“Yeke? Alhamdulillah... Lega aku dengar mama kau dah sedar. Apa? Din ada dekat sana? Tidur rumah kau? Okeylah tu. Kau pun rindukan dia sangat-sangatkan.” Rancak Najiha berbual di telefon bersama Farisha sehingga tidak sedar ada sepasang telinga yang sedang mendengar.
Athirah sudah tarik muka bila mendengar nama Aminuddin disebut. Patutlah dua tiga hari ini dia telefon lelaki itu tidak dilayan seperti biasa. Mesej apatah lagi, langsung tidak pernah dibalas. Ingatkan sakit teruk rupanya sedang bergembira jumpa kekasih hati. Kaki patah pun sanggup bersusah payah turun ke Kuala Lumpur. Kalau dengan dia tidak pula pernah dilayan seperti itu
Athirah masuk ke dapur untuk mengambil segelas air. Dia pura-pura tidak perasankan Najiha di ruang tamu.
“Isha, nanti aku call kau balik boleh. Okey bye.” Langsung panggilan dimatikan tanpa menunggu jawapan Farisha.
Najiha menghalang Athirah dari bergerak. Tangan sudah diangkat dan ditayang di hadapan muka Athirah. Lagak Najiha sudah seperti seorang polis trafik sedang mengawal lalu lintas.
“Akak ni kenapa?” Soal Athirah geram. Dia berdecit melepaskan rasa sakit hati.
“Aku kenapa? Patutnya aku yang tanya kau tu kenapa?” Balas Najiha sambil bercekak pinggang.
“Kenapa dengan Athi pula?”
“Apa masalah kau ni? Apa yang kau tak puas hati sangat dengan Farisha?”
“Apa maksud akak ni, saya tak fahamlah.” Athirah meletakkan gelas di sinki. Dia cuba meloloskan diri daripada sekatan Najiha.
Najiha menarik baju Athirah membuatkan gadis itu terdorong ke belakang sedikit. Athirah mencerlung ke arah Najiha. Mukanya sudah merah padam menahan rasa marah.
“Apa hal kau tengok aku macam tu? Marah? Sakit hati? Nak pukul? Itulah apa yang akurasa sekarang ni dengan kau tau!” Najiha tinggi suara. Hatinya sudah mula membuak panas.
“Akak ni memang nak cari pasal ke? Athi masih hormat akak tau.” Athirah cuba mengawal keadaan. Jika mereka berdua terus menjadi api pasti buruk kesudahannya.
“Hormat? Kau keluar masuk rumah aku buat macam hotel. Kau tak bertegur sapa dengan aku, kau tolak aku hari tu depan pintu... Ar... Apa lagi ek? Har, kautengking aku itu kau kata hormat?” Najiha bertepuk tangan sambil berpusing mengelilingi Athirah.
Athirah tunduk termalu sendiri. Andai kata-kata dia tadi boleh ditarik dn ditelan sudah pasti dia lakukan.
“Athi minta maaf. Athi tengah serabut masa tu. Athi minta maaf ye kak.” Athirah cuba menarik tangan Najiha untuk bersalaman namun ditepis kasar oleh Najiha.
“Kau jangan ingat aku tak tahu apa kau buat belakang aku Athi. Aku kenal orang jenis macam kau ni. You're slut!” Tempelak Najiha.
Athirah sudah mengepal penumbuk. Ringan sahaja tangannya mahu dihayun ke muka Najiha. Tetapi dia harus bersabar. Jika bukan kerana dia tiada tempat lain mahu di tuju sudah lama pecah muka Najiha dikerjakan. Hanya tinggal dua bulan lagi waktu praktikal dia akan habis jadi mahu tidak mahu dia harus telan sahaja perkara yang mendatang.
“Athi minta maaf kak.” Bicara Athirah sebak sambil berlari masuk ke dalam bilik.
Najiha dipagut ras bersalah bila tersedar ketelanjurannya dalam berkata-kata. Lebih sangat dah ni. Najiha mengutuk dirinya sendiri. Dia mengetuk pintu bilik Athirah namun gadis itu hanya menyepikan diri. Tiada tanda pintu itu akan terbuka. Najiha mengeluh sebelum beredar ke ruang tamu. Biarlah gadis itu sejuk terlebih dahulu nanti sahaja dia minta maaf.
Athirah di dalam bilik sudah gelak guling-guling. Pasti sekarang Najiha sedang rasa bersalah padanya. Dia akan buatkan Najiha melutut minta maaf dengannya. Suka hati gelar dia pelacur? Tapi bukankah perkara itu betul? Bukankah dia dengan pelacur tiada beza kerana sudah enyerahkan kesuciannya kepada Khairol. Arghh, pelacur jual tubuh untuk duit tetapi dia hanya berikan tubuh kepada lelaki yang dia sayang. Itu dua perkara yang berbeza.
Bagaimana dengan Aminuddin? Kenapa dia masih rasa cemburu dan terus mengharapkan kasih Aminuddin. Apakah perasaan dia yang sebenar terhadap Khairol? Sungguhlah dia mencintai lelaki itu atau hanya sekadar kepuasan nafsu semata. Khairol bukan lelaki yang baik untuk dijadikan suami.
Dia mahukan seorang lelaki yang beriman untuk membimbing dia bukan menghancurkan dia. Athirah kesal dengan ketelanjurannya. Dia belum pasti yang Khairol akan memperkotakan janjinya. Lelaki buaya seperti Khairol itu hanya tahu taburkan madu sahaja. Dia perlu dapatkan Aminuddin. Kerana lelaki itu pasti akan terima segala kekurangan dan keburukan dia. Aminuddin seorang lelaki yang baik dan beriman. Athirah senyum sendiri sambil membayangkan dia berada di dalam pelukan Aminuddin.
Khairol mencampak telefon di atas katil. Sudah berpuluh kali panggilan dibuat namun Athirah langsung tidak menjawab. Khairol bercekak pinggang di hadapan cermin sambil berfikir. Akhirnya dia mencapai kunci di atas meja dan keluar untuk berjumpa Athirah di rumah.
Hati sudah tidak tertahan menanggung rindu pada gadis itu. Sudah dua hari tidak bertemu. Entah kenapa dia begitu mendambakan kehadiran Athirah di sisinya. Dia seolah takut kehilangan Athirah. Apakah ini cinta atau perasaan rasa bersalah yang bersarang dalam dirinya? Khairol buntu .
Pintu rumah Najiha diketuk berulang kali membuatkan Najiha tersentak dari lenanya. Dalam keadaan mamai dia membuka pintu. Fikirnya mungkin Qisya yang pulang namun terbuntang mata Najiha sebaik melihat sosok tubuh Khairol yang berdiri di hadapan pintu sambil tersengih. Pantas Najiha menghempas pintu membuatkan Athirah berlari keluar dari bilik. Najiha kalut mencari tudung dan disarung sebelum pintu dibuka semula.
“Kau nak apa? Tiba-tiba muncul macam saka kat sini.” Bentak Najiha geram.
“Aku nak jumpa tu...” Khairol menjuihkan mulut menunjuk ke arah orang yang berdiri di belakang Najiha.
Najiha menoleh dan mengeluh. Dia beredar dari situ dan masuk ke dalam bilik. Malas dia mahu campur urusan mereka berdua. Athirah bersandar sambil berpeluk tubuh di bingkai pintu. Dia menanti bicara lelaki itu.
“Jom kita keluar nak?” Pelawa Khairol.
“Malas...” jawab Athirah acuh tak acuh.
“Athi, jangan buat abang macam ni. Abang rindukan Athi, pelukan Athi... Please sayang, kita keluar jom.” Rayu Khairol. Tangan Athirah sudah digenggam kemas.
“Malu orang tengoklah abang. Tolong kawal sikit perasaan tu.” Marah Athirah dan menampar lengan kekar milik Khairol.
“Kalau Athi tak nak keluar, abang akan peluk dan cium mulut Athi dekat sini macam hari tu.” Ada nada ugutan dari Khairol. Athirah cuak.
Athirah bersetuju. Dia masuk ke dalam bilik untuk mengambil beg. Khairol sudah tersenyum puas. Nafsu sudah mula mengawal diri.
“Athi, kau nak pergi mana?” Soal Qisya yang baru sampai depan rumah.
“Aku nak keluar kejap, teman abang Khai cari barang... kan abang?” Jawab Athirah sambil bermain isyarat mata dengan Khairol. Lelaki itu mengangguk.
“Yelah. Jangan balik lewat pula nanti.” Qisya senyum pada mereka berdua.
“Okey. Kitaorang pergi dulu ye.” Athirah menarik tangan Khairol. Lelaki itu melambaikan tangan kepada Qisya sambil mengenyitkan mata.
Qisya tunjuk penumbuk ke arah Khairol. Seram dia melihat lelaki itu. Gatal bukan main. Mentang-mentang kacak, dia fikir semua perempuan dia boleh rembat? Ini Qisyalah. Tak makan pujuk rayu atau tergoda dengan wajah seseorang. Biar muka tak berapa nak ada janji hati baik dan beriman. Macam Akmal kawan Aminuddin dan Yasin itu. Qisya tersengih sendiri bila wajah Akmal bermain di mata.
“Qisya dah kenapa tersengih sorang-sorang depan pintu ni? Okey tak ni?” Tegur Najiha pelik.
Qisya terkejut. Mujur dia tidak mengetuk kepala Najiha tadi. “Takda apalah akak.” Qisya berlalu masuk ke dalam rumah dan meletakkan barang yang dibeli tadi di dapur.
“Mama Kak Isha dah sedar tau.” Najiha membuka plastik dan melihat apa yang dibeli oleh Qisya itu.
“Yeke kak? Alhamdulillah. Jom kita melawat nak, lagipun abang Qisya pun balik Malaysia dah semalam bolehlah Qisya jumpa abang sekali.”
“Memang akak tunggu Qisya balik pun. Siap-siap nanti kita gerak.”
Qisya sudah melompat kegirangan. Bolehlah dia bodek abangnya duit belanja lebih. Tapi bagaimana dengan Athirah? Gadis itu belum pulang. Mahukah dia tinggal seorang? Atau mahukah dia ikut mereka bersama.
“Athi tak nak ikut. Akak tanya dah tadi.” Bagai tahu apa yang bermain di minda Qisya, Najiha jawab terlebih dahulu. Qisya hanya mampu senyum.