Home Novel Cinta Hanya dia bidadariku
Bab 6

Bab 6 hanya dia bidadariku


Bab 6


   Dato Zaman terdengar suara anak kecil menangis di sebalik pasu yang besar, dia cuba mendekati suara itu.Sungguh dia terkejut apabila melihat satu susuk tubuh anak kecil yang amat dikenalinya sedang menangis teresak-esak. 


      "Ya Allah Jiha, apa Jiha buat kat sini? Meh dekat uncle sayang," Dato Zaman menarik tangan. 


   Najiha  tiba-tiba meraung sekuat hati membuatkan Dato Zaman terperanjat dan melepaskan tangan Najiha. 


        "Sakit, sakit," anak kecil itu meraung. Dato Zaman melihat tangan Najiha kemerahan seperti melecur kecil. Terbuntang matanya terperanjat, perasaan gelabah dan risau menyelubungi segenap hatinya. 


       "Astaghfirullah, kenapa tangan Jiha ni? Macam mana boleh jadi macam ni? Jom uncle bawak pergi klinik, cepat." Dato  Zaman mengendong Najiha. 


   Anak kecil itu diletakkan di tempat duduk belakang dan  keretanya  terus memecut laju ke klinik yang berdekatan. Dalam perjalanan pulang Najiha menceritakan  kepada Dato Zaman bagaimana dia boleh mendapat kecedaraan seperti itu. Sampai sahaja di rumah, mereka masuk menuju ke ruang tamu. 


       "Angah! Angah!" Bergema satu rumah dengan teriakan Dato Zaman bagaikan kilat menyambar membuatkan Datin Fatimah yang berada di dapur  terkejut, lantas dia berlari menuju ke ruang tamu. 


        "Kenapa ni bang? Kenapa pelik-pelik ni?" Tanya Datin Fatimah pada Dato Zaman. 


        "Anak lelaki awak mana? Panggil dia sekarang juga!" Dato Zaman masih lagi menyinga. 


    Naik turun dadanya dek kerana amarah yang meluap di dada. Kemarahan jelas terpampang di wajahnya. Datin Fatimah tahu, pasti anak bujangnya itu ada membuat angkara sehinggakan Dato Zaman boleh naik hantu seperti itu. Dipandang Najiha yang duduk  di atas sofa bersebelahan dengan Dato Zaman. 


       "Kenapa tangan Jiha berbalut ni sayang? Apa dah jadi ni?" Tanya Datin Fatimah kalut. Dia duduk mendapatkan anak kecil itu, diperiksa balutan tangan Najiha. 


       "Sorry daddy, angah mandi tadi. Kenapa daddy....  ."


        PANG!!!  Belum sempat lelaki itu menghabiskan kata-katanya, satu tamparan padu singgah di muka membuatkan Mukhlis jatuh terjelupuk di hujung kerusi. 


       "Abang! Dah gila ke pukul anak sampai macam tu sekali?" Datin Fatimah meninggi suara. 


    Pantas dia berlari mendapatkan Mukhlis yang sudah terduduk di lantai. Pening kepalanya, terasa berpusing-pusing.  Matanya berpinar dan kelihatan kabur seketika, telinganya berdesing seperti bunyi cengkerik yang memecah kesunyian malam. 


       "Memang dah gila! Tengok apa budak ni dah buat dekat anak orang, apa kita nak jawab dengan mak bapak budak ni nanti? Main simbah air panas pula, nak jadi apa? Samseng? Penjenayah?" Dato Zaman bertanya. Najiha terdiam melihat amukan Dato Zaman itu. Mukhlis sudah teresak menangis, begitu juga dengan Datin Fatimah. 


       "Ya Allah angah, apa angah dah buat ni? Betul ke angah?" Dipegang kedua pipi anak lelakinya itu. 


    Di soal berulang kali dengan soalan yang sama. Esakan semakin deras, sedih dengan keadaan itu. Seakan tidak percaya Mukhlis sanggup melakukan sedemikian rupa. 


       "Padan la muka dia! Sapa suruh ganggu orang buat kerja! Menyibuk je duduk  dekat sini," Mukhlis memandang tajam ke arah Najiha. 


Perlahan Najiha menunduk, menyembunyikan wajah  ke lantai. Takut memandang wajah Mukhlis yang sedang menjeling tajam padanya. Tamparan padu yang diberikan tidak lagi dirasakan sakitnya. Dalam hatinya penuh rasa benci! Benci kepada budak perempuan yang bernama Najiha Arisa. Kerana Najiha dirinya di sajikan dengan tamparan sulung ayahnya. Nisa yang ketika itu mengintai di sebalik dinding dari arah dapur juga ikutan terkejut dengan tindakan ayahnya. Pertama kali dia melihat  Dato Zaman mengamuk. Mukhlis berlari menaiki tangga untuk masuk ke biliknya, tidak mahu dia berlama di situ kerana hatinya semakin sakit dan semakin benci. 


              "B, menung apa tu? Jauh sangat mengelamun,” Najiha memeluk lengan Mukhlis lembut, membuatkan lelaki itu tersentak dari lamunannya, seraya dia memandang ke arah Najiha dan tersenyum manis. 

  

         "Sayang... " Lembut suara Mukhlis menyapa.


      Ditarik jemari halus gadis itu, lalu dikucup penuh rasa cinta. Najiha terkedu, terasa diri di hargai dan di cintai. 


         "B tak bencikan sayang?" Soal Najiha perlahan.


     Kerana peristiwa lalu itulah membuatkan dia merahsiakan siapa dirinya yang sebenar dari pengetahuan semua orang, terutamanya lelaki itu. Perlahan Mukhlis menggeleng, lalu dihadiahkan satu senyuman manis terlebih madu pada Najiha. Gadis itu menarik nafas lega. Yang berlalu biarkan berlalu, lagi pula itu cuma kisah silam. Sekarang masing-masing sudah dewasa dan tahu menilai perasaan sendiri. Mereka menikmati keindahan lautan yang terbentang luas itu, hanyut di bawa perasaan gelora cinta yang melayari jiwa. 


         "Mana la minah gedik ni, keluar tak bagitahu langsung. Telefon pun tak angkat, perut pula lapar! Nak keluar sorang? Urmm malasnya," Farisha mengomel seorang diri di ruang tamu.

    Perut yang berkeroncong sudah minta diisi.Mahu masak, kemalasan pula melanda diri, mahu keluar seorang diri? Itulah perkara yang di bencinya. Telefon di atas meja bergetar kuat, dicapai malas lalu menjawab tanpa melihat nama pemanggil. 


       "Assalamualaikum Isha, hang tengah buat apa?" Aminuddin bersuara di hujung talian. 


      "Waalaikumsalam,” skrin telefon dirapatkan ke mata, serta-merta jantungnya berdegup kencang. 


“Duk tengah joget poco-poco, awat?" Soal Fari bersahaja, cuba mengawal perasaannya. 


      "Poco-poco? Gila ka apa tengah hari buta duk menari?" Meledak tawa lelaki itu. 


   Otaknya sudah mula membayangkan cara gadis itu menari poco-poco, pasti kelihatan comel. 

 

       "Eh, lantaklah, dia pula sibuk! Ni pasai apa telefon ni," Farisha mendengus geram.


    Boleh lelaki itu kata dia gila? Gurau kasar lelaki ini! Jika Aminuddin di hadapannya sekarang, sudah pasti di cekik lelaki itu sampai habis nyawa. 


       "Amboi, garangnya Kak Isha ni,takut adik Din." Aminuddin menambah usikannya. 


   Dia pasti Farisha sedang menahan marah apabila dipanggil kakak. Terdengar pekikan nama lelaki itu dengan keras di hujung talian. Aminuddin menjarakkan telefon dari halwa telinganya lalu mengekek ketawa. Farisha pula sudah seperti lembu gila, nafasnya naik turun menahan amarah. Dimatikan talian dengan segera. Perkara yang paling dibencinya apabila ada lelaki  memanggilnya dengan gelaran kakak. 


          "Ishh! Dah la kata aku gila! Boleh dia panggil aku kakak? Tua sangat ke aku ni? Panggil la sayang ke, baby ke, Ni tak! Kakak? Arghhhhhh!!" Farisha menggila, perbezaan umur mereka hanya dua tahun, jadi panggilan kakak itu dirasakan tidak sesuai untuk mereka. 


         "Hah, nak apa adik Din?" Farisha menyindir sinis, panggilan lelaki itu tetap dijawab walaupun hati melonjak marah. Aminuddin tertawa mendengar sindiran gadis itu. 


        "Lembutnya tuturan bahasa kak Isha," Aminuddin masih lagi menyakat. 


        "Macam ni, adik Din nak minta tolong kak Isha bawakan adik Din pi cari kedai motor sebab nak betulkan tayar yang pancit, lepas tu adik Din belanja kak Isha makan. Mau dak?" Sebutir sebutir perkataan keluar dari mulut Aminuddin. 


   Gigih lelaki itu cuba bertutur tanpa menggunakan loghat utaranya. Kali ini giliran Farisha ketawa mengekek mendengar  lelaki itu berbahasa luar. Sedaya upaya dia mengawal tawanya dari meletus. 


        "Apa tu mau dak? Sejenis dedak ayam ke?" Farisha sengaja mengusik dengan perkataan terakhir lelaki itu, dalam mencuba ada juga terselit bahasa utara. 


       "Ish, payah sunggoh la cakap KeyyeL ni! Hang mau dak tulong aku? Yasin ngan Akmal takdak, tu aku tipon hang ni," Aminuddin kembali bercakap seperti biasa.


     Sungguh dia merasa pelik dan kelakar menggunakan bahasa bandar seperti itu. Oleh kerana perut yang sedang kelaparan dan keseorangan, Farisha terus bersetuju. Aminuddin gembira. Tidak sia-sia dia membuang angin tayarnya dan menolak pelawaan sahabatnya untuk keluar mencari makan. Dia melakukan itu demi untuk mencari alasan, supaya boleh berjumpa dengan Farisha.


      'Hang memang gila la Din!'

   Desis hati lelaki itu sendiri. Tanpa berlengah dia membuka tayar motornya dan bersiap menunggu kedatangan Farisha menjemputnya. Seperti dijanjikan mereka pergi mencari kedai untuk makan tengah hari selepas selesai membaiki tayar yang pancit itu. Farisha membawa Aminuddin ke kedai makanan kegemarannya untuk hidangan tengah hari. Mereka berhenti di hadapan kedai makan Silaturahim yang terletak di kawasan Teluk Muroh, tidak jauh dari kawasan rumah Farisha.

     Kedai itu memang padat dengan pelanggan yang datang dari segenap tempat untuk menikmati makanan tengah hari, apatah lagi waktu hujung minggu seperti ini, kedai itu tidak ubah seperti lalat yang sedang menghinggap pada sebutir nasi. Penuh dan padat. Sebaik melangkah ke dalam mata Farisha tertancap pada satu susuk tubuh yang amat dia kenali. 


        "Wah pasangan bahagia ni, makan tak ajak aku kan?" Farisha menepuk bahu Najiha dari belakang membuatkan gadis itu tersedak, hampir tersembur makanan yang sedang dikunyah. 


        "Eh babe, kau datang dengan siapa? Tak plan pun sebenarnya, Mukhlis ni nak makan kat sini tiba-tiba." Najiha menuding pada Mukhlis membuatkan lelaki itu tercengang. Dia pula dituduh padahal Najiha yang bersungguh mengajak dia ke sini. Najiha mengenyitkan matanya pada Mukhlis, lelaki itu tersenyum menggeleng. 


        "Aku datang dengan mamat ni ha." Farisha menjuih ke arah Aminuddin yang tersengih sedari tadi disebelah Mukhlis. Mereka berdua bersalaman. Najiha sudah tersenyum penuh makna. 


        "Ar...  jom amik nasik, aku lapaq la, kami join sekali na?" Cepat Farisha mencari helah mematikan niat Najiha untuk mengusik. 

   

   Najiha sedikit kecewa kerana tidak sempat mengenakan Farisha. Aminuddin sudah mula rasa tidak selesa. Lain yang di harapkan, lain pula yang jadi. 

      "Isha, kita pi makan tempat lain jom, aku segan la,” pinta lelaki itu sebaik mereka tiba di tempat mengambil nasi. 


        "Ala, don't worry, they won't harm you." Farisha menceduk nasi ke dalam pinggan, lalu diserahkan kepada Aminuddin. 

     Lelaki itu mengeluh hampa. Mahu tidak mahu terpaksa juga dia menurut dan cuba untuk beramah mesra. Farisha melihat Aminuddin berdiri di hadapan hidangan lauk yang banyak itu. Matanya meliar ke kiri dan ke kanan melihat hidangan yang tersaji. Tidak tahu apa yang mahu di makan? Semuanya kelihatan sedap. 


       "Hang nak tunggu lauk tu melompat masuk dalam pinggan ka macam mana?" Teguran Farisha mematikan lamunan Aminuddin, dia tersengih dan terus memilih lauk yang digemarinya. Matanya sedari tadi sudah tertancap pada rendang ayam yang nampak menyelerakan itu. 


           "Korang ada plan apa-apa tak hari ni?” soal Najiha selepas mereka selesai makan. Mereka berdua serentak menggeleng. Wah! sehati sejiwa betul mereka berdua ini. Tanya seorang, dua orang yang jawab. 


       "Kenapa Jiha? Kau nak pergi mana-mana ke lepas ni?" Soal Farisha sambil mengelap tangan yang basah selepas di cuci. 


         "Mana la tahu kot-kot, ni kot la kan. Korang ada plan nak dating ke, apa ke,” Najiha mengusik. 

     Aminuddin tertunduk malu. Farisha menyeringai. Merasa terpukul dengan usikan sahabatnya itu, seperti batu terlempar ke muka. Kedepek! Sebiji melekat. Farisha menghadiahkan satu cubitan halus di peha Najiha. 


        "Eii, sakitlah!"


        "B, tengok tu dia main cubit peha sayang, sakit la B. " Najiha merengek kecil mengadu kepada si buah hati memohon simpati. 


       "Rasakan, mulut tu celupar sangatkan." Farisha tersenyum puas. 

   Mukhlis juga tersenyum. Aminuddin sudah senak menahan ketawa melihat sikap Najiha yang manja seperti anak kecil itu. Cemburu pula dia melihat kemesraan mereka berdua. Andaikan dia mampu melalui saat-saat indah seperti itu bersama insan yang tersayang, alangkah bahagia hidupnya. 

     Adegan romantik sebabak itu membawa dia kembali pada masa lalu, saat dia asyik bercinta dengan si dia. Tidak mahu terus dibuai mimpi, cepat-cepat dia beristighfar, tidak mahu lagi mengenang kisah yang sudah berlalu. 


        "Okey, memandangkan kita takda apa-apa plan, why don't we go for movies? You guys on?" cadang Mulhlis selepas semua diam tidak tahu apa yang mahu dibualkan.

    Najiha mengangguk, Farisha memandang Aminuddin meminta jawapan. Mahu di tolak nampak tidak beradab pula,mahu ikut dia segan, dalam terpaksa dia rela lagi pula memang niat ingin mengajak gadis itu menonton wayang pada hari ini. Perlahan Aminuddin mengangguk tanda bersetuju dengan cadangan Mukhlis itu.

     Najiha dan Farisha sudah gembira, Mukhlis bangun dan menuju ke kaunter untuk membayar makanan sebelum mereka bergerak menuju ke pusat membeli belah Aeon Sri Manjung. 


        "Isha, thanks untuk hari ni. Lepas ni hang terus balik, rehat na." Aminuddin bersuara romantis. Farisha tersenyum meleret dan mengangguk. Terpana dia seketika, tiba-tiba terasa tumbuh kepak di belakang dan terbang di awangan. 

 

       “Thanks jugak sebab hang sudi teman aku hari ni, minggu depan kalau tak reja, aku ajaq hang bawak kereta na," Aminuddin mengangguk tanda bersetuju.


     Lelaki itu keluar dari perut kereta dan masuk ke dalam rumah. Farisha memandu pulang dengan hati yang berbunga-bunga. Sungguh indah perasaan dalam diri yang dirasakan. Tidak pernah dia merasa sebahagia itu. Senyuman dan gelak tawa lelaki itu terus mengekori hujung mata dan fikirannya. 

   Ada satu getaran yang dirasakan di dalam diri apabila berada dekat dengan lelaki itu, biar dia tidak tahu apakah maksud perasaan yang sedang berkemuncak hebat di dalam hatinya dia merasa senang dengan apa yang dirasakan. Malahan sejak kali pertama bertentang mata, fikirannya tidak pernah lepas dari memikirkan soal lelaki itu, dan bayangan Aminuddin sentiasa menemani hari-harinya.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Farz Ozie