Aminuddin masih mencari parkir. Memandangkan waktu makan tengah hari jadi agak untuk dia mendapatkan tempat yang dekat dengan pintu utama Hospital Pantai itu. Setelah tiga kali pusing nasibnya baik bila ada sebuah kereta keluar betul-betul di sebelah pintu utama. Aminuddin sudah tidak sabar untuk berjumpa dengan orang yang sangat dia rindui.
Aminuddin menekan butang lif untuk naik ke tingkat atas. Zafriel sudah beritahu lebih awal bilik wad Puan Sri Aishah jadi dia tidak perlu lagi bertanya kepada petugas di situ. Pintu bilik 207 itu sudah terlihat namun kakinya berhenti melangkah. Entah kenapa dia rasa berdebar. Nafas juga seakan tidak teratur. Dia menarik nafas dalam sebelum menolak pintu bilik tersebut.
Hatinya hancur luluh tatkala melihat kemesraan Farisha dan Zarel. Gadis itu tersenyum manis dan terlihat bahagia di samping Zarel Ikmal. Mungkin benar kata Athirah yang dia tidak penting dn tidak diperlukan dalam hidup Farisha kerana kepulangan Zarel Ikmal sudah cukup membahagiakan Farisha. Mungkin sebab itu juga Farisha tidak langsung hubungi dirinya khabar tentang perkara ini.
“Awat jadi laguni Isha? Aku dah mula sayangkan hang.” Keluh Aminuddin lemah. Perlahan pintu ditutup semula. Namun sebaik berpusing tubuhnya terlanggar seseorang.
“Kenapa tak masuk?” Soal Zafriel pelik.
“Abang buat apa sini? Kata ada meeting tadi.” Soalan berbalas soalan.
“Meeting cancel tu yang abang datang sini. Din nak pergi mana?”
“Din nak pi tandas sat. Abang masuklah dulu.” Aminuddin menyerahkan beg makanan kepada Zafriel dan berlalu pergi. Zafriel menggeleng lemah.
Sebaik membuka pintu dia melihat Zarel Ikmal sedang berbual rancak dengan Farisha. Sekarang dia sudah tahu kenapa Aminuddin tidak jadi masuk ke dalam. Bukan kerana mahu ke tandas tetapi kecewa. Zafriel mengeluh tanpa sedar. Simpati pada Aminuddin. Lelaki itu terlalu cepat mengalah. Tidakkah dia tahu yang adiknya terlalu cintakan dirinya.
“Eh, bila abang sampai? Kenapa termenung dekat pintu tu?” Sapa Farisha yang tidak jadi masuk ke tandas bila terlihat kelibat abangnya.
“Baru je. Nah makanan untuk Isha.” Zafriel menyerahkan bungkusan itu pada Farisha.
“Susah abang je bawa makanan. Sini kan ada.” Farisha menyambut pemberian Zafriel. Dia tutup pintu bilik air dan menuju ke katil Puan Sri Aishah.
“Bukan abang bawa tapi Din.” Jawab Zafriel dengan nama Din itu sengaja dikeraskan.
Farisha berhenti dari melangkah. Pantas dia berkalih semula memandang abangnya. Wajah Zafriel ditenung dalam mencari kepastian. Mungkin dia tersalah dengar. Mungkin juga kerana terlalu rindukan lelaki itu.
Sewaktu Zarel datang tadi juga dia sangkakan Aminuddin tetapi sebaik kalih ternyata bukan. Apa khabar agaknya lelaki itu sekarang. Dia masih belum sempat untuk bertanyakan khabar.
“Isha tak salah dengarkan....abang sebut nama Din tadi.” Soal Farisha minta kepastian.
“Tak. Din memang datang sini tadi, tapi rasanya dah balik kot sebab tengok Isha berbual dengan Zarel tadi.” Jelas Zafriel.
“Mana dia bang? Dah lama ke dia balik?” Soal Farisha lagi.
“Baru je. Mungkin baru sampai bawah atau dekat kereta. Isha pergilah...”
Belum sempat Zafriel menghabiskan kata-katanya Farisha sudah berlari keluar untuk mencari Aminuddin. Farisha sampai di bawah dan keluar ke pintu utama Hospital. Mata ligat mencari kelibat insan yang dirinduinya itu namun tidak kelihatan. Farisha mengeluh hampa.
“Hang cari sapa? Aku ka?” Tegur satu suara garau dari belakang Farisha. Pantas gadis itu menoleh.
Farisha tersenyum lebar. Air matanya menitis tanpa dipinta. Kalaulah Aminuddin itu suaminya sudah lama lelaki itu dipeluk erat. Aminuddin tersentak ketika melihat air mata Farisha jatuh.
“Awat teriak pula? Rindu aku sampai teriak ka? Drama sangat aih.” Aminuddin ketawa kecil. Dalam hati sudah terharu bila melihat tangisan itu. Ternyata mereka memendam rasa yang sama.
“Bila hang sampai? Macam mana hang tau? Kaki hang dah okey ka? Hang mai naik apa? Hang sihat ka?” Bertubi soalan dilemparkan sambil mengesat air matanya.
“Tu dia aih soalan. Mampuih nak jawab,” Aminuddin ketawa mengekek. Farisha menampar bahu Aminuddin geram.
Rasa rindu yang sarat kian bersurut bila melihat wajah insan yang tersayang. Sungguh mereka terbuai oleh perasaan sehingga tidak perasan ada sepasang matayang sedang memerhati tingkah mereka dengan penuh rasa amarah. Zarel menumbuk dinding tempat dia bersandar sebelum berlalu pergi masuk ke biliknya. Sakit hati melihat kemesraan yang terjalin di antara Aminuddin dan juga Farisha.
Malam ini Farisha di suruh pulang dan Mak Kiah menggantikan tempatnya untuk menjaga Puan Sri Aishah. Farisha menunggu kedatangan Aminuddin dan juga Mak Kiah sambil bermain telefon. Hatinya berbunga mekar bila terbayangkan senyuman manis Aminuddin. Lelaki itu benar-benar membuatkan dirinya gila bayang.
Zarel Ikmal duduk di sebelah Farisha. Gadis itu masih leka bermain telefon. Sebenarnya mata sahaja pandang telefon tetapi fikiran jauh ke tempat lain. Zarel Ikmal menyentuh lembut peha Farisha membuatkan gadis itu tersentak.
“Apa abang ni. Boleh tak jangan sentuh Isha. Tak elok orang tengok. Haram tahu tak.” Farisha tarik muka. Dia kurang gemar sikap terbaru Zarel Ikmal sekarang. Lelaki itu sudah jauh berubah. Masa terlalu banyak merubah manusia.
“I'm sorry. I won't do that again. Can i get my answer now?” Soal Zarel lemah.
Dia cuba kawal perasaan sekarang ini. Ikutkan hati mahu sahaja dia memekik kenapa Din boleh pegang? Kenapa dia tidak? Namun itu semua hanya mampu dijeritkan dalam hati. Dia harus pandai mengawal emosi dan keadaan. Tidak mahu Farisha hilang lagi buat kali ketiga.
“Pardon me. Jawapan apa ye ?” Farisha pura-pura lupa tentang perkara itu
“Jangan buat-buat lupa Isha. You promise me to give the answer today kan.” Zarel cuba mengingatkan Farisha walau dia tahu gadis itu sengaja buat lupa.
Dia tidak akan berputus asa untuk memujuk dan berusaha mendapatkan Farisha. Sia-sia dia buang Syifa dari hidupnya jika Farisha tidak mampu dimiliki. Zarel menarik jemari halus Farisha membuatkan gadis itu tidak selesa. Puas dia cuba menarik namun genggaman Zarel lebih kuat. Satu suara berdehem dari arah belakang mereka dan terus Zarel melepaskan tangan Farisha.
“Semua okey ka?” Tanya Aminuddin meminta kepastian. Wajah mencuka Farisha sudah cukup menjelaskan tanpa perlu dijawab.
“Jom balik Din.”
“Esok pagi-pagi Isha datang ye Mak Kiah.” Farisha bersalaman dengan Mak Kiah dan mencapai beg tangannya sebelum keluar tanpa menunggu Aminuddin.
Aminuddin menoleh sekilas ke arah Zarel dengan pandangan sinis sebelum beralih kepada Mak Kiah. Wanita itu mengangguk dan tersenyum. Aminuddin berlari keluar mendapatkan Farisha yang sudah berada di hadapan pintu lif. Sepanjang perjalanan dari Hospital tadi Farisha hanya mendiamkan diri.
Wajahnya kelihatan kusut dan suram. Sepatah ditanya sepatah yang dijawab. Tidak kena soalan langsung tidak diendahkan. Aminuddin membelok ke kiri dan menuju ke arah Shah Alam. Farisha masih membisu. Dibiarkan sahaja lelaki itu memandu ke mana pun. Sejam kemudian mereka sampai di Taman Tasik Shah Alam. Aminuddin memarkir kereta dan mematikan enjin.
Dia keluar dari dalam kereta dan menuju ke arah bangku yang berdekatan dengan tasik itu. Nafas ditarik sedalamnya cuba menghirup udara nyaman di situ. Matahari yang hampir terbenam sungguh indah di pandangan mata.
Farisha duduk di sebelah Aminuddin. Wajah lelaki itu ditenung lama. Segaris senyuman lelaki itu sudah cukup mampu menenangkan fikirannya yang berserabut.
“Hang kalau ada masalah ceritalah dekat aku. Tok sahlah duk simpan sensorang satgi meroyan pula.” Aminuddin berkalih menghadap Farisha. Gadis itu berdecit.
“Aku tak tau macam mana nak cerita dekat hang.” Farisha mengeluh entah kali ke berapa.
“Pasal abang Zarel?” Duga Aminuddin.
“Dia ajak aku kahwin...”
“Habis tu hang setuju?”
“Aku minta waktu untuk fikir.”
“Hang sayangkan dia lagi?”
“Aku sayangkan dia, tapi...”
“Kalau sayang terima jelah. Jom kita balik. Satgi lewat sampai rumah.” Aminuddin kecewa mendengar jawapan gadis itu. Dia bangun dan terus berlalu meninggalkan Farisha.
“Tapi, aku sayangkan hang lebih lagi Din. Aku nak hang jadi suami aku.” luah Farisha sendiri. Kata-kata yang hanya mampu terucap di hatinya namun tidak mampu dibisikkan kepada Aminuddin.
Usai solat Isyak Aminuddin turun mendapatkan keluarga Farisha yang sedang duduk berbual sesama mereka. Aminuddin duduk di sebelah Zafriel. Haziq pula memanjat naik duduk di atas Aminuddin sambil menunjukkan video didi and friend di telefon miliknya.
“Esok saya balik kampung bang.” Ucap Aminuddin perlahan. Semua mata tertumpu padanya.
“Kenapa cepat sangat? Duduklah dua tiga hari lagi Din.” Pujuk Zafriel.
“Har betul ru Din. Penat naik bas pun tak hilang lagi.” Sokong Maya.
“Din ada kerja sikit kat kampung kak. Lepaih tu nak pi ngurut kaki ni lagi.” Aminuddin mereka alasan. Dia mengerling sekilas ke arah Farisha yang sedang sibuk bermain telefon.
“Tak pelah kak. Orang nak balik takkan kita nak paksa tinggal sini pula kan.” Sampuk Farisha sebelum dia mengangkat punggung dan naik ke atas.
Aminuddin diam. Zafriel dan Maya berbalas pandangan sebelum Zafriel menggeleng kepala memberi isyarat pertanyaan kepada isterinya. Maya jungkit bahu tanda tidak tahu. Maya bangun dan naik ke atas mendapatkan adik iparnya. Aminuddin hanya senyum sebelum melayan pertanyaan Haziq dan Sasha.
“Isha...” Maya menyentuh bahu Farisha yang sedang termenung di balkoni ruang atas. Farisha cepat-cepat mengesat air matanya supaya tidak kelihatan.
Maya tarik tubuh Farisha menghadap dirinya. Muka Farisha yang menunduk diangkat sedikit supaya dia boleh melihat jelas wajah gadis itu. Farisha terus menangis teresak dalam pelukan Maya.
“Kenapa ni sayang? Kenapa menangis macam ni?” Soal Maya kalut. Farisha semakin kuat menangis.