Home Novel Thriller/Aksi Jangan Percaya!
Jangan Percaya!
Syaida Ilmuna
1/3/2015 12:13:19
68,241
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 6

BAB 6

PAP! Fail berisi kandungan program hiburan sepanjang tahun 2014 dihempaskan ke atas meja. Ahli produksi rancangan Eksplorasi yang dikendalikannya terdiam tak berkata apa-apa. Masing-masing saling memandang wajah satu sama lain.

“Macam mana? Apa rancangan kita untuk tahun 2015?” soal Bella Amira tegas. Kemeja kuning material organza yang dipakainya menaikkan aura dominan.

“Belle… aku rasa kita kena restructure program ni baliklah. Si Azlan branding tu ada jumpa aku semalam. Dia cakap rating rancangan kita makin turun. Bos dia pun ada ura-ura nak tamatkan je rancangan kita ni. Dah semakin tak relevan katanya.” Ain, penolong produksi Eksplorasi memberanikan diri untuk bersuara. Ahli produksi mereka yang terdiri daripada lima orang termasuk seorang pelajar pelatih hanya menikuskan diri. Takut nak bertentang mata dengan Bella yang terkenal dengan sikap ketegasannya.

Bella menggaru-garu dagu. Rambut panjang di paras dadanya ditolak ke belakang. Otaknya semakin berserabut. Balik dari cuti aje dah datang dah masalah.

“Yang lain? Macam mana? Ada idea untuk menaikkan rating program kita?” soal Bella. Ruang meeting room yang santai dengan kerusi-kerusi kecil dan bantal-bantal berwarna-warni jadi beku bagaikan bilik mayat. Meja bulat yang dikelilingi mereka itu bagaikan meja hakim yang menanti untuk memberi hukuman.

“Bukan kita tak nak buat kelainan, Belle. Kita tak cukup bajet. Pihak atasan bagi kita bajet ciput aje berbanding dengan program Extravaganza, Akademi Bintang…. Kita ni program hidup segan mati tak mahu je,” ujar Rahman pesimis sambil membelai rambut kerintingnya yang ala-ala David Arumugam.

“Lepas tu? Kita nak bungkus macam ni je? Kau orang nak kena campak kat program majalah? Ataupun buat program gosip-gosip?” Bella bersuara tinggi. Hatinya panas terbakar. Tak ada seorang pun yang optimis sepertinya. Semua hanya mengharap dia saja yang memberikan idea dan sokongan.

“Aku tak suka buat program gosip. Banyak dosa!” Fatin mencelah. Selendang yang dibelit-belit ke kepalanya ditarik-tarik ke depan. Menutup anak rambut yang terjulur keluar.

“Awak Zahida?” Bella mengasak pertanyaannya pula kepada pelajar pelatih UiTM yang diam sejak dari awal perbincangan. “Awak nak kerja dengan kami ke lepas habis praktikal ni?”

Zahida menelan air liur dalam. Masih berfikir-fikir sama ada ingin menyambung pelajarannya ke peringkat master ataupun bekerja setengah mati di stesen televisyen swasta ini. “Saya belum buat keputusan lagi, kak.”

“Bagus. Saya harap awak cari kerja lain ajelah. Kerja ni pun tak sesuai untuk budak macam awak. Ulat buku. Elok sambung belajar, lepas tu jadi lecturer. Gaji pun tinggi,” nasihat Bella dalam nada menyampah. Budak praktikal yang ini memang lembab sikit orangnya. Mungkin dia tidak punya keserasian dalam bidang penyiaran. Ada lagi bidang lain yang memerlukan kebijaksanaan pelajar seperti Zahida.

“Belle… cuba kau relax. Kita ada seminggu lagi sebelum tahun depan. Bulan Januari sampai Februari kita rehat. Mac kita akan mula shooting balik. Dalam pada jangka masa kita rehat tu… kau bodeklah bos merangkap ex-husband kau tu. Minta dia cakap dengan orang atasan supaya naikkan bajet. Tahun depan kita shooting kat luar negara. Boleh buat program Eksplorasi, Misi Luar Negara! Sedap tak bunyi tajuk?” Rahman cuba memujuk Bella. Matanya dikenyit-lenyit kepada ahli produksi yang lain. Harap-harap pujukkannya kali ini jalanlah!

Bella meneliti wajah setiap satu orang di hadapannya. Dimulakan dengan Ain, Fatin, Rahman dan Zahida. Semuanya punya reaksi yang sama. Penuh pengharapan supaya dia berhenti beremosi dan terima cadangan Rahman.

“Kau orang semua ingat senang ke aku nak pujuk Rizqi?” kata Bella sambil mengangkat keningnya tinggi.

“Alah kau boleh punyalah! Dia apa-apapun mesti dengar cakap kau!” jawab Ain.

“Kau orang yakin?” Bella bercekak pinggang. “Tambah-tambah dia dah kahwin sekarang ni. Kau orang ingat dia nak dengar rayuan aku?”

“Kahwin tu lain ceritalah! Sekarang ni masalah kerja. Kalau kau sayangkan Eksplorasi… kau kena pujuk dia jugak. Dia berjaya atau tak pujuk orang atasan tu lain cerita. Yang penting kita mencuba, kan?” Fatin pula bersuara.

Bella menggaru-garu kepalanya. Matanya menipis pada Zahida. “Awak tak ada komen?”

“Err….” Zahida tersengih-sengih. “Saya sokong je!”

“Okay! I try. Tapi kalau tak dapat jangan salahkan aku bila kau orang kena campak ke program lain.”

“Janji tak!” kata Ain, Rahman dan Fatin serentak.

“So… you all can dismissed!” putus Bella.

Sebaik sahaja Rahman dan Zahida keluar dari kamar perbincangan tersebut, Ain dan Fatin menarik lengan Bella untuk masuk semula ke dalam. Mereka berdua bercekak pinggang sambil merenung wajah Bella bagaikan pesalah.

“Kenapa Rizqi tak jemput kita orang pergi wedding dia Sabtu hari tu?” Ain menarik muka masamnya.

“Kau tanyalah dia! Kenapa tanya aku?” Bella mengerutkan dahi. Dia orang ni ingat aku PA Rizqi?

“Sombong betul bos tu, kan! Kau sepatutnya kahwin dulu dari dia. Sekarang ni tengok… kau pulak yang gigit jari! Hisy!” Fatin pula memprotes. Dia semenjak dari Bella masih menjadi isteri Rizqi lagi, dia sudah anti dengan bosnya itu.

“Ya ALLAH! Gigit jari apa ni? Dahlah…. Boleh mereng aku layan kau orang dua ni tau!” Bella melangkah kakinya luas untuk cepat-cepat beredar dari kamar tersebut.

“Eh, Belle!” Ain mengejar dari belakang sambil diikuti Fatin.

“Kau tak nak cari teman hidup ke?” Fatin mendatangi Bella dari arah kanan dan mula bertanyakan dia soalan panas lagi.

“Aku dengar Aizat bahagian news tu suka kau tau, Belle,” ujar Ain pula dari sebelah kiri.

Bella terasa dirinya bagaikan dicucuk-cucuk oleh dua orang syaitan yang bertopengkan manusia. Tak habis-habis nak mengatur hidupnya yang sudah sedia teratur ini.

Girls! Dah-dah! Aku tak berminat dengan apa yang kau orang nak cakap. Aku juga tak suka match-making. Apa salah ke kalau aku terus nak jadi janda?” Bella memberhentikan langkah kakinya. Kedua-dua orang rakan sekerjanya itu dipandang tipis.

“Tapi….” Ain terdiam. Dia tahu dia sudah melepasi batas kesabaran Bella. “Kau tak rasa jealous ke tengok Rizqi bahagia?”

“Kau muda lagi Belle. Kau takkan tak nak ada suami yang support kau? Sekurang-kurangnya kau taklah rasa terbeban jaga anak-anak kau sorang-sorang. Si Rizqi tu kalau dah ada anak lagi… mesti dia abaikan Belina dengan Riza,” celah Fatin pula.

Bella menarik nafas dalam. Memang itu juga salah satu dari kerisauannya. Namun itu bukan bermaksud Bella harus mengalah. Itu juga tidak bermaksud dia tidak boleh berusaha sendiri dalam menjaga anak-anaknya tanpa bantuan Rizqi. Dia boleh! Selama-lama ini memang dia lakukannya sendiri. Rizqi hanya reti memberi nafkah dan bawa anak-anak keluar berjalan-jalan pabila mereka rindukan dia. Yang mendidik dan mendengar suara hati mereka adalah Bella. Hanya dia saja yang mampu mengelap air mata mereka dan membuat mereka berhenti menangis.

“Aku faham… kau orang memang prihatin dengan aku, kan? Tapi… buat masa ni aku rasa selesa dengan apa yang aku ada. Jadi… kau orang jangan desak aku, please?” Bella mengendurkan suaranya.

Ain dan Fatin mengangguk-angguk. Mereka faham, Bella hanya perlukan masa untuk meredakan segala kekusutan di dalam hidupnya.

***

DAPUR Fauziah tak pernah sunyi kalau ada anak serta cucu-cucunya di rumah. Tambah-tambah pula selepas Rizqi baru berkahwin dua hari lepas. Ada saja tetamu yang datang. Anak-anak Rizqi dan Bella Amira pula masih tinggal dengannya kerana Bella bekerja dan budak-budak tersebut masih bercuti sekolah.

Lalu dia bercadang untuk memasak yang sedap-sedap hari ini. Malam nanti boleh ajak Bella makan sekali. Kebetulan pula Diana ambil cuti sampai hujung tahun. Adalah juga orang yang membantunya di dapur.

Sedang Fauziah leka memasak, dia tidak sedar dirinya menjadi perhatian orang lain. Sepasang mata yang melihat tenang bagai helang di sudut masuk dapur. Menunggu masa untuk menerjah ataupun mungkin sekadar berlalu pergi. Sepasang kaki milik si pemerhati akhirnya membuat keputusan untuk masuk ke dalam ruangan dapur dan berdiri tepat-tepat di belakang Fauziah sambil memerhati masakan yang disediakan wanita separuh umur itu.

Fauziah yang leka memasak perlahan-lahan berpaling. Hampir-hampir tersentap jantungnya melihat keberadaan Kay yang bagai angin, tak tersedar kehadirannya.

“Astaghfirullah, Kay! Kenapa diam aje masuk ke dapur ni? Mak tak sedar….” Fauziah mengurut-ngurut dadanya. Pelik! Tak dengar pun derap kakinya, tiba-tiba dah ada di dapur?

Kay tersenyum kecil. Dia berjalan ke singki dan membasuh beberapa pinggan yang berselerak di dalamnya. “Kay tengok mak sibuk aje. Kay tak nak ganggu.”

“Eh… tak adalah! Mana ada sibuk. Biasa-biasa aje ni. Rizqi mana?” tanya Fauziah.

“Dekat atas. Ada orang telefon dia,” jawab Kay ringkas. Tangannya yang basah dilap-lap. Kelihatan parut luka ditusuk kuku pada telapak tangan kirinya yang memerah.

“Kenapa dengan tangan tu?” Fauziah terperasan akan luka di tangan Kay. Baru dua hari di rumahnya sudah ada luka? Tapi… bukannya Kay buat kerja berat pun.

“Oh? Ni?” Kay cepat-cepat merapatkan tangannya ke dada. “Luka biasa je. Terkena pisau.”

“Biar mak letakkan plaster. Luka tu macam dalam,” ujar Fauziah.

Kay melarikan tangannya. “Tak apa mak. Sikit je. Tak sakit.”

Fauziah mengerutkan dahi. Kemudian kepalanya menggeleng. Degil! “Tak apalah. Kay pergi panggil Rizqi turun makan. Kalau nampak Kak Long… minta dia panggil budak-budak sekali turun makan. Dah dekat pukul satu.”

Kay hanya mengangguk tanda menuruti kata-kata Fauziah. Dia kemudian naik ke kamar peraduan. Rizqi yang sedang galak berbicara telefon ditenung dari jauh.

Yes… aku tahu. Tapi masalahnya sekarang ni aku tengah bercuti. Tak boleh nak join team CSR pergi Kelantan hantar bantuan banjir. Ajaklah mana-mana budak bahagian hiburan tu. Rasanya kebanyakkan tak ada kerja pun sebab semua dah habis shooting program. Start shooting balik pertengahan Februari nanti. Elok-eloklah kau bawa dia orang tu… dari duduk menyembang kat office.” Rizqi galak berbicara. Kehadiran Kay di dalam kamar tersebut tidak begitu dia perasaan. Matanya tertumpu pada permandangan di luar balkoni.

Kay berjalan ke arah Rizqi dengan tertib. Bahu Rizqi ditepuknya dua kali sambil berdehem. “Rizqi… Mak panggil turun. Makan tengah hari.”

Rizqi hanya menunjukkan tanda tangan supaya menunggu sampai dia habis berbicara dengan sahabatnya di telefon. Kay diabaikan seketika.

“Yelah! Kalau lepas honeymoon nanti aku turun. Ataupun sebelum tu aku datang jenguk budak-budak kat office tu. Paksa dia orang pergi misi bantuan banjir. Apa-apa nanti aku call balik, ataupun senang-senang aku suruh Belle sampaikan kepada budak-budak tu. Assalamualaikum!” Rizqi menoktahkan bicaranya. Panggilan dimatikan.

Kay hanya merenung perilaku Rizqi tajam. Sepotong nama Bella yang didengarinya tadi membuatkan hatinya berbisa. Mindanya pula menggelegak ditumbuhi hasutan yang memaksa dia melakukan sesuatu.

“Sayang nak pergi office ke?” bicara Kay lembut walaupun hatinya menahan kemarahan.

“Eh, tak lah! Hari ni tak… esok kot. Sebelum kita pergi honeymoon,” balas Rizqi. Tangan Kay dipegangnya erat. Isterinya dibawa keluar dari balkoni.

“Oh…. Bila kita nak pindah dari sini?” Kay bertanya lagi.

“Pindah?” Rizqi mengerutkan dahinya. “Tak nak duduk lagi seminggu? Biar mak dan Kak Long kenal awak dan mesra dengan awak sikit. Nanti kita pindahlah lepas dua tiga minggu balik dari honeymoon.”

Kay menggeleng pantas. Wajahnya cemberut. “Lagi awal pindahkan lagi bagus!”

“Kenapa pulak?” Rizqi tidak faham dengan apa yang dimaksudkan Kay.

“Saya suka kalau saya dapat siapkan makan pakai awak sendiri. Saya tak nak orang lain buatkan untuk awak.” Kay memaniskan roman wajah. Dalam senyumannya ada sinis dan kecemburuannya melampau.

“Oh, ye ke? Kalau macam tu… balik dari bercuti je kita pindah, okay?” Rizqi mencuit hidung Kay yang mancung dan tirus itu.

Kay hanya mengulum senyuman. Dalam hatinya pelbagai pergolakan yang sedang berlaku. Ia di antara menutup segala sifat-sifat kecelaannya dan mencintai Rizqi dengan setulus hati. Namun begitu, makin dia menutup reality tentang keadaan dirinya, makin dia merasa terseksa. Makin menjadi-jadi mindanya berfikir di luar jangkaan. Kaylina hanya mampu bertahan.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.