Qisya memandang Najiha sekilas sebelum memerhati sekitar kawasan yang dilalui oleh Najiha. Kenapa pula Najiha masuk ke kawasan perumahan di sini? Mungkin ingin berjumpa kawan kot, Qisya membuat andaian sendiri.
Najiha memberhentikan kereta di hadapan sebuah rumah. Terlihat Yasin dan Akmal berlari keluar dari dalam menuju ke arah mereka. Qisya telan air liur perit. Jantungnya berdegup lagu bagaikan mahu meletup. Darah terasa sudah memenuhi ruang otaknya. Dia perlukan udara untuk bernafas.
“Kak, diaorang ikut kita ke?” Soal Qisya minta kepastian. Najiha hanya mengangguk.
“Assalamualaikum ya bidadari-bidadari manis jelita.” Sapa Yasin sebaik masuk dalam kereta.
“Waalaikumsalam,” Jawab Najiha dan Qisya serentak.
“Sedapnya duduk belakang. Macam datuk kan?” Najiha pusing menghadap lelaki dua orang di tempat duduk belakang.
“Besalah. Bukan selalu pun jadi datuk.” Jawab Yasin selamba.
“Hangpa dua orang duk depan bawak kereta kami duk belakang. Apalah jadi lelaki tak gentleman kan Qisya?”
Qisya angguk mengiakan kata Najiha. Mereka berdua keluar dan membuka pintu untuk Akmal dan Yasin berubah tempat. Yasin mengeluh sambil membebel membuatkan Najiha dan Qisya ketawa besar. Akmal pula seperti biasa, hanya menyepikan diri dan tersenyum.
Sepanjang perjalanan mereka Qisya asyik mencuri pandang Akmal. Lelaki itu juga sama. Sesekali mata mereka bertaut melalui cermin pandang belakang.
“Kemain la kau ye dik. Pandang-pandang jeling-jeling ye dengan Akmal.” Usik Najiha sebaik mereka keluar dari kereta. Mereka berhenti seketika di kawasan rehat untuk merehatkan urat dan otot.
“Apa akak ni, mana ada.” Qisya termalu sendiri. Mukanya sudah berbahang.
“Eleh, ingat akak tak nampak? Qisya suka dekat Akmal ye?” Najiha membuat andaian sendiri.
“Suka macam tu je kak. Suka tengok cara dan peribadi abang Akmal tu.” Qisya buat muka malu-malu kucing.
“Eii, gedik kau kan dik.” Najiha ketawa diikuti Qisya kemudiannya.
Jauh di mata namun dekat di hati. Kasih yang pernah tercipta tidak akan mampu menghilang walau apa pun terjadi. Namun kerana satu kesilapan semuanya hilang dan tidak mungkin akan kembali lagi. Nurul Ain duduk termenung di hadapan kaca TV. Anak yang menangis langsung tidak diendahkan. Nurul Ain tenggelam dengan perasaannya sendiri.
Jamilah datang mengangkat Qashaf dan mendodoikannya sambil botol susu disumbat ke dalam mulut. Dia geleng kepala melihat Nurul Ain.
“Sudahlah tu Nurul. Tak guna hang ingat dia lagi, dia pun dah kahwin dah.” Tegur Jamilah membuatkan lamunan Nurul hilang berterbangan.
Air mata yang menitis diseka dengan hujung jarinya. Dia bangun dan mengambil Qashaf dari gendongan Jamilah.
“Ingat apa pula kak Milah?” Soal Nurul pura-pura tidak faham maksud kata-kata Jamilah tadi.
“Dengan orang lain hang bolehlah tipu tapi dengan akak hang toksah berdalih na. Hang ingat akak tak tau hang duk pikiaq pasai Din kan?” Jamilah menghempaskan punggung di atas sofa. Alat kawalan jauh Astro dicapai dan mencari siaran kegemarannya.
“Dak aih kak. Nurul pikiaq benda lain.” Nurul cuba berdalih walaupun dia tahu yang dia tidak boleh membohongi Jamilah.
Jamilah adalah kakak sepupu Nurul Ain. Selepas Nurul Ain dihalau oleh keluarga dan hidup merempat kerana mengandungkan anak luar nikah rumah Jamilah tempat dia berteduh dan menumpang kasih.
Nurul Ain berkahwin dengan lelaki yang merosakkan dirinya namun perkahwinan itu tidak kekal lama apabila lelaki itu tidak tahan dengan kehidupan serba susah yang mereka lalui. Sifat malas lelaki itu sering menjadi bebelan Jamilah. Kerana tertekan dengan bebanan lelaki itu menceraikan Nurul sebaik Qashaf lahir dan pulang ke pangkuan keluarganya. Sepanjang berkahwin pula sudah kenyang Nurul Ain merasa kaki dan tangan lelaki itu.
Nurul Ain tenggelam punca. Kasih sayang yang diberikan dibalas tuba. Dahulunya lelaki itu yang menggoda dn dijanjikan bulan dan bintang sehingga dia sanggup melukakan Aminuddin yang begitu setia mencintai dirinya. Masih segar di ingatan bagaimana kecewanya Aminuddin waktu itu. Pertama kali dia melihat lelaki itu menangis.
“Sampai hati Nurul buat Din macam ni. Apa salah Din pada Nurul?” Aminuddin berdiri di hadapan Nurul Ain.
“Nurul minta maaf. Harap Din boleh teruskan kehidupan. Mungkin takdak jodoh antara kita.” Bersahaja Nurul Ain menjawab. Langsung tiada rasa bersalah dalam dirinya.
“Teruskan kehidupan? Nurul tau dak macam mana Din sayang Nurul? Kenapa Nurul sanggup buat macam ni?” Aminuddin menggenggam jemari Nurul namun ditepis oleh gadis itu.
“Takkan Din nak lagi dengan perempuan kotoq macam Nurul ni? Nurul dah mengandungkan anak orang lain tau. Anak haram. Dengaq dak, anak haram!” Bentak Nurul Ain .
Bagaikan terpanah petir Aminuddin terpempan. Seakan tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Aminuddin tahu Nurul Ain curang dengannya kerana itulah dia datang meminta penjelasan tetapi dia tidak tahu tentang perkara itu.
“Nurul muhong Din kan? Takkan Nurul buat benda lagutu.” Aminuddin cuba untuk ketawa menyembunyikan duka. Dia tahu Nurul pasti sedang bergurau.
“Takda masalah aku nak bergurau dengan hang Din. Lupakan aku. Aku dah ada orang yang aku sayang, yang boleh bagi aku segala-galanya. Bukan macam hang. Selamat tinggal.” Nurul Ain berlalu pergi.
Tersiat hati Aminuddin apabila melihat Nurul Ain dipimpin oleh seorang lelaki yang dia kenal. Kawan satu sekolah dengannya. Aminuddin jatuh terduduk sambil mengurut dadanya. Harapan dan impian yang dibina sudah hancur lebur. Kenapa Nurul Ain begitu kejam mengkhianati cinta mereka.
Pap! Bahu Nurul Ain ditepuk membuatkan kenangan lama itu kembali tersimpan di memori. Dia terpinga-pinga memandang Jamilah.
“Anak hang menangis tu. Berangan je kan hang ni.” Bebel Jamilah.
Nurul Ain menepuk Qashaf sambil berselawat. Namun fikirannya terus menerus fikirkan tentang Aminuddin. Dia tidak percaya yang lelaki itu sudah berkahwin. Mungkin Aminuddin sengaja berkata begitu untuk menyakitkan hatinya. Dia yakin Aminuddin masih sayangkan dirinya. Dia harus siasat tentang itu.
“Kak, malam ni akak tolong jagakan Qashaf ye. Nurul ada kerja sikit.” Pinta Nurul Ain.
“Akak peliklah dengan hang ni. Sejak dua menjak ni rajin hang keluaq malam. Hang kerja apa sebenaqnya?” Soal Jamilah curiga.
Nurul hanya mampu sengih tanpa berikan sebarang jawapan. Dia mengangkat Qashaf yang sudah lena untuk dibawa masuk ke dalam bilik. Dia tidak akan sesekali membiarkan Jamilah tahu tentang pekerjaannya. Dia malu dengan Jamilah. Entah apa tanggapan dia nanti.
Dia lakukan semua ini untuk membesarkan Qashaf. Dia tidak mahu membebankan sesiapa walaupun Jamilah sering menghulurkan bantuan. Sudah terlalu banyak budi yang diberikan, Nurul tidak mahu menerima kebaikan dan simpati orang sampai mati. Dia harus berusaha untuk masa depan dia dan Qashaf.
Sementara di rumah Farisha, Aminuddin termenung jauh sambil mengeluh entah ke berapa kali dia tidak pasti. Farisha bersandar di sebalik pintu balkoni sambil memerhati tingkah lelaki itu. Dia yakin yang Aminuddin pasti sedang fikirkan tentang perempuan tadi.
“Fikirkan pasal Nurul?” Tegur Farisha. Dia duduk bersebelahan dengan Aminuddin.
Aminuddin tersentak. Dibetulkan duduknya supaya sedikit berjarak dengan Farisha. Dia tarik senyum namun jelas kelihatan hambar.
“Aku faham perasaan hang Din.”
“Apa yang hang faham Isha? Hang takkan faham perasaan aku.” Luah Aminuddin sebak.
Aminuddin keliru dengan hatinya sekarang. Bersungguh dia katakan yang Nurul Ain sudah tidak wujud dalam ceritanya namun disaat bertemu segala kisah bahagia yang dulu kembali terimbas. Apakah dia masih mencintai Nurul Ain? Bukankah dia sayangkan Farisha? Gadis itu direnung tajam.
“Dah kenapa tengok aku macam tu?” Soal Farisha pelik.
“Hang sayangkan aku dak?” Soal Aminuddin tiba-tiba.