Bab 8 hanya dia bidadariku
Bab 8
"Babe, Mukhlis ajak pergi rumah nenek dia la hujung minggu ni, kau nak ikut tak?" Najiha bertanya sambil mencuci pinggan yang di guna ketika sarapan tadi.
"Tak kot, aku dah janji dengan Din nak..." Kata-kata gadis itu terhenti di situ. Najiha menanti sambungan bicara Farisha, tetapi sepertinya tidak ada sambungan, cuma sengihan yang dipamerkan.
"Nak dating eh? Korang ni serius ke babe? Lain macam je aku tengok, korang memang bercinta ke?" Najiha sudah tidak dapat menahan rasa ingin tahu, sudah dua bulan mereka seperti itu, semakin hari semakin rapat. Macam belangkas! Semua orang sudah mula bercakap tentang mereka, tetapi sering dinafikan oleh keduanya.
"Apa yang kau merepek ni makcik oi? Suka buat andaian sendiri kan?" Farisha cuba mengawal keadaan, tidak mahu terlihat ketara akan perasaan yang sedang bermain di jiwa.
Najiha agak pandai membaca fikiran orang, dia meninggalkan Najiha sendiri di dapur dan masuk ke bilik untuk berehat. Esok pagi dia harus bangun awal pagi walaupun mereka bercuti esok.
"Eleh. Malu-malu panda pula minah ni, kalau bercinta cakap lah bukan aku suruh kahwin pun apalah kau ni?" Najiha meninggi suara supaya usikan sampai ke telinga Farisha.
"Okey, sekarang hang tekan brek lepas tu tarik gear tu ke huruf D, brek tangan tu turunkan, lepas brek pelan-pelan dan tekan pedal minyak." Farisha memberi arahan pada Aminuddin.
Lelaki itu hanya menurut apa yang dicakapkan Farisha, hatinya sedikit berdebar dan tubuhnya terketar-ketar menahan rasa takut. Pertama kali dia memandu kereta dan kereta yang dipandunya pula kereta mahal.
"Isha hang yakin ka ni? Ni Honda kot? Kalau apa-apa jadi kat kereta hang ni mampuih aku nak bayaq." Aminuddin sekali lagi meminta kepastian dari gadis itu.
Risau jika dia tidak dapat mengawal dengan baik dan berlaku perkara yang tidak diingini pula. Jika rosak atau kemek, pastinya memakan kos baik pulih yang mahal.
"Ala confident la sikit. Hang kata hang jantan, be brave!" Farisha memberi kata semangat pada lelaki itu walaupun dalam hati terbit juga rasa risau.
Dia tidak kisah kalau keretanya kemek yang dia risaukan jika lelaki itu hilang kawalan dan melanggar kenderaan lain pasti panjang cerita jadinya, tetapi dia cuba juga menyakinkan hati yang lelaki itu mampu mengawal dan memandu dengan baik. Perlahan kaki yang menekan brek dilepaskan, kereta bergerak sedikit demi sedikit dari perlahan dilajukan dan akhirnya menyusur keluar ke jalan besar.
"Amboi seriusnya muka hang bawa kereta. Mengalahkan macam orang nak pi perang aih, kalah muka A.Galak yang tengah marah." Farisha berdekah ketawa saat melihat riak muka Aminuddin yang berkerut dan matanya yang meliar kiri dan kanan melihat cermin sisi kereta.
"Hang gelak na, hang buleh la dah besa bawak kereta, aku ni baru nak belajaq, duk ketaq lutut ni." Terketar suara Aminuddin berbicara, nampak jelas ketakutan bukan setakat di wajah, tapi suara juga sama, matanya masih fokus pemanduannya. Tidak sedikit pun wajahnya memandang ke arah Farisha yang ketawa mengekek itu.
"Bawak kereta ni kena rilek, tak buleh tekun sangat. Cuba hang santai, badan tu sandaq sikit yang penting tengok cermin sisi belah kanan tu jangan sampai lebih line tengah, tu ja." Farisha memberi sedikit tips yang mungkin berguna untuk pemandu baru seperti Aminuddin itu.
Lelaki itu mengangguk tanda mengerti. Aminuddin mula rasa selesa tenang untuk memandu, belajar menggunakan kereta transmisi automatik memang tidak susah, hanya perlu keyakinan yang lebih untuk mengawal steering supaya pemanduan tidak tersasar. Habis satu Daerah ditawaf oleh mereka berdua hari ini, bermula dari jalan Teluk senangin mereka ke Setiawan, Sri manjung dan berakhir di Lumut.
"Dah asaq ni, jom kita semayang dulu." Aminuddin membelok ke kiri naik ke masjid yang terletak di atas bukit sebelum masuk Dataran Lumut.
Farisha hanya mengangguk kecil. Sesudah solat, Farisha meminta Aminuddin untuk memandu menuju ke satu tempat. Tempat yang selalu berikan dia ketenangan ketika dia sedang bersedih atau gembira.
"Best tak tempat ni?" Tanya Farisha sebaik mereka keluar dari perut kereta. Gadis itu terus melompat dan duduk di atas tembok setinggi paras pinggangnya itu.
Aminuddin hanya tertawa melihat tingkah Farisha yang tidak ubah seperti seorang lelaki. Mungkin kerana itulah dia senang berkawan dengan Farisha, kerana perwatakan gadis itu yang bersahaja dan penampilan gadis itu yang tiada bezanya dengan lelaki. Aminuddin ikutan panjat dan duduk bersebelahan dengan Farisha, tetapi dijarakkan sedikit duduknya supaya tidak bersentuhan dengan gadis itu.
Dia memang tidak pernah rapat dengan mana-mana gadis sebelum ini, walaupun ketika dia bersama kekasihnya dulu. Batas pergaulan terlalu dijaga kerana tidak mahu terperdaya dengan hasutan syaitan yang membolehkan dia terjerumus ke lembah maksiat, tetapi entah kenapa dia tidak merasakan itu dengan gadis di hadapannya, malahan dia senantiasa ingin bersama. Apakah ini sebenarnya cinta? Atau ini hanya hasutan syaitan? Bukankah dirinya pernah bercinta, tapi kenapa perasaan kali ini berbeza. Sungguh dia buntu.
"Memang sempoi baq hang! Bapak best tempat ni." Aminuddin teruja dengan keindahan tempat itu. Suasana yang damai dan tenteram itu amat memukau pandangan matanya. Angin laut yang bertiup sepoi-sepoi bahasa menambah keasyikan petang itu. Dibuka plastik makanan yang mereka beli sebelum menuju ke sini sebentar tadi, sambil menikmati suasana petang sambil mengunyah keropok lekor. Memang terbaik!
"Tengok la sapa yang bawak, aku punya port lepak memang cenggini har." Farisha menaikkan ibu jarinya setinggi boleh lalu ditunjukkan kepada Aminuddin membuatkan lelaki itu tersenyum. Memang diakui tempat yang dibawa oleh gadis itu semuanya menarik dan terbaik.
"Lepas ni kalau hang nak pi mana-mana hang habaq ja kat aku biaq aku jadi driver hang." Aminuddin menawarkan perkhidmatan sukarela pada gadis itu. Pertama kali memandu memang memberi satu perasaan yang berbeza. Teruja!
"Amboi, suka la tu bawa kereta. Baguih jugak, lepas ni aku dah ada pemandu peribadi, boleh la aku duk kat belakang tidoq." Farisha berseloroh. Aminuddin tersengih tanpa jawapan.
Mereka menikmati pemandangan matahari terbenam. Cahaya kuning kemerahan menyuluh tepat ke arah wajah Farisha. Gadis itu memejam rapat matanya sambil menarik nafas dalam, menikmati keindahan ciptaan Allah yang indah.
Aminuddin memerhati wajah kecil molek itu dengan teliti. Cahaya yang terang menyuluh wajah Farisha benar-benar menambah kecantikan pada gadis itu, walau tanpa sebarang solekan di wajahnya, kecantikan tetap terlihat jelas. Hatinya berdebar, jantungnya seakan terhenti dan otaknya ligat mencipta lakaran wajah yang berteman cahaya matahari terbenam yang akan disemat di jiwa dan fikirannya.
"Jom la kita pi semayang maghrib lepas tu kita pi pasar malam na." Kata-kata Farisha itu membuatkan lamunannya terhenti.
Ketika berpaling, mata bertentang mata lalu tersentak jiwa menggarap rasa. Bergoncang hebat jauh di dasar hatii. Mereka dikejutkan dengan bunyi penggera kereta yang tiba-tiba memekik, perasaan malu menerjah diri.
Aminuddin terus terjun dari tembok itu lalu masuk ke dalam kereta. Farisha masih kejung di situ, malu untuk masuk ke dalam kereta dan menghadap muka lelaki itu. Entah bagaimana mereka boleh hanyut dibuai perasaan. Akhirnya, selepas beberapa minit berdiri di situ, Farisha masuk ke dalam kereta dan mendiamkan diri sehingga mereka sampai ke masjid untuk menunaikan kewajipan yang dituntut oleh Allah.
"Time kasih ajaq aku bawak kereta hari ni na." Seperti biasa dihadiahkan senyuman manis semanis madu pada gadis itu.
"No hal bro, benda kecik ja. Tapi hang ingat na lepas ni hang jadi driver aku ke mana saja." Gadis itu memperingatkan sekali lagi tentang pelawaan Aminuddin.
Aminuddin mengangguk dan mengenyitkan matanya membuat Farisha tergamam dengan tindakan spontan lelaki itu. Aminuddin semakin berani dan galak menunjukkan perasaan, Farisha pula sudah terapung di awangan cinta melihat kenyitan mata itu. Tersedar dari angan-angan selepas di ketuk cermin tingkapnya. Lelaki itu sudah berdiri di sebelah sambil membuat muka penuh persoalan, dia tersengih lalu memandu keluar dari kawasan perumahan lelaki itu dengan perasaan yang bercampur aduk.
Farisha menghempaskan tubuhnya ke sofa melepaskan lelah, seharian dia bersama Aminuddin tetapi seakan tidak terasa masa berlalu. Fikirannya melayang mengenang kembali semua yang mereka lakukan hari ini, sesekali dia tersenyum dan sesekali dia tertawa sendirian. Najiha yang sedari tadi memerhati dari hadapan pintu biliknya ikutan ketawa melihat Farisha seperti orang tidak betul.
"Amboi sakan dating hari ni, dari pagi sampai ke malam, kalah aku!" Najiha menghempas punggung di sebelah Farisha. Sengaja di sakat gadis kecil molek itu. Farisha menjeling manja tidak marah lagi dengan usikan sahabatnya itu.
"Huarghhh... mengantuknya, aku masuk tidur dulu ye." Farisha pura-pura menguap lantas bangun dan mencapai beg di sebelahnya lalu menuju masuk ke dalam bilik kerana tidak mahu melekat lama di situ. Pastinya Najiha akan mengorek rahsia dengan bertanya itu dan ini padanya. Sebelum gadis itu berpeluang lebih baik dia mengelak terlebih dahulu.
"Ala, baru nak gosip-gosip, sengaja la tu buat alasan. Benci tau dia ni." Najiha mencebik. Farisha seakan tahu niatnya. Melihat Farisha hilang dari pandangan dia pun bangun masuk ke bilik semula
Sebaik membersihkan diri, Farisha duduk termenung di hadapan cermin yang besar di biliknya itu. Ditenung wajah sedalam mungkin, rambut diusap perlahan. Sungguh dia merindui masa lalu, masa lalu yang banyak membuatkan dia sakit dan terluka. Semua kenangan itu takkan pernah terluput dari ingatannya, bahkan sering menghantui malam-malam gadis itu, tanpa sedar air mata membasahi pipi halusnya, dari perlahan menjadi semakin kuat.
Air mata mencurah laju seperti empangan pecah. Tersedu sedan dia cuba menahan suara, tidak mahu tangisannya didengari oleh Najiha. Satu pesanan ringkas masuk, dia mencapai telefon dan melihat isi kandungannya, sekali lagi dia mengeluh dan menangis. Mesej dari Aminuddin itu dibiarkan begitu sahaja tanpa membalas lalu dia bangun dan menutup suis lampu untuk tidur, kepalanya terasa berat, dadanya begitu sesak dengan semua ini.
"Tu dia pasangan angau meroyan balik dah." Belum sempat Aminuddin masuk ke dalam rumah sudah di sindir hebat oleh Yasin. Seperti biasa Akmal hanya tersenyum.
"Dengki ka apa? Besa la lelaki, mesti bercinta betui dak Mal?" Aminuddin menyambut baik kali ini gurauan Yasin. Akmal hanya mengangguk mengiakan pertanyaan Aminuddin. Yasin menjelirkan lidahnya.
"Hang betui ka tengah duk bercinta dengan pakwek tu Din? Lain macam ja aku tengok hangpa ni, banyak dah bunyi yang tak sedap aku dengaq." Soal Yasin ingin meminta kepastian dia yang selama ini rapat dengan Aminuddin juga bercerita apa-apa tentang mereka. Hendak dikata tidak bercinta lagaknya seperti belangkas, ke mana sahaja pasti berdua. Jika hendak dikata bercinta pula, arghh! Serabut betul fikir pasal mereka berdua.
"Aku dengan dia kawan je la, macam aku kawan dengan hangpa juga. Tak lebih tak kurang pun, hang buat kalut buleh la." Aminuddin menerangkan situasi sebenar.
Dia juga tidak tahu mendefinasikan perasaan yang dirasakan sekarang, ada masa dia rasa sayang, ada masa dia rasa seperti tiada apa-apa, tetapi yang pasti dia senang berkawan dengan Farisha. Kejujuran gadis itu membuatkan hatinya tertarik untuk terus berteman. Walaupun sebelum ini dia tidak pernah memiliki teman rapat perempuan. Farisha gadis pertama yang menjadi temannya.
"Kalau kawan takpa lah, bukan apa Din hang tu jantan dia tu pulak pompuan, kot mana pi pun takut ada hat duk mengharap lebih, sudahnya jadi lain cerita." Yasin berpesan agar Aminuddin tidak tersalah langkah dalam perhubungan. Lelaki dan perempuan tidak sama penerimaan layanan mereka.
"Betui tu Din, aku takmau la satgi hang buat dia kecewa ka, atau hang kecewa lagi ka, hang lupa apa jadi dulu?" Akmal pula menambah. Kali ini dia bersetuju dengan teguran Yasin. Aminuddin hanya tertunduk mendengar nasihat dari mereka berdua.
"Hangpa jangan lah risau, aku tau la nak buat apa. Sekali pun aku takkan lupa kisah aku Mal, Yasin. Sekarang ni fokus aku nak cari duit untuk tulong keluarga aku, hat tolak tepi dulu." Aminuddin masih teguh dengan niatnya.
Menjadi seorang anak rantauan yang jauh meninggalkan keluarga dengan niat untuk mengubah nasib keluarga sekaligus melupakan kisah silamnya. Terlalu perit untuk melepaskan segala kenangan. Diharap akan ada sinar baru untuk dia di sini. Mereka berdua mengangguk kemudian Aminuddin berlalu masuk ke dalam bilik untuk mandi dan tidur.
"Mesej bluetick dah, tapi tak balas pun mesej aku? Tidoq dah ka dia ni, takpa lah mungkin dia penat kot." Aminuddin cuba memujuk hatinya yang sedikit kecewa kerana tidak mendapat jawapan dari Farisha.