Home Novel Cinta Hanya dia bidadariku
Bab 15

Bab 15 hanya dia bidadariku


HDB BAB 15


  "Din, hang tak mai reja ka hari ni?" Soal Farisha sebaik panggilan bersahut. Selepas lima kali membuat panggilan barulah Aminuddin menjawab. Lega sedikit hati Farisha mendengar suara Aminuddin. 


      Mungkin inilah yang dikatakan cinta, jika tidak dapat melihat orang dapat dengar suara pun sudah cukup bahagia. 


       "Dak, aku ada masalah sikit, kena balik kampung. Aku baru nak tipon hang, hang dah tipon aku dulu." Jawab lelaki itu dengan nada sedikit sayu. Jiwanya dipagut resah sebaik mendapat panggilan dari ibunya subuh tadi. 


       "Is everything fine Din? Pasai apa suara hang semacam ja ni?"  Jelas kedengaran suara lelaki itu cemas, seperti ada sesuatu yang mengganggu fikirannya. 


      "Isha, aku nak pinjam motor hang boleh dak? Aku nak balik kampung, ada kecemasan ni." Lelaki itu bertanya dengan nada berat, dia tiada pilihan lain. Gadis itu sahaja harapan yang tinggal. Motornya masih belum di servis, risau pula jika ada masalah di atas jalan raya nanti. 


     Mahu pulang dengan bas, susah pula dia hendak bergerak dikampung untuk menguruskan perihal ayahnya nanti, dan siapa pula hendak mengambil dia di perhentian bas? Sudahlah gaji masih belum diterima, wang dipoket juga makin berkurangan.


      "Kecemasan apa? Lain macam ja aku dengaq, cer habaq kat aku Din, mana tau aku buleh tolong?" Farisha pasti ada sesuatu yang buruk berlaku. Dia tidak pernah silap dalam menilai dan membaca nada suara seseorang. Selalunya apa yang diteka dan dirasai dalam hatinya pasti betul. 


       "Abah aku, dia masuk hospital. Katanya pengsan malam tadi, sampai la ni tak sedaq lagi,” jawab Aminuddin. 


      Farisha terkedu di sebalik sana, dia ikutan terkejut dengan berita yang didengarinya. Sepantas kilat memori lama bertandang kembali, ketika dia mendapat berita yang sama semasa Tan Sri Aziz pengsan dahulu. Selang beberapa hari, arwah menghembuskan nafas yang terakhir. Apakah Aminuddin juga akan mengalami nasib yang sama seperti dirinya? Mengalami kehilangan orang yang tersayang. 


        “Isha, hang dengaq dak? Buleh ka aku pinjam mutor hang?” Aminuddin bertanya sekali lagi. Farisha tersentak dari bayangan lama. 


       "Okay, hang siap barang-barang hang dan tunggu aku sampai, lepas tu kita balik kampung hang sama-sama. Aku hantaq hang balik kampung na." Farisha menawarkan diri, dia mahu berada di samping lelaki itu ketika waktu begini. Sekaligus boleh juga dia berkenalan dengan keluarga lelaki itu, dan melihat keindahan sawah padi yang selalu diceritakan lelaki itu kepadanya. 


      "Tak pa lah, susahkan hang ja. Takkan hang nak balik kot? Hang kan tengah reja." Aminuddin berat menerima pelawaan gadis itu.  


        Farisha berkeras dengan keputusannya, akhirnya Aminuddin mengalah, talian dimatikan, dia terus menelefon Puan Nisa meminta kebenaran pulang, kerana ada kecemasan yang berlaku. Kemudian dia menghantar pesanan ringkas pada Najiha, meminta gadis itu pulang bersama Mukhlis kerana dia ada perkara yang hendak diuruskan. Sempat juga dia menitip pesan yang dia akan bercuti dua atau tiga hari. 


          Kereta Farisha berhenti di hadapan rumah lelaki itu. Aminuddin sedari tadi sudah menunggu kehadiran Farisha. Hatinya sudah semakin resah memikirkan keadaan ayahnya di hospital. Farisha keluar dari kereta seperti selalu untuk membiarkan Aminuddin memandu. Tambahan pula mahu pulang ke kampung lelaki itu, pasti dia lebih arif tentang jalan yang mahu digunakannya. Aminuddin terpanggung saat melihat Farisha keluar dari kereta, matanya tidak berkedip walau sesaat pun, tubuhnya kaku tidak mampu melangkah. 


      "Manis.” Laju sahaja perkataan itu keluar dari mulut Aminuddin. Dia tidak menyangka yang Farisha secantik itu. 


    'Masyaallah, cantiknya dia ni!’ Aminuddin puji melangit di dalam hati. Sungguh dia tidak sangka  gadis tomboy yang dikenali itu sangat cantik ketika bertudung. Tidak ubah seperti bidadari kayangan. Aminuddin cuba mengawal perasaan yang berombak, saat begini ayahnya lebih penting dari segala hal. Bagaimana dia boleh terbawa perasaan dengan keayuan gadis itu. Pandangan masih tidak lepas dari memandang Farisha. 


      "Apa yang manis?” Farisha pura-pura bertanya,sedangkan dia sudah tahu maksud lelaki itu. Aminuddin menggeleng laju dan tersengih sebagai jawapan. 


     "Wei! Cepatlah. Tadi dia duk kalut talipon suruh cepat la, apa la,  ni boleh pula dia duk menung tang tu. " Farisha sedikit meninggi suara apabila melihat lelaki itu masih kaku tidak bergerak di tempat dia berdiri. 


     Dia tahu pasti lelaki itu terkejut dengan penampilannya hari ini. Mana tidak dia mengenakan baju kurung moden berwarna merah jambu dan dililitkan shwal biru laut kemas melekap di kepala. Kecantikan dan kelembutan wanita Melayu terakhir begitu terserlah dalam diri pada hari ini. 


     “Cepatlah, satgi lewat hang sampai kampung.” Farisha perasan Aminuddin tidak lepas dari memandangnya. Dia masuk ke dalam kereta, dan sudah bersedia di tempat duduk penumpang. Perasaan teruja untuk balik kampung begitu melonjak di hati. 


     Dia tahu Aminuddin suka gadis yang menjaga aurat dan penampilan mengikut tuntutan agama, tetapi dia tidak menjangkakan pandangan seperti itu dari Aminuddin. Lelaki berkulit hitam manis itu termalu sendiri. Laju dia melangkah masuk ke dalam kereta, bersiap sedia untuk memandu. 


         "Abah hang sakit apa Din? Macam mana buleh pengsan." Farisha memecah kesunyian selepas hampir satu jam masing-masing mendiamkan diri, cuba saling memandang di antara satu sama lain. Bosan untuk berkeadaan begitu, Farisha cuba berbual seperti biasa walaupun terasa kekok. 


      "Tak tau la, kata mak aku dia gadoh penat malam tadi. Pastu dia nak bangkit semayang terus rebah  tak sedaq." Aminuddin menceritakan apa yang terjadi. Tidak sabar untuk sampai ke hospital dan mengetahui keadaan ayahnya itu. Dia hanya mampu berdoa tiada perkara buruk akan menimpa bapanya. 


       "Dia ada sakit apa-apa ka? Macam kencing manis ka, jantung ka?" Tanya gadis itu lagi sekadar ingin tahu,sengaja di ajak bersembang supaya lelaki itu tidak mengantuk ketika memandu. Perjalanan hari itu agak lancar. Tidak banyak kereta di atas jalan raya, Aminuddin menambah kelajuan supaya lebih cepat sampai. 


      "Dia ada kencing manis ja, hat lain tak tau pula. Takdak dia habaq apa." Hanya itu sahaja yang dia tahu. Mereka tidak mahu Aminuddin bersusah hati, biarlah lelaki itu kerja dan mencari rezeki dengan tenang. 


     Empat jam mengharungi perjalanan, akhirnya mereka sampai di Hospital besar Sungai Petani. Enjin kereta dimatikan, dilihat Farisha masih pulasan tidur. Wajahnya terukir senyuman indah yang mampu membuatkan hati Aminuddin bergetar hebat. Ditatap wajah mulus gadis itu ketika mata terpejam rapat, sungguh  besar kuasa Allah yang maha esa. Dia terbuai dengan lamunan sehingga terlupa seketika akan ayahnya. 


   Dia terus menatap tanpa sekalipun matanya berkedip. Farisha tersedar dari lenanya, digosok perlahan mata yang melekat seperti ada gam, hampir sahaja dia menjerit kerana terkejut melihat wajah Aminuddin yang mendekat dengan mukanya. Di sapa lelaki itu lembut, tetapi tidak bersahut, Aminuddin terus tersenyum jauh mengelamun. Farisha tertawa kecil melihat Aminuddin seperti patung lilin. Dia membetulkan tudungnya yang sedikit senget ketika tidur tadi. 


       "Din! Hang duk menung apa lagi dalam keta tu, tak mau pi tengok abah hang ka?" Farisha menepuk bahu lelaki itu dari arah belakang membuatkan Aminuddin terpinga-pinga. Tidak sedar bila gadis itu bangun dan keluar dari kereta. 


       'Alamak! Hang ni la Din. Malunya, dia dah lama kat luaq ka? Ish, sah dia pikiaq bukan-bukan pasai aku ni. Malunya woi.' Aminuddin membentak dalam hatinya, kesal dan malu bercampur-aduk, dengan pantas dia menarik kunci lalu keluar dari kereta dan berjalan mendahului Farisha yang sudah tersengih di situ. Senyum sinis yan dilemparkan gadis itu  dirasakan seolah-olah mengejek dirinya. 


      “Amboi, laju betul. Malu la tu, itulah pandang orang tak ingat dunia. Baru tahu aku ni cantik..., hahaha, perasan gila la kau ni Isha.” Farisha ketawa mengekek, geli hati dia melihat gelagat Aminuddin yang cuba mengawal rasa malu, sempat juga dia mengangkat bakul sendiri. Dia berjalan sedikit laju mengejar Aminuddin yang sudah agak ke depan meninggalkannya. 


      Sampai di kaunter pertanyaan, lelaki itu bertanyakan kepada jururawat yang bertugas tentang ayahnya. Aminuddin terus menuju ke tempat yang diberitahu. Farisha hanya membontoti langkah Aminuddin tanpa sebarang bunyi. Pintu kayu bilik rawatan rapi itu ditolak perlahan, ada seorang wanita separuh usia, dan seorang gadis remaja dan dua budak lelaki yang berusia lingkungan empat dan enam tahun.


      Wanita itu bangun dan terus memeluk Aminuddin dengan erat, air matanya terus berlinang ketika berada didalam pelukan Aminuddin. Farisha turut merasa hiba, dia pasti wanita itu adalah ibu Aminuddin, dan yang lain sudah pastinya adik-beradik lelaki itu. Mereka bangun dan bersalaman dengan Aminuddin dan Farisha. Farisha tunduk bersalaman dengan ibu Aminuddin. 


      "Doktok habaq apa mak? Abah sakit apa  sampai pengsan?" Terpancar jelas wajah kerisauan diwajah lelaki itu. Dia duduk di kerusi yang disediakan disamping lelaki tua yang terbaring kaku di atas katil itu. 


       "Abah… Din balik ni, bangkit la." Meleret sebak  lelaki itu bersuara.

    Sememangnya Aminuddin amat rapat dengan lelaki itu. Aminuddin sering bercerita tentang ayahnya, dan dia mengangkat ayahnya sebagai idola dalam hidup. 


     Aminuddin terus merintih meminta Taufiq untuk bangun dari lena, terhincut-hincut tubuh menahan tangisan. Farisha yang melihat ikutan sebak. Tanpa sedar, air mata menitis perlahan membasahi pipi mulus gadis itu. Membawa dia pada kenangan lalu, kenangan di mana arwah Tan Sri Aziz masih hidup. Begitu rindu dia dengan pelukan hangat seorang ayah. Bila tersedar diri dipandang cepat-cepat dia mengesat matanya yang basah dengan hujung jari manisnya. 


      "Doktor kata abah kena sakit jantung, tu yang abah pengsan tu." Nadirah bersuara, menjawab soalan abangnya sambil  di urut perlahan belakang badan Aminuddin,cuba untuk meredakan kesedihan yang sedang melonjak dalam diri lelaki itu. 


      "Jantung! Allahuakbar. Dah tu, berapa lama doktor kata abah akan macam ni?" Aminuddin terkedu, bertambah luluh jiwanya bila mendapat perkhabaran yang tidak baik itu. Sungguh besar ujian ayahnya kali ini. 


       "Doktor kata tak teruk, mungkin sat lagi abah sedaq la.”

       “Doktor tak bagi ubat apa-apa ka?”

       “Tadi doktor bagi ubat dah kat abah untuk rehat.” Tambah Nadirah lagi. Matanya terus mencuri pandang ke arah Farisha. Siapakah gerangan gadis cantik bersama abangnya itu? Teman wanitakah? Atau kawankah? Dia harus mencari tahu. Beribu soalan bermain di dalam fikirannya. Tidak pernah pula abangnya menceritakan tentang gadis cantik itu.

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Farz Ozie