Home Novel Cinta YUMEJIMA
Bab 14

Yoshihisa berjaya memandu pengemudi kapal mereka kembali ke Jepun tanpa merujuk pelan kemudi.

 

Sepanjang berada di dek kapal, Yoshihisa diperhatikan dua orang kanan Yato. Yoshihisa merancang meracuni fikiran mereka agar membelot.

 

“Engkau Yoshimura bukan?”

 

“Ya.”

 

“Dan engkau Katamori?”

 

“Ya.”

 

“Berapa upah kalian berkhidmat kepada Yato?”

 

“Mengapa engkau mahu tahu? Hanya jalankan tugasmu!” Gertak Katamori.

 

“Manalah tahu jika aku boleh memberi lebih dari yang kalian terima.” Yoshihisa menanam jarum pertama.

 

Lama mereka diam, sehingga Yoshihisa memecah dengan tebakannya, “Dou (Bagaimana)?”

 

“Seguni beras.”

 

“Apakah kalian akan menerimanya penuh?”

 

“Separuh sebaik kami tiba di Jepun, separuh lagi dalam masa dua minggu.”

 

“Aku boleh beri kalian seguni beras dan wang cukup untuk membeli lagi lima guni beras sekaligus.”

 

Tergamam dua orang pengikut Yato itu.

 

“Apa bukti engkau boleh memberikannya, orang tua?” Soal Katamori.

 

“Katamori!” Tegah Yoshimura dengan suara keras tetapi perlahan. Katamori memandangnya.

 

“Perlahankan suaramu.” Rupanya Yoshimura turut sama berminat dengan tawaran itu.

 

“Teruskan, orang tua.”

 

“Aku ada tinggalan harta sebelum ke Yumejima. Ini.”

 

Yoshihisa menunjukkan bukti simpanan dalam akaun banknya dengan cap mohor Bank Negara Jepun, sebuah bank pusat baru yang diasaskan rejim Maharaja mengikut model bank pusat negara Eropah.

 

“Aneh, jika kau begini kaya, mengapa sanggup ke Yumejima melombong?”

 

“Aku memang miskin. Cuba baca betul-betul nama pada buku itu.”

 

Mereka terbeliak mata tatkala membacanya. Ia bertuliskan nama penuh jurukemudi kapal yang dibunuh, Yukawa Hideki.

 

“Sebaik kita tiba di pelabuhan Dejima nanti, aku akan menukarkan kepada tunai. Kalian boleh mengikutku. Aku akan membayar pendahuluan dahulu dan selepas kalian berkhidmat sebulan denganku, aku akan membayar bakinya.”

 

“Setuju.” Laju Katamori menjawab. Dia memandang Yoshimura. Yoshimura teragak-agak namun jelas gumamnya perlahan, “Setuju. Namun!”

 

Yoshimura menyambung sebaik Yoshihisa merenungnya, “Aku mahu lima puluh peratus pendahuluan.”

 

“Hanya lima puluh peratus?” Soal sinis Yoshihisa penuh bongkak. Teruja Yoshimura mendengarnya.

 

“Apa engkau sanggup membayar lebihkah?”

 

“Yoshimura, aku sanggup membayar sehingga sembilan puluh peratus pendahuluan.”

 

Terbeliak biji mata Yoshimura dan Katamori mendengarnya. Sembilan puluh peratus? Itu bukan lagi namanya pendahuluan! Apakah orang tua ini benar-benar waras atau sudah nyanyuk?

 

“Namun, jika kalian melarikan diri dariku selepas aku bayar pendahuluan, kalian tidak akan dapat upah lumayan yang menanti. Ada lebih lumayan dari itu.”

 

“Upah apa?”

 

“Aku akan menjadikan kalian orang kananku. Aku akan mengambilalih syarikat perlombongan ini. Dengan syarat kalian membantuku.”

 

Tergamam Yoshimura dan Katamori mendengarnya. Hampir serentak mereka memberitahu mereka setuju Yoshihisa membayar sembilan puluh peratus dan mereka berikrar untuk setia dengan Yoshihisa kelak.

 

Yoshihisa senyum sinis. Wang yang aku akan berikan sebagai upah dan pendahuluan itu adalah wang yang diwasiatkan Hideki dalam surat wasiatnya itu selepas dia menjual sebahagian tanahnya di Hidagawa. Dia tidak punya sesiapa lagi di Jepun. Dia hanya mengambil upah mengemudi kapal sekadar suka-suka kerana dia sememangnya sukakan cabaran. Aku kenal benar dia. Yang pernah mengemudi kapal kami dari Luzon menongkah laut-laut bergelora. Dan aku satu-satunya kenalannya yang masih tinggal. Yang bodohnya dia terang-terang mewasiatkan kepadaku. Lantas aku menggunakan peluang yang ada ‘mempercepatkan’ proses pewasiatan itu. Di pulau ini, tiada polis yang menahanmu, tiada undang-undang yang mengawalmu. Siapa yang tahu menggunakan akal, mereka akan menang.

 

Hideki, engkau memang bodoh. Andai kautahu perangai sebenarku, apakah engkau masih bercadang mewasiatkan hartamu kepadaku? Engkau pasti sedang menyesal di alam sana bukan?

 

Kebodohan luar biasa Hideki itu menjadi misteri di kepala Yoshihisa. Hanya satu sahaja yang dapat dia fikirkan: dia memang beruntung.

 

Selepas semua ini aku akan dapat lebih dari apa yang diwasiatkan Hideki. Aku perlu berfikiran jauh. Aku hanya perlu hapuskan Yato dan merampas syarikat perlombongan itu. Selepas itu aku akan menakluk Yumejima. Untuk itu, aku perlu menggunakan mandat Maharaja. Hanya Maharaja yang boleh menghalang mana-mana individu dari mendekati pulau itu. Hisamiko, Ryouji, bertahanlah kalian di pulau itu.

 

Selepas beberapa minggu berlayar, mereka tiba di pelabuhan Dejima di Nagasaki.

 

“Hairan, bagaimana engkau mampu memandu kapten kapal sehingga kita berjaya ke sini?”

 

“Bukankah sudah kukatakan engkau harus mempercayaiku?”

 

“Perjelaskan!” Ugut Yato sedang pedangnya hinggap di leher Yoshihisa. Orang tua itu tergamam.

 

Aku yakin Yato akan membunuhku bila-bila masa. Sekaranglah masanya. Aku akan mulakan pelan kedua.

 

Yoshimura dan Katamori datang dari belakangnya dan menghunus pedang ke leher Yato. Yato tergamam.

 

“Orang tua, apa perancanganmu?” Yato menyoal dalam peranjat. Yoshihisa tersenyum sinis.

 

Yato mengarah katanya pada dua orang pengikut yang sedang menghunus pedang ke lehernya itu pula, “Kalian, berani kalian membelotku!”

 

Yoshihisa ketawa. “Aku pedagang. Pedagang harus bijak membaca fikiran dan meramal perlakuan. Aku tahu engkau tidak akan melepaskanku sebaik tiba di sini, Yato.”

 

“Tak guna!”

 

“Yato, aku harus berterimakasih denganmu kerana engkaulah aku keluar dari pulau itu dengan selamat. Namun tidak, di sini aku berkuasa.”

 

Yoshihisa menggumam sinis sebaik meninggalkan Yato yang diberkas pengikutnya yang sudah membelot.

 

Aku tahu, kadangkala pelayaran tidak memerlukan pelan kemudi. Pabila engkau sudah pernah melalui satu-satu laluan dan memahami arah angin pada satu-satu musim, digabungkan dengan pemahaman bintang dan pengalaman pelayaran yang luas sepertiku, engkau mampu berlayar tanpa pelan kemudi. Engkau hanya perlu tahu buruj, arah angin, kedudukan pulau-pulau dan tanda tanah. Musim apa angin akan bertiup dari satu-satu arah, dan di mana dan bila taufan dan badai lautan akan melanda, aku tahu. Dan semestinya engkau harus berserah kepada Dia, Maha Pengatur dan Perancang. Di situ, untung nasib engkau ditentukan. Yato, engkau budak mentah berbandingku.

 

Namun aku harus bergegas. Tatkala pulau itu sudah semakin tebal asapnya, semakin ramai yang akan menemuinya, tanpa perlu pengalaman berlayar, atau pelan kemudi. Aku harus bergegas membolot emas-emasnya yang masih berbaki sebelum letusan lahar menenggelamkannya.

 

Dentingan pedang sabung-menyabung. Yato nyata degil tidak mahu membenarkan diri ditewaskan. Katamori berjaya meleraikan pedang Yato dari tangannya, akhirnya, dibantu Yoshimura. Yato diikat dan dikurung. Sebaik dia dibawa pergi, dia sempat menoleh Yoshihisa yang hanya memerhati sambil mendekap pinggang.

 

“Aku akan bunuh engkau, orang tua!” Teriaknya.

 

Yoshihisa hanya tersenyum sinis.

 

**

 

Ketua syarikat perlombongan itu menemui Yoshihisa.

 

“Apa yang berlaku, Yoshihisa? Sedikit benar yang pulang berbanding bilangan kalian sewaktu dihantar tempoh hari.”

 

“Ada perbalahan di antara kami. Kami saling berbunuhan.”

 

Ketua itu menghirup teh hijau seperti seolah-olah tidak langsung menghiraukan berita yang dikemukakan Yoshihisa. Yoshihisa menggenggam penumbuk menahan marah. Apakah sebegini murah nyawa kami? Sudahlah kami meredah lautan berminggu, kemudian kami berpanas berhujan melombong, ada yang tidak sempat tiba di sana mati ketika mabuk laut dalam kapal. Bahkan akulah yang membawa pulang pasukan pelombong kembali.

 

Namun bukankah aku telah membunuh rakanku sendiri? Gumam hati kecil Yoshihisa. Bukankah aku sama sahaja dengan ketua syarikat ini?

 

“Bagaimana dengan pembaca pelan kemudi itu?”

 

Yoshihisa menelan air liur dan berbohong, “Dia sudah mati dalam perbalahan.”

 

“Oh begitukah? Zannen da ne (menyedihkan). Sedangkan dialah satu-satunya yang tahu bagaimana ke pulau itu. Bagaimana pula kalian masih mampu pulang ke sini tanpanya?”

 

“Sebenarnya, tuan. Aku pernah bertahun menjadi pelayar. Aku tahu mengemudi kapal tanpa pelan kemudi.”

 

“Begitukah? Wah, aku patut membalas budimu. Yoshihisa, beritahuku apa yang engkau mahukan.”

 

“Aku mahu hanya sepuluh peratus dari emas yang kami bawa pulang. Selebihnya aku mahu engkau serahkan seluruh syarikat ini di bawahku.”

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov