Makhluk itu cuba menarik Hisamiko dari tubuh Ryouji. Hisamiko masih tidak mahu melepaskan jasad kaku itu. Makhluk itu kemudian memeluk kedua-duanya, seolah mengalah dan memahami perasaan Hisamiko.
Lama Hisamiko dan jasad Ryouji dipeluknya, sehingga tangisan Hisamiko benar-benar reda dan dia kembali tertidur keletihan.
Makhluk berbulu putih itu mengalihkan Hisamiko yang sedang terlena ke atas sebuah batu besar yang berlumut dan berbentuk seperti katil, dan menyelimutkannya menggunakan rimbunan pelepah kelapa yang dipungut dari pantai nun jauh di bawah. Hari semakin sejuk sekarang dengan angin dari laut kerap bertiup. Kemudian, makhluk berbulu kembali mengebumikan mayat Ryouji.
Lama Hisamiko tidur, dek teramat letih setelah seharian menangis. Lewat pagi esoknya dia terjaga. Dia mendapati Ryouji sudah lesap dari pelukan.
Onii-san, di mana engkau?
Hisamiko mengalih pelepah kelapa yang menyelimuti tubuhnya, lantas turun dari batu besar. Siapa yang membawaku ke atas batu-batu ini? Bahkan menyelimutku dengan pelepah? Soalnya.
Hisamiko menyorot meneliti sekeliling. Dia perasan kawasan tempat Ryouji dikebumikan kembali ada timbunan tanah.
“Onii-san!” Hisamiko meluru ke arah timbunan tanah itu.
Sekali lagi, dia cuba menggali jasad Ryouji keluar. Dia mahu memeluknya.
Namun makhluk berbulu putih pantas menghalangnya dengan duduk di tepi kubur itu.
“Makhluk berbulu, ke tepi.” Hisamiko memberi amaran tanpa gentar, memandang tepat ke arah mata merah makhluk itu.
Makhluk itu tetap tidak berganjak. Dia menganga luas seolah mahu menelan Hisamiko, kemudian ia terlelap.
“KE TEPI!” Hisamiko menempik. Namun ia tidak sedikitpun menggentarkan makhluk itu. Ia masih duduk pegun seperti batu-batu yang banyak di kawasan itu.
Hisamiko mula naik angin lalu mencari-cari di mana pedangnya. Baru dia teringat. Pedang itu diletakkan di pintu gua. Dia berlari ke pintu gua dan mencarinya.
Tidak lama kemudian dia kembali dengan pedang itu.
“Aku akan bunuh engkau binatang hodoh!”
Binatang itu masih tidak berganjak, masih berbaring dengan mata terkatup. Dia hanya membuat dengusan perlahan dan panjang. Tempikan Hisamiko tidak menakutkannya langsung. Ia masih tetap pegun di situ, namun mulutnya seperti mengunyah sesuatu. Barangkali makanan yang belum dihadam.
Hisamiko masih berdiri dengan pedang terhunus. Dia tidak akan teragak-agak menghayunnya sekiranya perlu.
Binatang ini nampak berbahaya. Entah apa yang dikunyahnya itu. Bau hanyir. Mungkinkah ikan? Aku fikir inilah binatang yang menyerang ahli rombongan kami di dalam hutan itu. Namun seingatku, binatang itu punya sayap. Di mana sayapnya? Aku perlu melihat di belakang badannya. Namun, mana mungkin. Wajahnya asyik mengekor aku.
Hisamiko mulai bergerak perlahan-lahan. Binatang itu membuka mata dan menggerakkan kepalanya, pandangannya mengekori Hisamiko, melekat seperti magnet. Dia tidak akan sekali-kali membiarkan Hisamiko mendekati kubur Ryouji dan menggalinya lagi.
Binatang itu kemudian menelan sebahagian dari kunyahannya. Kemudian ia mengeluarkan sebahagiannya ke atas tanah. Hisamiko memandang dalam kaget, apa yang dilihatnya ialah tulang-tulang ikan yang besar. Ikan apakah yang dimakannya itu? Bagaimana makhluk yang seperti anjing rupanya ini mampu menangkap ikan? Apakah dia tahu berenang?
Ia tiba-tiba meluru ke arah Hisamiko. Hisamiko panik seraya menghayun pedangnya. Binatang itu mengelak. Hisamiko terus-terusan menghayun pedangnya, naik dari jurus ke jurus kaminari. Binatang itu masih tidak dapat dihentaknya.
Aneh. Binatang ini nampak bijak. Ia bertarung seperti manusia. Ia tidak sedikitpun mahu mencederakanku, hanya mengelak dan menampan seranganku.
Hisamiko terleka sejenak dengan kehebatan bertarung makhluk itu sehingga ia berjaya menumpaskan dan memeluknya. Hisamiko meronta-ronta, cuba melepaskan diri, namun tidak berupaya dengan kudratnya yang kecil. Makhluk itu terus menerus memeluk dan membelai rambutnya. Hisamiko diam dan berhenti meronta. Dia menangis teresak-esak, beransur-ansur larut dalam pelukan makhluk aneh itu, seperti berada dalam lipatan futon tebal.
Malam itu, Hisamiko duduk termenung bertemankan cahaya bulan, masih dihantui kematian Ryouji. Makhluk itu datang membawanya ikan mentah, sedikitpun tidak dia jamah. Kemudian dibawanya pula buahan hutan yang mirip momo atau peach. Juga tidak dijamahnya. Hisamiko duduk bersandar di tepi gua itu, merenung kosong ke arah lautan lepas. Dia kesejukan dan memeluk tubuhnya. Dia tidak tahu bagaimana menghidupkan unggun api. Namun semakin lama dia mengelamun dan termenung, semakin dia tidak pula menghiraukan kedinginan yang datang dari bayu lautan yang bertiup tanpa henti menerobos ke segenap pelusuk pulau terpencil itu, yang kelajuannya kadangkala kencang dan kadangkala perlahan.
Dia termenung dan termenung berhari-hari lamanya, siang termenung, malam pun termenung. Dia tidur dalam termenung. Kemudian bangun tidur dan termenung. Kemudian sambung tidur ketika termenung. Hari-hari yang berlalu dipenuhi menungan dan lamunan. Kenangan-kenangan lama bersama abang kesayangannya itu berputar ligat di benak. Mampukah dia melepaskan Ryouji?
Berhari-hari dia tidak menjamah apapun. Wajahnya berubah cekung. Matanya tenggelam dalam soket dan kelopak matanya membengkak akibat kerap menangis. Yukatanya dikotori pepasir dan dedaun kering yang berterbangan. Sudah berhari dia tidak membersihkan diri dan hanya duduk tercatuk di tepi gua itu. Jika dia kembali mengorek kubur Ryouji, binatang aneh itu pasti akan menghalangnya. Dia berada di mana-mana dan pergerakannya amat pantas dengan sayapnya. Pertama kali Hisamiko melihat binatang itu mengeluarkan sayapnya ketikamana dia cuba menggali kembali kubur abangnya suatu hari dan binatang itu terbang cuba menghalangnya dari meneruskan penggalian. Rupanya sayap itu dilipat dan disimpan di balik tulang belikat di belakangnya, dan ditutup dengan bulu-bulu yang tebal.
Sekarang, Hisamiko sudah tidak lagi berdaya melawannya, apatah lagi berjalan dan menggali kubur Ryouji. Tubuhnya semakin cekung selepas berhari tidak menjamah apa-apa. Dia hanya duduk termenung, mengharapkan agar Ryouji kembali hidup dan berkata-kata dengannya.
Mampukah aku hidup begini di pulau ini sendiri? Onii-san, kembalilah. Jika memberi separuh dari nyawaku mampu menghidupkanmu, aku sanggup. Tuhan, aku sanggup. Jika itu bayarannya agar onii-san kembali. Aku tidak mampu mengharungi hidup sendiri di sini.
Hisamiko mengambil pedangnya seraya menggosok-gosok pada salah sebuah batu yang banyak di situ, bagi menajamkan matanya. Dia mengasah perlahan dan lama, kerap berhenti di pertengahan. Kala berhenti dia kerap mencungap, akibat kelaparan. Sebaik habis berehat, dia sambung mengasah pedang tanpa mengisi perut dahulu. Dia nekad mahu menajamkan pedang yang asalnya dicipta tumpul itu. Sebaik dirasakan cukup tajam, dia membawa pedang itu ke sebatang pokok renek, seraya dicantas dahan pokok itu. Ia putus oleh satu hirisan licin.
Sudah cukup tajam, getusnya.
Dia kemudian memegang pedang itu dengan kedua-dua belah tangan, matanya dihalakan ke arah perutnya. Mata dikatup. Telinganya dihidang bunyi deruan ombak dan angin laut. Dalam hingar angin yang berpuput dia mendengar suara abangnya samar-samar.
“Hisamiko, ikiro (hidup). Ikiro. Demi aku, demi otou-san, demi okaa-san. Ikiro!” Suara Ryouji terngiang-ngiang di benaknya.
Dia jadi teragak-agak. Aku tidak mahu memungkiri onii-san. Tidak. Aku perlu hidup. Aku sekali-kali tidak akan memungkirinya. Jika tidak maka sia-sialah dia menyelamatkanku.
Binatang berbulu itu tiba-tiba menerkam dan pantas memegang tangan Hisamiko, menggoncang-goncang sehingga pedang itu tercampak jauh. Dia memeluk Hisamiko. Hisamiko meronta-ronta dalam pelukan.