Home Novel Thriller/Aksi Jangan Percaya!
Jangan Percaya!
Syaida Ilmuna
1/3/2015 12:13:19
68,245
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 18

BAB 18

KOTAK merah jambu yang terletak di atas meja solek dicapai Fauziah. Dia tersenyum kelat. Pemberi hadiah ini pulang tanpa pamitan. Mungkin hati Bella Amira tersentuh dengan pengumuman anak dan menantunya. Tapi apa yang boleh dia buat! Berita itu adalah berita gembira baginya seisi keluarga. Setelah hampir lapan tahun, dia bakal mendapat cucu baru. Hanya TUHAN yang tahu betapa bahagianya dia!

Namun di sebalik semua itu mereka sekeluarga terlupa untuk menjaga hati Bella. Bella sangat dekat di hati Diana dan Fauziah sendiri. Banyak cerita dan susah senang dilalui bersama. Ibu Bella merupakan sahabat baiknya. Mana mungkin dia akan abaikan Bella begitu sahaja selepas dia mendapat menantu dan cucu baru. Anak-anak Bella tetap menjadi kesayangannya.

Kotak merah jambu itu dibuka. Gelang tangan Pandora yang tergantung dua huruf iaitu F dan B itu berkilau-kilau apabila terkena cahaya mentari petang. Fauziah tidak menyangka yang Bella masih ingat akan gurauannya yang ingin memiliki seutas gelang tangan Pandora. Bella benar-benar sayangkan Fauziah seperti ibu kandungnya sendiri. Malah lebih rasanya!

“Belle… terima kasih. Belle tahukan yang Belle sentiasa akan menjadi seseorang yang istimewa di hati mak. Mak minta maaf sebab lukakan hati Belle hari ini.” Monolog Fauziah sendiri. Dia kesal dengan tindakannya yang tidak mampu memberi kasih sayang sama rata di anatar dua menantu. Dia mula menyayangi Kay dan dia akan terus menyayangi Bella. Selamanya.

Gelang tangan itu dipakaikan ke pergelangan tangan kanan Fauziah. Setelah itu, Fauziah mencapai telefon bimbitnya. Nama Zahlia dicari.

“Assalamualaikum Zahlia… Ini aku ni Zee.”

Suara Zahlia menjawab salam kedengaran dari hujung corong telefon.

“Aku rasa aku ada buat salah dengan Belle, Zahlia. Kau boleh pujuk dia?” tanya Fauziah bernada kesal.

***

TATKALA matanya dibuka, Bella melihat dunianya dari pandangan atas. Badannya yang kini tersangkut di atas siling bilik terasa sakit-sakit. Graviti yang menarik seluruh badannya ke bawah makin mencengkam kulitnya yang seakan-akan melekat ke siling.

“Ah!” Bella cuba menjerit. Namun apa yang keluar dari mulutnya cumalah jeritan bisu. Bibirnya seakan-akan kejang.

“Beli… na!” Bella cuba memanggil anak yang nyenyak tidur di atas katil. Riza dan Belina seakan-akan tidur mati. Tidak menyedari bahawa ibu mereka sudah terlekat di siling yang bertentangan dengan tempat tidur mereka.

‘Ya ALLAH…’ bisik hati Bella. ‘Ya ALLAH… kenapa aku jadi macam ni?’

Kesakitan lengan Bella yang melekat pada siling makin mengetit-ngetit. Bagaikan kulitnya bakal tercabut dari menyelaputi tulang temulang. Apakah dia terperangkap di dalam dunia mimpinya lagi? Apa maksud semua mimpi buruk ini? Petanda apakah yang TUHAN sedang beri kepadanya?

“Ri..za!” Lidah Bella jadi terlalu keras untuk berbicara. Namun dia tidak patah semangat. Sekali lagi dia cuba menjerit. “Ri… za!”

“Ya ALLAH!” Sebutannya penuh! Tak semena-mena badan Bella melayang jatuh ke bawah dan hampir-hampir saja menghempap kedua-dua orang anaknya yang sedang tidur nyenyak di atas katil.

“Belle! Belle!”

Pap! Pap! Ainil menampar lengan Bella.

“Ah?” Terkejut Bella dibuatnya. Sekali lagi dia bagaikan dihipnosis. Kali ini sudah masuk kali yang kedua setelah dua minggu lepas dia mengalaminya.

“Eh mengelamun lagi? Kau ni okay ke tak? Dengar tak apa nasihat aku ni?” Ainil mula merasa jengkel dengan sikap Bella. Asyik mengelamun tak habis-habis.

“Okay… okay… sorry. Aku ter… ter tak fokus dengan apa yang kau cakap. Apa tadi yang kau bebel panjang-panjang tu?” Bella terasa malu. Sejak akhir-akhir ini memang mudah sekali mindanya merayau entah ke mana-mana. Takkanlah dirinya masih lagi emosional tentang isu Kay dan Rizqi?

“Ish malaslah nak ulang dari atas. Panjang kot nasihat aku. Balik-balik kau tak dengar.”

“Alahai… cut it short ajelah. Buat summary!” seloroh Bella.

Cut it short? Okay… Kesimpulan dari panjang lebar nasihat aku tadi kepada kau adalah… lebih baik kau cari aje suami baru. Haa hidup senang, tak payah dah nak terfikir si Rizqi tu lagi. Apa susah? Kau bukannya tak lawa. Mengalahkan Rozita Che Wan lagi. Bagi aku kau ni taraf Erra atau Rita Rudanilah! Kan?” jelas Ainil senafas.

“Oh, tulah nasihat kau? Cari lelaki lain?” Bella mengeluh panjang. Ingatkan nasihat apa tadi. Nasihat ini dah dekat 10 orang bagi dekat aku tau!

“Ye lah… kau ingat si Rizqi tu ada hati lagi ke kat kau? Nampak sangat dia nak eliminate kau dari hidup dia. Kau tahu tak dia jemput semua orang dalam unit hiburan ni pergi majlis makan-makan kat rumah baru dia?” Ainil mencucuk jarum-jarum benci pada Bella.

Really? Aku tak tahu pun! Dia ajak semua orang ke?” Terkejut Bella mendengarnya. Sampai hati Rizqi langsung tak menjemput dia ke majlis tersebut.

“Ha’ah! Pagi-pagi lagi dia datang lepas tu dia buat announcementcakap bini dia pregnant. Lepas tu dia ajak kita orang semua pergi rumah dia hari Sabtu depan. Siap bagi alamat lagi. Walhal dia tahu kau seorang je tak ada masa tu sebab ada meeting dengan Sharifah bahagian finance,” kata Ainil lagi. Sudah terang lagi bersuluh. Takkan tak nampak lagi si Bella ni?

“Oh… dia beritahu semua oranglah yang bini dia pregnant. Happy betul dia…” Bella menggigit bibirnya. Ya ALLAH kenapalah susah sangat aku nak lupakan Rizqi ni!

“Itulah aku cakap… sudah-sudahlah tu. Tak payah nak emosi sangat. Dia langsung tak kisah pasal kau. Tengok muka kau pun tak nak. Kau pulak sampai termenung sana sini teringatkan dia. Kalau dia tak nak jumpa dengan anak-anak dia… itu dia punya pasallah. Bukannnya kau halang diapun. Dia yang tak nak, kan?” Ainil memberi kata-kata semangat kepada Bella. Baginya Bella tampak terlalu lemah. Jauh lebih lemah dari mula-mula dia mengharungi perceraian dua tahun dulu.

“Okay… entahlah,” kata Bella yang masih keliru.

“Dengar sini! Be strong… ingat ALLAH! Apa-apa masalah pun semua boleh diselesaikan kalau kau ingat ALLAH,” ujar Ainil. Dia kemudian menambah. “Kau masih lagi cantik, anggun dan muda. Mesti ada yang suka dengan kau, Belle. Kau petik je jari… mesti ada yang menanti.”

“Petik je jari?” Pap! Bella memetik jarinya. “Macam tu?” katanya mengejek Ainil.

“Yelah!”

Pap! Pap! Jejarinya dipetik sambil ketawa mengakhiri perbincangan mereka berdua.

“Puan Bella Amira? Yang mana satu Puan Bella Amira ye?”

Bella dan Ainil mengangkat kepala mereka dan menjenguk keluar kubikel. Seorang lelaki muda dalam lingkungan akhir 20-an berbaju kemeja belang-belang hitam sedang berdiri di hadapan kubikel mereka. Lelaki itu tampak keliru dan tercari-cari.

“Itu dah datang! Siapa jejaka handsome tu?” tanya Ainil nakal.

“Ish! Aku tak kenallah!”

“Pergilah tengok,” desak Ainil.

Bella bingkas bangun. Dia yang memakai jumpsuit lengan panjang rona hitam dan dipadankan dengan mafela merah tampak bergaya dari kebiasaan. Lelaki itu didekati Bella.

Yes? You cari Bella Amira, kan?” tanya Bella lembut.

“Ya. Puan Bella. You kenal yang mana satu Bella?” tanya lelaki itu kembali.

“Saya Bella. Just call me Belle. Hmm and you are?”

Lelaki itu tampak terkejut. Semacam tidak percaya pula dia sedang berbicara dengan Bella Amira yang dicarinya.

“Oh, Puan Bella! Saya minta maaf! Saya Amir Daniyal. Staff branding yang baru. Bos saya, Zharif mintak saya handle program Eksplorasi buat sementara waktu sementara Nadine cuti bersalin,” jelas Amir.

“Oh, ye ke? Nadine dah cuti ye… I see. Um… jadi lepas ni saya berhubung dengan awaklah kalau berkaitan dengan program nanti?” Bella terkesima. Dia panggil aku puan lagi? Kan tadi dah cakap panggil aku Belle!

“Ya. Puan Bella contact saya aje nanti. Macam biasa boleh jumpa saya dekat tingkat atas,” jawab Amir.

“Okay, nanti awak beritahu Zharif yang saya ada beberapa perkara yang nak dibincangkan dengan dia berkaitan program. And again… tolong panggil saya Belle saja ye.” Bella sekali lagi mengingatkan Amir. Terasa segan pula dipanggil puan. Macam dah tua sangat.

“Okay Belle… Belle, kan?” sebut Amir teragak-agak.

“Ya, Belle. Hanya Belle je. Tak payah ber ‘puan-puan’.”

“Sebelum saya lupa, memang Zharif ada pesanan buat Belle,” kata Amir yang kelihatan janggal dalam menyebut nama Belle. “Dia kata akan ada rombakan dalam program Eksplorasi. Mungkin hos perlu ditukar untuk naikkan rating. By next week, team Eksplorasi boleh buat iklan untuk cari hos baru. Meeting pulak akan diadakan sebelum pencarian hos diiklankan.”

Meeting tu bila? Kalau esok boleh?” Bella mengeluh panjang. Hos baru? Siapa pula nak menggantikan hos sekarang yang sudah sedia bagus dan selesa untuk bekerjasama ni? Kalau dapat artis yang kekwat macam mana? Masalah juga ni!

“Nanti saya tanyakan Zharif semula. Can I get your number, Belle?” Amir Daniyal memberanikan diri untuk bertanya. Bella baginya kelihatan tegas dan fokus dengan kerja.

“Oh, sure. Ini kad saya.” Bella mengambil kad namanya dari meja. Dalam pada itu, Ainil sempat memberi senyuman mengusik terhadap Bella. Ada orang minta nombor nampak…

Amir Daniyal berlalu pergi. Manakala Ainil pula tersipu-sipu senyum terhadap Bella. Kan dah cakap, petik aje dah datang!

“Siapa tu?” Ainil memulakan penyiasatan.

Staff branding yang baru. Ganti Nadine cuti bersalin.”

“Oh!” Lengan Bella disiku Ainil. “Handsome jugak tu.”

“Eh! Kau gila? Dia mudalah! Aku tak naklah fikir pasal cari teman hidup. Dahlah… kita tak boleh nak lama-lama kat office. Nak kena ke Stadium Merawangsa ni. Malam ni kan ada raptai penuh ANM,” ujar Bella dengan kerutan penuh di muka. Sikit-sikit jodoh. Entah apa-apa!

***

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.