Home Novel Thriller/Aksi Jangan Percaya!
Jangan Percaya!
Syaida Ilmuna
1/3/2015 12:13:19
68,292
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 15

BAB 15

TERNGIANG-NGIANG lagi di telinga Zahlia akan bicara kasar Bella terhadapnya tengah hari tadi. Tangan lembut Bella pantas saja menepis tangan tua lagi berkedutnya bagaikan dia ini tiada nilai kepada anaknya itu. Berdendam sungguh Bella Amira kepadanya, ya? Marah sungguh Bella kepadanya sehingga kemaafan itu tidak mampu diperoleh lagi.

Salahkah dia? Salahkah dia menjadi seorang ibu yang prihatin kepada anak tunggalnya? Semenjak kematian suami hampir 10 tahun yang lalu, Zahlia mencurahkan segala kasih sayangnya pada Bella. Anak-anak Bella adalah cahaya dalam hidupnya. Rizqi pula Zahlia anggap sebagai pelindung kepada si jantung hati, Bella.

Hubungan akrabnya dengan Fauziah membuatkan dia berkongsi segala cerita dengan wanita itu. Dari hal rumah tangga, kasih sayangnya kepada Bella dan juga rahsia yang dimilikinya dan anaknya. Rahsia mengenai keupayaan deria keenam mereka. Mempunyai firasat dan dapat membaca minda manusia yang mereka kehendaki. Itupun dengan izin ALLAH, TUHAN yang Maha Mengetahui Segala-galanya.

Pada awalnya, Bella Amira gemar berkongsi akan pengalaman deria keenam yang dimilikinya itu kepada Zahlia. Bella hanya dapat merasai tentang perkara yang bakal berlaku ataupun telah berlaku sebelumnya. Dia tidak boleh membaca minda manusia lain. Kebolehan Bella terhad. Zahlia juga bersyukur kebolehan anaknya itu sampai di situ saja. Itu sudah cukup untuk Bella. Dia tahu Bella bukanlah sekuat mana. Dia tidak berupaya untuk mengawal emosinya. Takut-takut nanti Bella akan trauma seperti dirinya awal-awal dahulu.

Tetapi setelah Bella mendirikan rumah tangga dan mempunyai anak-anak, Bella mula mengabaikan deria keenam yang dimilikinya. Dia lebih suka menjadi manusia biasa. Hidup seperti orang biasa-biasa. Bebas dari firasat atau bayangan yang datang menghantui. Sampai suatu ketika, Bella mula menyalahkan keturunan keluarganya atas sebab dia memiliki deria ini.

Dia mula mengungkit dengan mengatakan Zahlia memakai ilmu hitam dan saka. Walhal, Zahlia tidak pernah mengamalkan semua itu. Zahlia bertegas mengatakan ia datangnya dari ALLAH. Kurniaan yang bukan dipintanya dan diterimanya dengan penuh kesabaran. Tetapi Bella kurang mengerti lalu perlahan-lahan makin menjauhkan dirinya dari Zahlia dan juga dari Penciptanya.

“Belle, kuliah malam jumaat ni datang tak? Mama jemput ustaz datang rumah.” Zahlia cuba bertanya buat kali yang ketiga setelah Bella hanya berdiam sambil meneleku telefon pintarnya.

Bella melepaskan nafas kasar. “Bella ada hal. Ada shooting malam tu, ma. Lagipun Rizqi sibuk. Kalau dia tak ada, Bella tak naklah datang.”

Zahlia hanya menggeleng-geleng. Dia tidak tahu cara bagaimana lagi yang dia harus lakukan supaya Bella mendengar bicaranya dan memahami kasih sayangnya. Namun semuanya bertambah rumit apabila Zahlia dapat menghidu sesuatu yang tidak kena dengan Rizqi. Dia mengambil keputusan untuk memberitahu firasat hatinya kepada Bella.

“Belle… mama rasa Belle kena tahu tentang hal ni,” ujar Zahlia berhati-hati. Dia tidak mahu mengecewakan hati Bella yang dia amat sayangi.

“Tentang apa mama?” Bella bertanya dalam nada acuh tidak acuh. Fokusnya hanya tertumpu pada Riza yang ketika itu hanya berumur dua tahun.

“Rizqi selalu balik lewat, kan?”

Bella menaikkan kening kirinya. Terkejut. Pandangannya beralih pada Zahlia, manakala Riza yang berada di atas walker.

“Mana mama tahu?” soalnya serius.

“Belle tahukan mama akan tahu tentang hal ni.”

“Apa yang mama tahu?” Bella menginginkan jawapan segera. Hatinya juga memang selalu saja berasap cemburu akan perilaku Rizqi yang tidak tentu arah semenjak dua menjak ini.

“Dia… ada perempuan lain?” Batu keresahan di hati Zahlia akhirnya dilepaskan.

“Kenapa mama cakap macam tu?” Bella seakan-akan tidak setuju.

“Di fikirannya ada orang lain. Selain Bella… dan anak-anak,” kata Zahlia.

Air mata Bella menitis satu persatu. Minda menolak mentah-mentah akan telahan Zahlia. Tetapi naluri hatinya kuat mengiyakan bicara si ibu. Apa yang boleh Bella lakukan?

Zahlia merasakan dialah punca perpisahan Bella dan Rizqi. Setelah firasatnya mengenai Rizqi diberitahu kepada Bella, tidak kurang dari dua bulan selepas itu Bella dan Rizqi berpisah. Membawa haluan masing-masing. Bella juga pernah berjanji yang dia tidak akan menerima Rizqi kembali.

Kemaafan itu memang sukar diperoleh dari Bella. Entah apa salah Rizqi selain dari menduakannya. Zahlia tidak tahu. Malah Bella juga tidak pernah menyatakannya apa. Tetapi hatinya kuat mengatakan Bella tidak suka diduakan. Benci apabila janji-janji dimungkiri. Bagi Bella, kemaafan itu terlalu suci. Sampai bila-bilapun hatinya akan terluka. Terluka dan pada masa yang sama masih mencintai Rizqi sedalam-dalamnya.

Zahlia menekur wajah. Titisan-titisan air mata menitis keluar dari takungan tangan jatuh ke meja tulisnya.

“Maafkan mama, Bella Amira. Mama tak patut masuk campur soal perkahwinan Bella dan Rizqi. Mama cuma sayangkan Bella. Hari ini dan untuk selamanya… biar mama sayang Bella dari jauh saja. Mama maafkan kesalahan Bella yang mengguris hati mama. Semoga segala urusan hidup Bella dipermudahkan,” bicara Zahlia tersedu-sedan. Dia percaya, doa seorang ibu seperti dia dapat menyelamatkan Bella dari belenggu masalahnya.

***

KOTAK cereal Coco Cruch dihempas Bella ke atas meja. Belina menggigit bibirnya. Manakala Riza pula tidak berani untuk mengangkat mata ke arah Bella. Takut mereka berdua dengan perilaku Bella. Baru keluar dari mulut raksasa Mak Cik Kay, kini mereka masuk pula ke dalam lahar amarah ibu mereka. Kini kedua-dua orang anak kecil ini buntu dengan apa yang harus mereka lakukan. Diluah mati emak, ditelan mati bapa.

“Makan! Lepas makan… basuh pinggan sendiri!” arah Bella. Dia menuju ke ruang tamu dan memetik alat kawalan jauh.

Kedua-dua orang adik beradik itu tiada selera untuk menjamah sarapan pagi mereka. Masing-masing saling menyalahi antara satu sama lain atas apa yang berlaku.

“Riza… minta maaflah dengan mama!” Belina mencubit peha Riza.

“Akaklah pergi minta maaf kat mama!” Riza membalas pula.

“Okay… apa kata kalau kita pergi minta maaf dekat mama sama-sama?” Belina melontarkan ideanya.

“Okay, jom!” Riza menarik lengan kakaknya berjalan menuju ke ruang tamu.

“Mama!” Belina dan Riza menyeru. Tangan kanan Bella ditolak-tolak mereka.

“Kenapa?” Bella menjeling sipi. Matanya kembali menatap skrin televisyen.

“Kami nak minta maaf. Kakak dengan Riza sayang mama!” ujar Belina memujuk.

“Kalau sayang mama… kenapa tipu mama?”

Riza menggigit jejarinya. Belina pula menundukkan wajah.

“Dia ugut anak-anak mama, ye?” Bella meneka. Kalau Kay tak mengugut mereka dengan sesuatu yang menakutkan, sudah pasti anak-anaknya itu akan memberitahu hal yang sebenar.

“Mama… Belina dengan Riza tak nak tinggal dekat rumah papa lagi. Kita orang nak duduk dengan mama je. Dengan mama atau nenek,” kata Belina memberi kata putus.

Dahi Bella berkerut-kerut. Kenapa susah sangat nak mengaku yang Kay tu pukul mereka? Sanggup pula mereka menipu dia hanya untuk menangkan Kay? Ah, sudah! Kalau difikir-fikir boleh gila jadinya.

“Hmm, okay mama maafkan.” Bella mengambil pendekatan untuk berlembut dengan anak-anaknya. Kalau ditekan-tekan takut nanti terganggu pula emosi kanak-kanak ini. “Tapi… Riza dengan Belina kena janji dengan mama akan satu perkara.”

“Apa ma?” tanya Riza bingung.

“Kalau lepas ni… Mak Cik Kay kacau anak mama lagi, mama nak Belina dan Riza beritahu mama cepat-cepat. Biar mama ajar dia cukup-cukup! Lepas tu adukan dekat papa. Biar papa tahu perangai isteri dia macam mana!” kata Bella berkobar-kobar.

Namun dia terlupa anak-anaknya itu masih kecil dan tidak begitu memahami secara mendalam maksud isi bicaranya. Bella sebenar-benarnya mahu Rizqi menghukum Kay dan melihat sisi baik dalam dirinya sebagai seorang ibu kepada anak-anak mereka. Dalam pada masa yang sama juga, Bella tidak tahu bahawa anak-anaknya juga terlalu takut untuk berhadapan dengan Kay. Kay yang digelar raksasa maha jahat itu bukanlah lawan mudah bagi mama Belina dan Riza yang superhebat ini.

“Okay mama!” Kedua-dua anak Bella mengangguk-angguk kononnya faham.

***

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.