Home Novel Thriller/Aksi Jangan Percaya!
Jangan Percaya!
Syaida Ilmuna
1/3/2015 12:13:19
67,869
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 22

BAB 22

KLAP. Klap klap klap!

Kay membuka mata. Lenanya yang berbantalkan hujung tilam Rizqi di wad terganggu. Bahagian putih biji matanya ditumbuhi urat merah. Itu tandanya tidur Kay sekadar lena-lena ayam saja.

Kay cuba memejamkan matanya sekali lagi.

Klap! Klap! Klap! Sayap nipis sang kupu-kupu mengibas ke jendela wad. Kay bingkas bangun dari katil. Kupu-kupu yang terperangkap di balik jendela itu diteliti.

“Kau buat apa dekat sini?” bicara Kay perlahan pada kupu-kupu tersebut. Tangannya cuba dikeluarkan dari jendela sekali gus mengapai kupu-kupu itu supaya bertenggek di atas jari telunjuknya.

“Macam tahu-tahu je aku cari kau…” sebut Kay tersenyum. Saat mulutnya separuh terbuka, hajat Kay terhenti. Suara Rizqi telah mematikan keinginannya untuk menjamah kupu-kupu tersebut.

“Belle… Belle… Belleee….” Rizqi meracau-racau. Kepalanya terteleng ke kiri dan kanan. Dahinya berpeluh-peluh.

Kay merenyukkan kupu-kupu tersebut ke dalam genggamannya. Sisa sayap kupu-kupu tersebut di buang ke luar jendela. Dia menapak mendekati Rizqi.

“Sayang, awak okay tak ni?” Kay mengelus dahi Rizqi yang basah. Tuala kecil yang tergantung di atas besi katil dicapai. Ia kemudiannya dipedap ke dahi Rizqi.

“Belle… jangan tinggalkan saya. Awak kena tolong saya… Belleee!” racau Rizqi lagi.

Tuala kecil yang berada di tangan Kay terlepas. Dia berundur ke belakang setapak demi setapak. Hati Kay sakit mendengar bicara Rizqi. Kenapa Belle? Kenapa bukan dia?

“Rizqi… ni saya, Kay!” ujar Kay cuba menyedarkan Rizqi.

“Belle…” sebut Rizqi lemah.

Kesabaran Kay sampai ke puncaknya. Tanpa mengendahkan lagi keadaan Rizqi yang semakin meracau-racau, Kay menuju ke kamar mandi di dalam wad tersebut. Pintunya ditutup rapat.

“Apa salah saya? Kenapa asyik dia???” tanya Kay ke dalam cerminan dirinya. Air mata Kay turun laju menimpa pipi. Dia mengesak tangis. Jantungnya terasa seperti ditikam-tikam. Perilaku Rizqi sangat menguji jiwa kewanitaannya.

Mata Kay diangkat menatap cermin tepat ke biasan matanya sendiri. Degup jantungnya bertambah kuat. Tangan kanan Kay mengepal tumbukan. Padu dan erat genggamannya.

Prang! Hanya sekali hayunan cermin di tandas itu runtuh berderai ditumbuknya. Kaca-kaca jatuh ke lantai dan sebahagian darinya masuk ke dalam singki.

Tangan Kay dipenuhi berdarah. Namun Kay seperti biasa tidak memberi sebarang reaksi. Sakit ataupun tidak, dia seperti tidak mempunyai apa-apa perasaan langsung! Cuma matanya saja masih tidak henti-henti mengeluarkan air. Ia menandakan betapa sedihnya hati Kay pada ketika ini. Betapa remuknya jiwa bagaikan anak kecil yang diambil mainannya.

“Kay!” Rizqi merempuh kamar mandi di dalam wadnya. Racau Rizqi terhenti apabila dia mendengar bunyi kaca berderai dari dalam kamar ini.

“Ya ALLAH! Kay, sayang… buat apa ni?” tanya Rizqi cemas. Saat dia cuba mendekati Kay, langkahnya terhalang apabila Kay mengangkat salah satu dari serpihan kaca yang besar itu dan diacukan ke arah perutnya.

“Kalau awak dekat, saya tikam.” Kay memberi kata dua.

No… no sayang! Relax… bagi saya kaca tu. Kenapa awak nak buat semua ni sayang? What’s wrong? Tell me, Kay…” pujuk Rizqi. Sakit di belakang kepalanya pun tak hilang lagi. Tiba-tiba datang lagi satu kesakitan. Kenapa Kay bertindak nekad sebegini?

“Awak tak sayangkan saya! Pergi! Pergilah pada Belle awak tu… dia boleh bahagiakan awak, kan?” jerit Kay.

“Kay… saya sayangkan awak! Hanya awak sorang, Kay. Nobody else! Please stop all this! Awak ingat TUHAN. Ingat anak kita dalam perut awak tu. Jangan buat benda gila. Saya sayang awak!” Rizqi tidak tahu apa salahnya kali ini. Kalau dikatakan hal semalam membawa kepada amarah hari ini… boleh jadi juga! Kay mungkin tertekan dengan tindakan Bella yang entah apa-apa. Sengaja mengiyakan dirinya sebagai isteri kepada Rizqi sedangkan mereka sudah lama bercerai.

“TUHAN?” Kay mengelap air matanya dengan menggunakan tangan kiri. Manakala tangannya masih erat memegang serpihan kaca. “Anak kita?” Kay melihat pula ke arah perutnya. Air matanya sekali lagi berderai.

“Ya… ALLAH sayangkan kita, anak kita. Itu lebih bermakna, Kay. Kasih sayang saya akan sentiasa bersama awak selagi ALLAH beri saya nyawa atau awak nyawa untuk terus hidup. Beri saya kaca tu, sayang… Saya janji! Bella Amira takkan ganggu lagi hidup kita.” Rizqi mengangkat sumpah.

Kay perlahan-lahan menjauhkan kaca itu dari perutnya. Seterusnya kaca itu dilontar ke singki. Dia berlari mendakap Rizqi erat. Rizqi pula mengusap-ngusap belakang isterinya dengan lembut dan penuh kasih sayang.

Dalam dakapan tersebut, Kay berharap kali ini Rizqi bercakap benar. Jikalau tidak… tahulah apa yang bakal dia akan lakukan kepada keluarga ini nanti.

***

GEMA mainan piano Moonlight Sonata menyelubungi ruang tamu rumah Zahlia. Pabila Zahlia ke tingkat bawah untuk melihat siapakah gerangan yang meletakkan jejarinya di kekunci piano lama itu, Zahlia terkejut besar. Setelah hampir dua tahun piano itu tidak bersentuh, hari ini ia menggemakan lagu sedih. Pemilik jejari yang asyik dengan lagu Beethoven itu adalah Bella Amira, anak tunggalnya.

Zahlia mendekati Bella setapak demi setapak dari belakang. Gerak kepala Bella dan jejarinya yang ligat naik turun itu diperhatikan lama. Anaknya itu dalam kesedihan. Gelora di hatinya tidak mampu dirawat dengan nasihat dan kata-kata. Dia perlukan belaian cinta dan masa. Masa untuk menyembuhkan segala luka yang telah merosakkan dasar hatinya yang lembut itu.

Bella sampai ke kemuncak lagu. Air matanya menitis lebat. Macam-macam hal sedang bermain di kepalanya. Bermula dari apa yang terjadi malam semalam sehinggalah ke pagi ini. Dia mendapat panggilan telefon dari Diana yang mengatakan Kay mengalami depresi dan cuba membunuh dirinya sendiri. Bella rasa bersalah dan menyesal! Adakah dia bersangka buruk terhadap Kay selama ini? Dan mungkinkah segala imbasan dan firasat yang dialaminya itu sekadar mainan mindanya semata? Ya ALLAH, dia buntu.

“Belle…” tegur Zahlia sebaik sahaja Bella memainkan not yang terakhir. “Dah lama piano papa tu tak bersentuh. Mama tak sangka Belle terbuka hati nak main piano hari ini.”

Bella berkalih. Zahlia diajak duduk di bahagian kerusi piano yang masih kosong. “Mama tak pernah sentuh piano ni langsung ke semenjak Bella tak datang ke rumah?”

Zahlia menggeleng. “Mama dah lupa not-not lagu yang papa selalu ajar kita tu. Lagipun… mama rasa sedih bila teringat piano ni dan papa. Lebih baik mama tak main piano ni kalau asyik nak berendam air mata aje.”

“Hmm… mama masih sayangkan papa walaupun dah lama dia meninggal?” tanya Bella lugu. Dia seakan-akan tidak percaya lagi akan cinta sejati. Cinta yang hanya dimiliki sekali dan selama-lamanya untuk seorang itu sahaja.

“Masih… dan cinta mama tetap teguh walaupun seratus tahun lagi mama akan hidup di dunia ni, Belle,” jawab Zahlia tenang. Dia mendakap anaknya ke sisi. “Belle pagi-pagi main lagu sedih ni kenapa?”

“Entahlah mama… Belle tak tahu kenapa.” Bella mulai sebak. Sekali lagi dia berlinang air mata.

“Kalau Belle masih lagi terfikir tentang perkara lepas, mama rasa Belle patut hentikannya. Sekarang adalah masa untuk Belle move on dan melihat perkara lain dalam hidup. Semua orang dalam dunia ni Belle, ada hak untuk bahagia. Kalau kita asyik bersedih dan terkenangkan kisah lama… sampai bilapun kita takkan temui bahagia macam orang lain. Mama tahu, ini bukan perkara senang. Tambah-tambah kalau kehilangan seseorang yang kita selalu nampak di mata. Dia bukan lagi milik kita… dia milik orang lain.” Zahlia tenang memberi nasihat. Dia tahu Bella kesedihan akan apa yang terjadi semalam. Fauziah sendiri telah menelefonnya dan memberitahu semua perkara yang terjadi.

Zahlia kesal dengan tindakan Bella. Baginya Bella masih belum cukup kuat untuk menolak bayang Rizqi pergi dari hidupnya. Anaknya itu masih lagi bergantung harap dengan bekas suami untuk menguruskan soal anak dan menjadi penemannya dikala kebosanan. Namun apabila Rizqi sudah ada teman lain, Bella terasa sendiri dan dia tidak mahu melepaskan Rizqi demi kebaikan mereka bersama.

“Mama… Belle minta maaf sebab selama ni… Belle banyak buat salah dengan mama,” ucap Bella tersekat-sekat. Dia merasa malu. Namun hari ini egonya runtuh.

“Mama maafkan dan mama pun minta maaf juga dengan Belle, ya?” jawab Zahlia sambil mengulum senyuman gembira. Dagu Bella diangkat naik dan dahi anaknya itu dicium lama.

Bella mengangguk-angguk. “Bekas mak mertua Belle mesti dah cerita semua dengan mama, kan?”

“Hmm… dah. Mama tak nak komen apa-apa. Mama cuma nak Belle ambil nasihat mama tadi. Apa-apapun… Belle tetap ada hak untuk bahagia. Kalau bukan dengan Rizqi… dengan orang lain,” kata Zahlia.

“Belle tahu. Belle memang salah semalam. Belle mengaku yang Belle isteri dia pada doktor. Belle tahu juga yang Belle salah sebab dah sakitkan hati Kay. Tapi….” Bella tidak meneruskan bicaranya. Dia tidak mahu Zahlia salah anggap dengan apa yang ingin diperkatakannya.

“Tapi? Ada yang Belle tak setuju?”

“Tapi Belle juga tak boleh nak simpan berat rahsia di dalam hati Belle ni. Belle tak tahu kalau mama percayakan Belle atau tak. Tapi mama pun ada deria ni, kan? Belle dapat rasa dengan firasat hati Belle dan Belle nampak dalam bayangan-bayangan imbasam tu mama… Kay bukan seperti yang kita sangkakan!” ujar Bella cuba meyakinkan Zahlia.

Zahlia menarik nafasnya panjang. Sejak dari hari Bella pulang dari Kelantan lagi, dia sudah merasakan ada yang tidak kena dengan Bella. Tapi takkan disebabkan ini.

“Belle betul-betul yakin dengan apa yang Belle rasa dan lihat?” Zahlia mencari kepastian.

Bella mengangguk laju. “Ya, mama. Tentang hal ni memang Belle tak tipu! Belle nampak… Ya ALLAH… Dia tu mama… buat macam-macam dengan Rizqi, anak-anak Belle. Cuma kita aje yang tak tahu.”

Hati Zahlia tersenyum. Bella bagaikan anak kecil yang mengadu dibuli rakan di sekolah. Kini anak yang menjauh darinya buat sekian lama itu sudah kembali!

“Okay, kalau macam tu… Belle nak buat apa sekarang? Beritahu Rizqi atau cari maklumat untuk bongkarkan rahsia dia kepada semua orang?” Zahlia memberi Bella pilihan.

“Belle tak tahu. Kalau Belle beritahu Rizqi… dia takkan percaya. Dia protective terhadap Kay, tambah-tambah dalam keadaan sekarang ni. Tapi kalau Belle nak cari maklumat dan bongkarkan rahsia dia… macam mana pulak? Belle yakin Kay takkan biarkan Belle buat macam tu,” kata Bella.

“Remember a quote that that papa always tell us,sayang… keep your friends close and your enemies closer,” bicara Zahlia berkias.

“Sun Tzu… daripada buku kegemaran dia, The Art of War?” Bella tersengih sendiri. Dia bingkas bangun dan menuju ke jendela. “Thank you, mama. Now I know what to do.”

***

BELINA dan Riza menggenggam kuat tangan kiri dan kanan Bella. Koridor yang menempatkan wad kelas satu itu dilewati. Sampai sahaja di hadapan bilik bertanda D301, Bella menghentikan langkahan kakinya. Pintu bilik tersebut ditolak.

“Belle?” Diana yang sedang duduk di hujung katil Rizqi bingkas bangun menarik pintu tersebut buka.

“Kak Long… ni budak-budak ni nak melawat papa dia orang,” ujar Bella lembut. Matanya sempat mengerling pada Kay yang duduk di sofa bertentangan dengan katil Rizqi.

“Ah masuklah…” ajak Diana.

“Tak pelah kak, Belle tunggu kat luar aje. Nanti kalau budak-budak ni dah puas jumpa papa dia… kak tolong bawa dia orang keluar.” Bella pantas menolak pelawaan Diana. Dia tidak mahu lagi dikaitkan dengan Rizqi walaupun sekadar melawat lelaki itu.

Melihatkan Bella berpaling keluar dari wad tersebut, Kay pantas bangun dari sofa. Dia ikut sama keluar dari bilik itu meninggalkan hanya Rizqi, Diana dan anak-anak Bella di dalamnya.

“Pandai berlakon…” tegur Kay dari belakang. Dia berpeluk tubuh. Buku lima tangan kanannya yang luka akibat menumbuk cermin itu diangkat menongkat dagu.

Bella berpaling. Wajahnya serius mencerlung ke arah Kay. “Tak ada masa nak berlakon. I datang ni sebab anak-anak rindukan Rizqi. Dia orang risau keadaan ayah dia orang.”

“Hmm… guna anak-anak untuk kepentingan diri sendiri?” Kay tersengih menyindir. Balutan pada buku limanya itu dicungkil-cungkil untuk ditanggalkan.

“Kay….” Bella menarik nafas tinggi. Dia sudah berfikir panjang sejak dari dalam perjalanan ke sini lagi. Dia harus mengambil langkah ini. Demi kebaikan anak-anaknya. “I rasa kita berhentilah jadi budak-budak. Gaduh-gaduh semua ni takkan bawa apa-apa keuntungan.”

Kay berhenti mencuit-cuit balutan di tangannya. Dia mengangkat kening. Pelik pula mendengar bicara Bella kali ini yang sepertinya sudah mengalah.

“I nak minta maaf atas apa yang I buat pada you semalam. I mengaku itu salah I. You adalah milik Rizqi yang mutlak. I cuma bekas isteri dia. I tak patut ganggu lagi hidup kau orang suami isteri,” ujar Bella serius.

Kay hanya mendengar dan tidak membalas. Tangannya kembali mencuit balutan tangan yang kini sudah terbuka. Isi kulit yang masih lagi merah berdarah itu ditekan-tekan dan dikorek dengan kukunya.

Bella yang melihat perilaku Kay terpaksa menahan geli. ‘Psiko!’ getus hatinya.

“I akan jauhkan diri I daripada Rizqi mulai sekarang. I janji Kay. I takkan ambil tahu lagi tentang dia. Cuma semua ini akan terjadi dengan hanya satu syarat,” Bella akhirnya menokhtahkan kata-kata.

“What it is?” Kay berminat. Dia berhenti mengorek luka di buku limanya.

“Belina dan Riza… mereka ada hak untuk bertemu dengan Rizqi dan bermesra dengan ayah mereka macam dulu-dulu. If you respect their father and children relationship… I akan tunaikan janji I,” jelas Bella.

Kay mengulum senyuman. Dia mengangguk-angguk. “I tak kisah kalau Rizqi nak jumpa dengan anak-anak dia. I tak pernah pun halang. Tapi… I nak budak-budak tu minta maaf dengan I selepas dah tipu dan kutuk I macam-macam pada Rizqi dan you.”

Bella menghela nafas kecil. Berat! Memang berat hal ini. Anaknya yang tak bersalah itu pula yang disalahkan Kay. Sememangnya wanita ini pandai mengambil kesempatan. Dekat manalah Rizqi jumpa perempuan macam ni? Psiko! Pelik! Oportunis!

“Okay… sebagai seorang ibu kepada Belina dan Riza, I minta maaf on behalf of them. Puas hati?” Bella terpaksa menelan rasa sakit hatinya demi merealisasikan segala apa yang telah direncanakan di dalam mindanya.

“Hmm… okay. I hanya akan puas hati kalau you tunaikan janji you tu, Bella. Walau macam mana sekalipun, I rasa puas hati jugaklah sebab you sanggup turunkan ego you tu untuk minta maaf dengan I,” ujar Kay angkuh. Balutan tangannya yang terbuka tadi dililit kembali. Bekas kesan darah pada kuku kirinya dikesat-kesat ke baju.

“So can we be friends?” Bella mengangkat tangan kanannya untuk berjabat salam. Dia harap Kay bersetuju.

Kay mengetap bibirnya. Perlahan-lahan tangan kanannya juga diangkat dan berjabat dengan Bella. “Ya, sudah tentu.”

***

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.