Home Novel Cinta YUMEJIMA
Bab 51

 

Ketibaan Hisamiko dan Shiro disambut dengan tembakan bertalu-talu mesingan Gatling oleh tentera Maharaja yang berkawal. Hisamiko berang tidak terkata sebaik berjaya mengelak tembakan dan menyembunyikan diri dalam hutan gelap. Dia dan Shiro terus meluru ke lembah rahsia mereka dan Shiro menutup lubang terowong itu dengan batu-batu besar dan tanah liat.

 

“Shiro aku mahu berbaring. Hari ini cerah sekali.”

 

Shiro mengangguk seraya berlalu. Namun Hisamiko menarik ekornya yang terseret menyapu tanah itu.

 

“Shiro, baring di sebelahku.”

 

Shiro menurut seperti dipukau.

 

Mereka berdua baring di atas rumput di tepi rumah yang pernah dibina bersama Hisamine. Di hadapannya sungai air panas masih mengalir, jernih membiru sehingga ke muara. Bunga-bunga masih mekar menghiasi kawasan di seberang sungai, tempat dia pernah berlari dan berguling bersama Hisamine. Angin laut berhembus menyederhanakan suhu di lembah terlindung ini. Asap dari salah satu bukit yang mengelilingi lembah itu semakin tebal dan hitam. Pokok berbuah kuning merah dan berbentuk seperti momo yang tumbuh sebatang dua di tepi pintu masuk terowong masih lebat buahnya. Pokok sakura dan momiji tumbuh di tepi tebing tinggi yang mengelilingi belakang rumah Hisamiko dan Hisamine dan menyokong hutan gelap di atasnya.

 

Hisamiko menengadah langit membiru. Sekosongnya. Sudah berhari dia dilambung ombak dan bertarung. Dia terlalu penat. Dan sekembalinya ke sini dia masih perlu mengelak bangsat yang berkawal di pantai di luar.

 

Dia mengangkat tangan kanan ke arah langit dan menelitinya, ia penuh calar-balar ditumbuk tentera yang cuba merampas pedangnya. Tangan kecil ini juga telah membunuh ramai manusia. Air matanya mengalir mengenangkan dia telah menjadi seorang yang dibenci abangnya. Dia memandang bukit yang berasap di hadapan. Entah bila agaknya ia akan meletus dan memusnahkan semua keindahan ini.

 

Apakah masih ada hari esok untukku menikmati semua ini sekali lagi? Atau aku akan pergi hari ini juga?

 

Aku telah membunuh ramai manusia. Apakah Tuhan akan mengampunkan aku? Wahai Tuhan, aku membunuh demi mempertahankan diriku, Shiro dan pulau ini. Mereka menceroboh. Jika aku biarkan mereka menceroboh, lambat laun mereka pasti akan mengapa-apakan aku dan Shiro sepertimana yang telah berlaku kepada abangku dan Hisamine. Tuhan, apakah engkau masih berkenan mengampunkanku?

 

Air mata deras mengalir lagi.

 

Aku mahu mempertahankan hanya sekeping tanah ini. Hanya ini sahaja ruang yang tinggal buatku. Semua mereka yang pernah hidup denganku telah pun pergi. Kerana manusia. Kerana hidup dengan manusia itu sungguh menyakitkan. Bapa dibunuh, abangku dibunuh, kekasihku dibunuh dan rakan baikku dibunuh. Dan aku dihalau dari negaraku oleh seseorang yang telah aku taburkan jasa bakti. Dan yang tinggal kini hanya sebeting pulau terasing, hanya ini sahaja tempat dan ruang yang menghindarkan aku dari manusia lain. Hanya ini sahaja.

 

Aku telah memilih Shiro dan pulau ini sebagai tempat berpaut dan aku akan mempertahankan keduanya. Namun manusia masih jua datang ke sini! Andai, andai aku punya kuasa menghapuskan semua manusia di luar akan aku lakukan! Agar hanya aku dan Shiro sahaja yang wujud di sini! Agar pulau ini kekal aman!

 

Hisamiko menggenggam penumbuknya, gigi berlaga dan dahi berkerut merenung langit. Air matanya mengalir menuruni bucu mata ke bumi. Shiro memegang tangannya cuba meredakan hati sahabatnya yang berkecamuk.

 

**

 

“Lubang apakah ini?” Seorang lelaki berpakaian seperti tentera Prussia mengamati lubang pada lantai hutan gelap itu. Dia menguis-nguis batu pada birai lubang yang dicampakkan rakannya yang sedang berada di dalam.

 

“Bagaimana Touno-san?” Soalnya kepada rakan di dalam lubang.

 

“Tiada cahaya.” Balasnya. Tidak lama kemudian Touno yang berpakaian ala tentera Prussia naik ke atas.

 

“Tiada cahaya langsung, Kouji-san. Seperti lubang ini telah dikambus di jalan keluarnya.”

 

“Kita cuba cara lain. Dengan letupan.”

 

“Baiklah. Aku ambil bahan letupan sekarang.”

 

Tidak lama kemudian...

 

DAMMM!! Bunyi letupan menggegarkan lembah rahsia. Hisamiko dan Shiro yang sedang terlelap tersentak dan bangkit mengejut. Hisamiko langsung menghala pandangan ke gunung berasap. Tiada lahar, asapnya juga tidak bertambah tebal dari biasa. Dari mana letupan sebentar tadi...

 

Dia menoleh belakang dan mendapati ada dua orang tentera Maharaja sedang berdiri sambil mengacu senapang ke arah mereka. Lubang terowong di belakang sudah runtuh dan lebih besar dari biasa.

 

“Apa kalian buat di sini?”

 

Hisamiko mencapai pisau yang dibawa dari kapal Yoshihisa. Hanya itu sahaja senjata yang masih dimilikinya sekarang.

 

“Berambus dari sini. Sini tempat kami. Kalian telah menceroboh!”

 

“Oi, gadis Okuhida. Pulau ini telah menjadi hak milik Maharaja. Apakah engkau tidak ingat? Dan engkau, bukankah Maharaja telah memanggilmu pulang? Mengapa engkau lari daripada kurungan kami ha?”

 

“Aku tidak peduli semua itu lagi. Nyah kalian, atau aku akan bunuh kalian.”

 

Shiro mendengus dan merenung dua orang tentera itu dan menampakkan taringnya. Keduanya kecut perut dan berundur selangkah dua. Shiro bersedia untuk menerkam, sedang tentera itu masih mengacu senapang ke arah Shiro.

 

Seketika kemudian datang beberapa orang tentera dari muka terowong yang sudah dibesarkan oleh letupan itu. Hisamiko pantas menghilang dan berada di belakang salah seorang tentera yang membawa pedang. Dia mengeluarkan pedang itu sambil melibas dan tatkala pedang itu dihunus ke udara, pemiliknya sudah tumbang dengan kesan libas pada pinggang.

 

Para tentera mula melakukan tembakan rambang demi menumpaskan Hisamiko yang pantas bergerak dalam kaminari. Shiro cuba mengekorinya demi menerbangkannya keluar dari lembah rahsia itu, namun disebabkan tentera tersebut menembak dengan mesingan Gatling juga dan kelambatan Shiro mengekori Hisamiko yang jauh lebih pantas dan ringan tubuhnya, dua ke tiga tembakan mesingan Gatling mengenai Shiro. Ia gugur menyembah bumi. Darah mengalir deras dari kesan tembakan. Hisamiko mendarat pada lututnya.

 

“Shiro...bangun Shiro! Bangun!”

 

Shiro tidak berganjak. Matanya terbuka separa. Mulutnya bergerak-gerak sedikit. Jantungnya masih berdegup.

 

Hisamiko tidak dapat menahan amarahnya melihatkan keadaan Shiro. Dia tekad kini akan menumpaskan tentera itu demi Shiro.

 

Hisamiko kembali naik jurus kaminari dan melibas pedangnya merentas medan magnet dari bukit hitam. Selepas dirasakan cukup casnya, dia mengelak satu persatu peluru Gatling yang menyasar dan dia menyusup celah-celah pasukan tentera sehingga dia cukup hampir kepada mesingan itu dan menetaknya dengan pedang yang sudah dicas. Meletuplah senapang itu bersama para tentera yang berbaki.

 

Hisamiko turut tercedera. Dia mengengsot dengan kaki yang berdarah-darah menuju lokasi Shiro. Darah turut mengalir keluar dari kepalanya dan mulutnya. Organ dalaman Hisamiko nampaknya sudah cedera parah akibat letupan itu. Hampir semua tentera yang telah menceroboh lembah itu telah mati diletupkan, kerana bom yang mereka bawa turut sama meledak dari cas pedang Hisamiko. Sebahagian lagi cedera teruk dan melarikan diri melalui terowong, barangkali juga untuk memberitahu rakan-rakan yang lain di luar.

 

Hisamiko sampai di sisi Shiro. Dia langsung rebah. Namun Shiro kembali sedar dan lukanya menyembuh pantas, ia sebahagian dari kuasanya. Dia sempat memangku Hisamiko di atas lengannya.

Previous: Bab 50
Next: Bab 52

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov