Home Novel Thriller/Aksi Jangan Percaya!
Jangan Percaya!
Syaida Ilmuna
1/3/2015 12:13:19
68,215
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 14

BAB 14

TELAPAK tangan Zahlia dilekapkan ke dahi Bella. Tak sampai seminit, telapak tangan tersebut melantun naik ke atas bagai terkena renjatan elektrik yang menyentap hingga ke jantungnya.

“ALLAH!” Zahlia mengurut-ngurut dada. Mujur saja dia tidak terpelanting ke dinding. Apa kena dengan Bella sebenarnya? Sampai nak sentuh kepalanya pun terasa ada arus elekrtrik yang sedang mengetit-ngetit di tangan.

“Lia? Kenapa? Kenapa dengan Belle ni?” tanya Fauziah tidak berpuas hati. Dia tahu benar kebolehan Zahlia dalam membaca fikiran seseorang dengan hanya bersentuhan sahaja. Tapi kali ini nampaknya keupayaan Zahlia terbantut.

“Tak tahulah. Macam ada elektrik dekat kepala dia ni. Mungkin sebab dia terlalu banyak berfikir. Mungkin jugak sebab dia… dia macam alami suatu perkara yang di luar keupayaan dia. Entahlah!” Zahlia berkerut dalam. Cuba memahami apa yang dialami puteri tunggalnya.

“Dia lebih kurang macam nilah masa malam Rizqi bawa Kay datang ke rumah. Tapi lagi teruk. Sampai badan melantun ke dinding. Nasib baik aje tulang belakang tak patah. Aku ni risau… takut ada apa-apa dengan dia,” ujar Fauziah sambil mengerling pada Belina dan Riza. Cucu-cucunya jadi takut untuk mendekati ibu mereka. Trauma kerana perkara ini sudah terjadi buat kali yang kedua.

“Aku ni mak dia lagi risau….” Zahlia melepaskan keluhan berat. Tangan Bella diurut-urut. Bibir kering anaknya dititiskan air suam. Dia bingung memikirkan apa sebabnya Bella jadi begitu. Setahu dia, Bella tidak mewarisi sepenuhnya kebolehan deria keenam yang dia miliki. Bella hanya boleh merasa dan menjangka sesuatu buruk atau baik yang bakal berlaku. Dia tidak memiliki keupayaan lebih dari itu.

“Apa yang kau nak buat? Nak bawa dia jumpa ustaz untuk berubat? Atau nak biarkan dia macam ni je?” tanya Fauziah yang mahukan solusi. Walaupun Bella bukan lagi menantunya, namun dia masih sayangkan Bella bagai anaknya sendiri.

“Kalau nak bawa dia berubat tu… boleh. Tapi takut dia yang tak nak. Aku tak nak paksa dia. Kau pun tahu dia memang benci sangat dengan aku. Tapi aku tahu dia dengar cakap kau, Zee. Kau nasihatkanlah dia supaya jangan tinggal solat, kerapkan mengaji… ingat ALLAH. Insya-ALLAH dia boleh kawal kebolehan yang dia ada tu. Lagipun sejak dari kecil lagi dia dah ada kebolehan tu. Cuma kita tak tahu. Mungkin sekarang kebolehan tu terserlah.

Walau bagaimana sekalipun, aku harap Bella Amira kuat. Aku sayang dengan dia, Zee. Sekarang ni aku boleh tengok dia dari jauh aje. Dia nak tengok muka aku, nak salam tangan aku, nak tegur aku… jauh sekali dia nak. Aku memang rasa bersalah…. Bersalah sebab jadi penyebab…” bicara Zahlia tersekat-sekat. Air matanya luruh ke pipi. Pedih hatinya mengingatkan perilaku Bella terhadap dia. Bagaikan dia ini kain buruk yang tidak diperlukan.

“Syyh sudah!” Jari telunjuk Fauziah menekan bibir Zahlia rapat. “Takdir. Anggap semuanya takdir. Benda dah berlaku. Dia dah tak ada jodoh dengan Rizqi. Apa yang kita boleh buat? Sebagai ibu, kau doakan dia. Doakan dia supaya jadi kuat dan berupaya untuk lalui semua dugaan yang dia tempuh.”

“Insya-ALLAH.” Zahlia mengelap air mata menggunakan hujung tudung sarung yang dipakainya. Wajah Bella Amira ditatap sayu.

“Belina… Riza….” Bella meracau. Matanya separa terbuka. Tangannya pula menggapai-gapai ke udara.

Anak-anak Bella berlari mendapatkan ibu mereka. Mereka berdua saling mencium pipi Bella yang halus itu.

“Sayang.” Bella membuka matanya luas. Dia bangun dari pembaringan dengan bantuan Diana dan Fauziah. Manakala Zahlia menapak ke belakang. Jauh dari pandangan Bella. Dia hanya menatap Bella dari balik dinding ruang makan.

Telapak tangan Belina disentuh Bella perlahan. Bercalar-balar. Terdapat beberapa kesan luka yang dalam. Kemudian, lengan Riza pula disentuhnya. Berbirat merah. Saat tangannya menjalar naik ke bahu, Riza menjerit sakit. Bella memeluk kedua-dua anaknya erat.

“Apa yang dia buat… dengan Riza dan Belina?” tanya Bella tenang.

Fauziah, Diana dan Zahlia tercengang mendengar bicara Bella. Keadaan fizikal Riza dan Belina tidak begitu mereka perasan sehinggalah Bella membicarakan tentang ia pada saat ini. Patutlah kedua-dua adik ini beradik diam seperti dikunci mulut mereka.

“Cakap dengan mama sayang.” Bella memujuk. Wajah Riza diteleng ke mukanya.

Riza mengunci bicara. Begitu juga dengan Belina. Mereka seperti bersepakat untuk tidak membicarakan apa-apa.

“Riza… kan mama tanya tu? Kenapa tangan jadi macam ni?” Diana sudah hilang kesabarannya. Sakit juga hatinya melihat anak-anak buahnya diperlakukan sebegini.

Riza menggeleng-geleng. Belina tertunduk diam.

Zahlia yang berada dari jauh datang mendekat. Wajah Belina dan Riza dipandangnya lembut. Saat tangannya ingin mencapai lengan Belina, Bella terlebih dahulu menepisnya kasar.

Don’t you ever try to do that to my children.Belle tak izinkan,” kata Bella tegas. Pendiriannya tetap. Dia tidak suka Zahlia membaca fikiran anak-anaknya. Dia juga bencikan kebolehan deria keenam yang dimiliki sama ada oleh ibunya atau dirinya sendiri. Semua itu bagi Bella… nonsense!

“Belle… mama minta maaf. But let me try… mana tahu kita boleh meneka apa yang terjadi pada mereka,” ujar Zahlia penuh sabar.

“Tak ada siapa pun kat sini minta pertolongan mama.” Bella menolak permintaan Zahlia. Dia cukup anti dengan apa sahaja yang ingin diperlakukan oleh ibu kandungnya itu. “Kak Long, Belle nak pergi rumah Rizqi. Kak Long tolong bawakan Belle ke sana. Belle tak tahu kat mana rumah dia.”

“Tapi Belle… nak pergi sana buat apa? Bukan kita boleh suka-suka tuduh siapa yang buat semua ni,” Diana menggaru kepalanya. Baru balik dari TV 10 dah nak ke Shah Alam pulak! Tak letih ke Bella ni?

“Belle nak jumpa dengan Kay. I knew she did this to my children. Belle dah tak boleh sabar lagi!” ujar Bella sambil berjalan laju menuju ke porchkereta.

***

BAM! Pintu kereta dihempas kuat. Tanpa berlengah, Bella menarik Belina dan Riza keluar dari perut kereta. Diana pula hanya mengikut dari belakang. Dia tidak berani masuk campur apabila Bella sudah naik angin.

Kay yang berdiri di pintu kaca berhadapan dengan laman memerhati gerak geri Bella menghampiri rumahnya. Dia dengan tangkas melangkah ke tingkat atas. Kelibat Rizqi dicari.

“Rizqi?” panggil Kay perlahan.

“I dalam toilet. Kenapa?” Suara Rizqi kedengaran bergaung dari kamar mandi di bilik mereka.

Kay menarik nafas lega. Dia mendekati pintu kamar tersebut. “Tak ada apa. Saja cari awak kat mana. Diam aje kat atas ni.”

“Oh… nanti saya turun,” balas Rizqi.

Tangan Kay pantas mengunci pintu kamar mandi tersebut dari luar. Kerusi di meja solek disendalkan ke pintu.

Sebaik sahaja dia turun, loceng rumah berdenting-denting bunyi tanpa henti. Nampak benar tetamu yang datang itu dalam keadaan marah. Kay sempat menguis-nguis rambutnya yang kelihatan berserakkan sebelum membuka pintu utama. Dia harus tampil tenang dan yakin. Kedatangan Bella pastinya dengan satu tujuan. Semestinya ia berkaitan Belina dan Riza.

Dia meluru ke pagar dan membuka mangga yang terkunci. Bella yang bagaikan peluru berpandu sedia untuk meletup itu disambut dengan senyuman sinis tapi manis.

“Bella… kenapa datang tak beritahu?” sapa Kay lembut.

Bella bersedia dengan tangan dicekakkan ke pinggang. Belina dan Riza pula hanya menyorok di belakang Diana yang berdiri berdekatan dengan kereta.

“Mana Rizqi?” Bella tidak membalas pertanyaan alu-aluan Kay yang baginya begitu hipokrit. Berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku. Walhal Kay sudah semestinya menantikan kedatangan mengejutnya pada petang ini.

“Rizqi tak ada, Bella. Masuklah… minum-minum dulu.” Kay ajak-ajak ayam. Matanya sempat mengerling pada Belina dan Riza yang menikus di belakang Diana.

Don’t lie to me! Tu kereta dia tu apa?” Jari Bella menuding ke arah Honda Civic milik Rizqi. Sah-sah menipu! Jangan nak berdalih!

“Kenapa you nak jumpa dia sangat ni?” Topeng kelembutan Kay dicampak ke tepi. Dia pun ikut meninggikan kepala dan bercekak pinggang. Bella tidak boleh diberi muka lagi.

“I nak report dengan dia tentang perlakuan isteri dia yang baik sangat ni. Apa yang you buat dengan anak-anak I?!” Bella menjegil. Nafasnya naik turun menahan kemarahan di dada.

“Buat apa? I tak buat apa-apa pun!” Kay menggeleng-geleng. Riza dan Belina dipandang sekilas. Senyuman dihamparkan buat Diana seperti dia langsung tidak memahami apa maksud bicara Bella.

“You jangan nak berdalih eh, Kay. Tengok tangan Riza!” Bella menarik Riza keluar dari menyorok di belakang Diana. Tangan anaknya yang berbirat merah itu ditunjukkan pada Kay. Kemudian Bella mengambil telapak tangan Belina pula. Luka di tangan Belina ditunjukkan juga pada Kay.

Oh my GOD! Kenapa ni Belina… Riza? Demi TUHAN, I tak tahu apa yang terjadi dekat budak-budak ni!” Kay berpura-pura terkejut. Wajah risaunya ditonjolkan. Dia memandang ke arah Diana meminta simpati.

“You sure ke you tak tahu ni, Kay?” Diana bagaikan tidak percaya. Wajah Kay kelihatan naif. Benarkah Kay sanggup buat perkara sebegitu?

“Sumpah! Saya tak tahu, Kak Long!” kata Kay sambil menepuk-nepuk dadanya.

Bella sudah menyampah dengan auta yang dipamerkan Kay. Sumpah? “Kalau bukan you yang buat? Siapa yang buat? Rizqi? I balik-balik aje dari Kelantan… fizikal dia orang dah macam ni! Siapa lagi kalau bukan you, kan?”

“Bella… suka-suka aje you tuduh I. You tanyalah budak-budak ni. Did I do anything to them?Sayang… mak cik ada buat apa-apa ke?” Kay cuba menguis rambut Riza. Namun tindakannya pantas ditepis Bella.

Riza look at me, sayang. Cakap dengan mama… Mak Cik Kay buat apa dengan Riza dan Belina?” soal Bella pula.

Riza dan Belina diam tak mampu berbicara apa-apa. Mata mereka hanya memandang ke bawah. Tidak mahu menatap wajah ibu mereka yang telah ditipu dan juga tidak mampu menatap wajah Kay yang mereka label sebagai raksasa maha jahat itu.

Ask them Bella. Tengok apa yang dia orang akan jawab.” Kay yakin yang Belina dan Riza hanya akan mengunci bicara.

“Sayang?” Bella sekali lagi bertanya. “Mak Cik Kay kan yang buat? Talk to me! Jangan buat mama macam ni!”

Diana menunduk pada Riza. “Riza… jawab soalan mama tu!”

Belina menarik tangan Riza. Pandangannya bertaut dengan Kay yang sedang merenung mereka tajam.

“Belina, Riza… jawablah...” bicara Kay pula menekan.

“Mak Cik Kay….” Belina mengeluarkan suaranya buat pertama kali setelah sekian lama berdiam. “Dia… tak buat apa-apa, ma.”

Degupan jantung Bella bagaikan terhenti mendengar pengakuan Belina. “Sayang… jangan tipu mama! I know… dia ugut kau orang, kan?”

“Mama, jomlah kita balik! Jangan kacau Mak Cik Kay.” Riza pula menjawab.

Terpempan Diana dan Bella mendengar bicara anak-anak itu.

“Tapi… tangan Riza ni? Sayang?”

See? I dah cakap. I tak buat apa-apapun!” Kay pantas mencelah. Senyuman lega mengulum di bibir.

“You… liar!” Tangan Bella menerkam ke arah leher Kay. Memang mati dicekiknya isteri Rizqi ini jikalau dia hilang pedoman.

Diana sempat menarik Bella ke belakang. Tangan-tangan bekas adik iparnya yang melayang-layang ke udara ditarik belakang. “Stop it, Belle! Orang tengok ni!”

“I nak jumpa Rizqi. Rizqi! Rizqi!” Bella menjerit lantang. Dia abaikan tetangga keliling yang mula memerhati tindakannya. Biarlah orang nak kata dia gila. Yang penting dia dapat membuktikan kebenaran yang dia benar-benar yakin anak-anaknya didera oleh Kay!

“Rizqi tak sihat! Dia tak boleh jumpa orang gila macam you!” Kay menarik pintu pagarnya tutup. Mangga dengan pantas dikuncikan.

“You takkan dapat selamanya menipu Rizqi! You ingat I percaya cakap-cakap you semua tu?” Bella terus menjerit bagai wanita histeria.

Kay tidak mengendahkan kata-kata Bella. Dia masuk ke dalam rumah dan mengunci pintu rumahnya rapat. Selang beberapa minit, suara Bella pun reda. Kedengaran bunyi enjin kereta berlalu dari perkarangan rumahnya. Kay melulu ke pintu kaca dan memerhati kepergian kenderaan Diana.

“Kay! Kay! Pintu saya berkunci ni!” Jeritan Rizqi bergaung dari tingkat atas.

Kay menoleh ke tangga. Senyuman sinis menggaris di bibir.

***

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.