Bab 23 hanya dia bidadariku
Bab 23
Aminuddin masih belum sedarkan diri walaupun pembedahan sudah berlalu selama 5 jam. Farisha duduk lemah di bangku sebelah katil Aminuddin. Yasin dan Najiha masuk ke dalam untuk melihat keadaan mereka.
“Isha, kau okey ke? Kalau penat baliklah dulu. Muka kau tu pucat sangat,” Najiha memicit lembut bahu Farisha. Kasihan dia melihat keadaan Farisha sekarang.
“Betui tu. Malam ni kita semua balik rehat. Lagipun Din belum sedaq, takda apa kita boleh buat la ni.” Yasin menyokong pendapat Najiha. Dia tidak mahu Farisha pula jatuh sakit.
Farisha mengeluh kecil. Berat hatinya mahu meninggalkan Aminuddin sendirian. Bagaimana jika lelaki itu sedar di waktu tengah malam dan tiada sesiapa di sisi. Pastinya lelaki itu akan kelam kabut. Tetapi tubuh yang lemah meronta minta untuk berbaring dan memejamkan mata. Dua paket darah di ambil untuk menampung kekurangan darah Aminuddin.
“Jom Isha, esok kita datang lagi.” sentuhan Najiha menyentak Farisha. Terkebil-kebil dia memandang wajah Najiha. Bagaikan dipukau Farisha menurut langkah Najiha.
“Aku risaukan Din, aku susah hatilah fikir pasal dia.” Air mata Farisha jatuh lagi. Najiha terkedu, sampai begitu sekali Farisha risaukan Aminuddin. Nampak benar dia sayangkan lelaki itu.
“Kita doa je la babe. Kau dah inform keluarga dia?” soal Najiha sambil menggosok belakang Farisha yang sedang memeluk tubuhnya. Farisha hanya menggeleng sebagai jawapan. Dia tidak tahu bagaimana hendak beritahu tentang kemalangan itu.
Sedia maklum yang Taufiq ada penyakit jantung dan keadaan Fatimah juga tidak berapa baik kebelakangan ini. Jadi dia tidak mahu buatkan hati orang tua Aminuddin risau. Rancangannya tunggu esok sahaja, jika lelaki itu masih belum sedarkan diri, dia sendiri akan pergi ke Kedah untuk membawa keluarga lelaki itu ke sini.
“Din, bangunlah. Aku tak kuat tengok hang tidoq macam ni. Bangunlah!” Farisha menangis teresak-esak sambil menggoncang kuat lengan Aminuddin. Lelaki itu masih kaku tidak sedarkan diri.
Farisha terus meratap di sisi Aminuddin, mengharap lelaki itu akan buka mata. Melihat muka lelaki itu yang calar balar mampu meluluhkan hatinya. Bagai nak pecah jantungnya bila melihat Aminuddin terbaring kaku di tepi jalan petang tadi. Farisha bangun dan menuju ke bilik air untuk mengambil wudhu. Dibentang sejadah untuk menunaikan solat hajat. Hanya kepada Allah tempat dia mengadu sekarang.
“Isha… Farisha,” suara Aminuddin menyapa lemah. Gadis itu masih lena dibuai mimpi. Entah masa bila dia terlelap di sisi Aminuddin, mungkin kerana keletihan menangis.
Aminuddin menolak lembut bahu Farisha sambil memanggil nama gadis itu. Diselang seli dengan batuk yang kuat. Farisha menggosok mata yang terasa kuat melekat bagai digam. Dia terasa ada seseorang menyentuh dan memanggilnya. Terbuntang matanya saat melihat Aminuddin sudah buka mata dan memandangnya dengan senyuman.
“Din, hang okey ka? Hang sakit ka? Nak aku panggil doktor?” soal Farisha kalut. Dia ingin keluar memanggil jururawat yang bertugas, tetapi Aminuddin sempat menarik tangan Farisha membuatkan gadis itu terhenti dari melangkah.
“Takpa. Aku okey ja. Aku nak minum, haus.” Aminuddin menunjuk ke arah cawan sambil tersengih. Farisha ketawa kecil sambil menuang air ke dalam cawan lalu diserahkan kepada lelaki itu.
Farisha duduk sambil merenung wajah Aminuddin yang kelihatan tenang dan bersahaja. Lelaki itu langsung tidak kelihatan seperti orang sedang sakit. Kalau dia, mahu meraung sambil meratap di situ.
“Hang jaga aku kat sini ka?” soal Aminuddin lemah. Ubat bius masih bersisa di dalam tubuhnya membuatkan dia sedikit lemah. Farisha hanya mengangguk. Aminuddin sekadar menggariskan senyum.
“Dah pukul berapa sekarang?”
“6.30 pagi,”
“Hang boleh tolong aku dak?”
“Apa dia?”
“Tolong dapatkan aku bedak atau pasiaq debu, aku nak sembahyang.” Farisha terkedu. Dalam keadaan sakit seperti ini pun Aminuddin tidak lupa tanggungjawabnya kepada Allah.
Dia malu dengan lelaki itu. Dia yang sihat juga kadang selalu tinggalkan solat dengan sengaja. Perlahan Farisha bangun dan menuju ke kaunter jururawat untuk mendapatkan barang keperluan tayamum.
“Hang dah sembahyang ka?” soal Aminuddin sebaik menyambut bekas bedak dan kain dari tangan Farisha.
“Aku nak pergi sembahyang la ni,” Jawab Farisha lembut.
“Hang pi amik wudhu, lepas tu kita solat sama,” Farisha memandang tepat ke arah Aminuddin. Boleh ke dia mengimamkan solat mereka? Bukannya mereka suami isteri.
Aminuddin membuka kain dan menuangkan bedak ke atas kain dan mula melakukan tayamum untuk membolehkan dia bersolat. Farisha sekadar menjadi penonton. Pertama kali dia melihat cara orang bertayamum ketika sakit. Satu ilmu dan pengalaman baru baginya.
Bermula dengan tangan ditekapkan ke ke atas bedak dan diketuk kedua tangan beberapa kali sebelum disapu ke muka, kemudian dia mengulangi langkah pertama dan menyapu perlahan ke tangan sebelah kanan kemudian berganti pada tangan kiri. Selepas itu beralih pada kaki. Tempat yang berbalut sekadar dipastikan bersih tanpa sebarang najis. Aminuddin sudah bersedia untuk menunaikan solat.
“ cepatlah pi amik wudhu nu, aku siap dah ni,” teguran Aminuddin membuatkan lamunan Farisha terhenti. Dalam keadaan ragu-ragu dia menuju ke bilik air dan kemudian dia keluar dengan keadaan sudah siap bertelekung.
Farisha terpana dengan kelembutan suara lelaki itu mengalunkan surah al fatihah dan surah lain dalam bacaan solat mereka. Tanpa sedar air mata mengalir.
“Terima kasih Din,” ucap Farisha lembut.
“Pasai apa pula? Sepatutnya akulah cakap terima kasih, bukan hang.” Aminuddin menyandarkan tubuhnya ke katil. Bisa luka mula terasa apabila bius makin hilang.
“Sakit macam ni pun hang masih nak imamkan solat kita. Terima kasih sebab buat aku sedaq betapa pentingnya solat dalam hidup kita walau apapun yang sedang jadi.” Farisha mula sebak. Sejak mengenali Aminuddin, banyak perkara yang dia mula belajar mengenai islam. Betapa jahil diri terasa.
“Takda apa aih, hang duk buat touching lebih pula. Biasalah dalam kehidupan kita ni benda paling penting itu adalah solat. Kerana apa tuan puan, kerana tanpa solat, goyahlah akidah kita seperti mana goyangnya sebuah rumah tanpa tiang.” Aminuddin meniru gaya seperti Ustadz Don yang sedang menyampaikan sebuah ilmu.
Farisha ketawa kecil melihat reaksi Aminuddin itu. Sakit begini pun masih yak sudah dengan gaya seorang penceramah dia.
“Isha, aku lapaqlah, dari semalam aku rasa tak makan apa.” Aminuddin memegang perut yang sedang berkeroncong hebat. Sakit tidak mampu mematahkan selera lelaki itu.
“Hang nak makan apa? Aku pergi beli,” Farisha menggeleng sambil ketawa sendiri. Aminuddin sudah tersengih.
“Aku nak makan nasi lemak hang masak, tapi hang kan nak pi reja. Hang beli jelah apa pun,” Aminuddin tidak mahu menyusahkan Farisha. Tetapi disebabkan dia tidak boleh berjalan kerana patah kaki, dia terpaksa minta bantuan gadis itu.
Farisha mencapai beg dan meminta Aminuddin tidur dahulu sementara dia keluar mencari makanan buat mereka berdua. Aminuddin mengangguk menurut perintah.
“Assalamualaikum, ya… aku dekat hospital ni. Har? Urmm tak kot. Kau tolong bagitahu Puan Nisa aku amik cuti kecemasan tiga empat hari ye. Okey bye.” Farisha tiada hati untuk bekerja. Dia mahu menjaga Aminuddin sampai lelaki itu boleh keluar dari hospital.
Jam 8.30 pagi Farisha kembali ke hospital. Sangka Aminuddin Farisha mungkin terlupa belikan dirinya sarapan. Mungkin gadis itu terlewat masuk kerja dan tidak sempat hantar makanan. Tetapi sebaik melihat kelibat gadis itu dia menjadi teruja dan gembira. Farisha membuka bekas makanan dan dihidangkan dial atas meja kecil sebelah katil Aminuddin.
Sambal sotong dan bau nasi lemak kegemarannya mengengat rongga hidung. Semerbak harum satu bilik wad. Patutlah lambat, masak dahulu rupanya.
Aminuddin terharu dengan perhatian Farisha. Gadis itu tidak pergi kerja kerana dirinya atau memang dia tidak mahu bekerja? Tanpa berlengah, Aminuddin menyuapkan nasi lemak ke dalam mulutnya. Perut yang kosong membuatkan dia melahap dengan rakus. Farisha suka melihat Aminuddin berselera seperti itu.
“Nampaknya lamalah hang cuti kan?” Farisha bertanya sambil mengemas bekas makanan dan dimasukkan semula ke dalam plastik beg.
“Nak buat macam mana, kaki aku patah,” Aminuddin resah memikirkan tentang perkara itu. Jika dia tidak bekerja bagaimana dia hendak menyara keluarganya nanti.
“Kenapa muka hang macam susah hati ja? Hang mesti tengah pikiaq macam mana nak cari duit masa cuti ni kan,” Farisha dapat membaca fikiran lelaki itu. Perlahan Aminuddin mengangguk.
“Bil hospital mahal ni pun aku mana mampu, pasai apa tak bawa pi hospital kerajaan ja.” Luah Aminuddin lagi. Hospital Pantai bukanlah calang-calang Hospital. Dia sedia maklum itu Hospital swasta. Kos perbelanjaan di sini bukan murah.
“Takpa, hang jangan risau. Nanti aku uruskan semuanya. Aku akan cuba mana yang mampu aku tulong hang,”
“Guna duit hang? Tak maulah aku susahkan hang. Bukan sikit Isha.”
“Claim duit syarikatlah. Aku pun mana ada duit banyak nak tulong hang.” Bohong Farisha. Dia tidak mahu lelaki itu susah. Aminuddin memandang pelik, diam seketika cuba mencari kebenaran kata-kata gadis itu.
“Ha takpalah kalau lagutu. Aku tak mau susahkan hang ja.” Aminuddin meletakkan sedikit kepercayaan dalam hatinya. Mungkin Farisha lebih arif dalam bidang ini kerana itu memang kerjanya.
Jika benar dia boleh dapat bayaran gaji seperti biasa legalah sedikit hatinya. Hanya dialah harapan keluarga untuk membantu meringankan beban bapanya. Jika dia tidak boleh bekerja dan tiada wang bagaimana nasib keluarganya nanti.
Seorang doktor lelaki masuk untuk memeriksa keadaan Aminuddin. Dia perlu di tahan dua tiga hari lagi untuk membuat pemeriksaan lebih lanjut selepas itu dia boleh pulang ke rumah. Aminuddin akur dengan arahan doktor itu.
“Isha.”
Farisha kaku di saat dia keluar dari tandas. Lelaki yang berdiri di hadapannya sekarang juga tergamam.
“Farisha Amirah Tan Sri Aziz, am i right?” soal doktor itu lagi meminta kepastian.
Farisha mengangguk perlahan. Kelihatan air mata menitis perlahan membasahi pipi mulusnya. Apakah benar apa yang dilihatnya sekarang.