Home Novel Cinta YUMEJIMA
Bab 10

“Ryouji, Hisamiko...” Yoshihisa menyebut nama mereka, wajahnya pucat sekali, berkedut tua tambah berkedut gentar, lebih jelas kini disinar mentari pagi. Tiada kesan dibelasah. Barangkali dia hanya ditangkap dan diugut. Yoshihisa akur dan tidak melawan. Barangkali dia akan dibelasah jua jika melawan.

 

“Lepaskan Yoshihisa, Yato.” Ryouji memberi arahan semberono tanpa peduli siapa mereka.

 

“Hah? Ulang boleh? Aku tak dengar.” Yato memperolok.

 

“Lepaskan dia sekarang!”

 

“Ho ho ho. Mengapa kalian begitu mengambil berat lelaki ini? Hah? Kerana kalian tidak berbapa?”

 

Berderau darah Ryouji tatkala disindir begitu. Bagaimana Yato tahu latar mereka? Pastinya Yato telah lama mengintip mereka!

 

Ryouji mengeluarkan pedangnya.

 

“Usah libatkan bapa kami. Dia tidak ada kena-mengena denganmu.”

 

“Hoh hoh hoh, pantas engkau cuba memutus dengan pedang, ya? Apa nak dihairankan, engkau pembunuh upahan Maharaja. Siapa tidak kenal Okuhida Ryouji, pembunuh Shirasaka Ayame, merangkap penjilat Maharaja!”

 

Dua pengikut Yato yang sedang memegang Yoshihisa ketawa.

 

“Kalian, tangkap mereka berdua!” Arah Yato kepada Yoshimura dan Katamori.

 

“Nampaknya kalian masih belum serik dipukul aku malam tadi.” Sindir Ryouji.

 

Tiba-tiba jaring dijatuhkan oleh salah seorang lagi pengikut Yato yang tiba-tiba muncul dari belakang mereka berdua. Terkejut beruk Hisamiko dan Ryouji.

 

“Aih, mudah benar kalian ditipu? Di mana kepantasan lagenda kalian yang digembar-gembur dijaja sana-sini itu? Di mana?” Bongkak benar bunyinya Yato. Dia kian berani mendekati dua beradik itu.

 

“Ada orang memberitahuku, adikmu itu pernah dijaringnya. Hisamiko-chan, lihat baik-baik. Engkau kenal bukan lelaki itu? Aku membawanya ke dalam pasukan pelombong.”

 

Hisamiko memusing dan mengamati lelaki yang dikatakan Yato, yang menebar jaring ke atas mereka. Dia tergamam. Dia amat mengenali lelaki ini. Dialah yang cuba merogolnya ketika dia cuba menjejak Ryouji dengan kudanya dahulu.

 

“Mengapa Hisamiko-chan? Teringat memori ‘indah’ bersamanya?” Yato ketawa.

 

“Ternyata sekuat dan sepantas manapun engkau, kelemahanmu hanyalah jaring ikan.” Yato ketawa lagi.

 

“Tak guna.” Gerutu Hisamiko.

 

Jaring ditarik dan diketatkan dan mereka direbahkan. Mereka diangkut menuju ke kapal. Ryouji dan Hisamiko diketatkan bersama di dalam jaring itu serapatnya dan diletakkan di balik tong-tong minyak pelita di atas dek kapal, dengan didirikan dan disandarkan pada sebatang tiang layar, diikat di situ.

 

Mereka berdua disuntik sejenis cecair berwarna biru oleh Yato.

 

“Tak guna. Tak guna!” tengking Ryouji. Ini mungkin aotsuyu!

 

“Usah bimbang, Ryouji. Kalian akan selamat selagimana kalian tidak melepaskan diri. Ubat ini melenyap melalui nafas dalam masa dua hari, dengan syarat kalian tidak melarikan diri.”

 

“Mengapa engkau menyuntik kami, bedebah?!”

 

“Sebagai insurans. Aku tahu kalian pasti berusaha melepaskan diri. Ingat, Ryouji. Sebarang pergerakan akan meningkatkan serapan, dan semakin tinggi dos yang diserap, semakin dekat kalian dengan kematian. Bersabar sahajalah, kita akan berlayar esok.”

 

Yato berlalu sambil ketawa.

 

Sial! Bentak Ryouji dalam hati.

 

Onii-san, aneh bukan bagaimana Yato menemui kita mudah.”

 

“Aku syak Yoshihisa berpakat dengan mereka.”

 

“Hah? Tak mungkin! Dia tak nampak seperti seorang jahat pun dan kita kenal dia. Bukankah dia ditangkap tadi?”

 

“Ya, namun dia tidak dicederakan pun, lebih kepada lakonan padaku. Dia diletak di luar hutan gelap demi mengumpan kita, dan dia mungkin bersetuju dijadikan umpan. Engkau sedar bagaimana dia melarikan diri dari lubang itu?”

 

“Tidak. Dia di belakangku. Selepas aku menoleh, dia sudah hilang.”

 

“Yoshihisa telah meninggalkan kita tanpa berbincang dahulu.” Ryouji menyatakan pandangannya.

 

“Tak mungkin! Tak mungkin...” Respon Hisamiko, dia mulai dipengaruhi pandangan Ryouji.

 

Ryouji menyambung dengan soalan, “Engkau perasan orang-orang Yato yang mengejar kita semalam?”

 

“Yang aku dapat ingat, ada sepuluh orang yang mengikut sehingga ke pinggir hutan.” Hisamiko cuba mengingat kembali.

 

“Ya, dan lima lagi mengikut kita sehingga ke lubang di dalam hutan gelap itu. Sedang Yato dan selebihnya berundur jauh lagi sebelum kita masuk ke hutan itu. Memang dasar pengecut, nampak hutan gelap terus lari.” Sempat Ryouji mengejek mereka di hujung bicara. Dia tidak tahu Yato telah melihat kelibat yang besar dan menakutkan memasuki hutan itu.

 

“Dan kelima-lima dibunuh dan dibaham binatang aneh itu!” Wajah Hisamiko seram sejuk sebaik mengingat kembali pemandangan di dalam hutan gelap.

 

“Benar. Maka siapa lagi yang tahu lokasi kita selain Yoshihisa?”

 

Hisamiko merenung kata-kata abangnya. Ryouji menambah hujahnya dalam bentuk soalan, “Selain itu, mengapa mereka tidak membunuh kita namun hanya menangkap dan membawa ke sini?”

 

Ryouji mulanya menganggap Yato mahu membunuh dia dengan Hisamiko kerana bakal menjadi halangan kepada mereka untuk terus melombong emas di situ kelak. Namun disebabkan mereka tidak dibunuh, padanya tiada penjelasan lain selain Yoshihisa. Dia tidak tahu Yato mengetahui rahsia ramalan Amaguri ke atas Hisamiko. Dia tidak tahu motif sebenar Yato menahan mereka.

 

“Kerana Yoshihisa?” Hisamiko menjawab dengan gerak hatinya. Baginya, Yoshihisa tetap seorang tua yang lemah dan baik hati dan tidak sanggup melihat mereka dibunuh.

 

“Ya, Miko. Aku syak Yoshihisa punya urusan bawah meja dengan mereka. Dia meletak syarat agar nyawa kita terbela. Ada sesuatu yang Yato amat perlukan dari lelaki tua itu.” Ryouji cuba melakar alasan rasional di balik tindakan Yoshihisa. Baginya, Yoshihisa tidak melakukan sesuatu tanpa motif. Orang tua itu licik dari bicara dan bahasa badan yang diserlahkan.

 

“Dia hanya lelaki tua sebatang kara dan muflis pula, apa yang dia ada?”

 

“Engkau ingat kata-kata Yoshihisa? Yang dia pernah ke sini dahulu?”

 

“Jika benar mereka akan membunuhnya, pasti ia dilakukan selepas selesai melombong emas-emas itu, kerana selok-belok pulau ini tidak lagi penting.”

 

“Ya, jika kemahirannya hanya selok-belok pulau dan lombong emas itu. Namun Yoshihisa punya lebih lagi. Pasti satu kemahiran yang diperlukan Yato sepanjang pelayaran pulang.”

 

“Mengemudi kapal? Dia pernah datang ke sini dulu. Dia pembantu jurukemudi.”

 

“Itulah yang abang fikirkan.”

 

“Ini bererti...”

 

“Ini bererti Yato punya dua pengemudi kapal untuk pulang ke Jepun dan menasihati kapten. Satu yang membawa kapal kita ke sini, dan satu lagi Yoshihisa.”

 

“Sebagai jurukemudi simpanan?”

 

“Mungkin. Atau pembantu. Namun aku tidak fikir jurukemudi sekarang perlu dibantu. Bahkan pelayaran kita lancar tanpa Yoshihisa membantunya pun. Namun aku pernah lihat Yoshihisa ada bertemu jurukemudi sekarang sekali, di bilik enjin kapal ini, berbincang entah apa. Hari di mana aku mengekorinya selepas engkau menegurnya itu. Yoshihisa nampak tidak menyenangi lelaki itu dari riak wajahnya.” Ryouji mendedahkan pemerhatiannya.

 

Yoshihisa jelas tahu membaca pelan kemudi, getus Ryouji. Dan dia tahu buku yang dicurinya itu pelan kemudi. Maka aku fikir ada kemungkinan dia pernah menjadi jurukemudi.

 

“Hisamiko,” Ryouji merenungnya, seraya berpesan, “Kita jangan percayakan Yoshihisa dahulu. Aku fikir Yoshihisa sedang berpakat dengan Yato dan kita sebahagian dari perancangannya. Aku fikir dia cuba mempengaruhi Yato agar menghapuskan jurukemudi sekarang dan melantik dia sebagai penggantinya.”

 

Hisamiko mendiamkan diri. Sukar untuk menerima telahan abangnya itu namun dia memilih untuk akur sahaja.

 

Ryouji ternampak Yoshihisa sedang mengarah-arahkan para pelombong mengangkut emas ke dek tingkat bawah kapal. Rasa geram mencucuh-cucuh sumbu hatinya.

 

Memang benar telahanku! Celah mana dia menjadi tawanan Yato? Lihatlah dia sekarang mengarah sana mengarah sini. Tak guna si tua itu sungguh licik engkau licik!

 

Sesekali renungan Ryouji bertembung Yoshihisa. Yoshihisa memandangnya dengan pandangan sayu yang entah berlakon entah ikhlas, sambil menggeleng-geleng kepalanya dan memejam sedikit matanya, sebagai isyarat agar Ryouji melupakan sebarang perancangan melarikan diri.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov