Home Novel Cinta Hanya dia bidadariku
Bab 29

Bab 29


     “Lagu mana Man? Buleh ka hang repair kereta tu.” soal Taufiq sambil menggulung rokok di hujung anak tangga. 

   Man hanya mengangguk dan membuka bekas simpanan alat untuk membetulkan apa yang rosak. Zarel Ikmal hanya sekadar memerhati dari atas rumah di sebelah tingkap yang terbuka luas. Entah apalah nasibnya, kereta buat hal pula. Jadi dia terpaksa bermalam di rumah Aminuddin dan terus menerus menyaksikan adegan sebabak yang akan menyakitkan hatinya. 

    “Abang pergilah mandi dulu, nanti lepas makan tengah hari ni kita boleh gerak balik dah.” Farisha datang menghulurkan sehelai tuala kepada Zarel Ikmal. 

   “Abang tak bawa baju lebihlah sayang.” Zarel mencapai tuala dan sengaja dia menyentuh jemari halus Farisha. Ingin digenggam tetapi cepat dilarikan gadis itu. 

   “Apa sayang-sayang pula ni. Abang jangan nak mengada ek. Isha tak suka,” dari tersenyum Farisha menjadi serius. Wajahnya masam mencuka. 

   “Sorry.” Lemah sahaja suara Zarel Ikmal mengungkap. 

  Aminuddin yang sedari tadi mengintai dari dari dalam bikiknya sudah panas hati. Nampaknya Zarel Ikmal benar-benar mahu mendapatkan Farisha. Tetapi kenapa Farisha seperti tidak suka akan layanan Zarel Ikmal padanya? Bukankah Farisha sendiri yang berkata dia masih sayangkan Zarel Ikmal. Sampai hari ini dia berharap dapat membetulkan kesilapan yang lalu. Seoarang lain pula penerimaan gadis itu. 

   “Abang boleh pinjam baju Din.” Aminuddin muncul dari belakang Farisha. Gadis itu cepat berlalu meninggalkan dua lelaki di hadapannya. 

   Beberapa kali Zarel Ikmal menolak cadangan Aminuddin. Akhirnya bila Taufiq datang memberikan pendapat yang sama Zarel Ikmal akur. 

   “Isha…, mai sat.” laung Aminuddin dari atas rumah. Farisha yang sedang sibuk di dapur bergegas naik ke atas bila mendengar namanya di panggil. 

    “Ada apa Din? Hang okey ka?” soal Farisha cemas. Dia memerhati Aminuddin dari atas ke bawah untuk memastikan lelaki itu baik-baik sahaja. 

    “Okey ja. Nak minta tolong amik baju Din dalam bilik bagi kat abang Zarel sat.” Aminuddin sudah ketawa melihat reaksi kalut Farisha. Sayang juga gadis itu pada dirinya. 

   “Baju yang mana?” 

   “Yang kita beli kat bazar dulu. Ada sangkut dalam gerobok tu, tak pakai lagi.” 

   Tanpa berlengah Farisha masuk ke dalam bilik Aminuddin dan mencari baju yang dikatakan itu. Zarel Ikmal menyampah melihat kemesraan yang terjalin antara mereka berdua. Dia pnatas menghayun kaki untuk turun ke dapur membersihkan diri. Lagi lama dia di situ lagi sakit jiwanya. 

   Aminuddin perasan riak wajah Zarel Ikmal yang berubah itu. Pasti lelaki itu sedang marah dan cemburu. Sengaja dia memancing emosi Zarel Ikmal, dia mahu lelaki itu tahu akan perasaannya pada Farisha. Sekaligus memberi amaran secara senyap supaya tidak mengganggu Farisha. Gadis itu miliknya. 

   Selepas makan tengah hari, Zarel Ikmal dan Farisha sudah siap-siap untuk pulang. Kereta Zarel Ikmal juga sudah siap dibaiki. Mujur Man boleh mendapatkan alat ganti untuk menggantikan yang rosak jika tidak pasti mereka masih terkandas di situ. 

   “Mak, abah, Isha balik dulu na.” Farisha tunduk bersalaman dan berpelukan dengan Fatimah. 

   “Urm, mula dah slot akasia depa abah.” Aminuddin mengusik. Membuatkan mereka semua ketawa serentak. 

   “Din dengki la tu mak,” Farisha merengek manja. 

   “Biaq kat dia, jangan layan,” Fatimah menampar lembut bahu Aminuddin sebelum kembali memeluk erat Farisha dalam pelukannya. Sukarnya dia mahu melepaskan Farisha pergi. Kali ini entah berapa lama pula gadis itu akan mengambil masa untuk datang ke sini lagi. 

   “Untunglah Kak Isha, mak sayang akak lebih dari kami,” Nadirah pula menyampuk, pura-pura merajuk. Farisha mendapatkan Nadirah dan memeluk gadis itu erat. 

   “Alolo, akak sayang Nad tau,” dicium pipi Nadirah berkali-kali sampaikan gadis itu meronta minta dilepaskan. 

   “Rasanya elok kita gerak sekarang.” tiba-tiba Zarel Ikmal bersuara. Mematikan suasana gembira ketika itu. Semua mata berkalih padanya. 

    Zarel Ikmal menjadi tidak senang duduk, dia pantas bersalaman dengan Taufiq dan terus masuk ke dalam kereta. Huluran tangan Aminuddin langsung tidak dilayan. Farisha hanya tersengih sebelum masuk ke dalam kereta. Rasa tidak enak pula dengan sikap Zarel Ikmal terhadap keluarga Aminuddin. 

   Farisha menurunkan tingkap kereta, dia memandang tepat ke arah Aminuddin yang sedang menayang wajah kosong. Sukar untuk dia membaca fikiran lelaki itu sekarang. Apakah dia sedang bersedih untuk berjauhan seperti dirinya atau dia tidak kisah langsung. 

  Kereta bergerak perlahan-lahan meninggalkan laman rumah Taufiq. Mereka semua sudah masuk ke dalam kecuali Aminuddin. Dia masih setia menanti melihat kereta Zarel Ikmal yang semakin menjauh itu. 

   ‘Aku harap hang betul-betul sayangkan aku Isha. Tunggu aku balik,” Aminuddin mengeluh lemah. Dia berjalan naik ke atas rumah dengan tongkat satu di tangan. Mujur ada tongkat milik sepupunya, mudahlah dia mahu bergerak tanpa menggunakan kerusi roda. 

    Satu jam di jalan, keadaan masih sunyi sepi. Hanya sesekali kedengaran Farisha ketawa apabila melihat dada skrin telefonnya. Zarel Ikmal hanya mencuri jeling kerana perlu fokus dengan pemanduannya. 

   “Mesej dengan siapa tu? Happy semacam je,” akhirnya Zarel Ikmal bertanya. Perasaan ingin tahu begitu melonjak dalam dirinya. 

    “Din.” Jawab Farisha pendek. Zarel Ikmal hanya mampu mengeluh. 

    Farisha yang tadinya terlena membuka mata perlahan-lahan apabila dia merasakan kereta tidak bergerak. Mata yang terasa pijar digosok beberapa kali, dia menggeliat kecil membetulkan urat. Dia memerhati kawasan sekeliling. Pantai? Bagaimana mereka boleh berada di sini? Bukankah mereka dalam perjalanan pulang ke Lumut. 

    Farisha menoleh sekilas ke arah tempat duduk pemandu tetapi Zarel Ikmal tiada di situ. Kemudian dia terlihat ada satu susuk tubuh yang sedang berdiri menghadap laut berhadapan dengan kereta mereka. Gadis itu keluar mendapatkan Zarel Ikmal. 

    “Apa kita buat dekat sini?” soal Farisha sebaik berdiri di sebelah Zarel Ikmal. 

   “Saja ambil angin,” Zarel Ikmal berpeluk tubuh. Langsung tidak menoleh ke arah Farisha seperti selalu. Hatinya masih sakit dan terluka.   

    Ketika Farisha sedang nyenyak tidur Zarel Ikmal mengambil telefon Farisha dan membaca semua mesej-mesej di antara gadis itu dengan Aminuddin. Walaupun panggilan antara mereka menggunakan aku hang, tetapi jelas kelihatan kemesraan di dalam perbualan melalui aplikasi whatsapp itu. 

   “Pukul berapa dah ni abang? Nanti malam pula kita sampai Lumut.” Farisha menayangkan jam tangan di hadapan mata Zarel Ikmal. 

   Masih berbaki tiga jam untuk mereka sampai ke Lumut. Jam sekarang sudah pun pukul 4petang. Jika lebih lama mereka di situ pasti lewat sampai di rumah. 

   “Isha, kalau abang tanya sesuatu boleh?” Zarel Ikmal menarik tangan Farisha membuatkan gadis itu tidak jadi melangkah. 

   “Abang, apa ni main pegang-pegang tangan ni. Dosalah,” Farisha merentap kasar. Dia menjeling tajam ke arah Zarel Ikmal, tidak suka diperlakukan seperti itu. 

   “Sorry. Please stay. Ada benda abang nak tanya Isha,” Zarel Ikmal mengangkat kedua tangannya ke atas. Tubuh sedikit di jarakkan dengan Farisha untuk memberikan keselesaan ruang pada gadis itu. 

   “Apa dia, cepat sikit. Lepas ni kita terus gerak balik,” Farisha menyilang tangan di dada. Pandangan dilemparkan ke laut lepas. 

   “Isha dengan Din ada apa-apa hubungan ke? Maksud abang hubungan yang istimewa.” Pandangan kini tepat beralih kepada Farisha. Gadis itu juga sama. Sesaat mata mereka bertaut, Farisha cuba melarikan pandangan. 

   “Apa jenis soalan ni? Perlu ke Isha jawab.” Pandangan kembali menghadap laut. Nafas berat dilepaskan supaya boleh mengawal perasaan yang melonjak. 

   “Perlu, penting untuk abang tahu.” Zarel Ikmal mahukan jawapan sekarang. Dia perlu dengar sendiri dari mulut Farisha. Tidak mahu membuat andaian sendiri yang mungkin akan merugikan dirinya. 

    “Kami berkawan. Cuma kawan. Macam abang dengan Isha. Tak lebih dari tu, puas hati?” 

   “Kalau macam tu, abang nak lebih dari seorang kawan dengan Isha.” 

   Kata-kata Zarel Ikmal membuat Farisha terkedu. Air liur yang melalui kerongkongnya terasa perit untuk ditelan. Farisha menggaru kepala yang berbalut tudung itu. 

  Dia mati kata, tidak tahu bagaimana hendak menjawab soalan lelaki itu. “ abang, kita balik sekarang ye. Isha penat.” Farisha berjalan menuju ke kereta. Dia tidak mahu membahas soal itu sekarang. 

   Buat masa ini hatinya masih belum terbuka sepenuhnya untuk menerima cinta lelaki. Perasaannya kepada Aminuddin juga masih samar-samar dan tiada kata putus. Memang benar dia merasakan kehidupannya terisi dengan kehadiran Aminuddin. Setiap masa dia memikirkan lelaki itu dan bahkan dia tidak mampu untuk menjauh darinya. Tapi dia sendiri tidak pasti apa yang dirasakan itu sebenarnya cinta atau sayang pada seorang sahabat sebagaimana dia menyayngi Najiha. 

   Zarel Ikmal melangkah lemah ke dalam kereta. Dia mengeluh beberapa kali sebelum memulakan pemanduan. Soalan itu dibiarkan sepi tanpa diulang kembali. Dia tidak mahu memaksa Farisha untuk menjawab. Dia akan berusaha untuk mencuri hati gadis itu. Kepulangannya ke Malaysia juga kerana gadis itu.

Previous: Bab 28
Next: Bab 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Farz Ozie