Home Novel Cinta YUMEJIMA
Bab 18

Atta! (Jumpa kau!)” Laung lelaki itu. Dia membaling pisau ke arah kaki gadis itu menyebabkan dia terjatuh.

 

Hisamiko menyaksikannya, dia menutup mulut tidak dapat menerima tindakan lelaki itu. Wajahnya berubah geram. Dahi kecilnya berkerut, dia menggetap gigi. Pegangan hulu pedangnya dikejapkan. Nafas ditarik dalam-dalam. Gadis itu jelas dianiaya dan dia harus menyelamatkannya.

 

Gadis itu kini berjalan pantas terjungkit-jungkit, masih tidak putus berusaha melarikan diri selepas berjaya bangkit dari jatuhnya. Darah berjejeran di sepanjang jejak. Dia memakai yukata yang cantik namun kotor sekali dengan kesan tanah dan daun kering, petunjuk dia sudah lama dalam pelarian dalam hutan ini. Ada tali pengikat rambut masih terikat pada juraian rambutnya.

 

Lelaki itu mendekati gadis itu lalu menampar dan menendangnya berkali-kali sambil mengeluarkan kata-kata kesat.

 

“Perempuan sundal! Berani sundal engkau lari dariku! Rasakan! Rasakan.”

 

Kemudian dia mulai memegang seluar umanori-nya dan membuka perlahan-lahan.

 

Melihat perlakuan lelaki itu, Hisamiko keluar melompat ke atas pokok lalu menendang belakang badan lelaki itu seraya menghunus pedangnya. Meski kaki Hisamiko kecil, kekuatan tendangan itu menyebabkannya terduduk, seluar umanori langsung ditariknya kembali dan dibetulkan. Matanya memandang Hisamiko, penuh terkejut. Hisamiko berdiri sambil menghunus pedang ke batang hidungnya.

 

“Siapa engkau?” Soal lelaki itu.

 

“Lepaskan gadis ini dan nyah dari sini segera. Atau aku akan membunuhmu.” Hisamiko memberi amaran, nadanya tegas.

 

Gadis itu tergamam. Dia bergerak jauh dari mereka dan bersembunyi di balik sebatang pokok besar sambil memerhati apa yang bakal berlangsung di antara Hisamiko dan lelaki itu.

 

Lelaki itu ketawa mendengarkan amaran Hisamiko.

 

“Budak perempuan, seingatku engkau tiada dalam senarai pelacur yang kami bawa bersama dalam kapal kami. Siapa engkau?”

 

“Itu tidak penting. Berambus sekarang dari hutan ini.”

 

Pelacur? Apakah gadis itu salah seorang dari mereka? Bisik hati Hisamiko.

 

“Baiklah, baiklah ojou-chan. Aku akan mengikut permintaanmu.” Lelaki itu bangkit perlahan-lahan sambil menepuk-nepuk tanah dari seluar. Hisamiko mengundur dengan pedang masih terhunus.

 

Lelaki itu menarik keluar pedangnya tiba-tiba seraya berteriak, “Namun tidak sebelum engkau kubunuh!”

 

Lelaki itu ketawa dan pantas melibas pedangnya ke hadapan, Hisamiko mengelak. Dia bingkas naik ke jurus kelima.

 

Pantas, getus lelaki itu. Siapa gadis ini sebenarnya?

 

Pertarungan itu terlalu singkat untuk digelar pertarungan. Hisamiko mudah menumpaskan. Dia berjaya mencari peluang menghentak belakang pedang Saishi-tou ke belakang tangan lelaki itu. Lelaki itu mengerang seraya melepaskan pedangnya.

 

Omae... omae!” Jari telunjuk lelaki itu menuding-nuding ke arah Hisamiko dengan tubuh terketar-ketar.

 

Hisamiko ke hadapan melibas jari telunjuk yang sedang menuding itu sehingga putus sebagai amaran. Darah memancut dari kesan potongan dan pantas lelaki itu menekupnya dengan sebelah tangan lagi.

 

Lagi kuat lelaki itu mengerang kesakitan selepas tangan menyentuh bahagian jari yang putus.

 

“Diam! Berambus dari sini segera, sekarang!” Tengking Hisamiko.

 

“Baiklah, baiklah. Aku beredar sekarang.” Kata lelaki itu terketar-ketar.

 

Lelaki itu lintang-pukang meninggalkan hutan gelap. Dia sempat menoleh ke arah Hisamiko sejenak, mengamatinya, seolah-olah cuba menghafal wajahnya. Selepas itu dia meneruskan larian tanpa menoleh lagi sambil memegang jari telunjuk yang berdarah.  

 

“Engkau tak apa-apa?” Hisamiko menyoal gadis itu.

 

Gadis itu kelihatan pucat dan diam membisu kerana dia masih ketakutan.

 

“Mari, ikut aku.” Hisamiko menarik tangannya. “Aku akan merawat lukamu dan membersihkan dirimu. Mari!”

 

Gadis itu menurut dalam keadaan terjengket-jengket. Hisamiko memahaminya, lantas memaut tangan gadis itu ke belakang bahunya. Mujur gadis itu tinggi sedikit, mudah dia memapahnya.

 

Wajahnya gadis itu tunduk. Rambutnya yang terurai menutup sebahagian wajah. Ada sedikit calar pada muka dan yukatanya penuh kesan tanah dan koyak-koyak. Tingginya lebih seinci berbanding Hisamiko. Dia berjalan menjengket-jengket.

 

Hisamiko membawa gadis itu ke lembah yang didiaminya. Setibanya di muka terowong, makhluk berbulu sudah menanti seperti patung. Gadis yang dibawa Hisamiko itu mencicit terkejut melihatkan makhluk berbulu. Hisamiko di sebelah memandangnya sambil tersenyum dan menepuk lembut belakangnya.

 

“Usah takut, gadis. Ini rakanku –” Hisamiko berhenti sejenak, mencari-cari nama sesuai untuk menggelar binatang berbulu, “– Shiro. Kami ga shiroi dakara (kerana putih bulunya).” Spontan dia memetik alasannya.

 

“Shiro.” Hisamiko memanggil binatang berbulu itu dengan nama yang baru dipetiknya. Tidak semena-mena binatang itu memandangnya seolah-olah dia sudah lama menerima nama itu.

 

“Ini rakanku –” Hisamiko terhenti tatkala menyedari dia lupa bertanyakan nama gadis itu.

 

“– Mine. Hisamine.” Kedengaran perlahan patah-patah kata itu keluar dari mulut si gadis. Wajahnya tunduk. Meski perlahan, Hisamiko jelas mendengarnya seraya menyambung memberitahu Shiro, “– Hisamine sou desu.”

 

Hisamine? Aku seperti pernah mendengar nama itu, getus Hisamiko.

 

Shiro memaling muka, seperti menyampah. Kemudian dia memandang Hisamine, dari hujung rambut ke hujung kaki. Kemudian dia memaling muka lagi, menjarak sedikit ke arah onsen. Kemudian dia memandang Hisamine sekali lagi, menoleh dan menjarak sedikit, berulang-ulang sehingga hampir dengan onsen. Hisamiko ketawa kecil melihat gelagat binatang itu. Hisamiko fikir mungkin Shiro cemburu. Sebelum ini hanya mereka berdua mendiami lembah ini. Dan sekarang hadir pula pendatang baru.

 

“Ayuh, Hisamine. Engkau bersihkan dirimu di onsen itu. Usah pedulikan Shiro.”

 

Tatkala Hisamiko membantu Hisamine menanggalkan pakaiannya, Shiro memandang dan gesit menoleh. Ia mendengus dan ada bunyi getaran berkelangsingan rendah pada suaranya. Ia keluar dari onsen dan berlari jauh sehingga ke muka terowong, duduk lama memandang terowong. Merajuk agaknya.

 

Hisamine berendam di dalam onsen yang sudah dikosongkan Shiro. Air sungai hangat dari puncak bukit tidak henti-henti mengalir masuk ke kolam onsen dan menggantikan air kotor dengan air segar dari atas sana.

 

“Mandilah Hisamine. Di kolam ini mandi melunturkan kotoran dari jasad, melunturkan nestapa dari jiwa, segala kesengsaraan mengalir keluar seperti kotoran-kotoran pada jasad kita.” Ujar Hisamiko puitis sambil mencedok air dengan tangannya dan menyiram bahu Hisamine, dan menggosok-gosok belakang badannya.

 

Arigatou...” Terpacul kata-kata pertama itu dari mulut Hisamine. “Hontou yasashi ne, kimi (engkau sungguh baik).”

 

Doumo...

 

“Siapa namamu?” Soal Hisamine.

 

“Hisamiko.” Pendek jawapan Hisamiko.

 

“Serupa. Nama kita serupa.”

 

Sou ka?”

 

“Umurmu?”

 

“Sembilan belas.”

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov