Home Novel Thriller/Aksi Jangan Percaya!
Jangan Percaya!
Syaida Ilmuna
1/3/2015 12:13:19
67,868
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 17

BAB 17

DUA minggu berlalu dengan pantas. Atas kesibukan kerja, Bella Amira tidak mempunyai kesempatan untuk bertemu dengan Rizqi dan bertanyakan soal Kay kepadanya. Anugerah Nusantara Muzik yang akan berlangsung tidak lama lagi membuatkan kekangan masa bertambah-tambah.

Rizqi asyik saja hilang dari pejabatnya. Pabila Bella mempunyai masa untuk bertemu dengan bekas suaminya, Rizqi pula yang asyik menghilangkan diri. Kadang-kadang Rizqi menolak dan sengaja membuat alasan dari terus berbicara dengannya walaupun sekadar ‘hai’ atau ‘hello’ semata.

Hal ini membuatkan hati Bella sedikit tercuit. Rizqi ingin menjauhinya? Ataupun Rizqi termakan bicara Kay yang buruk-buruk mengenainya? Sampaikan bukan saja dia yang terkena tempias perang dingin ini, anak-anak juga kini kurang mendapat perhatian dari Rizqi. Lebih kurang dua minggu sudah Rizqi tidak menghubungi Belina dan Riza. Takkanlah marahkan dia, Rizqi menunjukkan protesnya terhadap anak-anak? Pelik.

“Belle!”

Telefon pintar Bella terlucut jatuh ke lantai.

“Ish! Apa kau ni Ainil!” Bella mengutip semula telefon pintarnya yang jatuh terlangkup dari lantai.

“Apa fokus sangat tengok telefon tu? Wallpaper anak-anak kau je pun.” Ainil tersengih lucu. Bella angau ke apa ni?

“Eh mana ada. Aku tengah fikir ni.”

“Fikir apa?” Ainil menarik kerusinya dekat dengan Bella. Fail-fail yang berserakkan di atas meja di susun kemas.

“Tak ada apalah!” jawab Bella.

“Daripada termenung tengok skrin telefon tu… jom ikut aku pergi food testing nak? Program Jom Makan nak cari restoran untuk shooting next week ni,” ajak Ainil.

“Aaa… sedap tak? Western atau Melayu?” Bella teruja. Bukan senang nak ikut food testing bersama mereka lagi. Bila sudah diasak dengan kerja, nak tengok muka orang sebelah-sebelah pun tak sempat. Asyik outstation aje!

“Hei! Memilih! Ikut ajelah… kali ni intern aku yang carikan tempat ni. Kalau tak sedap kau salahkan dia.” Ainil ketawa mengekek.

“Kau orang ni memang suka buli intern, eh? Sian aku tengok si Hazif tu. Gigih dia siang malam dok teliti dari satu websiteke satu website cari restoran mana yang best. Tu belum lagi melekat dekat telefon lepas tu call satu-satu restoran yang mana available. Bagi kredit sikitlah kat dia,” ujar Bella. Memang sudah menjadi tradisi di TV 10 untuk para staf di sini membuli pelajar praktikal. Kasihan pula dia dengan pelajar-pelajar lugu ini. Belum faham lagi tentang kondisi kerja di industri kreatif.

“Eleh… dulu aku kena lagi teruklah. Sampai menangis-nangis tau! Manja sangat kadang-kadang budak intern ni. Kena bagi tahan lasak sikit, Belle. Kau tu berlembut sangat dengan Zahida. Aku tengok dia tu apapun tak tahu nak buat,” kutuk Ainil.

“Hmm… Zahida tu special case. Dia….” Bella menurunkan suaranya. Takut Zahida terdengar pula bicara mereka berdua. “Dia tak minat bidang ni. Tak sesuailah gadis tak tahan lasak macam dia masuk sini. Elok jadi lecturer je. Bukan tak pandai budak tu.”

“Pastu kau nak luluskan dia ke? Kalau aku… gagalkan je latihan praktikal ni. Semua benda pun dia tak tahu nak buat. Malu jelah jadi intern kau,” kata Ainil.

“Tak baiklah Nil kita gagalkan dia. Dia pun ada life juga. Masa depan dia cerah, mungkin lagi cerah dari kita. Jadi kita bagilah dia kredit… macam aku cakap tadi. Kredit atas usahanya sebab mencuba. Kalau dia tak bagus dalam bidang ni… ada bidang lain lagi yang dia bagus. Kita tak tahu!” balas Bella tersenyum.

Ainil menggeleng-geleng. Untunglah pelajar praktikal di bawah Puan Bella Amira. Baik hati! “Hmm ye lah. Kau betul, Belle… Eh, tu ex-husband kau!”

Rizqi yang berkemeja hitam dan bertali leher biru gelap berjalan tegap menuju ke pantri. Bella jadi tak senang duduk apabila terlihat kelibat Rizqi. Kenapa dia langsung tak pandang aku?

“Kita ajak dia pergi food testing nak tak?” Bella tiba-tiba membuahkan idea.

“Eh… kau ni okay ke tak? Ajak ex-husband kau tu pergi food testing dengan kita? Dia nak ke?” Ainil bagaikan tak percaya. Dahulu bukan Bella anti Rizqi ke? Ini apahal pulak ni?

“Alah… takkanlah executive produser tak nak. Dia orang memang sukalah benda-benda macam ni. Tambah-tambah kalau free. Kau pergilah ajak dia!” arah Bella.

“Aku?” Ainil menuding jari ke arah dirinya sendiri. “Tak naklah! Kaulah!”

“Aku? No way… aku tak boleh. Nanti dia malu nak terima pelawaan kita. Kaulah…” pujuk Bella.

“Malu apa kebendanya? Ish kau ni. Malaslah nak layan.” Ainil menarik kerusinya kembali ke meja.

“Alaaa… tolonglah aku. Please! Kali ni aje! Kalau kau berjaya pujuk dia… aku belanja makan Dunkin’ Donut. Angkutlah berapa kotak kau nak,” rayu Bella sambil menarik-narik baju Ainil.

Ainil menggigit bibirnya. Gawat betullah masalah rumah tangga si Bella ni! “Yelah, yelah. Kau tunggu sini.”

Bella ditinggalkan keseorangan di meja manakala Ainil pantas mengatur langkah menuju ke pantri.

“Bos!” tegur Ainil selamba. Senyuman manis menghiasi wajahnya.

“Hmm? Ainil… ada apa?” balas Rizqi tenang. Air kopi dihirupnya seteguk.

“Bos… nak ikut tak team Jom Makan pergi food testing?” tanya Ainil.

“Oh… kat mana tu? Western ke Melayu?”

Ainil membeliakkan matanya. Wah, Bella dan Rizqi ni memang ada persamaan, ya? Bertanya soalan yang sama! “Oh dua-dua pun ada bos. Dekat Shah Alam. Jomlah bos!”

“Boleh-boleh. Pukul berapa? Siapa yang ikut lagi?” tanya Rizqi penuh minat.

Ainil mengerling pada Bella yang mencuri pandang dari hadangan kubikelnya. Ibu jari diangkat naik tanpa Rizqi sedari.

“Dalam pukul 12 tengah hari nanti. Saya, Manaf dan team yang lain akan joinlah. Belle pun ikut sekali,” jawab Ainil.

“Oh….” Rizqi meletakkan kopi yang dihirupnya ke bawah. Kening kanannya diangkat. “Tak pelah. Saya tak jadi join. Ada meeting dengan Datuk Jaafar petang ni. Saya nak kena prepare beberapa kertas kerja sikit. Lain kalilah ye, Ainil.”

Sure ke bos tak jadi ikut ni? Hmm….” Ainil berpaling pada Bella semula. Kepalanya digeleng-geleng.

Sure. Kalau best beritahu saya, ya. Nak bawa isteri makan sana,” jawab Rizqi dengan nada suara yang sedikit tinggi. Sengaja dia mahu Bella mendengar bicaranya.

Tersentap Bella mendengar kata-kata Rizqi yang memang ditujukan buatnya. Rasa serba salah serta kebodohan akibat terang-terangan mempamerkan sikap tidak tahu malunya kepada Rizqi mula menyelubungi diri. Mengapa Rizqi menyindirnya begitu? Mungkinkah Rizqi sudah termakan kata-kata Kay?

Ah, sudahlah! Dia kini bukannya isteri Rizqi lagi. Buat apa dia berprasangka sebegitu, kan? Ataupun… memang benar kata-kata orang yang selama ini dia masih menyimpan perasaan terhadap Rizqi? Oh hati… hentikan semua ini!

***

BELON pelbagai warna berterbangan di udara. Ada di antaranya tersangkut pada pokok di laman rumah Fauziah. Cucu-cucu Fauziah semuanya lincah belaka. Kalau bermain sesama sendiri memang tak pernah yang tak menyelerakkan rumah. Tambah-tambah pada hari keramaian seperti ini. Sambutan hari lahir nenda mereka yang ke-65 tahun.

Bella Amira dan Diana seperti biasa menguruskan kek dan dekorasi. Manakala Fauziah pula sibuk bertungkus lumus di dapur bersama pembantu rumah. Hari lahir pun dia kena memasak! Biasalah… dah nama pun nenek. Kerja tetap berjalan walaupun di hari lahir sendiri.

“Belle, tak nak panggil budak-budak tu masuk dalam ke?” tanya Diana. Dia sibuk menyusun beberapa potong kek di atas meja makan.

“Biarlah… kalau panggil masuk nanti semak pulak kat dalam ni. Mak buat apa lagi tu? Kata nak tiup kek dah tadi.” Bella sempat mengerling ke laman rumah untuk memerhati perilaku anak-anaknya dan sepupu mereka.

“Eh, mana boleh tiup lagi! Rizqi dengan Kay kan belum sampai lagi!”

“Oh… dia orang datang?” Tersentak Bella mendengar kata-kata Diana. Selepas tiga minggu dia tidak bertegur sapa dan bertemu secara berhadapan dengan Rizqi, hari ini lelaki itu akan memunculkan diri di majlis hari jadi mak. Impressive! Tak tahulah jikalau Rizqi masih mengingati anak-anaknya lagi ataupun tidak. Entah-entah budak-budak tu yang dah lupakannya pulak!

“Yalah… mestilah datang. Mak jemput dia orang semalam. Kay beriya-iya nak masakkan spaghetti untuk kita semua,” jawab Diana.

Bella tidak membalas kata-kata Diana. Dia menumpukan perhatiannya pada kek cawan coklat yang disusun di atas pinggan kaca berwarna merah. Beberapa batang lilin kecil dipacak ke atasnya. Kemudian, sebungkus gula-gula pula dituang masuk ke dalam mangkuk hijau. Variasi warna yang digemari anak-anaknya!

“Nanti bila Kay dan Rizqi datang, Belle tak payahlah bermasam muka dengan dia orang lagi.”

Tiba-tiba saja Diana bersuara kembali. Tergendala seketika fokus Bella terhadap makanan pemanis mulut tersebut.

“Yang lepas tu lepaslah. Mak dan Kak Long dah berbincang semalam. Kay tu ahli baru dalam keluarga kita. Kita kena cuba fahami dia dan jangan cepat menghukum. Lagipun… kita tak tahu sama ada dia betul-betul pukul anak Belle ke tak. Budak-budak tu pun tak mengaku. Don’t you think that Belina and Riza planned all this so that Rizqi hates their stepmother?” sambung Diana lagi.

Bella mengangkat wajahnya dari menunduk ke arah bungkusan gula-gula Kopiko yang belum dibuka. Tangannya dicekak ke pinggang. Manakala bibirnya diketap kuat.

“Belina? Riza? Lying to me?” tanya Bella tidak percaya. Rambut hitam pekatnya yang diikat separuh itu melayang ke muka. Tangannya pantas menarik rambut itu ke belakang kasar. Mengganggu!

Yes. Budak-budak ni kita tak boleh nak percaya dia orang 100%. Mana tahu… dengan cara ini dia orang nak dapatkan perhatian kita. You’ve been busy with your work. So do Rizqi.Budak-budak tu rindukan kau orang berdua, Belle,” tambah Diana lagi.

“Rizqi ada call Kak Long dan cakap tentang hal ni?” tanya Bella tegas. Angin yang menyapa dress merah jambunya sehingga terbang melayang-layang mengenai kek cawan tadi diabaikan. Kedinginan angin tersebut langsung tidak menyejukkan hatinya yang kini terbakar.

“Sejujurnya ya… dia ada callakak dan bincang dengan mak tentang apa yang dia perlu buat untuk hadapi masalah ni. Kay ada beritahu dia yang Belina dan Riza bencikan dia. Lepas tu….” Diana menunduk diam. Dia tidak sanggup menuturkan lagi bicara yang bakal mengguris hati Bella.

“Lepas tu apa? Apa yang dia cakap?”

“Tak pentinglah Belle. Yang penting Belle kena mula terima Kay sebagai salah seorang dari ahli keluarga kita. And you too… have to start looking for a husband. Takkan nak hidup sendiri je, kan?” Diana menutup bicaranya dengan senyuman yang meyakinkan. Lebih elok jikalau dia tidak berbincang mengenai hal itu.

“Belle bukan lagi salah seorang ahli dari keluarga ni. Belle ni kan orang luar. Kak Long sekarang pun dah tak boleh lagi nak berterus terang dengan Belle macam dulu-dulu. Lagipun Belle rasa… mungkin Belle patut jarang-jarang datang ke rumah ni dah.” Sentap. Memang dia tersentap. Dia tahu Kak Long cuba memenangkan Kay. Dia juga tahu yang Kak Long sudah tidak boleh berbicara jujur dengannya lagi. Semua orang sayangkan Kay kerana dia ahli baru dalam keluarga ini. Aku? Aku cuma bekas ahli yang tidak lagi diperlukan.

“Belle please!” Diana merentap tangan Bella dari terus melangkah keluar dari ruang makan. “Kita tetap one whole big family! Akak sayangkan Belle macam adik akak sendiri. Cumanya… Belle dah tak boleh rapat dengan Rizqi macam dulu. Dia dah ada isteri. Perlakuan Belle tu mengguris hati Kay. Kay cakap yang Belle cuba… cuba goda Rizqi kat pejabat. Lepas tu Belle buruk-burukkan dia pada Rizqi pulak. Belle kena move on! Kumbang bukan seekor. Akak yakin mesti ada ramai lagi lelaki kat luar sana yang sukakan Belle.”

So… itulah yang dia cakap dengan Kak Long?” Bella menghela nafas berat. Dia masih tak percaya jikalau Kay mengatakan yang anak-anaknya merangka rancangan untuk memusnahkan perkahwinan Kay dan Rizqi. Bella juga tidak percaya yang Rizqi boleh mengadu sebegitu kepada Kay tentang dirinya. Rizqi juga kecewa dengan tindakan Kay terhadap Belina dan Riza. Takkanlah pemikiran Rizqi boleh berubah dengan begitu sahaja? Mesti ada yang tak kena.

“Long… Belle! Ni Rizqi dengan Kay dah sampai!” Fauziah memanggil dari ruang tamu.

“Kita akan bincangkan tentang hal ni lagi, Belle,” kata Diana yang kemudian bergegas ke ruang tamu.

Bella Amira hanya memerhati kehadiran Rizqi dan Kay yang disambut dengan penuh kasih sayang oleh Fauziah. Diana juga tampak sudah mula serasi dengan Kay. Manakala anak-anak Diana juga rapat dengan Kay lebih dari anak-anaknya. Belina dan Riza yang berdiri di hujung pintu kaca hanya memerhati Rizqi dan Kay dari jauh. Bella tahu mereka tidak berani mendekat. Apatah lagi menegur ayah mereka yang kini telah dikawal ketat oleh sang raksasa maha jahat.

“Sayang… anak-anak you.” Kay bersuara sambil menuding jari ke arah Belina dan Riza.

Rizqi tersenyum paksa. Dia mendekati anak-anaknya dengan langkah berhati-hati laksana anak-anak itu adalah semut merah yang sudah bersedia untuk menggigit.

Bella menjeling menyampah. Tindakan yang dibuat-buat Kay memang tidak menjadi. Dia tahu Kay hanya berlakon baik. Dia tahu Kay tidak jujur. Manakala Rizqi pula telah termakan kata-kata hasutannya.

“Belina, Riza! Dah lama papa tak jumpa kau orang berdua ni,” kata Rizqi sambil mengulum senyuman. Belina dan Riza dipeluknya erat. Melepaskan rindu tiga minggu yang sarat dengan emosi.

Jauh di sudut hati Bella, dia merasa lega. Apa-apapun yang paling utama ialah kebahagian anak-anaknya. Cukuplah saja Belina dan Riza dapat berjumpa ayahnya. Dia tidak apa. Dia tidak penting. Dia bukanlah orang penting dalam bingkai gambar keluarga Fauziah Mansor. Dia kini orang luar.

Majlis hari lahir nenda Fauziah berjalan lancar. Mereka memulakan ia dengan bacaan doa oleh anak Diana, Haziq dan kemudian majlis beransur ke acara makan-makan. Di akhir majlis, semua anak-anak termasuklah Bella akan memberikan hadiah seorang demi seorang kepada Fauziah. Acara pemberian hadiah itu dimulakan dengan Diana dan anak-anaknya dan seterusnya Rizqi dan Kay, pasangan merpati sejoli bak kata Fauziah sendiri.

“Mak… ini hadiah daripada Kay dan saya.” Rizqi menyerah kotak besar berbalut kertas kuning berkilat kepada Fauziah. Kay yang berada di sebelah Rizqi hanya mendakap suaminya dari belakang manja.

“Wah, besar hadiahnya ni. Ada apa dalam ni?” Fauziah berseloroh.

“Nanti mak bukalah lepas majlis,” kata Kay. Matanya sempat menjeling ke arah Bella yang berdiri berhadapan dengan mereka.

“Okay… terima kasih banyak-banyak Kay dan Rizqi. Mak sayang sangat dengan kamu berdua. Lain kali beri hadiah kecil sikit ye. Berat mak nak pegang ni,” kata Fauziah sambil ketawa mengusik. “Jadi… ada sesiapa yang belum beri hadiah kepada mak lagi? Belle?”

Bella terkejut namanya dipanggil. Konsentrasinya terhadap aplikasi Instagram terus melayang pergi. Sengaja dia tidak mahu mengambil tahu tentang apa yang berlaku di sekeliling. Sungguh hatinya kini makin pedih.

“Belle? Oh… kejap!” Bella mengeluarkan kotak kecil berwarna merah jambu dari poket dressnya. “Ini untuk mak.”

“Apa ni Belle? Kecilnya kotak…” Fauziah tersenyum simpul. Dia seakan-akan dapat mengagak apa yang dihadiahkan Belle kepadanya. Belle memang tahu kesukaan dia.

“Saya rasa mak tahu apa hadiahnya tu,” ujar Bella. Perutnya jadi kecut apabila melihat Rizqi dan Kay asyik memandang ke arah dia. Bagaikan dia pesalah pula.

“Terima kasih… I love you, Belle. Always,” bicara Fauziah penuh makna. “Mak rasa kita dah sampai ke….”

“Tunggu!” Rizqi tiba-tiba bersuara. “Sebenarnya ada lagi satu hadiah yang saya dan Kay lupa nak bagi dekat mak.”

Jantung Bella berdegup kencang. Dia dapat merasakan sesuatu yang berbeza mengenai Kay dan Rizqi pada hari ini. Pasangan itu tampak… lebih bahagia dan mesra daripada sebelumnya.

“Oh ada hadiah lagi ke? Extravaganza birthday mak tahun ni.” Fauziah terkesima.

Rizqi memeluk Kay erat dari belakang. Rerambut isterinya dielus lembut. “Sebenarnya… Kay dengan Rizqi takut nak cakap benda ni awal-awal. Tapi disebabkan hari ni birthday mak… dan semua orang ada….” Mata Rizqi mengerling pada Bella. Pandangan tajam dihunuskan ke bekas isterinya.

How about you say it, sayang?” Rizqi berbisik ke telinga Kay.

Bella menurunkan pandangan matanya. Bosan dia melihat gelagat pasangan suami isteri ini. Bermanja tak bertempat!

“Awaklah yang cakap,” balas Kay semula manja.

“Okay! Macam ni… tak lama lagi… mak akan dapat cucu baru!” kata Rizqi gembira.

Bicara Rizqi bagaikan tombak yang menusuk hati Bella dalam. Bella rasa tertikam. Seakan-akan hatinya sudah terlucut jatuh dari badan dan dia kini sedang mengutip sisa-sisa hatinya yang sudah berderai bagaikan kaca retak seribu.

“Alhamdulillah!” Fauziah melafazkan syukur. Dia memeluk Riqzi dan Kay erat. Perut kecil Kay kemudian diusap-usapnya. “Dah berapa minggu ni Rizqi, Kay?”

“Oh baru empat minggu aje, mak,” jawab Rizqi.

Setiap patah kata yang dikeluarkan Rizqi kini seperti racun di hati Bella. Perlahan-lahan Bella mengatur langkah kakinya ke belakang. Dia mahu menjauhkan diri dari keramaian ini. Di saat Diana memeluk Kay dan anak-anak Diana sedang sibuk cuba mengusap-usap perut Kay, Bella melangkah laju. Bergerak menuju ke dapur. Biar dirinya menghilang. Biar tiada siapa pun yang sedar bahawa dia pernah ada di majlis ini. Dia tidak kuat! Dia tidak kuat untuk menghadapi suatu derita sebesar ini!

“Belle!”

Langkah kaki Bella terhenti. Dia menoleh ke belakang. Wajah Kay yang lembut dan ayu itu menyapanya perlahan.

“Tak nak ucap congrats kepada I dan Rizqi?” ujarnya menemplak.

“Oh… ah….” Bella hilang kata-kata. Matanya teralih pada anak-anaknya yang sudah monyok wajahnya. Mereka memahami perasaan ibu mereka.

Yes, Belle… awak tak nak ucap tahniah pada saya dan Kay?” Rizqi pula menambah.

“Yeah… yes,” Bella bergerak perlahan-lahan ke arah Kay dan Rizqi. Tangan kanannya dihulur pada Kay. “Tahniah. Tahniah untuk… Tahniah sebab tak lama lagi jadi ayah dan ibu. Tahniah,” ucap Bella tergesa-gesa. Tangannya pantas ditarik daripada terus lama berpegangan dengan Kay.

Bella menarik lengan Belina dan Riza mendekati dirinya. “Belle… kena balik sekarang. Belle lupa… Belle sebenarnya ada hal sikit dekat rumah.”

Tas tangan dan beg anak-anaknya diangkut ke bahu. Bella terus berjalan keluar dari ruang tamu tersebut menuju ke porch kereta.

***

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.