Hai semua,
Yumejima ialah buku ketiga dan terakhir dalam trilogi Kaisenjyo. Aku muatnaik buku ini dahulu kerana buku kedua ‘Yoru-no-kaze’ (Bayu Malam) belum lagi siap (setakat ini baru tujuh puluh peratus diselesaikan).
Buku ketiga ini banyak pendedahan atau ‘spoiler’ termasuk yang sepatutnya akan didedahkan dalam buku kedua. Maka jika kalian tidak mahu terbaca pendedahan, kalian boleh menunggu buku kedua siap dan dimuatnaik ke sini dahulu barulah baca buku ketiga ini. Buku kedua mungkin akan siap dalam tahun depan. Peringatanku, buku ketiga ini boleh sahaja dibaca tanpa buku kedua namun kalian disaran menghabiskan buku pertama dahulu (sebahagian besar dicoret di blogku di Blogger atau di Wordpress (laman wordpress hanya direktori, semua tulisanku di Blogger)) agar pembacaan kalian tidak terganggu (sebab ada banyak Chekov’s guns dalam buku pertama digunakan dalam buku ketiga ini).
Di dalam buku ketiga inilah teras utama trilogi Kaisenjyo ini akan dihuraikan. Asalnya, Kaisenjyo hanyalah buku ketiga ini sahaja, dan buku pertama (Hayabusa) dan kedua hanyalah filler atau kisah latar. Sewaktu idea Kaisenjyo ini terbit dalam benakku, aku mulanya membayangkan seorang gadis yang berputus asa dengan manusia dan dunia dan hidup terasing di sebuah pulau, dan mempertahankan pulau itu dari diceroboh mana-mana manusia dari dunia luar. Ini adalah kisah asal, teras dan nukleus Kaisenjyo dan tema utama buku ketiga ini. Dari situ aku cuba menggarap kisah latar yang panjang lebar dalam buku pertama dan kedua.
Buku ketiga ini agak sukar ditulis kerana aku perlu meletakkan diriku sebagai seorang wanita selepas mengangkat Hisamiko sebagai watak utama mengambilalih Ryouji (heh, kat sini pun dah ada pendedahan!). Aku telah berusaha menulis sebaik mungkin. Jika kalian ada cadangan bagaimana untuk tambahbaik penulisan dan kedalaman watak wanita, bolehlah menulis kepadaku di [email protected].
Aku tidak berniat menjual atau membuat keuntungan daripada semua karyaku. Semua karyaku akan dikongsikan di sini, di Wattpad dan di blogku dan di Novelplus, dan kalian boleh memilih untuk membacanya di mana-mana laman-laman itu.
Selamat membaca!
**
Nota penting
Bagi sesiapa yang telah membaca Buku 1: Hayabusa, terdapat nama watak dari buku tersebut yang telah kutukar dalam buku ini. Nama-nama tersebut ialah:
Okuhida Miura ditukarkan kepada Okuhida Mitsuo
Shirasaka Kotobuki ditukarkan kepada Shirasaka Koichi
Yoshitsugu Hagiura ditukarkan kepada Hamada Yoshinobu
**
Kai-sen-jyo (海戦 女) (‘gadis tempur samudera’) (naval vanadis)
Buku III: Yumejima
Arka I: Hisamine
**
Tahun sembilan zaman gemerlap
terputus segala pewaris kuasa
tinggal sunti berdarah gahara
dendam Emishi menggegar takhta
dibayangi sunti menyusur pawana
dia tiada tandingan bertarung
dia gerhana gemerlap takhta
pulaukan, sisihkan
agar aman sarwa pertiwi
pulau tersisih jauh di utara
tempat dia berdiam, dipenjara
tegahlah jiwa nan menghampiri
nescaya selamat nyawa dan pertiwi
**
Prolog
Lama dahulu terdapat sebuah pulau di tengah-tengah Lautan Pasifik, berjarak kira-kira 1,200 kilometer ke timur dari pesisir Jepun di Sendai, Tohoku.
Pulau itu terbentuk dari letusan gunung berapi berjuta tahun lampau. Gunung berapi itu tidak lagi meletus dan tanah yang subur dari lahar bekunya menumbuhkan pelbagai jenis tumbuhan di serata pelusuk pulau.
Setelah berjuta tahun berlalu, pulau itu dilitupi hutan tebal. Tiada kelihatan haiwan buas di hutan tebal itu selain unggas, serangga dan ular berbisa yang datang dengan terbang atau berenang merentas laut dari benua lain. Sebatang sungai yang besar dan jernih kehijauan seperti zamrud mengalir merentas hutan tersebut dan didiami oleh ikan-ikan terevolusi yang asalnya mendiami laut yang mengelilingi pulau itu. Sebuah lombong emas yang aneh, yang emasnya berbongkah-bongkah, terbentuk di tepi sungai itu.
Pada pertengahan abad ke-19 ketika shogun belum lagi melonggarkan dasar sakoku-nya, sekumpulan pelaut Jepun menemui pulau tersebut selepas kapal geliung mereka dipukul badai lalu terdampar di pantainya. Ini adalah kali pertama pulau tersebut berhubung dengan tamadun manusia, sekurang-kurangnya itulah yang para pelaut itu fikirkan. Kumpulan peneroka awal ini menamakan pulau tersebut Yumejima atau Yumeto (mengikut sebutan onyomi) disebabkan terpesona dengan keindahan pulau yang belum diteroka itu yang bergunung-ganang dan air sungainya yang jernih, persis dunia di dalam mimpi (mimpi adalah ‘yume’ dalam bahasa Jepun).
Mereka mula meneroka pulau tersebut untuk mencari sumber air dan makanan dan membaiki kapal mereka yang rosak, dengan harapan ia masih boleh dibaiki. Ketika meneroka, mereka menemui satu kawasan tersorok yang dipenuhi bongkah-bongkah emas di tepi sebatang sungai. Pada mulanya mereka berpakat untuk berkongsi emas dari kawasan itu sama rata sesama mereka. Mereka pun memulakan aktiviti melombong emas itu.
Namun kemudiannya, salah seorang daripada mereka mulai khianat. Secara senyap, si khianat ini membunuh setiap daripada peneroka-peneroka tersebut untuk membolot kesemua emas tersebut untuk dirinya. Salah seorang daripada peneroka-peneroka ini menyedari muslihat si khianat (digelar si sedar), lantas mengatur strategi sendiri untuk lari dari pulau tersebut. Si sedar tahu yang dia tidak akan dapat mengalahkan si khianat yang kuat dan pandai berlawan.
Ketika si khianat membunuh peneroka ketiga terakhir, si sedar sedang bersembunyi. Rakit yang dibina peneroka ketiga terakhir itu sudah tersedia dan sedang terapung di jeti. Si sedar menakik beberapa ketul emas cukup untuk menampung sara hidupnya pabila sampai di Jepun nanti, kerana gusar jika dia terlalu tamak, emas yang terlalu banyak akan menenggelamkan rakitnya. Dia bercadang mahu mencuri rakit itu dan melarikan diri, membiarkan si khianat seorang diri di pulau itu.
Usai mengebumikan peneroka ketiga terakhir, si khianat mengatur langkah seterusnya, iaitu membunuh si sedar. Namun dia sudah terlambat. Ketika si khianat kembali ke jeti, si sedar sudah jauh di tengah laut dengan berlayar di atas rakitnya. Si khianat kembali ke pondoknya dengan perasaan hampa, dan berseorangan di pulau itu. Yang tinggal kini hanya pusara-pusara peneroka lain yang telah dibunuhnya.
Ketika hari kedua berada di laut lepas, si sedar terserempak dengan kapal dagang yang besar. Si sedar tahu yang dia mungkin bernasib baik. Dia melambai-lambai ke arah kapal dagang tersebut.
Melihatkan benderanya yang tertera simbol bertuliskan VOC, jelas ia kapal dagang dari Belanda yang sedang dalam perjalanan menuju pelabuhan Dejima di Nagasaki, Jepun untuk tujuan perdagangan dan mereka meninggalkan pelabuhan Osaka. Nakhoda kapal mengarahkan anak kapal menyelamatkan si sedar. Si sedar bernasib baik dan meneruskan pelayarannya di atas kapal dagang Belanda itu. Jika si sedar tidak diselamatkan, dia mungkin akan hanyut ditelan badai lautan yang menggila yang kerapkali melanda secara tiba-tiba perairan bergolak ini.
Si sedar menceritakan kisahnya kepada salah seorang anak kapal yang faham bahasa Jepun. Namun si sedar tidak menceritakan pembunuhan rakan-rakannya oleh seorang rakannya yang belot dan juga kisah penemuan pulau emas Yumejima.
Setelah berhari di lautan, kapal dagang tersebut akhirnya selamat berlabuh di pelabuhan Dejima di Nagasaki.
Si sedar menggunakan emas yang diperolehi untuk memulakan hidup baru di Jepun. Dia pulang ke Honshu dan membuka sebuah perniagaan di kota Kyoto. Pada ketika itu Jepun diperintah oleh shogun dari keturunan Tetsugawa. Pada tahun 1868, ketika perniagaan si sedar – mulai sekarang akan dipanggil Yoshihisa – berada di kemuncak, peristiwa pengembalian kuasa pemerintah dari shogun Tetsugawa kepada Maharaja berlaku.
Siri pemberontakan oleh penyokong Tetsugawa menentang kuasa baru Maharaja berlangsung sehingga 1869 (dikenali Perang Boshin) sehingga pertempuran terakhir di Hakodate yang terletak jauh di utara negara. Sejak pertempuran itu berakhir, Jepun berada sepenuhnya di bawah pemerintahan Maharaja, berpusat di kota Edo yang kini dinamakan Tokyo.
Yoshihisa gagal mempertahankan perniagaannya setelah berhempas-pulas selama tahun-tahun Perang Boshin lantas mengambil keputusan mengasingkan diri di sebuah kawasan pergunungan di dalam Wilayah Jooryoku dan meninggalkan keluarganya di Kyoto bagi mencari jalan menyusun kembali hala tuju hidupnya.
Dia mula teringat akan pulau yang kaya dengan emas sewaktu dia berlayar dahulu. Mungkinkah lagi ada emas di pulau itu? Dia mula teringat akan rakannya yang bertukar menjadi pembunuh bersiri akibat tamakkan emas tersebut. Mengingatkan akan hal itu membuatkan dia gentar. Dia yakin rakannya dirasuk emas itu. Ia turut berlaku kepada rakan-rakan ahli rombongannya yang lain, bahkan dia sendiri turut merasainya. Hanya si khianat yang lebih kuat dikuasai emas itu dan tidak berupaya mengawal diri.
Pemiutang mengesan lokasinya di Jooryoku. Sebaik dimaklumkan perkara tersebut oleh mata-mata yang diupah, dia mengatur langkah senyap-senyap ke Dejima, bandar pelabuhan di Nagasaki tempat dia berlabuh dahulu dari kapal Belanda yang ditumpanginya. Dia mahu melarikan diri dari pemiutang di Honshu dan memulakan perniagaan baru di Nagasaki.
Di Dejima dia bertemu seorang pemuda yang sedang menyebarkan iklan untuk merekrut pelombong-pelombong emas untuk melombong emas di sebuah pulau. Yoshihisa tertarik. Dia bertanyakan pemuda itu nama pulau tersebut. Pemuda itu enggan memberitahu.
Yoshihisa berfikir dua tiga kali. Memulakan hidup baru di Dejima amat sukar. Pelbagai cabaran dihadapi melemahkan Yoshihisa, dia mula berkira-kira menyertai rombongan itu. Dia berharap pulau itu bukan Yumejima.
Esoknya pemuda itu masih menyebarkan iklannya. Sambutan terhadap iklan pemuda itu hambar dan dia nampak keletihan. Namun bagi Yoshihisa, iklan dari pemuda tersebut bagai pucuk dicita ulam mendatang. Tanpa berfikir panjang, beliau lantas bertanya kepada pemuda tersebut bagaimana untuk menyertai rombongan itu. Pemuda itu membawanya ke sebuah pejabat untuk mendaftar diri.
Yoshihisa menandatangani kontrak dengan ejen rombongan tersebut berupa pembayaran sebahagian hasil lombong kepada ejen dan dia mesti bekerja untuk satu tempoh sehingga hutangnya langsai. Ejen itu juga mengingatkan Yoshihisa bahawa dia akan berlayar dan melombong atas risiko sendiri dan ejen itu tidak bertanggungjawab di atas kehilangan nyawa atau kerugian yang akan ditanggungnya. Yoshihisa bersetuju dengan syarat tersebut.
Ejen itu juga tidak meminta sebarang wang pendahuluan, kerana mereka tidak akan rugi apa-apapun sekiranya ahli rombongan melarikan diri. Ejen itu sebenarnya memiliki perniagaan lain dan usaha melombong emas ini adalah bisnes baharu dan mereka hanya mencuba dahulu sebelum menceburi dengan bersungguh.
Yoshihisa ada bertanya ke manakah dia akan berlayar, namun ejen tersebut tidak mahu mendedahkannya kerana ia adalah rahsia syarikat. Yoshihisa juga bertanya mengenai jaminan bahawa ejen tersebut boleh dipercayai dan akan membawanya berlayar untuk melombong emas. Ejen tersebut menjawab bahawa mereka akan membawanya ke lombong emas, dan terpulang kepada Yoshihisa untuk mempercayai mereka atau sebaliknya. Ejen tersebut juga mendedahkan bahawa mereka tidak pernah gagal dalam bisnes mereka yang lain seperti perkapalan, pembinaan lokomotif dan rel keretapi untuk Maharaja dan perlombongan arang batu di pulau Hashima, sambil menunjukkan potret-potret kejayaan mereka dan sijil-sijil pengiktirafan dari Maharaja.
Beberapa hari kemudian, Yoshihisa berlayar bersama ahli rombongan lain. Salah seorang ahli rombongan tersebut ialah seorang gadis dengan abangnya yang menyertai sebagai ahli pasukan pelindung.
Gadis itu menegurnya suatu hari. Yoshihisa mula berbaik dengan adik-beradik tersebut. Yang gadis bernama Okuhida Hisamiko sementara si abangnya bernama Okuhida Ryouji. Ibu dan bapa mereka telah lama meninggal dunia dan mereka menyertai rombongan itu demi mengubah nasib mereka. Sekurang-kurangnya itulah yang dia dimaklumkan, entah benar atau tidak dia tidak pasti.
Namun setiap ahli punya perancangan lain dalam hati. Ada yang mahu mengubah nasib diri, ada yang mahu mencuba cabaran baru demi mengisi kekosongan hidup, dan ada yang mahu melarikan diri dari pelbagai perkara yang menggusarkan jiwa.