Home Novel Cinta YUMEJIMA
Bab 27

“Banyaknya tanah merah.” Ujar Hisamiko sebaik tiba di kaki bukit hitam itu.

 

“Inilah bijih besi.” Tambah Hisamine. “Aku sudah ke sini tempoh hari. Sebab itu aku mahu tunjukkan pada engkau.”

 

“Bijih besi?”

 

“Ya Miko-chan. Dengan bijih ini, kita boleh menghasilkan banyak peralatan. Seperti senjata, seperti pisau untuk memotong ikan, jarum untuk menjahit pakaian dan periuk untuk meletak makanan! Miko-chan, engkau sudah lama di sini, alangkah baiknya jika engkau tahu perkara ini lebih awal...”

 

“Jika aku tahu sekalipun apa gunanya. Aku tidak tahu mengolah bijih ini menjadi alat-alat yang kausebut itu.”

 

“Hmm. Aku tahu!”

 

“Hmm?”

 

“Aku tahu bertukang. Nanti aku tunjukkan bagaimana.”

 

**

 

Dari Hisamine, Hisamiko belajar pelbagai perkara. Dari cara membuat api, kepada memasak. Dari melombong, kepada pembuatan senjata. Tidak disangka-sangka, pulau ini kaya dengan sumber alam. Makanan dan bijih. Ia hanya memerlukan seseorang yang berilmu untuk mengolahnya menjadi bahan yang boleh dimanfaatkan untuk kegunaan sehari-hari.

 

Namun satu-satunya kekurangan pulau ini ialah sumber yang boleh dijadikan kain dan pakaian. Tiada ulat sutera dan kapas di sini. Pakaian mereka tidak banyak. Selimutpun dibuat daripada rumput-rumput yang dipotong dan dikeringkan, kemudian diikat-diikat sehingga membentuk kepingan lebar.

 

Hisamine menemui beg-beg pakaian rakan-rakannya yang terdampar di pantai beberapa minggu kemudian. Namun pakaian di dalamnya besar-besar dan dia memerlukan jarum dan pisau untuk mengolahnya agar sesuai dengan saiz tubuhnya.

 

Dia sudah ada pisau, iaitu tantou yang dibaling Kazumasa ke kakinya itu. Namun di mana dia boleh mendapatkan jarum?

 

Hisamine memberitahu ketikamana kelananya sewaktu diperdagang ke serata dunia, dia belajar dan melihat pelbagai perkara. Kadangkala dia menggunakan wang yang ada membeli buku dan membaca. Dia juga banyak bertanyakan para pedagang. Para pelayar yang pernah bersamanya punya banyak pengalaman dari pelbagai bidang.

 

Hisamine juga mempelajari perkara baru dari Hisamiko, iaitu kaedah bertarung. Dari Hisamiko, Hisamine belajar mempertingkat had tampungan tenaga dan kemudiannya kaminari. Bahkan keserasian mereka membolehkan jurus kedua dilakukan, sesuatu yang jarang boleh dicapai mereka yang bukan kembar.

 

**

 

Membina relau.

 

Bagaimana relau dibina? Relau besi Jepun atau tatara dibina daripada tanah liat. Di tepi sungai air panas di sini ada banyak tanah liat. Sungai yang mengalir dari atas sana juga menghakis lahar-lahar beku yang kaya unsur besi sehingga menjadi pepasir yang diseret jatuh ke kuala. Sifat besi yang lebih berat dari kebanyakan unsur lain memaksa ia dimendapkan di selekoh tajam sungai, dan daya magnet dari bukit hitam berhampiran dan bayu laut telah mendaratkan debu-debu kering hitam ini ke kaki bukit tersebut. Bijih hitam ini lebih kaya unsur besi dari bijih merah. Debu merah, iaitu bijih besi yang bercampur unsur lain seperti mangan, juga ditarik ke kaki bukit hitam oleh daya tersebut dan membentuk bijih merah.

 

Hisamine mengambil dan membentukkan kebuk relau dari tanah liat itu. Ia berbentuk silinder menegak dan tinggi, dengan lubang pintu di kakinya. Lubang pintu ini dibuat bagi membekal udara kepada isi relau.

 

Hisamiko memerhati seperti biasa. Ingatan fotografiknya dimanfaatkan sepenuhnya. Sekali-sekala dia bertanyakan Hisamine dan Hisamine tidak jemu dan penat menjawab. Soalan-soalan Hisamiko bijak belaka menyebabkan Hisamine tidak radang atau penat menjawabnya. Ketika kelana Hisamiko dengan abangnya di sepanjang Nakasendo selepas kematian Tsuneki, dia banyak membaca dan dari situ dia mempelajari cara-cara memproses bijih besi. Namun inilah kali pertama dia berpeluang menyaksikannya secara langsung dengan mata kepala sendiri.

 

“Aku ingat tugas begini hanya dilakukan lelaki.” Tebak Hisamiko.

 

“Di kampungku wanita turut sama memproses besi. Kami hidup dalam perang dengan orang asli di sana. Aku melihat tukang besi memproses besi dan aku selalu melihat kerja-kerjanya mengikut bapa. Nak harapkan besi-besi dari Shimagane, amat jauh sekali dari kami. Sedang keperluan mendesak perang menuntut kami melombong sendiri di Morioka.” Panjang celoteh Mine.

 

“Oh.” Melongo Hisamiko mendengar penjelasan Mine. Matanya yang membulat seolah-olah menagih Mine agar bercerita lanjut.

 

“Ah, lagipun lahar dari Gunung Iwate itu kaya bijih besi. Kami pun gunakan sajalah.” Hisamine mengukir senyum yang sungguh manis sekali sekilas memandang Hisamiko sambil tangan kecil dan putih itu menempek-nempek tanah liat. Cerobong silinder tanah liat yang tebal separuh kaki siap akhirnya. Hisamiko melihat senyuman yang indah seindah lengkung pelangi. Hisamine engkau sungguh indah.

 

“Di sini banyak bijih besi juga. Butir-butir hitam dan kelabu di kaki bukit hitam itulah, yang sudah aku angkut ke sini. Hisamiko, aku mahu mencipta senjata baru untukmu, untuk kita.”

 

“Untuk apa, Mine-chan? Aku sudah punya pedang. Aku tidak mahu berperang.” Aku sudah penat berperang. Aku hanya mahu berdamai.

 

“Aku tidak mahu penceroboh datang ke lembah ini. Kita perlukan lebih dari pedang.”

 

“Mengapa, Mine-chan? Mengapa engkau mahu melindungi tempat ini?”

 

“Aku mahu hidup di sini, denganmu Miko. Aku fikir kita perlu siap-siaga pertahanan kita.”

 

HontouHontou yo, Mine? Yang engkau mahu tinggal di sini?” Hisamiko menyoal penuh teruja.

 

Un. Hontou da.”

 

Hisamiko meluru dan memeluk Hisamine pada bahunya dari belakang sedang Hisamine berdiri. Air matanya mengalir deras. Hisamine sudah mengesahkan yang dia akan tinggal di sini buat kali ketiga. Hisamiko fikir ia muktamad.

 

Arigatou Mine. Arigatou.”

 

Hisamine hanya tersenyum sambil melihat-lihat silinder tanah liat yang baru siap. Dia menepuk-nepuk tangannya dan mengesat sisa tanah pada kain yukata, kemudian memegang tangan Hisamiko yang masih memeluknya. “Kimi wa atashi no tomodachi jyanai? (Bukankah engkau sahabatku?)”

 

Hisamine menengadah langit sedang Hisamiko menyandarkan kepala ke belakang tubuhnya. Dia sedar, di balik kata-kata itu terselindung keperitan yang amat melukakan. Rindu terhadap kakaknya bukan kepalang dan mahu sahaja dia menangis semahunya. Namun sejak dia tiba di sini, dia tidak berasa sebegini gembira, sebegini indah hidupnya. Noda diperlakukan bangsat binatang hidung belang di merata pelusuk benua dan belahan bumi menanam rasa benci terhadap lelaki, rasa benci terhadap dunia luar, dan pulau ini seolah menawarkan harapan, syurga yang baru untuk lari dari neraka di luar. Pedih memang pedih, dia sangat berharap Saaya datang ke dalam mimpinya barang sekali cuma. Kerana sudah terlalu lama dia diculik dan dilambung dikeronyok seperti barang mainan, dia sudah lupa akan rupa kakak kesayangannya itu.

 

“Hisamiko, ayuh, aku akan mengorek lubang di kaki silinder ini. Selepas itu engkau boleh membantuku membina pengipas.”

 

“Pengipas?”

 

“Untuk mendorong udara masuk ke kakinya. Hanya dengan itu suhu api dapat dipertingkatkan.”

 

“Bagaimana kita membuat pengipas?”

 

“Dengan daun-daun pokok kipas yang kita tebas hari semalam itu.” Mine menunjuk ke arah daun-daun pokok kipas, sejenis pokok palma, yang diangkut Shiro ke satu tempat berhampiran rumah mereka. “Kita akan ikat daun-daun ini pada satu batang kayu.”

Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov