. Shiro pasti Hisamiko tidak akan cuba-cuba mengorek kubur abangnya lagi. Kematian Ryouji sudah lama berlalu, Hisamiko sudah dapat menerimanya. Namun melupakannya belum tentu.
Hisamiko duduk mengenang memori bersama Hisamine di hadapan kuburnya. Dia menekup muka pada lutut, esak tangis masih kedengaran. Dia keletihan dan terlelap. Hembus bayu lautan mendingin dan menyamankan sekitar, menambah selesa.
Tatkala terik mentari semakin menyengat, dan petang pun kunjung tiba, dia masih terlelap, sehinggalah suara Mine menegurnya. Dia tersentak seraya menoleh.
“Miko-chan, pulau ini pulau kita.”
“Pasti Mine, pulau ini pulau kita. Selama-lamanya.” Hisamiko meniru sambil tersenyum.
“Selama-lamanya!”
Dia berpegangan tangan dengan Mine dan berpusing-pusing di atas pasir pantai yang memutih. Mine terjatuh, Miko pantas menarik dan Mine jatuh di atas tubuhnya.
“Miko-chan, jom kita kahwin?”
Hisamiko memandang kehairanan.
“Aku mahu memperisterikanmu.”
Hisamiko tergamam. Mata mereka bertentangan. Mine merapatkan wajahnya, seolah-olah mahu menciumnya. Hisamiko pantas memusing kepala ke sisi.
“Aku bergurau sahaja. Mengapa engkau takut dicumbu?”
Hisamine ketawa dan berguling di atas pasir. Kemudian dia terbaring menelentang merenung langit. Dia mengambil segenggam pasir dan ditimbunkan di atas kaki. Sebaik penuh, dia timbun pula ke atas pinggang, dada dan sehingga seluruh badannya tenggelam dalam pasir kecuali kepala.
“Apa yang kaubuat?” Soal Hisamiko.
“Miko, kambus kepalaku.”
“Hah?”
“Aku mahu tahu bagaimana rasanya mati.”
“Tak mahu. Buat apa fikir pasal mati?”
“Aku mahu bersedia.”
“Engkau aneh.”
“Tolonglah Hisamiko. Ia menyeronokkan, sungguh. Lepas ni aku nak kambus engkau pula.” Hisamine meminta penuh memujuk. Hisamiko tidak terdaya menghampakan satu-satu rakannya itu.
“Baiklah. Tutup mata dan mulut dan hidung dan telingamu.”
“Wah, banyaknya nak kena tutup! Eh, engkau nampak seperti pernah melakukannya? Hmmm....” Usik Mine.
“Diamlah. Nanti aku pergi ambil daun.”
“Untuk apa?”
“Untuk menutup hidung dan telingamu dari disumbat pasir.”
Hisamiko kembali dengan daun kelapa yang dipicis dengan kuku, digulung-gulung. Dua yang digulung disumbat ke telinga, dua lagi ke lubang hidung Hisamine. Hisamine menutup mata dan mulut kejap.
“Bersedia?”
“Hmm.” Hisamine menjawab dalam baring menelentang pegun sedang badan sudah ditimbus pasir sehingga ke leher.
Hisamiko mengepal pasir dan menimbunnya di atas kepala Hisamine.
Dia menekan-nekan. Sebaik jelas Hisamine dimampatkan sekukuhnya di bawah timbunan pasir, dia menyoal Hisamine.
“Dou, Mine-chan?”
Tiada jawapan.
“Mine-chan?”
Masih tiada sahutan.
“Mine... Mine-chan? Dou... Dou Mine?”
Kedengaran suara berbisik halus ke telinga Miko, “Engkau telah membunuh rakanmu, Hisamiko.”
Tidak, tidak! Kami hanya bermain-main.
Engkau bertanggungjawab! Engkau telah membunuh rakanmu!
Hisamiko tertekan seraya membuang pasir-pasir itu. Dia mendapati Hisamine sudah kejur kaku pucat lesi wajahnya. Putih biru kulitnya. Bibirnya hitam.
“Mine, Mine-chan!” Dia menggoncang-goncang jasad Mine. Tiada respons. Dia menekan nadi. Tiada denyutan. Dia meletakkan jari ke lubang hidung yang sebelumnya ditarik daun kelapa yang disumbat. Tiada nafas dihela.
Hisamiko meraung sambil merangkul Hisamine.
Engkau telah membunuh rakanmu.
Diamlah!
Pembunuh! Pembunuh!
Hisamiko terjaga dari lelap. Tangannya sudah di atas kubur Hisamine, cuba-cuba menggali dan mengeluarkan Hisamine seperti apa yang telah dilakukan terhadap jasad Ryouji dahulu, namun ditahan. Air mata bertakung di sudut mata.
Andai aku pantas ke kapal itu semalam... sudah pasti aku sempat menyelamatkan Mine.
Sudah pasti aku sempat selamatkan Mine!
Aku nekad. Aku tidak akan membenarkan sesiapapun lagi datang ke sini. Aku akan pastikan tragedi ini tidak akan berulang lagi. Selagi mana pulau ini dikunjungi manusia, selagi itulah aku tidak akan dapat hidup aman. Selagi itu aku dan Shiro tidak akan selamat.
Hisamiko mengambil pedangnya dan menghunus ke lautan.
Jagalah kalian, para penceroboh. Pulau ini pulau kami. Aku akan bunuh semua yang berani menjejakkan kaki ke pulau ini!
Air matanya mengalir perlahan-lahan menuruni pipi seperti air terjun. Di balik ikrar yang dilafazkan itu ada semacam rasa perit menikam jantung. Juga ada semacam rasa kekosongan. Dia sudah terlalu lama dan sudah terlalu letih membenci. Dan kala dia baru membina persahabatan, insan itu diragut tiba-tiba. Kebencian baru lahir sebelum sempat kebencian lama memadam.
Sehabis dia memuntahkan kata-katanya ke laut, dia tersentak. Dia mengingat kembali. Mulut dan suara itu bukan dari dirinya. Seolah-olah, mulutnya digerakkan suara lain. Pemikiran dan jiwa lain yang berkongsi jasad. Seperti semalamnya, seperti memori-memori itu. Tomokazu, tak silapnya. Atau satu lagi yang bernama Nozomi. Dan Yoshimaru. Siapakah mereka? Kaisenjyo? Siapa Kaisenjyo? Yang mengaku berkongsi jasad denganku itu?
Hisamiko duduk kebingungan.
Dia menoleh memandang kubur Ryouji, sedang minda tercandat pada mengingat peristiwa semalam, tatkala dia membunuh ketiga-tiga lelaki binatang itu.
Sejak bila aku begitu mudah membunuh? Onii-san andai engkau masih di sini, pasti aku tidak akan mengotorkan tanganku semalam. Pasti Hisamine dapat diselamatkan.
Seribu satu sesalan datang menghunjam dirinya. Onii-san pasti kecewa denganku kerana membunuh. Onii-san, aku telah menjadi seseorang yang kaubenci. Aku telah menjadi seseorang yang kautegah sekian lama. Aku telah menjadi seseorang yang sekian lama engkau usaha elakkan!
Mengapa tidak sahaja aku bunuh diriku sekarang? Andai, andai pada hari itu aku bunuh diriku, sudah pasti aku tidak perlu menghadapi keperitan dan kepahitan ini!
Hisamiko mencapai pedangnya. Dia menghunus mata pedang ke perut. Dia memejam mata dan memunggah segala nekad dan kudrat yang bersisa di balik selirat jiwa kecewa yang menyelubung.
Tiada lagi suara wanita itu. Tiada bisikan kenangan dari onii-san, nasihatnya sudah lama tenggelam dalam gaung memori. Tiada Shiro, tiada, entah di mana dia sekarang, barangkali sibuk menokak kelapa atau lena di lembah. Tiada sesiapa di sisiku sekarang. Yang tinggal hanya diriku yang akan menentukan sama ada mampu aku robek perutku dengan pedang ini atau sebaliknya.
Hisamiko memekik mengerah kudrat, namun masih tangan yang memegang pedang kaku seperti batu. Ada sesuatu di dalam diri seolah daya penghalang yang begitu kuat menghalangnya. Ia tidak seperti dahulu. Ia seperti sesuatu ketulan daging yang menyekat tenggoroknya dari berkata-kata.
Daya apakah yang menghalangku ini? Ia seolah memberitahuku, bahawa kerana aku tidak memutus untuk membunuh diriku pada waktu itulah, aku berkesempatan bertemu Hisamine. Sesungguhnya keputusanku di waktu itu tidak sia-sia. Sesungguhnya ‘nyawa kedua’ yang kukecapi ini sungguh bermakna sekali. Apakah jika aku meneruskan nyawa kedua ini, aku akan bertemu penggantinya? Yang akan terdampar di sini dari kapal yang terpukul badai?
Angin laut berhembus seolah cuba meredakan tegang di jiwa. Hisamiko meleraikan pegangan hulu pedang. Dia menarik nafas dalam-dalam dan melepaskannya perlahan-lahan.
Tidak, Hisamine hanya satu tiada ganti. Andai ada gadis sepertinya yang terdampar di sini kelak, aku akan menyelamatkannya. Namun itu tidak akan mengganti Hisamine. Namun jika yang terdampar itu selain gadis sepertinya, seperti pelombong-pelombong itu, aku akan membunuhnya tanpa kompromi. Aku akan menghalang mana-mana penceroboh dari memasuki pulau ini. Mereka semua sama sahaja dengan rombonganku dahulu, dan rombongan Hisamine. Semua lelaki-lelaki ini tidak boleh dibiarkan hidup di sini. Hanya dengan itu aku akan terus hidup.
Aku akan terus hidup. Namun bagaimana dengan Hisamine? Bagaimana mungkin aku boleh melupakan kesilapanku? Dahi Hisamiko berkerut. Jika begitu maka apa maknanya hidup lagi jika terus-menerus diselubung kesilapan itu?
Hisamiko dapat mendengar bunyi deruan angin yang sungguh kencang menerpa dari belakangnya dan detakan yang menggegarkan bumi yang menghampar duduknya. Tiba-tiba sahaja tubuhnya terangkat dan terlambung ke udara, dan mendarat di atas hamparan lembut. Seluruh tubuhnya larut dalam dakapan lembut seperti futon. Nafas kuat kedengaran di atas kepalanya. Dia membuka mata. Shiro sedang mendakapnya erat.
Baik, aku temuinya kini. Shiro, aku hampir melupakanmu. Mungkin aku harus mencuba, dengan Shiro. Mungkin masih ada maknanya dengan Shiro.
Mine, maafkan aku kerana gagal menyelamatkanmu!
Air mata Hisamiko berlinangan tatkala larut dalam pelukan Shiro dan tenggelam dalam kantuk dan penat yang seolah tiada penghujung bak samudera saujana mata memandang.
**