BAB 7
BELLA
AMIRA tersenyum lebar saat melihat kedua-dua orang anaknya turun dari tingkat
atas bersama beg kecil yang bergantung di bahu. Ia telah menjadi rutin selama dua
tahun kebelakangan ini di mana Bella menghantar Belina dan Riza ke rumah ibu
mertuanya sekiranya kanak-kanak itu bercuti panjang. Pabila sekolah dibuka
nanti, jadual Bella akan berubah. Awal pagi, dia akan menghantar anak-anaknya
ke sekolah dan petang nanti dia akan mengambil mereka pulang dari rumah
Fauziah. Selalunya pada musim cuti, anak-anak Bella lebih gemar tinggal bersama
nenek mereka kerana dapat bermain bersama Natasya dan Haziq.
Namun hari ini, Bella bercadang
untuk membawa anak-anaknya pulang untuk memberi ruang kepada ahli baru keluarga
bekas mertuanya, Kay untuk bernafas. Nanti kalau Kay dan Rizqi sudah berlepas
untuk berbulan madu, dia akan menghantar anak-anaknya semula ke sini.
“Belina, Riza!” Bella mencium dahi
anak-anaknya sambil mengusap lembut kepala mereka berdua. Belina yang berusia
12 tahun itu kini sudah tinggi separas pinggangnya. Manakala Riza hanya dua
jengkal rendah dari si kakak.
“Mama, hari ni tidur kat rumah kita,
ye?” tanya Riza.
“Ya… barang-barang semua dah ambil
tak?” Bella memeriksa beg anak-anaknya.
“Belle… duduk makan malam dulu.”
Suara Fauziah tiba-tiba mencelah dari dapur.
Dia menjenguk ke ruang tamu sambil menggamit tangannya supaya Bella
mendekat.
Bella meninggalkan Belina dan Riza.
“Kenapa mak? Belle ingat nak bawa budak-budak ni makan luar aje.” Berat hatinya
nak menerima pelawaan Fauziah. Tambah-tambah pula kini Kay sudah sah menjadi
ahli keluarga bekas ibu mertuanya. Bukan Bella tak boleh menerima kenyataan
yang Rizqi sudah berkahwin, dia cuma… tidak serasi berganding dengan Kay. Bella
sendiri tidak tahu apa sebabnya.
“Alahai… Belle! Marilah. Makan
sekejap je. Lepas makan, Belle baliklah. Takkan Belle tak sudi nak makan
masakan mak?” Fauziah memujuk.
Bella jadi serba salah. Dia tidak
mahu mengecewakan hati bekas ibu mertuanya yang baik budi. “Hmm… baiklah! Tapi
lepas makan, Belle kena terus balik tau.”
Fauziah tersenyum lebar. Dia dan
Diana mula menghidang makanan ke ruang makan. Setelah semuanya selesai,
ahli-ahli rumah yang lain dipanggil turun untuk menjamu selera.
Kay dan Bella sekali lagi semeja. Tetapi kali
ini Bella memilih untuk duduk lebih jauh dari Rizqi dan Kay. Dia duduk bersebelahan
bekas ibu mertuanya iaitu di hulu kanan meja. Manakala Rizqi pula duduk di hulu
kiri meja tersebut dengan Kay duduk di sebelah kanannya.
Masing-masing hanya menumpukan
perhatian untuk memenuhkan perut yang kosong. Setelah lebih 15 minit sepi
dengan dentingan pinggan serta kutleri mengiringi mereka, Rizqi akhirnya
bersuara.
“Belle, ada sesiapa beritahu awak
tentang program CSR banjir ke pantai timur tak?” tanyanya.
Kedepang! Tulang ayam yang sedang
digigit Bella terjatuh ke atas pinggan yang licin. Dia mengangkat kepalanya
sambil mengerutkan dahi ke Rizqi. “Tak ada,” jawab Bella sepatah.
“Tak ada sesiapa Whatsapp awak atau email tentang hal ni?” Sekali lagi Rizqi
bertanya.
Kay yang berada di sebelah Rizqi
sudah berhenti dari mengunyah. Matanya difokuskan kepada Bella. Jantungnya
berdegup kuat.
“Tak ada. Saya tak tahu apa-apa pun.
Lagipun office lengang sebab
kebanyakan staff masih bercuti.”
Bella dapat merasakan bahawa semua mata di keliling meja itu terfokus pada dia
dan Rizqi. Perbualan yang tidak dirancang. Tak ada masa lain ke nak berbincang
tentang hal ni? Depan si Kay pulak tu!
“Oh… kalau macam tu, awak sampaikan
kat budak-budak office yang ada besok
supaya join program tu. Show support sikit. Jangan asyik nak
pergi program hiburan aje. Yang CSR ni semua malas. Kalau Belle nak join pun boleh. Just contact Encik Saiful,” kata Rizqi lagak bos memberi arahan.
Bella mengangguk. “Okay. Esok saya
beritahu. Tapi… saya maybe tak
ikutlah. Sebab… you know… saya baru
saja balik dari Australia.” Bella terasa perbualan mereka terbatas dek kerana
menjadi perhatian semua orang termasuk bekas ibu mertuanya yang kini sudah
berhenti makan. Masing-masing saling pasang telinga.
“Nevermind.
Saya beri pengecualian pada awak, Belle,” jawab Rizqi ringkas.
Brak! Kerusi Kay ditolak kasar. Dia
bangun sambil mengangkat pinggannya yang separa kosong. Masih ada tersisa nasi
dan ayam yang separuh bersentuh. “Saya dah selesai,” kata Kay yang seterusnya
bangun menuju dapur.
Tindakan Kay memberi tamparan
mengejut kepada Bella yang merasakan Kay cemburu dengan kata-kata yang
dilontarkan Rizqi kepadanya. Kay merajuk? Akukah yang bersalah? Hati Bella
bergolak.
“Kay..? Dia okay tak?” Diana
menjeling pandang pada Bella yang berada di sebelahnya. Kemudian pandangannya
beralih pada Rizqi yang selang satu kerusi darinya.
“Dia? Entah.” Rizqi menaikkan keningnya.
Perasaan Rizqi bercampur baur. Antara pelik dan rasa bersalah. Kay merajuk?
Tapi kenapa? Bukannya dia bercakap soal dari hati ke hati dengan Bella. Ia soal
kerja.
“Takpe. Belle pergi tengok dia.”
Bella menawarkan dirinya.
***
SUARA
tangisan sedu sedan kedengaran di ceruk dapur. Bella mengintai perlahan-lahan
dari balik dinding yang menghadangi dapur dan ruang makan.
“Kay?” panggil Bella. Satu persatu
kakinya melangkah mendekati Kay dari arah belakang. Suara Kay tersedu-sedan
kedengaran lebih kuat.
“Kay? Saya minta maaf kalau awak
terasa,” kata Bella lagi. Kaki Bella berhenti melangkah. Tinggal lima tapak
lagi antara dia dan Kay.
Kay berhenti menangis.
Perlahan-lahan dia berkalih. Tangan kanan Kay memegang sebilah pisau tajam.
Manakala telapak tangan kirinya berlumuran darah. Darah itu kini menitik-nitik
jatuh ke lantai.
“Kay!” Bella separuh menjerit.
Degupan jantungnya berdebar kencang. Kedua-dua belah tangan Bella menekup
mulutnya yang hampir-hampir saja menghamburkan muntah. Darah likat pekat itu
makin membasahi lantai dan Kay hanya terdiam merenung Bella bagai wanita psiko.
“Kay,
what did you do to yourself?!” Bella merampas pisau tersebut dari tangan
Kay. Pisau tersebut dicampak ke singki.
Kay tersenyum sinis. “Rizqi! Rizqi! Tolong
saya!” jeritnya kuat. Air mata mula berhamburan jatuh.
Bella jadi cemas. Apa yang Kay cuba
lakukan kepadanya?
Sebaik sahaja Rizqi masuk ke dapur,
Kay berlari mendapatkan suaminya dan memeluk lelaki itu erat. Dia menangis
semahu-mahunya. Bella pula tercengang tidak memahami apa yang sedang terjadi.
“Kenapa ni?” Rizqi jadi panik
melihat tangan Kay yang berdarah teruk. Hirisan dalam pada telapak tangan Kay
membuatkan darah memancut-mancut ke seluruh lengan wanita itu dan kini ia
merebak ke baju Rizqi apabila Kay mendakapinya erat.
Fauziah dan Diana juga tercengang
melihat apa yang terjadi. Natasya disuruh membawa kanak-kanak yang lain naik ke
kamar. Fauziah tidak mahu cucu-cucunya fobia melihat darah yang sebegitu
banyak.
“Belle? Apa yang jadi ni?” Rizqi
menyoal dengan nada yang agak keras. Tangan isterinya ditekap dengan tuala yang
tersimpan di laci dapur. Kay dipeluk erat.
“Saya… saya tak tahu, Rizqi. Saya
masuk-masuk dapur je… tangan dia dah berdarah. I don’t know!”akui Bella.
“Sayang? Kenapa ni?” Rizqi mengangkat
wajah isterinya dan merenung mata Kay yang berkaca dalam.
Kay tidak membalas. Dia hanya
menangis. Menahan pedih di tangan dan di hatinya.
“Sayang! Tell me!” Rizqi mendesak. Matanya memicing penuh amarah.
“Bella… dia….” Kay tidak
menghabiskan kata-katanya. Dia kembali menekup wajah ke dada Rizqi.
“Dia apa?!” Rizqi mula naik angin.
Matanya kini pula tertumpu pada Bella. Manakala Diana dan Fauziah hanya berdiam
melihat drama mereka bertiga.
“Dia buat….” Kay akhirnya meluahkan
kata-kata.
Bella terpempan mendengar pengakuan
Kay. Bagai nak luruh jantungnya menahan terkejut yang amat. Kay menipu!
“Ya ALLAH! Kay? Saya tak buat
apa-apa pun dekat awak! It’s you!
Awak yang pegang pisau tu!” Bella mempertahankan dirinya. Pandangan sayu
dilayangkan ke arah Diana dan bekas ibu mertuanya. Kedua-dua mereka masih
bingung dalam menilai siapa yang betul atau salah.
“Shut
up, Belle! How could you do this to my wife?” Termometer amarah Rizqi
meledak. Bella ditarik keluar dari dapur.
“Rizqi! Saya tak buatlah. Isteri
awak tu… dia yang….”
“Diam!” Rizqi menjerkah ke muka
Bella. “Awak nak cakap Kay menipu? Dia tipu saya?”
Bella terdiam mendengar bicara
Rizqi. Bibirnya terketar-ketar. “Lepas tu… awak ingat saya tipu awak? Awak rasa…
saya tergamak buat benda macam tu dekat dia?”
“Mana saya nak tahu awak tergamak ke
tak? Kalau orang dah cemburu… dah benci… macam-macam dia orang boleh buat!”
sembur Rizqi.
Bella tergeleng-geleng mendengar
bicara Rizqi. “Sampai hati awak cakap saya macam tu…. Thanks for the dinner. I’m taking the kids home!” Hati Bella Amira
terguris dalam.