Home Novel Cinta Hanya dia bidadariku
Bab 16

Bab 16 hanya dia bidadariku


HDB BAB 16


         Farisha duduk di bangku ruangan menunggu. Sengaja dia memberi ruang untuk keluarga itu berkumpul dan meluang masa sesama mereka. Sebagai orang luar,tidak manis pula jika dia ada bersama. Nadirah tersenyum melihat susuk tubuh Farisha. Puas dia mencari, rupanya gadis itu di sana. Perlahan dia datang menghampiri Farisha.


       “Nama kami Nadirah,panggil Nad ja. Nama akak?” Tangan dihulur tanda salam perkenalan.Farisha tersenyum lalu menyambut salam dengan hati yang terbuka. 


     “Akak Farisha Amirah,panggil Kak Isha ja.” Farisha turut memperkenalkan dirinya. Nadirah mengangguk sambil tersengih.


     "Kak, jom kita pi kantin nak? Nad lapaq air la." Nadirah menarik tangan Farisha tanpa menunggu persetujuan dari gadis itu. Tekak memang terasa kering sedari tadi jadi dia hanya menurut langkah Nadirah. 


        "Akak ni buah hati abang Din ka?" Tanya Nadirah tanpa selindung, gadis itu seorang yang suka cakap lepas dan tidak pernah menapis dahulu apa yang hendak dikatakan olehnya. 


       "Eh, taklah. Kak Isha kawan abang Din ja. Kenapa? Akak nampak macam buah hati abang Nad ka." Laju kepala menggeleng sebagai jawapan. Kalau boleh mahu sahaja dia mengiyakannya, tetapi itu bukanlah satu kenyataan, itu hanya satu angan-angan. 


     "Kami agak dah, saja ja tanya nak pastikan. Kak Isha ni cantik, mana padan ngan abang kami yang gelap tu. Kak Isha putih, tak padan." Sempat Nadirah mengutuk abangnya. Farisha ketawa mendengar jawapan Nadirah. 

Dalam hati agak sedikit kecewa, kerana dia mengharap yang gadis cantik ini kekasih abangnya, dan mengharap Farisha itu bakal kakak iparnya. Pertama kali dia melihat Farisha, dia sudah jatuh cinta dengan kecantikan dan sikap lemah lembut gadis itu. Tidak pernah lagi dia melihat gadis secantik Farisha selain dalam drama dan filem. Sebagai perempuan, dia mencemburui kecantikan yang dimiliki Farisha. 


       "Nad, akak nak tanya sikit boleh?" Farisha sekadar ingin mencuba nasib. Jika ada keberuntungan, pasti dia dapat mengetahui tentang kisah silam Aminuddin, dan yang penting mungkin dia boleh tahu juga tentang gadis yang selalu berhubung dengan Aminuddin.

  

    Haish, baru je jumpa. Takkan nak tanya macam-macam pula? Kang dia kata aku ni kepohci. Argh! Lantaklah, janji aku dapat tahu cerita. 


       "Pa dia? Tanya la." Balas Nadirah pendek. Matanya sibuk memandang skrin telefon untuk membalas mesej dari kawannya. 


      "Abang Din tu ada kekasih dak? Maksud akak, kawan perempuan yang rapat ke." Perasaan ingin tahu sangat menebal, sebelum dia lebih jauh menyimpan perasaan lebih baik dia mencari tahu kebenaran daripada sekarang. 

   

    Telefon Samsung galaxy young milik Nadirah di letakkan di atas meja, mata berkalih kepada Farisha. Berkerut dahi Farisha melihat Nadirah yang tidak lepas memandang dirinya. Apakah dia sudah salah dalam bertanya? Marah kah Nadirah pada soalannya? Farisha menggaru kepala yang dibaluti tudung itu. Hanya sengihan dilemparkan buat tatapan Nadirah. 


     "Dulu abang Din memang ada marka, nama dia Hanis, tapi... ."Sengaja digantung ayat itu kerana mahu melihat reaksi Farisha. Lucu dia melihat riak wajah Farisha menanti jawapan. 


      "Tapi, tapi apa?" Tanya Farisha tidak sabar, dia mahu tahu jawapan dengan segera. 


      "Depa putuih dah! Kak Hanis tu pun dah menikah dengan orang lain. Masa tu abang Din punya la kecewa, duk sengap ja tak bercampuq dengan orang, pi reja balik reja tu ja yang dia tau." Nadirah membuka kisah lalu Aminuddin. 


     Sememangnya dia juga tidak menyangka yang hubungan mereka berdua itu akan berakhir, mereka berkawan sejak dari sekolah sehinggalah sama-sama sambung belajar di Kolej Keda untuk mengambil sijil kemahiran. Farisha turut bersimpati dengan nasib lelaki itu, pasti susah untuk dia melepaskan rasa cinta kepada Hanis, mungkin sama seperti dia cuba melupakan Izzudin dulu, walaupun lelaki itu telah berbuat jahat padanya. Perasaan sayang itu pasti takkan pernah lupus. 


     "Tapi, lepas lima bulan putuih dia ada kenai sorang pompuan ni, tapi tak tau lah depa bercinta ka dak. Nampak gaya macam orang bercinta. Kalau di rumah tu asyik dok whatsapp ja, pastu sat-sat telipon, nama apa pun tak tau, ingat-ingat lupa pula.” Nadirah memerah otak cuba mengingati nama gadis yang ingin disebutkan. 


      "Athirah?" Farisha cuba mencari kepastian. Mungkin gadis itu yang dimaksudkan oleh Nadirah, dia juga selalu melihat Aminuddin berbalas mesej dengan gadis itu walaupun waktu mereka keluar berdua. Boleh dikatakan setiap hari mereke berbalas mesej. 


     "Hah, Athirah. Akak kenai dia ka?" Nadirah baru teringat apabila Farisha menyebut nama gadis itu, pelik pula dia bagaimana Farisha tahu tentang  Athirah? Mungkin mereka sudah kenal satu sama lain. 


      "Tak kenai, cuma ada la nampak abang Din duk mesej dia kat tempat reja." Jawab Farisha jujur. Apakah hubungan mereka? Apakah benar mereka sedang menjalin hubungan cinta? Jika benar, apakah dia berpeluang memilik Aminuddin? Apakah dia tegar menganggu hubungan orang lain? Hatinya sedikit kecewa. 


       "Tapi kami tak suka dia, dia tu budak Kedah jugak, rumah dia pun takda la jauh mana dari rumah kami, lebih kurang setengah jam lagutu la." Luah Nadirah embuatkan Farisha merasa pelik. 


      "Awat tak suka pula? Dia jahat ka?" Selidik Farisha terus, dia juga ingin tahu siapa Athirah, dan bagaimana orangnya. 


       "Kami nak kata kenai sangat dak la, tapi ada la kawan-kawan kami hat kenai dia, semua duk kata dia tu Minah sotong, gedik, manja, duk minta perhatian sepanjang. Tengok instagram dia pun post gambar posing mengada-ngada,meluat kami." Nadirah membebel panjang lebar, seperti biasa mulut celupar Nadirah memang tidak boleh dikawal, cakap seperti langsung tiada rasa bersalah.

   Tapi apakah betul kata-kata gadis itu tentang Athitah? Mungkin betul juga, kerana dia selalu menghantar mesej pada Aminuddin, dan mereka sering berbual melalui telefon, kadang itu hampir setengah jam mereka bergayut. Dirumah tidak tahu pula berapa lama, seringkali dia melihat 'last seen' di whatsapp Aminuddin, walaupun hampir jam dua pagi, status nya masih 'online', bermakna dia sedang bermesej dengan seseorang. 


      Farisha hanya tersenyum tanpa membalas apa-apa jawapan, mahupun soalan, dia sudah tahu tentang Athirah, kini dia cuma perlu mencari kepastian, sejauh mana hubungan Athirah dan Aminuddin berjalan. Tidak mahu pula nanti dia dikatakan merampas hak orang.

     Persoalannya, apakah Aminuddin mempunyai perasaan yang sama seperti dirinya? Atau apakah yang dirasakan ini sebenarnya cinta? Atau sekadar permainan perasaan? Atau Aminuddin hanya seorang lelaki yang mengingatkan dia pada seseorang, diatas kebaikan dan keprihatinan lelaki itu? Sama seperti yang dilakukan Zarel Ikmal dulu, apakah kerana itu semata-mata. Dia bingung dengan perasaan dirinya sendiri. Hari sudah malam, ayah Aminuddin masih belum sedarkan diri. Aminuddin meminta Farisha membawa pulang ibu dan adik-adiknya, dan bermalam sahaja dirumah mereka, jika ada apa-apa berlaku dia akan menelefon untuk memberi khabar. Farisha hanya menurut, badan yang terasa penat juga perlukan rehat.


   “Nilah pondok baru kami kak,” Nadirah tersengih. Farisha juga sama, oleh kerana hari sudah malam Farisha tidak dapat melihat suasana kampung itu. 


  “Apa cakap macam tu, lawalah ni.” Farisha masuk ke dalam rumah setelah puas menghirup udara segar di kampung. Jarang sekali dapat merasakan ketenangan jiwa seperti ini. 

   Farisha berkongsi bilik dengan Nadirah. Tiada katil, cuma tilam nipis menjadi alas tempatnya tidur. Kehidupan keluarga Aminuddin sememangnya sangat bersederhana. Rumahnya tiada sofa atau almari hiasan, cuma ada sebuah kotak TV bersaiz 14 inci  di ruang tamu yang luas itu. Rumah kayu dua tingkat itu mempunyai tiga buah bilik, satu di bawah dan dua di atas.

  

   “Akak okey ka tiduq atas lantai?” tegur Nadirah membuatkan Farisha tersentak. Laju gadis itu mengangguk memberikan jawapan. 

   Walaupun dia anak Tan Sri, dia tidak kisah untuk tidur di lantai sekalipun, baginya itu sudah satu rahmat yang besar berbanding dari negara islam lain yang berperang, hanya tidur beralaskan tanah dan berbumbungkan langit.

  Tiada siapa juga yang tahu akan status Farisha di sini. Kecuali Aminuddin ada menceritakan tentang dirinya kepada keluarga itu. Nadirah mencapai tuala yang tergantung di sebalik pintu untuk membersihkan diri, seharian di Hospital membuatkan tubuhnya melekit dan tidak selesa.

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Farz Ozie