Home Novel Cinta Hanya dia bidadariku
Bab 27

Bab 27

Lama tak update bab baru.. Hehe


Bab 27


    Taufiq dan Fatimah sedang sibuk membersihkan laman rumah. Pagi minggu begini digunakan sepenuhnya melakukan aktiviti keluarga. Nadirah muncul dari arah pintu belakang rumah dengan mendulang secawan air sirap dan sedikit kuih karipap buatannya. Dia menuju ke pangkin dan memanggil Taufiq dan Fatimah untuk berehat sebentar. 

    “Adik-adik hang mana Nad? Tidoq lagi ka?” Soal Taufiq sambil mengelap peluh yang memenuhi ruang wajah dengan tuala kecil yang disangkut di bahunya. 

  “Tidoq apanya abah, awai lagi hilang dah pi mandi sungai,” Nadirah menyuakan gelas sirap kepada Taufiq. 

   Lelaki itu sambut dengan gelengan berserta keluhan. “Tengoklah anak jantan hangpa tu…, ketegaq bukan main.” 

   “Ikut abanglah ketegaq tu.” Fatimah menggigit karipap sedikit. Nadirah hanya ketawa melihat adegan sebabak itu. Lagi lucu apabila dia melihat ayahnya menarik muncung pura-pura merajuk. 

    Pandangan mereka berkalih serentak apabila sebuah kereta BMW 5series berwarna putih masuk ke halaman rumah mereka. 

   “Sapa dia tu abah?” Soal Nadirah yang sudah berdiri di sebelah Taufiq. 

   “Tak taulah. Orang nak mai masuk pinang hang kot,” jawab Taufiq bersahaja. Matanya masih fokus memandang ke arah kereta yang berhenti tetapi orang di dalamnya masih belum keluar. 

   “Ishh, apa abah ni!” Nadirah mencubit perlahan lengan ayahnya melepaskan rasa tidak berpuas hati. Taufiq hanya ketawa kecil sambil menggosok lengannya. 

    Zarel Ikmal keluar dari kereta sambil menggeilat kecil membetulkan urat yang terasa berselirat di dalam. Nadirah sudah terlopong melihat lelaki kacak yang keluar dari kereta itu. Fatimah dan Taufiq berpandangan sesama sendiri sebelum mereka bertiga berjalan menghampiri anak muda yang bersandar di sisi kereta itu. 

    “Assalamualaikum mak, nad,” Farisha menyapa sebaik keluar dari kereta. 

  Nadirah sudah meloncat kegembiraan. Dengan pantas dua berlari dan memeluk Farisha. Selepas itu Farisha mendapatkan Fatimah. Pantas wanita itu menarik Farisha untuk dipeluk melepaskan kerinduan di hati. 

   “Awat nak mai tak habaq, Din mana?” soal Fatimah usai pelukan dilonggarkan. 

   “Mai hantaq Din la ni mak. Dia ada kat dalam kereta tu.” Jawab Farisha sambil membuka pintu kereta. 

  “La, pasai apa tak turun? Jadi tuan besaq pulak dia noh.” Fatimah sedikit mengundur memberikan ruang supaya pintu boleh terbuka luas. 

    Nadirah dan Taufiq hanya menjadi pemerhati perbualan dua orang itu. Zarel Ikmal berdehem beberapa kali apabila merasakan kehadiran dirinya seperti tidak wujud. Farisha memperkenalkan Zarel Ikmal kepada mereka semua. Lelaki itu tunduk bersalaman dengan Taufiq. 

    “Abang, tolong Din kejap,” pinta Farisha. Lelaki itu pantas berjalan dan menurut arahan sang kekasih hati. 

  “La, ni kenapa kaki berbalut bagai ni Din?” soal Fatimah cemas sebaik Aminuddin keluar dari kereta. 

   “Mah, kot ya pun bawa masuk dalam rumah dulu, kan panaih kat luaq ni.” Taufiq juga terkejut. Tetapi dia masih mampu mengawal emosinya. Mungkin kerana dia seorang lelaki. 

  Zarel Ikmal menolak kerusi roda untuk membawa Aminuddin ke dalam rumah. Sebaik semua sudah duduk selesa, Farisha memulakan cerita menjawab semua pertanyaan Fatimah. Aminuddin banyak mendiamkan diri, mungkin kerana penat menanggung sakit akibat jalan jauh. Dia juga baru makan ubat, jadi sudah pasti keadaannya sedikit mengantuk. 

   Zarel Ikmal duduk termenung di pangkin bawah pohon kekabu itu. Matanya tepat memandang ke arah sawah padi yang terbentang luas. Kedamaian kampung itu amat menarik minatnya untuk terus berada di situ. Lamunannya tersentak apabila terasa bahu dicuit lembut. Mulut mengukir senyum sebaik menoleh. 

   “Mak suruh kita balik lepas makan,” Farisha mengambil tempat di sebelah Zarel Ikmal tetapi dijarakkan sedikit kedudukan mereka supaya tidak bersentuhan. 

   “Rapat Isha dengan keluarga Din ye? Dah macam keluarga sendiri,” Zarel Ikmal sengaja memancing emosi Farisha. Sungguh dia merasa cemburu melihat kemesraan gadis itu dengan keluarga pesaingnya. 

   “Dia orang memang keluarga Isha pun. Dia orang tu baik sangat. Ingat lagi masa mula-mula datang sini, dia orang sampai tak bagi Isha baliklah. Cuti seminggu dekat sini tak puas, rasa nak sambung cuti lagi.” Farisha bercerita teruja. 

   “Isha pernah tidur sini? Dengan Din?” soal Zarel Ikmal cuak. Hati di dada sudah mula berombak panas. 

   “Ha'ah, masa tu Isha teman Din balik kampung sebab pak cik Taufiq sakit.” Farisha masih tidak perasan perubahan riak wajah Zarel Ikmal. 

   “Tidur sekali dengan Din?” Zarel Ikmal pandang tepat ke arah Farisha. 

    “Apa abang ni. Ingat Isha ni perempuan jenis apa?” Farisha sudah menarik muka, sebal dengan pertanyaan Zarel Ikmal yang tidak relevan itu. 

  “Gurau ja, ingatkan Isha tidur sekali,” Zarel Ikmal tersengih sambil menggaru kepala yang tidak gatal. 

   “Kami mungkin akan tidur sekali lepas kahwin nanti.” luah Farisha tiba-tiba. Senyum Zarel Ikmal mati terus. Mata yang tadi ralit memerhati sawah sudah dilarikan tepat ke wajah Farisha. 

    “Kahwin?” Zarel Ikmal meminta kepastian. Farisha mengangguk laju sebagai jawapan. 

   “Bila?” lemah sahaja suara Zarel Ikmal. 

   “Bila Allah kata kami kahwin, kahwinlah kami nanti.” Farisha bangun meninggalkan Zarel Ikmal dengan beribu persoalan. 

    Zarel Ikmal mengeluh hampa. Terasa bagai hatinya dicucuk dengan seribu jarum sekali gus. Pedih dan perit merentap jiwa lelakinya. Kepala mula terasa sakit. Dia memicit perlahan-lahan supaya penyakitnya tidak menyerang. Dia menarik nafas dalam-dalam supaya dapat mengawal emosi dan tekanan perasaan. Nafas mendesah laju seperti orang baru habis berlari marathon 500 meter.Jantung berdegup laju bagaikan mahu pecah. 

   “Abang okey ka ni?” Nadirah menghampiri Zarel apabila melihat lelaki itu berpeluh-peluh dan muka bertukar kemerahan seperti orang sedang marah. 

   “I'm fine, just leave me alone!” Zarel membalas pertanyaan Nadirah dengan nada yang agak keras. Tanpa berlengah Nadirah terus berlari masuk ke dalam rumah. Takut dia mendengar suara Zarel Ikmal itu. 

  “Harap muka ja segak. Cakap ngan pompuan pun kasaq bukan main. Ishh!” Nadirah masuk ke dalam rumah sambil mengomel sendirian. Sakit hatinya bila memikirkan cara Zarel Ikmal menjawab pertanyaannya tadi. 

    “Ni kenapa ni? Cakap sensorang,” Farisha memaut bahu Nadirah membuatkan gadis itu sedikit tersentak. Di urut dada berulang kali kerana terkejut. 

    “Tu, mamat segak kat luaq tulah,”

    “Har kenapa dengan dia?” 

    “Dia marah Nad. Nad tanya ja dia okey ke dak sebab Nad tengok muka dia merah semacam ja, lepas tu dia tengking Nad dengan bahasa orang putih dia.” bersungguh Nadirah bercerita kepada Farisha. Gadis itu sedikit tertawa. 

   “Iye? Dia cakap apa kat Nad?” soal Farisha ingin tahu. Seakan tidak percaya yang Zarel Ikmal memarahi seorang perempuan. 

   “I'm fine, just leave me alone! Menyampah, huh.” Herot mulut Nadirah cuba meniru cara percakapan Zarel Ikmal. 

   Nadirah berjalan menuju ke dapur untuk membantu ibunya memasak. Farisha berjalan merapati tingkap dan memerhati Zarel Ikmal dari jauh. Kenapa lelaki itu harus memarahi Nadirah? Sikap Zarel Ikmal yang dia tidak pernah lihat. Diakenal siapa lelaki itu. Zarel Ikmal tidak akan memarahi perempuan. Kerana Zarel Ikmal seorang yang amat melindungi kaum wanita. Tidak pernah sekali pun dia melihat Zarel memarahi perempuan walau macam mana dia tidak suka sekali pun kepada perempuan itu. 

   “Amboi, ralit tenung buah hati nampak.” Aminuddin berdiri di belakang Farisha. Gadis itu sedikit terloncat kerana terkejut sehinggakan tertolak tubuh Aminuddin menyebakan lelaki itu jatuh terduduk kerana hilang pertimbangan. 

   Aminuddin mengerang kesakitan sambil menggosok punggungnya. Taufiq pantas berlari naik ke atas rumah bila mendengar Aminuddin terjerit sakit. 

   “Err, Din. Aku minta maaf, aku tak perasan hang duk kat belakang aku.” Farisha jadi kelam kabut. Dia duduk bertinggung di hadapan lelaki itu dengan riak wajah yang sayu. 

    Aminuddin hampir tergelak melihat keadaan Farisha ketika itu. Hilang rasa sakitnya tadi. Farisha memegang erat lengan Aminuddin untuk membantu lelaki itu bangun. Taufiq datang dari arah belakang mereka dan membantu memapah anaknya. 

   “Pasai apa ni Din?” soal Taufiq cemas. 

   “Takda apa abah, Din jatuh tadi.” Aminuddin duduk bersandar di kerusi kayu yang terletak di ruang tamu rumah mereka. 

   “Macam mana boleh jatuh? Hang ni, jalan tu elok sikitlah.” Taufiq menggeleng. Farisha hanya tersengih melihat Aminuddin yang dimarahi seperti anak kecil. 

   Aminuddin hanya menjeling tajam ke arah Farisha yang sedang mengawal keayuan ketika ketawa. Perempuan sangat. Dengan tangan di mulut mata yang mengecil kerana menahan gelak. 

    “Apa dia yang riuh ni? Sampai ke dapuq boleh dengaq,” Fatimah yang naik dari dapur datang mendapatkan mereka yang sedang rancak berbual kosong. Taufiq paling besar ketawanya bila mendengar semua cerita Farisha. 

    “Takda apalah mak. Cerita kisah lama je,” Farisha memberikan ruang untuk Fatimah duduk di sebelahnya. 

   “Tak tunggu mak pun, sampai hati.” Fatimah menarik muncung pura-pura merajuk. Farisha cepat menangkap lengan Fatimah dan melentokkan kepala di bahu sambil memujuk. 

    “Allah Mah oi, buruk la orang tua merajuk. Hang toksah duk layan sangat mak hang tu Isha.” Taufiq menambah uskiannya. Semua yang ada di situ ketawa serentak. 

   “Cemburulah tu, kan Isha?” Fatimah mencebik sambil menjelir lidah membuatkan mereka makin berdekah ketawa. Fatimah jarang menunjukkan aksi kanak-kanak seperti itu, tapi bila ada Farisha bukan main lagi ibunya tampak bahagia. Farisha hanya mengangguk mengiakan kenyataan Fatimah itu. 

   “Mana kawan Isha tadi tu, ajak naik makan. Mak dah siap masak dah tu.” Fatimah meliarkan mata sedari tadi mencari kelibat Zarel Ikmal tetapi tidak kelihatan. Seronok berbual lupa pada tujuan asalnya. 

    “Ada dekat bawah tu. Nanti Isha panggil dia na.” Belum sempat Farisha bangun, Zarel Ikmal sudah berdehem beberapa kali dan berdiri di sebelah Farisha. 

   Dia cuba menguntum senyum walau hati tersiksa dan sakit bila melihat kemesraan yang terjalin antara Farisha dan keluarga Aminuddin. Mereka semua bangun dan menuju ke dapur untuk bersantapan sebelum Farisha pulang ke Lumut.

Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Farz Ozie