Bab 28
Najiha duduk termenung di hadapan kolam renang sementara menunggu Mukhlis bersiap. Semalam Datin Fatmawati meminta dia untuk tidur sahaja di rumah kerana majlis kenduri kesyukuran habis lewat. Dato Zaman dan Datin Fatmawati awal pagi sudah bertolak ke lapangan terbang Sultan Azlan Shah di Ipoh untuk berangkat ke Indonesia kerana ada urusan keluarga yang perlu diselesaikan di sana.
“Boleh akak duduk?” terguran Nisa mengkagetkan Najiha. Gadis itu mengangguk perlahan sebelum membetulkan posisi kedudukannya yang tadi menyilang sebelah di atas dan sebelah di bawah.
“Papa Jiha sihat? Mama Jiha apa khabar sekarang?” Nisa membuka bunga bicara. Tidak tahu bagaimana hendak terus kepada perkara pertama, dia cuba berlagak tenang.
“Papa alhamdulliah sihat. Mama dah tiga tahun meninggal,” Ada nada sendu di hujung kata gadis itu. Wajah yang tadi mengukir senyum juga sudah mula mati perlahan-lahan.
“Err, maafkan akak ye. Akak tak tahu,” Nisa pantas duduk di sebelah Najiha dan memaut bahu gadis itu erat. Dalam kepayahan Najiha cuba tersenyum.
“Takpe kak, Jiha dah kuat sekarang.” Najiha cuba mengawal dada yang sudah mula berombak duka. Pemergian Puan Sri Rozita amat memberi kesan yang besar dalam hidup Najiha. Walau mulut berkata baik tetapi hati tetap menangis apabila disebut tentang arwah Puan Sri Rozita.
“Sebenarnya akak nak minta maaf banyak-banyak kat Jiha. Akak harap Jiha boleh maafkan akak ye,”
“Nak minta maaf kenapa pula kak? Akak bukan ada salah ngan Jiha pun.” Berkerut dahi licin Najiha cuba menangkap maksud maaf dari Nisa itu. Seakan tidak percaya yang Puan Nisa garang itu sedang minta maaf pada dirinya? Apa yang sudah jadi.
“Atas sikap kasar akak selama ni pada Jiha. Kalau akak tahu Jiha anak Uncle Jalil, sumpah akak takkan halang hubungan korang.” Nisa menunduk ke lantai. Dia benar-benar malu dengan sikapnya yang amat keterlaluan melayan Najiha dahulu.
“Kalau Jiha ni bukan anak Tan Sri Jalil akak akan terima Jiha?” soalan Najiha benar-benar seperti batu besar yang menghempap kepala Nisa. Wanita itu mati kata.
Hatinya bagaikan direntap dengan kejam. Nisa hanya mampu tersengih tanpa menjawab. Najiha masih menanti jawapan yang diinginkan. Dia kenal Nisa sewaktu masih kecil dan Nisa seorang yang baik hati dan sentiasa merendah diri. Namun Nisa yang dia kenal dahulu mungkin sudah tiada. Apa yang dia lihat Nisa yang kini adalah orang yang hanya memandang pada harta dan kekayaan untuk dijadikan kawan dan keluarga.
“Sayang, jom.” Mukhlis muncul menyelamatkan keadaan genting itu.
Sudah lama dia mengintip perbualan dua perempuan kesayangannya. Dia tahu Nisa tidak mampu menjawab jadi cepat-cepat dia menjenguk untuk mengubah haluan jalan mereka. Nisa menarik nafas lega. Najiha bangun dan bersalaman dengan Nisa untuk pulang ke rumah dahulu.
“Haish. Kalau kau bukan anak Tan Sri, jangan haraplah aku ni nak minta maaf kat kau tau! Buang masa aku je.” Nisa melepaskan rasa. Dia bangun dan masuk ke dalam rumah untuk mengejutkan anak-anak dan suaminya.
“Hai abang, nak ke mana melawa pagi-pagi minggu ni? Dari luar lagi dah bau minyak wangi semerbak.” Nisa mencekak pinggang di hadapan anak tangga bila melihat Sufian turun dari atas.
Lelaki itu hanya tersenyum sambil bersiul dan berlalu tanpa menjawab. Nisa sudah panas hati. Senyuman suaminya itu sangat tidak menyenangkan hatinya.
“Abang dengar tak Nisa tanya ni. Abang nak pergi mana?” Nisa menarik tangan suaminya. Sufian merentap kasar melepaskan genggaman Nisa. Malas dia hendak melayan isterinya itu.
Nisa menghentak-hentak kaki di lantai sebelum menutup pintu utama rumah itu dengan kasar. Nafasnya naik turun seperti orang kekurangan oksigen. Dia melangkah laju menuju ke dapur untuk membasahkan tekak yang kering dan hati yang panas.
“Hoi! Orang suruh kerja, bukan melepak bergosip dekat sini.” Nisa memekik sebaik berdiri di hadapan pintu dapur sambil bercekak pinggang.
Dua orang gaji yang sedang berbual kosong itu terlompat kerana terperanjat. Pantas mereka berlari seorang ke luar rumah dan seorang ke sinki menyudahkan cucian yang tertangguh sebentar tadi.
“Dasar kuli tak sedar diri! Asyik nak curi tulang je. Kalau nak kerja buat cara nak kerja, kalau nak mengembang je baik berambos! Faham?” Nisa menunjal-nunjal kepala orang gaji yang berasal dari indonesia itu.
“Maaf Puan. Saya tidak akan ulangi lagi. Maaf ya Puan.” Tersekat-sekat percakapan gadis itu. Hatinya tersejat dan kecut perut bila melihat wajah menyinga anak majikannya itu.
PRANG! “Opss, terjatuh pula, bersihkan kaca ni sekarang.” Nisa sengaja melepaskan gelas di tangan. Dia menolak tubuh orang gaji itu sehingga tersungkur di lantai dan tapak tangannya tertusuk serpihan kaca yang berderai. Darah menitis laju membasahi lantai.
Nisa ketawa puas hati dan berlalu pergi meninggalkan orang gaji itu yang menangis teresak-esak. Seorang lagi rakannya hanya mampu melihat dari luar perlakuan kejam Nisa. Risau jika dicampur makin buruk pula jadinya. Setelah dia memastikan Nisa hilang naik ke atas, dia cepat berlari masuk ke dalam rumah dan membantu rakannya.
Syifa cuba membuka mata yang masih melekap kuat. Kepala yang berdenyut-denyut itu diurut perlahan-lahan. Dalam kepayahan dia cuba bangun untuk ke bilik air. Saat terasa diri terumbang-ambing, Syifa kembali merebahkan dirinya ke atas katil.
Tidak sampai seminit. Syifa bagaikan punya kekuatan untuk berlari dan terus menuju masuk ke dalam bilik air. Dia menghamburkan segala isi yang ada di dalam perutnya. Tekaknya terasa perit dan pedih. Syifa merasa loya dan pening-pening. Sudah masuk empat kali dia muntah pagi ini. Sampaikan yang terakhir tadi hanya air yang keluar.
“Takkan aku…” Syifa memegang perutnya. Kata-kata tidak mampu diteruskan. Dia berjalan menuju ke meja solek dan membuka laci paling bawah sekali.
Sebuah kotak digenggam erat. Hatinya berat mahu melangkah masuk namun digagahkan jua. Dengan penuh debaran Syifa menanti hasil air kencing tersebut. Dia mundar-mandir di dalam bilik air bagaikan orang gila. Selepas lima minit menunggu, dia mencapai alat penguji kehamilan tersebut dengan perasaan yang takut.
Alat penguji kehamilan terlepas dari tangannya. Syifa jatuh terjelupok di atas lantai mozek yang berkilau itu. Hujan mula turun lebat membasahi pipi yang gebu. Tidak tahu apa yang harus dirasakan sekarang. Kenapa semua ini harus berlaku kepadanya. Bagaimana dia mahu berterus-terang dengan Zarel Ikmal nanti. Pasti lelaki itu akan mengamuk jika perkara yang selama ini diharapkan tidak terjadi tetapi sudah terjadi.
Syifa mengesat air matanya, dia melakukan satu lagi ujian. Mungkin yang pertama tadi ada kesilapan. Namun jawapannya tetap sama. Syifa duduk tersandar di tepi sudut bilik air itu. Lutut ditarik merapati dada dan dia menangis sepuas hatinya.
“Zarel, maafkan I,” hanya itu yang kedengaran dari rintihan Syifa. Gadis itu terus menangis bagaikan orang yang mahu kehabisan nyawa.
Syifa sudah dapat membayangkan keadaan yang akan berlaku selepas ini. Dia tidak sanggup menghadapi kehilangan Zarel Ikmal. Dia rela hilang segala benda dalam hidup ini tetapi bukan Zarel Ikmal. Sudah banyak suka dan duka yang mereka tempuh bersama-sama. Dia tidak mahu mengeruhkan keadaan yang sudah sedia keruh sekarang ini. Zarel Ikmal sendiri sudah memberikan amaran keras tentang perkara ini.
Syifa jadi buntu. Kepalanya kusut dan serabut. Dia kemudiannya teringatkan Izzuddin. Hanya lelaki itu yang dapat membantu dirinya sekarang. Gadis itu bangun dan mencuci muka dan membersihkan diri. Dia harus berjumpa dengan sepupunya itu.