Home Novel Cinta YUMEJIMA
Bab 17

Hanasete! Hanasete, kono bakemono (Lepaskan aku, raksasa)!”

 

Binatang berbulu itu kekal memeluk Hisamiko sehingga dia keletihan dan tertidur.

 

Selepas kejadian itu, Hisamiko masih tidak berubah. Dia tidak lagi mencuba membunuh dirinya, kerana binatang aneh itu sentiasa memerhatinya. Binatang itu menyimpan pedangnya jauh-jauh. Ia juga memindahkan batu-batu besar di sekeliling kubur Ryouji agar Hisamiko tidak lagi menggalinya.

 

Hisamiko masih termenung seperti selalu. Dia sudah terlalu lama tidak menjamah makanan. Tubuhnya cekung secekungnya, seperti pengemis yang pernah dilihatnya di Saikawa dahulu.

 

Onii-san... mengapa engkau harus mengikut mereka juga? Otou-san, okaa-san, dan Tsuneki... mengapa engkau harus mengikut mereka juga?

 

Hisamiko gumam sendirian. Berulang kali dia mengulang ayat sama, sedang tangan memeluk tubuh yang sedang melutut mengadap laut. Kepala kian sasau, hati mengerekot, seolah diperah, agar basahnya masih mengalir menyegarkan jasad yang lesu. Dia memandang tebing tinggi itu, memikirkan apakah makhluk itu akan menghalangnya jika dia ingin terjun dari situ? Kala itu dia terkenang mimpi di mana Ryouji meminta dia berkawan dengan makhluk aneh itu.

 

Rakanku? Apakah makhluk hodoh itu layak dipanggil rakan? Apakah sebenar-benar pengertian ‘rakan’? Onii-san, apa yang engkau cuba maksudkan? Perjelaskan padaku. Datanglah ke dalam mimpiku sekali lagi. Rungkaikan segalanya. Onii-san.

 

Apakah rakan itu seorang yang mencintaiku dan sanggup mengorbankan nyawanya seperti Tsuneki? Atau seorang yang penyayang seperti Chisato nee-chan? Atau seorang yang selalu mengiringiku seperti adik kembarnya? Atau onii-san yang sentiasa melindungiku?

 

Seumur hidupku, hanya mereka yang membawa pengertian rakan. Selainnya, hanyalah musuh yang perlu kuhapuskan, demi Kogen, demi bangsa Yamato, demi Maharaja.

 

Maka apakah binatang hodoh itu boleh dijadikan rakan seperti katamu onii-san? Bagaimana mungkin harus aku mempercayainya? Lagi pula ia hanya binatang. Apakah ia boleh bertutur seperti Azuchi? Dan ia memakan manusia... ia menyerang manusia di hutan gelap itu. Apakah kaufikir aku akan selamanya selamat di sisi binatang ini, onii-san? Apakah kaufikir dia jujur dan tidak berhelah denganku?

 

**

 

“Ke mana engkau mahu membawaku? Hanasete! (Lepaskan aku!)”

 

Suatu hari, binatang berbulu itu tiba-tiba memeluk Hisamiko dengan sebelah tangannya, sedang Hisamiko menumbuk-numbuk dan meronta. Ia terbang sambil membawa Hisamiko menuju ke hutan gelap.

 

Ia membawa Hisamiko masuk ke terowong bawah tanah, terowong yang sama yang dimasukinya bersama Ryouji dan Yoshihisa beberapa hari lepas ketika melarikan diri dari orang-orang Yato. Kemudian dia membaringkan Hisamiko menelentang dan menolaknya. Hisamiko menggelungsur ke bawah menuju ke titik cahaya yang terletak jauh di hujung satu lagi terowong itu.

 

Tatkala dia menggelungsur, memori bersama abangnya Ryouji menerpa. Memori ketika dia menggelungsur di tebing Sungai Miya, demi bersembunyi dari penceroboh rumah mereka di Hidagawa. Memori itulah yang menjadi permulaan kepada segala-galanya. Dari titik itu bermula tragedi demi tragedi. Rindu terhadap Ryouji kembali menyeruak. Air mata panas mengalir menuruni pipinya.

 

Hisamiko tiba di muka terowong satu lagi dengan leher yukatanya lencun dibasahi air mata. Saat itu, saat dia menyeka sisa air mata, dan dari kabur matanya menjengahlah panorama yang sungguh indah yang tidak pernah ditemuinya. Segala nestapa lebur dalam keterpesonaan. Segera melenyap pergilah segala nestapa yang menggigit mencengkam jiwa. Makhluk berbulu yang berbaring menelentang di sebelahnya hanya diam seolah-olah berbangga dia berjaya menunjukkan daerah itu kepada insan lain.

 

Saat mentari menyinar di balik awan memberi cahaya dan menerangkan lembah dan bunga-bunga penuh warna-warni, saat itu harapan baru seolah terbit juga.

 

Aku mahu hidup seribu tahun lagi, di sini.

 

**

 

Sebaik mereka tiba di pintu terowong bawah tanah, binatang berbulu sambung mendukung Hisamiko turun ke sebuah lembah yang dikelilingi gugusan bukit-bukau yang tinggi. Hisamiko bergayut pada leher binatang itu seperti koala. Dia kepingaan.

 

Hisamiko didudukkan mengadap sebatang sungai. Pandangannya terpaku ke sekeliling bunga-bunga dan bukit-bukau tinggi yang memagari lembah rendah itu, terletak di seberang sungai. Sungai itu mengalir ke sebuah kolam air panas, sebelum mengalir keluar menuju laut.

 

Kawasan lembah rendah ini hanya boleh dijumpai dengan melalui sebuah lubang condong menghala ke bawah tanah pada lantai hutan gelap, iaitu terowong yang mereka gelungsuri tadi. Tebing yang amat curam dan tinggi menempatkan lubang keluar terowong, dan jauh di atasnya ialah hutan gelap.

 

Ia juga tidak dapat dilihat dari pantai kerana disembunyikan oleh bukit-bukit tinggi selain sentiasa dilindungi kabus yang terbit dari wap-wap panas dari rekahan bumi (akibat dari tindakan lava di bawahnya). Lembah itu merupakan kawasan terendah di Yumejima. Kabus itu membentuk imej pusaran warna-warni jika dilihat dari atas puncak bukit magnet dan dari atas tebing tinggi (atau dari hutan gelap).

 

Hisamiko hanya duduk terpaku selama berbulan-bulan lamanya di tepi kolam onsen, hanya memerhati segenap panorama seolah cuba merakam ke dalam benaknya setiap inci dan warna di situ. Makhluk berbulu tidak berganjak, senantiasa berada di sisi Hisamiko dengan mata melilau dan cakar sentiasa bersedia menyerang dan akan membunuh sesiapa sahaja yang cuba mendekati tempat Hisamiko, hatta lalat dan rama-rama sekalipun. Ketika musim sejuk, makhluk berbulu memeluk Hisamiko bagi melindunginya dari sejuk dan ketika musim panas, makhluk berbulu menjirus air sungai ke atas Hisamiko, langsung melunturkan kotoran tanah yang sekian lama berkampung di yukatanya. Makhluk itu cuba menghulur ikan mentah kepada Hisamiko namun langsung tidak dijamah. Binatang berbulu itu kemudian memetik buah-buah seperti momo yang banyak tumbuh di satu pohon di situ, dan meletakkannya di sisi Hisamiko. Masih, dia tidak memakannya. Pabila busuk, binatang berbulu akan menggantikan dengan buah baru.

 

Satu hari, Hisamiko mencapai buah itu dan memakannya. Tatkala menyedari betapa enak dan berjus, dia memakan lebih lahap. Menyedari perlakuan Hisamiko, binatang berbulu memetik lebih banyak. Ia buah berwarna merah kuning dan rasa masam manis seperti momo.

 

Sesudah makan, Hisamiko bangkit dan menanggalkan pakaiannya satu-persatu. Makhluk berbulu mulanya memandang, namun pantas memaling muka dan memandang pintu terowong sebaik Hisamiko menanggalkan lapisan terakhir pakaiannya, mendedahkan seluruh tubuh tanpa seurat benang. Dia ketawa kecil melihatkan gelagat binatang itu yang malu, seperti manusia. Pertama kali dia tersenyum selepas tragedi kematian Ryouji. Dia berlari dan terjun ke dalam onsen, berendam sambil menikmati pemandangan indah di sekeliling.

 

Ah, rotemburo (tempat mandi tanpa bumbung). Sudah lama benar aku tidak mandi di rotemburo. Indahnya kawasan ini, udaranya segar sekali. Suhunya tidak terlalu sejuk tidak terlalu panas.

 

Hisamiko bersandar pada batu-batu di dalam kolam dan memejam mata, wajah mendongak ke angkasa yang cerah.

 

Makhluk itu mengambil pakaian Hisamiko, dan mencelup-celupnya ke dalam sungai air suam sambil duduk. Hisamiko terpana melihatnya. Makhluk itu kemudian memerah pakaian itu dan menyangkutnya pada dahan pokok yang telah dipatahkan.

 

Suatu hari, makhluk berbulu sedang terbang entah ke mana, meninggalkan Hisamiko berseorangan di lembah.

 

Hisamiko kebosanan. Dia masuk kembali ke dalam terowong untuk naik ke atas, ke hutan gelap. Dia membawa bersama Saishi-tou yang sudah ditajamkan dengan batu dahulu, yang ditinggalkan makhluk berbulu di tepi pintu terowong.

 

Sedang dia merayau-rayau di dalam hutan gelap, dia menemui seorang gadis yang berpakaian lusuh sedang dikejar oleh seorang lelaki. Dia gesit bersembunyi di balik pokok.

 

Siapa lagi yang ada di sini? Bukankah semua pelombong itu telah pulang? Bisik hati Hisamiko. Tangannya kejap memegang hulu pedang. Rambutnya disanggul dibimbangi juraiannya terdedah di balik batang pokok.

 

Dari balik pokok itu Hisamiko memerhati pergerakan lelaki itu dan cuba-cuba mendapatkan gambaran wajahnya. Hutan yang gelap ini menyukarkan pengamatan, maka Hisamiko menunggu sehingga lelaki itu bergerak di bawah panahan cahaya matahari yang menerobos celah kanopi jarang. Saat wajah lelaki itu melintas, Hisamiko jelas lelaki ini bukanlah dari pasukan pelombong yang ditumpanginya dahulu, kerana dia mengingati wajah semua ratusan pelombong itu. Barangkali, ada pasukan pelombong baru yang tiba di sini. Atau barangkali anak kapal yang terdampar dipukul badai.

 

Nampaknya, masih ada yang belum serik ke pulau ini.

 

Namun mengapa lelaki itu mengejar gadis tersebut? 

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov