BAB 20
RIZQI
menuruni tangga. Dijenguknya ke dapur. Kelihatan Kaylina, isteri kesayangan
sedang sibuk menyiapkan sesuatu. Perlahan-lahan Rizqi memijak lantai untuk
mengelakkan Kay sedar akan kehadirannya.
“Buat apa tu?” tanya Rizqi mengejut.
Kay mengalihkan badannya. Peralatan
memasak diletakkan ke tepi. Beberapa buku roti yang di susun ke atas pinggan
cepat-cepat disusunnya rapi.
“Oh, awak ni! Selalu buat saya
terkejut,” kata Kay sambil mengurut dada. Wajahnya yang sedikit berisi itu
tampak cerah dan segar. Dia kelihatan lebih comel daripada minggu-minggu yang
lepas.
“Buat apa ni? Sarapan pagi untuk
saya?” Rizqi meneliti barang-barang yang tersusun di atas meja dapur. Ada ikan
sardin yang sudah dikeluarkan dari bekasnya, sayuran seperti kobis dan sawi,
bawang merah yang telah dihiris nipis, sos cili Kimball dan mayonis Thousand
Island. Di hujung sebelah kiri tangan isterinya pula ada sebuah bekas kecil
yang berisi benda hijau yang tidak diketahui Rizqi apa.
“Yalah,” Kay berkalih ke arah barang
persiapan sarapannya semula. “Sandwich. Awak suka tak?” ujarnya manja.
“Sukalah… apa isteri saya buat.
Semua saya suka!” balas Rizqi gembira. Badan Kay dirangkulnya dari belakang.
Seperti biasa dia akan mengusap abdomen perut isterinya. Tak sabar menantikan
cahaya mata yang dijangka lahir bulan September ini.
“Awak nak kena pergi kerja ke lepas
ni?” soal Kay. Tangannya laju meletakkan sayuran ke atas roti dan kemudian
mencedok tuna yang telah dihancurkan itu ke atas sayuran tadi pula.
“Ha’ah… Kan malam ni ANM. Anugerah
Nusantara Muzik. Saya kenalah pantau semua. Awak duduk rumah tengok saya kat
TV, okay?” bisik Rizqi ke telinga Kay. Matanya menjeling pada bekas kecil di
sebelah kiri tangan Kay. Apa benda tu?
“Mesti ramai artis datang, kan?
Bella ada sekali tak?” tanya Kay curiga. Walaubagaimanapun, api cemburunya
masih dalam keadaan terkawal.
Rizqi mengangkat keningnya. Tak
semena-mena fikirannya terlintas akan perilaku dia terhadap Bella semalam.
Kejamkah aku? “Entah. Dia… kalau dia rasa dia nak kerja lagi dengan saya, dia
datanglah. Kalau tak, dia tak datang.”
“Kenapa pulak macam tu?” Kay
mengalihkan badannya berhadapan dengan Rizqi. Namun dalam pada masa yang sama,
tangan kirinya sempat mengambil sesuatu dari bekas kecil di sebelahnya dan
diselitkan ke dalam sandwich tadi.
“Sebab….” Mata Rizqi menangkap
perlakuan Kay. “Apa benda tadi tu?”
“Apa?” Mata Kay membuntang besar.
Ah! Dia perasan?
“Tu benda hijau yang awak masukkan
dalam sandwich saya tu.” Jari Rizqi menuding ke arah bekas kecil yang diperhatikannya
tadi.
“Oh tu….” Kay tersengih. Namun
jantungnya berdegup kencang. “Sayur…. Anyway
tadi, awak tak habis cakap lagi pasal Bella. Kenapa?”
“Bella? Ah, ya… dia mengelamun masa
buat kerja. Jadi saya halau dia keluar dari konti.” Rizqi terus terlupa dengan
apa yang mahu disoalnya lagi. Fikirannya diisi dengan Bella pula.
“Hmm… saya harap dia belajarlah dari
kesilapan. Apa yang awak buat kepada dia pun untuk kebaikan kita sekeluarga,
sayang…” ujar Kay yang membelai manja rerambut Rizqi. Sandwich yang telah
disiapkannya tadi dihulurkan kepada Rizqi.
Rizqi menggigit sandwich tersebut
tanpa was-was. Baginya, rasa sandwich ini luar biasa dari sandwich di kedai
atau dibuat siapa-siapa. Terasa lebih crunchy
dan segar. Mungkin kerana ia hasil air tangan si isteri agaknya.
“Ya. Untuk kebaikan kita bertiga,”
kata Rizqi sambil memeluk Kay erat ke dada.
***
TIGA
minggu sebelumnya….
Bahagian belakang kepala Rizqi berdenyut
sakit. Bantal yang menyokong kepalanya pun tidak mampu berbuat apa-apa. Malah
makin dia berbaring lebih lama, makin sakit kepalanya. Setelah hampir sejam
tersedar dan terbaring di atas katil, Rizqi akhirnya bangun.
Dia menapak ke koridor luar kamar.
Kelibat si isteri dicari. Dia masih lagi samar-samar dengan apa yang terjadi ke
atas dirinya. Bangun-bangun saja sudah terbaring di atas katil. Walhal semalam
rasanya dia bergaduh besar dengan Kay. Namun dia sendiripun sudah lupa apa
sebab penyebab kepada pergaduhan mereka.
“Kay!” Kepala Rizqi terasa pening.
Dia berhenti berjalan dan menyandar ke dinding koridor.
Dari hujung koridor Kay datang mendekati Rizqi
dengan wajah yang tersenyum. Dia memapah Rizqi masuk ke dalam kamar semula dan
tubuh Rizqi dibaringkan.
“Awak pengsan semalam. Awak ingat tak apa yang
terjadi?” tanya Kay lembut. Rambut hadapan Rizqi diusap-usapnya perlahan.
“Entah. Saya jatuh ke? Belakang kepala ni sakit
sangat!” rungut Rizqi.
“Hmm… awak balik-balik je awak marah-marah tentang
anak-anak awak. Lepas tu awak stress
sangat kot agaknya. Awak terjatuh lepas tu belakang kepala awak terhentak
kerusi kat ruang makan,” kata Kay dalam nada sedih.
“Saya marah awak sebab anak-anak? Sebab Belina dan
Riza?” tanya Rizqi keliru. Benarkah? Dia pun masih kurang mengingati apa yang
dituturkannya semalam.
“Ya. Awak cakap Bella mengadu tentang Belina dan
Riza. Bella tuduh saya pukul anak-anak awak. Tapi sumpah! Saya tak buat semua
tu. Bella sengaja buat cerita supaya awak bencikan saya dan awak akan kembali
pada dia. Anak-anak awak pulak ikut bersekongkol dengan dia,” kata Kay
menambahkan perasa dalam cerita.
“Oh!” Rizqi seakan-akan teringat insiden di pejabat.
Bella datang ke pejabatnya dan mengadu macam-macam mengenai Kay. Gambar-gambar
Belina dan Riza yang dipukul ditunjukkannya. “Sampai hati Belle buat saya macam
ni!”
“Orang yang dengki akan buat apa saja untuk
musnahkan hubungan kita, Rizqi. Tapi kalau awak masih sayangkan dia… apa yang
saya boleh buat? Saya terpaksa mengalah dan tinggalkan awak dengan dia….” Kay
menggunakan taktik lain dalam menawan kepercayaan Rizqi. Fikiran serabut Rizqi
digunakannya untuk mengaburi segala perlakuannya terhadap Belina dan Riza serta
pertuduhan Bella terhadapnya.
“Jangan!” Rizqi menggenggam tangan Kay erat. “Saya
sayangkan awak, Kay. Saya benci orang macam Belle. Memporak perandakan hubungan
orang lain. Awak jangan tinggalkan saya! Awak cakap apa aje Kay… saya akan
ikut, sayang.”
“Hmm, kalau macam tu….” Kay tersenyum simpul. Kali
ini jeratnya mengena. “Awak janji dengan saya yang awak takkan lagi tegur Bella
dan jangan biarkan dia dekati awak lagi. Jangan percaya cakap Bella sebab dia
tu penipu. Awak juga jangan jumpa lagi dengan anak-anak awak tu sampailah
budak-budak tu benar-benar rasa bersalah dengan tindakan dia orang pada saya.
Faham?”
“Faham, sayang. Saya janji saya akan ikut cakap
awak. Saya tak sanggup lagi ditinggalkan. Saya tak nak perkahwinan kali ini
musnah, Kay!” ujar Rizqi bersungguh-sungguh.
***
Anugerah
Nusantara Muzik berakhir dengan gemilangnya. Penamat di skrin televisyen
bukanlah penamat di suasana majlis tersebut sendiri. Parti pasca majlis atau
lebih dikenali sebagai Post Party ANM diadakan di Hotel Mayangsari yang
berhadapan dengan Stadium Merawangsa. Kesemua artis termasuklah anggota
produksi Anugerah Nusantara Muzik dijemput hadir. Bella dan Rizqi juga muncul
sekadar menunjukkan muka. Hidup orang berkeluarga seperti mereka memang tidak
sesuai dengan gaya hidup popular dan sosial dunia glamor. Majlis ini sudah
semestinya akan menemui titik noktah pada jam dua tiga pagi.
Jam menunjukkan tepat pukul 12
malam. Bella hanya berminat untuk minum dua teguk air coke dan sepinggan
spaghetti carbonara. Baginya, ini semua duniawi. Kalau boleh, memang dia ingin
bergegas pulang ke rumah dan mengambil anak-anaknya dari rumah Zahlia sekarang
juga. Tetapi atas jemputan beberapa rakan artis, Bella terpaksa datang tunjuk
muka.
“Hey, Belle!”
Bella terkejut dengan kehadiran Amir
Daniyal di sisinya. Eh, balik-balik muka dia ni. Apa yang dia nak dari aku?
“Ah, hai! Tak balik lagi?” soal
Bella basa basi.
“Malam masih muda, kan?” jawab Amir
ringkas. Segelas coke di tangannya diteguk.
“Hmm… saya dah nak kena balik.
Anak-anak saya… you know. Tak boleh
lama-lama kat sini,” balas Bella. Matanya meliar ke kiri dan kanan.
Melihat-lihat jikalau Ainil masih lagi di sini. Tetapi setahu dia, Ainil itu
patuh cakap suami. Kalau suaminya pulang, dia pun ikut sama.
“Oh, betullah. Tanggungjawab tu penting.
Mak saya dulu pun single mother macam
awak juga. Dia memang pentingkan kami. Sejak ayah tak ada, dia banyak berkorban
masa dan tenaga untuk besarkan kami berdua. Pity
her… she died early,” cerita Amir ringkas. Dia cuba untuk menahan Bella
dari berlalu pergi. Entah mengapa, Bella begitu menarik perhatiannya sejak dari
pagi tadi lagi.
“Maaf kalau Belle tanya. How old is she when she died?” tanya
Bella teruja mendengar cerita Amir.
“Muda. Lebih kurang umur awak. Dalam
30-an. 37 tahun.”
“Oh, okay. Bapa awak meninggal umur
berapa?” Bella jatuh kasihan mendengar kisah hidup Amir tanpa ibu bapa pada
usia yang muda.
“Umm… Around 30 tahun macam tu,” kata Amir tanpa perasaan sedih terselit
di hati lagi.
“Awak mesti hidup berdikari, kan? Saya tak
tahu macam keadaan anak-anak saya kalau saya tak ada dalam dunia ni. Mereka
berdua akan kehilangan arah.” Bella cuba membayangkan dia sebagai ibu Amir dan
Amir pula anaknya. Bagaimana jikalau dia pergi dahulu? Siapa yang nak menjaga
Riza yang masih lagi kecil? Mahukah Rizqi mengambil hak penjagaan itu jikalau
sekarang pun Rizqi tak mahu mengambil tahu soal mereka sekeluarga lagi?
“Ya, tapi perkara dah lama berlalu.
Saya pun tak ingin nak ingat lagi.”
“Kalau boleh saya tahu… sebab apa
mak awak meninggal?” tanya Bella lagi.
“Tu… Rizqi asyik pandang awak.” Amir
pantas menukar tajuk. Dia kalau boleh tidak mahu lagi mengingati kisah lampau.
Rizqi yang asyik memerhati mereka sejak dari mula Amir berbicara dengan Bella
dijadikan sasaran untuk mengubah topik perbincangan.
“Mana?” Bella menoleh. Matanya
bertentang dengan mata Rizqi yang sedang berdiri dekat dengan susunan makanan
spaghetti dan kek.
“Biarkan dia,” kata Bella tidak
mengendahkan perilaku Rizqi. Dia kembali memandang Amir.
“Dia suka awak ke? Saya nampak dia macam
orang cemburu. Asyik tenung awak macam orang gila,” telah Amir. Sebagai seorang
lelaki, dia memahami reaksi seorang lelaki lain jikalau mereka meminati gadis
yang sama.
“Biarlah orang gila tu. Saya tak
kisah pun kalau dia nak tenung sampai nak tercabut mata. Bukan dia boleh buat
apa-apa,” kata Bella sambil ketawa. Kepalanya sempat menoleh ke arah Rizqi dan
menjeling lelaki itu tajam.
“Awak tahu tak… lelaki boleh
bertindak gila kalau dah cemburu tau. Dia dah kahwin, kan?” Amir merasakan
hubungan Bella dan Rizqi mungkin lebih dari seorang bos dan pekerja.
“Dah. Dua kali. Isteri pertama dah
bercerai. Sekarang isteri kedua,” jawab Bella bernada malas. Dia belum bersedia
untuk menceritakan hal sebenar kepada Amir. Orang baru kenal. Takkan nak
beritahu semua hal soal hidup kita, kan?
“Oh… dia nak jadikan awak nombor
tiga dialah kot?” Amir berseloroh.
Bella ketawa terbahak-bahak. Nombor
tiga? Lawak antarabangsa apa ni? “Hopefully
not! Okay… saya nak kena balik sekarang ni. Its getting late. Dah pukul satu. Jumpa minggu depan! Bye!”
Sekali lagi Bella meninggalkan Amir
dalam keadaan tergesa-gesa. Dia datang macam bayu, tetapi dia pergi macam ribut.
Namun Amir tahu pasti ada hubungan istimewa di antara Bella dan Rizqi. Kalau
tak, masakan Bella terlalu santai akan perilaku Rizqi yang semacam gila itu.
Mengapa pula Rizqi bagai orang diamuk cemburu apabila melihat dia bersama
Bella?